Thursday 28 June 2012

Mohamad perancang kejayaan Muhaya



JIKA tangan seorang ibu yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia, ketegasan seorang bapa pula mampu membentuk negara. Kalau syurga terletak di telapak kaki ibu, reda golongan ayah juga tiada tandingnya.
Sekeras manapun hati seorang bapa, mereka tidak pernah rela menyaksikan kegagalan anak-anak. Riak tenang pada wajah mereka sebenarnya menanggung seribu perit demi membimbing zuriat ke tempat tertinggi.
Hal itu disedari Profesor Dr. Muhaya Mohamad, 54, sejak beliau kecil. Arwah bapanya, Mohamad Busu, diibaratkan sebagai perancang kepada keseluruhan kejayaannya hari ini. Selaku seorang askar berpangkat leftenan, bapa Muhaya mengawal ketat setiap pergerakan anak-anak.
"Setiap hari, saya dan adik-beradik hanya dibenarkan bermain di luar rumah sehingga pukul 6 petang. Tiba waktu itu, kami semua wajib mandi dan siap sedia untuk solat Maghrib berjemaah.
"Siapa ingkar pasti tidak terlepas daripada dirotan ayah. Saya sendiri pernah beberapa kali dihukum tetapi disebabkan bijak memberi alasan, saya kerap terlepas," imbau Muhaya yang memanggil bapanya dengan gelaran bak.
Tambah pakar mata yang bertugas di Pusat Mata dan Lasik, Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur itu: "Walaupun dipukul dengan tali pinggang, namun ayah hanya memukul anak-anaknya di bawah lutut. Sewaktu hukuman itu, dia tidak henti-henti menyatakan bahawa dia hanya memukul perangai kami. Lama-kelamaan, saya mengerti apa yang dimaksudkannya."
Ketegasan bapa
Kali terakhir Muhaya dipukul ketika usianya 14 tahun. Detik itu beliau pulang ke kampung di Kuala Terengganu pada cuti sekolah. Akibat tidak mahu menyiapkan kerja sekolah, Muhaya dipukul dengan kuat.
Kesal dengan tindakan tersebut, arwah ibu Muhaya menyaksikan sendiri suaminya itu menangis saat hendak tidur. Jelas di sebalik ketegasan tersebut, tersimpan perasaan sayang yang amat mendalam terhadap anak-anak.
Meskipun sibuk bertugas, bapa Muhaya tidak sekali-kali mengabaikan pendidikan anak-anak. Setiap daripada mereka diberi tabung dengan simbol cita-cita masing-masing. Muhaya dihadiahkan tabung berbentuk rumah kerana dahulu beliau mahu bergelar seorang arkitek.
"Ayah mahu anak-anaknya mendapat pelajaran sempurna dan bekerja sekurang-kurangnya sebagai pegawai kelas atasan. Jadi, ketika saya berumur lapan tahun, ayah telah mengupah seorang guru mengajar saya dan kakak di rumah.
"Saya masih ingat pada Cikgu Zakaria perlu berulang-alik dari Perak ke Terengganu menaiki motosikal untuk mengajar kami bahasa Inggeris dan Matematik. Dia dibayar sebanyak RM15 dan jumlah tersebut cukup besar pada tahun 1966," singkap Muhaya yang merupakan bekas pelajar Sekolah Tun Fatimah (STF), Johor Bahru.
Tempoh lapan tahun di STF mungkin mencipta jurang antara beliau dan bapanya. Begitupun, masalah tersebut diatasi menerusi kiriman surat-surat bapanya setiap bulan. Tanpa jemu, bapanya turut menitipkan kata-kata hikmah sebagai penyuntik semangat buatnya.

AZIMAT pesanan bapa Muhaya, selain kasih sayang ibunya, telah menjadikan beliau seorang yang berjaya dalam hidup.


