Friday 30 March 2012

Tinggalan perang Bosnia Herzegovina



KISAH perang saudara di Bosnia telah membawa Amer ke negara itu untuk melihat sendiri tinggalan perangnya yang masih wujud.


APAKAH yang anda buat di Sarajevo? Itulah persoalan pertama yang saya terima sebaik sahaja mendarat di lapangan terbang antarabangsa Sarajevo untuk memulakan lawatan solo 'tidak sengaja' ke Bosnia Herzegovina. 

Pesawat kecil yang hanya membawa 50 orang penumpang itu dipenuhi para perniaga tempatan dan negara jiran, Croatia. Tidak kelihatan seorangpun pelancong lain, apatah lagi orang Asia yang datang secara backpacking ke bumi Bosnia ini secara bersendirian.

Sebenarnya, ini adalah lawatan solo saya yang pertama. Tertarik dengan pelbagai berita di kaca televisyen Malaysia mengenai peperangan Bosnia semasa kecil, saya ingin melihat sendiri keadaan negara itu di samping sedikit sebanyak belajar mengenai peperangan etnik yang telah membunuh beratus ribu orang penduduk.

Penerbangan dari London Heathrow ke Sarajevo melalui Zagreb memakan masa empat jam. Memandangkan kunjungan ini dibuat tanpa perancangan, saya langsung tidak menjangkakan apa-apa.
Tiba di Sarajevo, saya terkejut melihat salji yang tebal walaupun pada bulan Mac. 

Hari pertama di sana saya penuhi dengan bersiar-siar di bandar lama Sarajevo terutama di kawasan pelancongan utama iaitu di Bascarsija.

Dibina pada abad ke-15 oleh pengembara Uthmaniyyah dari Turki, Bascarsija yang dipenuhi bazar-bazar lama merupakan kawasan bersejarah utama di Sarajevo.

Kawasan bandar lama ini dipenuhi dengan bangunan-bangunan kecil satu tingkat, manakala jalan-jalannya dipenuhi batu bulat licin. Secara zahirnya, infrastrukturnya tipikal bandar raya Eropah lama. 

Saya juga melawat monumen paling menarik di Sarajevo iaitu Sebilj yang merupakan pancuran air yang pernah digunakan untuk berwuduk sebelum bersolat di masjid yang berhampiran. Kini, airnya diminum secara percuma oleh penduduk Sarajevo.

Saya menikmati makan malam di sebuah restoran yang dipenuhi penduduk tempatan. Makanan tradisi utamanya adalah cevapcici iaitu daging lembu bersama krim keju dan bawang yang dikisar halus.

Hari kedua di Sarajevo dimulakan dengan bersarapan pagi di hotel. Di sini, terdapat tiga orang pelancong sahaja yang saya temui! 

Kali ini, saya mengikuti lawatan secara peribadi selama tiga jam dengan Sarajevo War Tour dari pusat pelancongan Sarajevo yang terletak di pusat bandar. 

Saya dibawa melawat kawasan-kawasan yang terdedah dengan peperangan untuk mengetahui bagaimana ia bermula dan bagaimana penduduk Sarajevo terperangkap apabila dikepung atau dikelilingi puak Serbia.

Taman jadi kubur

Saya juga berpeluang melihat kubur-kubur yang telah dibina dengan banyaknya di sekeliling bandar untuk menampung puluhan ribu penduduk yang terkorban. Terdapat sebuah kawasan bernama Taman Olimpik Sarajevo yang telah diubah suai semasa peperangan untuk dijadikan kawasan perkuburan.

Semasa penjelajahan ini, pemandu pelancong menceritakan pelbagai kisah sedih tentang perang tersebut. Dia turut menceritakan mengenai jirannya yang berketurunan Serbia telah berpihak kepada Serbia semasa peperangan. 


PEMANDANGAN di Sebilj yang redup dan menjadi tumpuan ramai masyarakat Bosnia untuk bersantai.