'Umpama kiambang di air, akar tidak jejak ke bumi' antara peribahasa yang masih diingat Muhaya. Berbekalkan motivasi tersebut, Muhaya berjaya menyandang gelaran pelajar terbaik sebanyak dua kali di STF.
Lebih membanggakan, Muhaya terpilih antara empat pelajar yang cemerlang dalam High School Certificate (HSC) atau kini Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) seluruh Malaysia pada tahun 1978 bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Kaherah, Mesir.
Keterujaan itu terpadam apabila bapanya menidakkan kebolehan Muhaya merantau ke negara orang. Sungguh besar kekecewaan yang dialami Muhaya namun beliau sendiri berbelah-bahagi untuk pergi.
Nilai positif
"Ayah tidak percaya seorang perempuan seperti saya boleh berdikari di sana. Dia tahu ia peluang baik namun dia belum bersedia melihat anaknya terbang jauh seorang diri.
"Kebetulan pula ketika itu saya sedang bercinta dengan seseorang (kini suaminya) dan perhubungan tersebut membataskan saya untuk pergi," tutur ibu kepada dua cahaya mata itu yang kemudiannya menyambung pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Cukup terkenal dengan sikap garang, bapa Muhaya bagaimanapun seorang individu yang murah hati. Nilai-nilai positif yang ditonjolkan bapanya itu kini dipraktikkan Muhaya dalam kehidupan sehariannya.
Pada tahun ketiga jurusan perubatan di UKM, bapa Muhaya memintanya menziarahi bekas guru besar sekolah rendahnya yang terlantar di hospital.
"Ayah ingatkan saya bahawa cikgu tersebut banyak membuka peluang buat saya untuk berjaya dalam pelajaran dengan memberi kelas tambahan. Tanpa cikgu itu, saya mungkin tidak berada di posisi sekarang," tutur Muhaya yang menyifatkan ia sebagai satu pelajaran mengenang budi.
Selain itu, bapanya juga pasti membeli barang yang dijual peniaga yang bertandang ke rumah. Begitu juga dalam konsep tawar-menawar. Jika ke pasar, bapanya pasti menegur ibunya andai berlaku proses pengurangan harga.

WALAUPUN tidak menjadi seorang arkitek seperti yang dicita-citakan suatu ketika dahulu, Muhaya kini berjaya dan menjadi tokoh yang disegani dalam bidang perubatan.


"Tak baik minta kurang, kasihan mak cik tu berniaga atas simen sejuk-sejuk. Lepas tu awak minta harga murah," kata-kata bapa kepada ibunya ini cukup berbekas di dalam fikiran Muhaya.
Beberapa bulan sebelum peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE) atau kini Penilaian Menengah Rendah (PMR), Muhaya dikejutkan dengan berita perkahwinan kedua bapanya bersama seorang wanita di Kedah.
Hancur hati ibu dan adik-beradiknya menanggung kebenaran yang menyakitkan itu. Muhaya sendiri pada awalnya berasa kecewa namun penjelasan oleh bapanya menjernihkan keadaan.
"Ayah bertugas jauh dan waktu itu ibu tidak mahu ikut. Akhirnya pada tahun 1976 ayah dan ibu berpisah secara baik dan bayangkan saat itu saya bakal berdepan peperiksaan Malaysian Certificate of Education (MCE) atau kini digelar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Tekanan itu memang dirasai tetapi ayah berpesan, jangan jadikan hal itu sebagai penghalang. Kata ayah, kalau kita bagus, dalam apa jua situasi pun kita boleh mencipta kejayaan. Jadi, saya belajar bahawa keretakan rumah tangga ibu bapa bukan alasan untuk anak-anak patah semangat," ujar Muhaya.

Keajaiban di sebalik ibadah solat



DALAM tempoh empat hari lagi bulan Rejab akan melabuhkan tirai bagi memberi laluan kepada bulan Syaaban dan seterusnya bulan Ramadan. Bulan Rejab, cukup sinonim dengan peristiwa agung dalam sejarah Islam iaitu Israk dan Mikraj .
Ia merupakan sebuah perjalanan kilat Rasulullah S.A.W menghadap Allah S.W.T, pada malam hari. Kisah perjalanan baginda bermula dari Masjidil Haram, Mekah menuju ke Masjidil Aqsa, Baitulmuqaddis. Baginda kemudiannya dibawa ke langit sehingga ke Sidratulmuntaha, lalu kembali ke Mekah pada malam yang sama. Sidratulmuntaha digambarkan sebagai pohon bidara yang tumbuh di langit keenam dan ketujuh. Peristiwa itu berlaku pada 27 Rejab 662 Masehi pada usia baginda 52 tahun.
Peristiwa Israk dan Mikraj memberikan pelbagai hikmah dan kelebihan. Pada peristiwa itu, Allah S.W.T telah memfardhukan solat lima waktu iaitu solat Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak ke atas semua umat Islam. Solat sehari semalam itu merupakan rukun Islam yang kedua.
Peristiwa Israk dan Mikraj membawa peringatan dan pengajaran yang wajib dilaksanakan oleh seluruh umat Islam di dunia ini, terutamanya amalan solat yang merupakan tiang agama yang wajib ditunaikan.
"Sebelum bertudung, saya terlebih dahulu menyucikan hati dan membaiki solat. Saya sentiasa berusaha menunaikan solat lima waktu walaupun sibuk dengan bermacam-macam aktiviti. Amalan solat tidak boleh dipandang remeh kerana ia perkara pertama akan dihisab pada hari akhirat," luah selebriti Wardina Saffiyah Fadhlullah Wilmot, 33. Beliau menyatakan, adalah lebih bermakna sekiranya seseorang muslimah itu bukan sekadar menutup aurat dan bertudung litup, tetapi turut menjaga solatnya.
Tegas wanita berdarah campuran Australia (sebelah bapa) dan Aceh (sebelah ibu) itu, dengan mendirikan solat ia membantu mengukuhkan hati dan iman para muslimin. Pada masa yang sama, orang yang bersolat itu jelas menunjukkan bahawa mereka tidak sombong kepada Allah, Yang Maha Mengetahui dan Maha Pencipta.
"Jika tidak bersolat, ini bermakna kita sombong dengan Allah. Justeru, jika kita bersikap bongkak dengan-Nya, maka tidak mustahil kita akan sombong terhadap manusia dan hidupan lain," kata Wardina yang mendidik tiga orang anaknya, Amna Ikhwan Johari, 9, Azra, 6, serta Imran, 3, solat berjemaah pada waktu Subuh, Maghrib dan Isyak.
Solat membentuk akhlak

SEHARUSNYA amalan solat disemai dalam diri individu sejak zaman kanak-kanak.