Sebaik habis peperangan itu, jirannya kembali menjadi jirannya tanpa menghiraukan perbuatannya itu. Agak susah untuk hidup jika mengetahui jiran sebelah rumah sendiri telah menyebabkan puluhan ribu penduduk Sarajevo terkorban. Mereka masih tidak bertegur sapa sehingga ke hari ini.

Saya turut dibawa melihat Sarajevo Tunnel of Life. Tarikan pelancongan utama berkenaan merupakan sebuah terowong yang digali oleh penduduk Sarajevo dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semasa perang berlangsung. 

Memandangkan bandar raya Sarajevo telah dikepung, bekalan makanan, ubat dan alat tentera telah kehabisan. Terowong yang digali sendiri itu merupakan satu-satunya akses penduduk Sarajevo untuk mendapat bekalan dari kawasan luar bandar. 

Terowong itu menembusi kawasan lapangan terbang antarabangsa Sarajevo hingga ke kampung yang berhampiran. Beribu-ribu penduduk menggunakannya setiap hari walaupun sangat kerap dibedil musuh.

Aktiviti terakhir hari kedua dipenuhi dengan melawat pinggir bandar Sarajevo untuk melihat kaki langit. Sarajevo amat dikenali sebagai bandar raya yang mempunyai banyak masjid yang dibina sejak zaman Uthmaniyyah. Ketika itu dikhabarkan, laungan azan tidak pernah terputus.

Tidak bekerja

Hari ketiga di sana, saya berjalan-jalan di sekitar kawasan perumahan bandar Sarajevo yang dibina di lereng-lereng bukit. Kebanyakan rumah di lereng bukit ini tidak mempunyai sistem saliran yang baik dan itu sudah menjadi perkara biasa.

Saya kemudian berjalan ke kawasan bandar baharu. Walaupun jam baru pukul 11 pagi, bandar raya Sarajevo sentiasa dipenuhi penduduk tempatan yang bersiar-siar. Lebih 50 peratus penduduk Sarajevo tidak mempunyai kerja, maka berjalan-jalan merupakan aktiviti harian mereka.

Kali ini, saya bertembung dengan seorang penduduk tempatan yang sangat baik dan menjadi pemandu pelancong secara percuma ke bandar raya Sarajevo. 

Saya dibawa melihat bangunan Parlimen baharu yang musnah semasa peperangan. Bosnia adalah satu-satunya negara yang masih mempunyai kerajaan yang tergantung, atau tidak berjalan.

Ia disebabkan oleh pemimpin-pemimpin yang tidak mencapai kesepakatan kerana faktor perbezaan etnik. Ia juga menyebabkan Bosnia gagal membangun sejak peperangan tamat.

Masih terdapat banyak kawasan rumah di Sarajevo mempunyai kesan tembakan di dinding luarnya, walaupun kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta dolar untuk 'memadam' kesan-kesan itu.

Saya juga telah ke lokasi bernama Latin Bridge untuk menghayati imbasan masa lalu apabila Perang Dunia Pertama mula tercetus. Di situ, putera raja berdarah Hungary dan Austria, Archduke Franz Ferdinand telah dibunuh oleh warga tempatan pada tahun 1914.

Untuk melepaskan lelah sebentar selepas banyak berjalan, saya sempat menikmati teh Bosnia iaitu teh pudina. Cara menikmatinya cukup unik - kiub gula yang dihidang bersama cawan teh itu perlu dikunyah sedikit sebelum meminum air teh.

Jambatan simbolik


PEMANDANGAN sebuah perkampungan kecil di pedalaman Bosnia.


Pada pagi hari keempat, saya bergerak ke stesen keretapi Sarajevo untuk menaiki kereta api ke bandar Mostar. Sepanjang perjalanan yang mengambil masa dua jam setengah itu, saya dapat menikmati pemandangan cantik kawasan pedalaman Bosnia. Keindahannya sering dibandingkan dengan suasana Banjaran Alps oleh ramai pengembara Eropah.