Sementara itu, Syahmi Hakim Kechnter Sha, 13, mengakui transisi kehidupannya hari ini lebih bermakna. Pada zaman kanak-kanaknya, dia tidak terlalu memikirkan soal solat dan mengaji al-Quran kerana beranggapan amalan tersebut akan dilaksanakan apabila dewasa kelak.
"Biasalah masa zaman kanak-kanak terlalu asyik dengan pelbagai aktiviti sehingga saya lalai. Kalau solat pun ikut mood, padahal solat itu perlu dilaksanakan mengikut waktu yang ditetapkan. Jenuh jua keluarga menasihati, tetapi saya tetap leka.
"Setelah mencapai usia 12 tahun, saya mula berubah dan berusaha untuk tidak meninggalkan solat lima waktu," terang anak bongsu daripada lima orang adik-beradik itu yang bercita-cita bergelar pendidik dan pakar motivasi. Dia kini menuntut di Akademi Tahfiz Al-Hidayah (ATAH) yang beroperasi di Jalan Gurney, Kuala Lumpur.
Luah anak kelahiran Juasih, Negeri Sembilan itu lagi, sememangnya amalan bersolat membawa 1,001 keajaiban yang sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata. Apa yang pasti, solat membantunya membentuk akhlak dan budi pekerti.
Menghafaz al-Quran
Bagi Wan Abdul Hakim Wan Zulkifli, 11, dia menyifatkan tanggungjawab menunaikan solat seharusnya dididik sejak kecil lagi.
Sebagai umat Islam yang sentiasa mendambakan keberkatan Allah untuk hidup di muka bumi ini, bersolat adalah platform yang terbaik dan lebih afdal.
"Setiap hari, saya memperuntukkan masa antara dua hingga tiga jam untuk membaca dan mempelajari ayat suci berulang kali supaya ingat dalam ingatan. Selain itu, bagi menguatkan lagi proses menghafaz ayat-ayat al-Quran beserta tajwid dan nahu yang betul, saya akan membacanya ketika mengimamkan solat jemaah," kata anak sulung daripada lima orang adik-beradik yang selalu menjadi imam untuk kumpulan pelajar tahap satu.
Setakat ini, Wan Abdul Hakim, sudah mampu menghafal lima juzuk al-Quran dengan lancar.
Erti perpaduan dalam solat
Salah seorang tenaga pengajar di ATAH, Hatim Nabihah Mohamad Khairi, 21, memberitahu, amalan solat memiliki fadilat secara tersurat dan tersirat. Selain mendekatkan diri kepada Allah, solat juga salah satu cara terbaik untuk mengajar umat Islam erti perpaduan dan keseragaman dalam menjalani kehidupan seharian.
"Di ATAH, kami menekankan para pelajar terutamanya yang berusia 12 tahun ke bawah menunaikan solat secara berjemaah yang diketuai seorang imam.

WARDINA (kanan) dan suami sentiasa menunaikan solat jemaah bersama tiga orang permata hati mereka.


"Hubungan antara imam dan makmum ketika melunaskan solat jemaah bertujuan mempamerkan situasi bersatu hati dalam kalangan orang Islam ketika menghadap Ilahi," tutur anak kelahiran Ampang, Selangor yang turut bertindak sebagai guru bahasa Inggeris di sekolah berkenaan.
Tambah Hatim, sememangnya solat jemaah itu dituntut dalam Islam. Mengikut mazhab Shafie, hukum solat berjemaah ialah fardu kifayah meskipun sesetengah pendapat menyatakan hukumnya sunat muakad.
"Selain itu, keunikan solat jemaah bukan saja menawarkan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda, malah ia medium terbaik untuk merapatkan ukhwah sesama umat Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa, pangkat dan umur," terang Hatim yang sebentar tadi meminta para pelajar memperkemaskan diri dan membetulkan saf sebelum melakukan solat Asar.
Istinjak perlu betul

PADA peristiwa Israk dan Mikrak, Allah S.W.T telah memfardukan solat lima waktu yang wajib dilaksanakan oleh semua umat Islam di muka bumi ini.


Dalam pada itu, pengasas ATAH, Roslailawati Mohamad atau lebih mesra disapa Ibu Laila, menyifatkan bahawa solat itu merupakan tiang agama yang perlu kukuh dalam diri setiap umat Islam.
Tidak dinafikan kebanyakan muslimin segera menunaikan kewajipan solat sebaik saja kedengaran laungan azan, namun persoalannya, adakah sebelum mengambil wuduk dan bersolat, individu telah melakukan istinjak dengan sempurna?
"Istinjak atau menyuci memerlukan kita membersihkan dubur dan kemaluan sesudah buang air kecil atau besar serta perlu dilakukan sebelum berwuduk. Proses ini wajib dititikberat bagi memastikan tubuh badan bebas daripada rasa, bau dan warna kotoran atau najis.
"Selesai beristinjak barulah berwuduk dan pastikan aliran air rata pada seluruh anggota wuduk seperti muka, tangan sehingga siku, kepala dan bahagian kaki. Kemudian, disusuli dengan solat yang perlu dijaga tata tertibnya," terang Ibu Laila, 52, yang turut menyatakan apabila tiga perkara asas seperti istinjak, wuduk, dan tertib solat dijaga, ia secara tidak langsung membuka peluang kepada individu memperoleh solat berkualiti.
Tambah ibu kepada tujuh cahaya mata dan sembilan orang cucu berkenaan solat yang berkualiti membantu membentuk akhlak yang mulia. Pada masa yang sama, amalan solat mampu menghalang umat Islam daripada melakukan perkara yang mungkar dan dilaknati Allah.
"Namun, jangan terkejut sekiranya berjumpa dengan sekelompok individu yang jarang meninggalkan solat, tetapi mereka antara umat yang tegar melakukan maksiat. Mengapa? Jawapannya mudah saja kerana perkara asas solat belum dilunaskan dengan baik," jelas Ibu Laila yang menyokong usaha kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang melancarkan kempen Jom Solat dan Kem Solat.