Bandar Mostar sangat terkenal dengan Jambatan Stari Most binaan zaman Uthmaniyyah. Malangnya, Jambatan itu telah diruntuhkan oleh puak Croatia sewaktu peperangan. 

Keruntuhan jambatan itu sangat simbolik oleh kerana ia melambangkan keruntuhan Islam Bosnia dan warisan agama Islam di Mostar. Bagaimanapun, masyarakat dunia telah membina semula jambatan itu hasil sumbangan masyarakat seluruh dunia.

Satu perkara yang membuatkan saya begitu teruja adalah keindahan Sungai Neretva yang airnya amat jernih dengan biasan warna hijau kebiruan. Popular sebagai lokasi memancing, suasana menarik sungai itu menjadi subjek lakaran lukisan saya sambil menikmati makan tengah hari.

Hari terakhir saya di bandar Mostar diisi dengan aktiviti berjalan-jalan sambil menikmati keindahan alam semula jadi. Saya sempat berbual dengan beberapa orang tempatan mengenai bandar mereka. 

Antara yang saya temui ialah pasangan suami isteri bernama Tungia dan Medina bersama anak lelaki mereka Anel. Tungia yang berasal dari Mostar kini menetap di Jerman ekoran rumahnya dimusnahkan semasa peperangan. 

Ahli keluarganya juga telah terbunuh menyebabkan beliau dihantar oleh (PBB) sebagai pelarian. Kini, Tungia sekeluarga hanya melawat Mostar beberapa tahun sekali.

Lawatan ini berakhir apabila saya meneruskan perjalanan menaiki bas ke bandar Dubrovnik,Crotia.

Petikan : www.kosmo.com.my / Horizon
Tarikh  : 31/03/2012

Ki-moon tunduk telunjuk AS



UCAPAN yang berdurasi tidak sampai tiga minit oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, didengari dengan penuh tekun oleh Ban Ki-moon. Apabila muncul poin-poin bernas, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu akan mengangguk-angguk kepalanya. Terserlah wajah kekaguman apabila beliau memberi tepukan dan berdiri selepas Tiong Lai mengakhiri ucapannya.

Tumpuan dan karakter yang ditonjolkan oleh Ki-moon ketika lawatannya ke Institut Perubatan Respiratori (IPR), Jalan Pahang, Kuala Lumpur sempena Hari Tibi Sedunia menyimpulkan betapa beliau menghargai setiap pemimpin yang dikunjunginya.

Ki-moon yang berusia 68 tahun pada tahun ini tidak datang berseorangan. Sebaliknya, beliau ditemani isterinya, Ban Soon-taek yang tampil elegan dengan busana berwarna putih dan berskaf.
Ki-moon bersama delegasi PBB baru-baru ini mengadakan lawatan selama dua hari ke Malaysia. Itu adalah kunjungan sulung diplomat Korea Selatan itu ke Malaysia sejak menyandang jawatan dalam badan dunia itu pada 1 Januari 2007.

Gerak-geri dan personaliti Ki-moon yang merupakan rakyat Korea Selatan pertama menawarkan diri sebagai Setiausaha Agung PBB memang sesuatu yang menarik untuk diperhatikan. 

Seperti komentar yang pernah diterbitkan oleh Korea Herald, Ki-moon Setiausaha PBB kelapan menggantikan Kofi Annan disifatkan sebagai seorang yang sopan, lemah-lembut dan menghormati tali persahabatan.

Dalam satu wawancara dengan media asing, Ki-moon pernah berkata: “Kadang-kadang saya seperti seorang pemimpin yang lemah dan lembik. Anda mungkin melihat saya seorang yang lemah-lembut, tetapi saya memiliki kekuatan dalaman dan inilah selalunya orang Asia salah beri pandangan.”

Walaupun sebahagian daripada hidupnya ditumpahkan di negara asing, sifat santun ketimurannya ketika berada di negara ini sangat terserlah.