Doktor bukan Tuhan

Doktor bukan Tuhan



TAN SRI DR. ROBAAYAH ZAMBAHARI tidak asing lagi dalam bidang rawatan jantung di negara ini. Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Jantung Negara (IJN) itu merupakan salah seorang daripada kelompok terawal yang mempelopori penubuhan hospital jantung terkenal itu.

"Dahulu pesakit jantung tidak seramai sekarang. Kini ia menjadi pembunuh No. 1 di banyak negara maju, begitu juga Malaysia," imbas pakar kardiologi berusia 60 tahun itu.

Robaayah menganggap bahagian paling sukar dalam kerjayanya bukan di bilik pembedahan sebaliknya semasa proses perundingan bersama keluarga pesakit.

"Kes melibatkan jantung sentiasa berisiko dengan nyawa menjadi pertaruhan lebih-lebih lagi jika berlaku situasi cemas semasa pesakit dibedah.

"Walaupun saya telah mengendalikan pelbagai kes kritikal melibatkan jantung dan paru-paru, saat perundingan dengan keluarga pesakit adalah yang paling mencabar," beritahu beliau.

Tambah Robaayah, adalah menjadi tanggungjawab seorang pakar untuk menerangkan kepada keluarga pesakit mengenai risiko rawatan yang mungkin dihadapi.

"Mereka yang datang kepada kami membawa harapan yang sangat tinggi. 

"Mereka berharap pesakit yang berjumpa kami akan sembuh, tetapi ada juga kes ahli keluarga yang tidak dapat mengawal perasaan apabila sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada pesakit.

Gagal


DUA pegawai perubatan IJN membawa kotak berisi jantung segar. IJN telah melakukan 18 pembedahan pemindahan jantung setakat ini.


"Pada peringkat itu, ada sebilangan ahli keluarga yang pada mulanya bersedia menerima apa sahaja kemungkinan, berubah sikap selepas satu pembedahan yang gagal," ujar beliau sambil memberitahu, satu atau dua peratus pesakit meninggal dunia semasa pembedahan. 

Robaayah berkata, doktor bukan Tuhan.

"Pakar kardiologi dan pembedahan jantung hanya melakukan apa yang terdaya untuk menyelamatkan nyawa pesakit tetapi mereka tidak boleh memberi jaminan pembedahan itu akan berjaya 100 peratus," ujarnya.

Robaayah berkata, kadangkala pesakit mengalami komplikasi lain seperti strok yang bebannya terpaksa ditanggung oleh keluarga mereka seumur hidup.

Beliau menegaskan, pesakit serangan jantung yang teruk mesti dikejarkan ke hospital untuk mendapat rawatan secepat mungkin kerana jika terlambat ia akan menjejaskan organ lain.

Bagaimanapun, perkembangan teknologi perubatan jantung agak menakjubkan. 

Beliau berkata, pesakit yang memiliki jantung yang terlalu lemah kini boleh menukarnya dengan jantung baharu dengan selamat asalkan ada penderma jantung. Kemudahan teknologi turut membolehkan masalah jantung dikesan dengan lebih pantas.

Setakat ini, lebih 18 orang telah menjalani pembedahan pemindahan jantung di IJN sejak tahun 1997 manakala tiga pemindahan paru-paru dilakukan sejak tahun 2005. 

Antara kes yang mendapat perhatian rakyat Malaysia ialah pelajar sekolah dari Batu Pahat, Johor, Tee Hui Yee, 19, yang kini menjalani kehidupan normal selepas menerima jantung sebenar pada tahun 2006. Sebelum itu, Hui Yee memakai jantung mekanikal yang hanya boleh bertahan selama dua tahun.
Tersumbat
"Kami berjaya melakukan pembedahan pemindahan jantung pertama ke atas pesakit R. Sathrugnan pada tahun 1997.
"Manakala Muhammad Fikri Nor Azmi ialah rakyat negara ini yang pertama menerima jantung mekanikal sebelum menjalani pembedahan pemindahan jantung sebenar pada tahun 2005.

"Kini dia sihat dan menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam tempatan," katanya.

Awal bulan ini, Robaayah memandang serius kesihatan jantung wanita di negara ini kerana satu perempat populasi wanita berusia 56 tahun dan ke atas berisiko diserang penyakit berkaitan kardiovaskular berbanding kanser.

CHEN Winnie (kiri) bersama Tan Geek Koon antara pesakit yang menggunakan jantung mekanikal di IJN.


Di samping itu, wanita yang suka merokok turut berisiko tinggi berdepan sakit jantung.
Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun tahap kesedaran terhadap penyakit jantung adalah tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia, beliau mengakui penyakit koronari jantung adalah yang paling membimbangkan. Ia berupaya menyebabkan kematian jika tidak dirawat.

"Biasanya penyakit jenis itu dikaitkan dengan saluran darah tersumbat pada jantung akibat merokok, kegemukan, kurang bersenam, mengambil makanan tidak sihat dan berkolesterol tinggi, darah tinggi dan diabetes.

"Stres turut menjadi punca jantung tersumbat. Di negara lebih maju, mereka berjaya mengurangkan kesan penyakit jantung dengan menggunakan teknologi perubatan terkini.

"Kita juga memiliki kepakaran dan teknologi yang bagus, malangnya pada masa yang sama kes koronari jantung semakin merisaukan," katanya yang pakar melakukan drug elluting stent (DES) bagi merawat penyakit berkaitan saluran darah jantung tersumbat.

Menurut Robaayah, rawatan DES dilakukan menggunakan stent yang berupa tiub jaringan kecil seakan-akan spring dengan diameter antara 2.25 hingga 4 milimeter. Tiub itu dimasukkan ke dalam arteri jantung yang sempit untuk kembali melancarkan peredaran darah.

Nasihat Robaayah, bagi mengelak masalah ini jauhi makanan berkolesterol tinggi seperti susu penuh krim, minyak sapi dan makanan segera.

"Amalkan senaman setiap hari. Makan makanan seimbang dan berkhasiat adalah langkah terbaik menjaga jantung," katanya.

Sejarah IJN bermula sebagai Bahagian Kardiologi di Jabatan Perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada tahun 1977. Pada tahun 1982, ia beroperasi sebagai Klinik Kardiologi dan Klinik Pembedahan Jantung HKL.

Pada tahun 1992 barulah IJN ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan dan memiliki bangunan sendiri di ibu negara. Selama 18 tahun penubuhannya, IJN telah merawat lebih dua juta pesakit tempatan dan antarabangsa.


ROBAAYAH menunjukkan klip Mitral yang digunakan untuk rawatan kebocoran injap jantung di IJN.


Statistik IJN menunjukkan sejumlah 3,183 kes pembedahan pintasan jantung (koronari) dilakukan di institut itu antara tahun 2009 hingga 2011. Ini diikuti pembedahan injap jantung melibatkan 1,330 kes manakala 2,556 kes pembedahan jantung berlubang. 

Dalam tempoh yang sama sebanyak 7,785 pesakit mendapatkan rawatan saluran darah jantung tersumbat, masalah denyutan jantung (2,383) dan jantung berlubang (296).

Petikan Rencana Utama
www.kosmo.com.my