Beliau seorang yang sederhana. Senyuman tidak pernah lekang daripada bibirnya. Tidak diapit dengan secara keterlaluan oleh pengawal peribadi, membolehkan Ki-moon bebas mendekati sesiapa mengikut kemahuannya.

Pemimpin yang berpegang kepada prinsip bahawa kerja melebihi kepentingan peribadinya juga tidak terlalu rigid. Buktinya, semasa melawat dua pesakit tibi di IPR, beliau memilih untuk tidak menggunakan topeng udara.

Graduan Ijazah Pentadbiran Awam, Universiti Harvard itu juga mencuri tumpuan hadirin apabila mengucapkan ‘Selamat Pagi’ dan ‘Terima Kasih’ dalam bahasa Melayu serta kerap memuji usaha institut perubatan Malaysia.

“Saya puji kerajaan Malaysia kerana membantu pesakit tibi. Kerajaan anda juga memberi perkhidmatan dan rawatan percuma kepada mereka dan ini sesuatu yang luar biasa,” katanya ketika berdiri dengan postur yang tegap semasa menyampaikan ucapan balas.


KUASA veto yang dipegang oleh lima negara iaitu AS, Perancis, China, Britain dan Rusia menyebabkan PBB pada hakikatnya hanyalah alat untuk menghalalkan segala keinginan negara maju itu.


Karakter

Bagaimanapun, imej lemah-lembut Ki-moon itu dikatakan melambangkan kegoyahan dirinya yang menjawat jawatan sebagai setiausaha agung dalam pertubuhan yang paling elit dan berkuasa di dunia itu. Pembawaan karakter itu juga disifatkan memudahkan beliau senang ‘dibuli’ oleh Amerika Syarikat (AS). 

Ada pendapat menyatakan, tingkah laku Ki-moon sama seperti mantan setiausaha agung yang lain seperti Kofi Annan, Boutros Boutros Ghali dan U Thant.

Selain memerlukan seseorang yang memiliki ciri-ciri sebegitu, Majlis Keselamatan PBB yang berkuasa membuat pelantikan juga memerlukan seseorang yang tidak begitu popular, tidak lantang bersuara, pasif atau dalam erti kata lain, tidak radikal.

Bagaimanapun, peranan yang dimainkan oleh seorang setiausaha agung bukan calang-calang.
Menggalas jawatan paling elit dalam badan dunia itu, setiap pemimpin harus memikirkan bagaimana untuk menyelesaikan pertikaian antarabangsa, mentadbir operasi keamanan dan mengatur persidangan antarabangsa.

Di sebalik kemegahan posisi elit itu, seorang Setiausaha Agung PBB juga perlu bersiap siaga dengan ancaman keselamatan. Mereka juga tidak lari daripada berterusan dikecam oleh ahli anggota yang lain.
“Tugas itu bukan mudah,” kata Ki-moon kepada AP.

Memang benar seperti yang diungkapkannya. Setahun selepas dilantik, Ki-moon sudah tidak disenangi. Ketika mengambil bahagian dalam sidang media di Baghdad pada 22 Mac 2007, satu serangan mortar mengenai tempat yang berhampiran dengan kedudukan Ki-moon yang ketika itu sedang berdiri.
Insiden itu sememangnya menakutkannya. Bagaimana pun, beliau tidak serik apabila bersetuju untuk menjawat jawatan itu sekali lagi untuk penggal kedua yang berakhir pada 2016.
Telunjuk AS
PBB yang merupakan entiti yang signifikan untuk mendamaikan dunia dikatakan sudah tergelincir daripada landasannya. Dunia berpendapat, PBB tidak dapat menjalankan tugas itu jika sesuatu isu yang timbul melibatkan kepentingan AS dan sekutu kuatnya Israel.

Senario itu sangat bersangkut-paut dengan peranan seorang Setiausaha Agung PBB yang juga bertindak sebagai Ketua Sekretariat dalam badan eksekutif PBB. 

Selaku orang tengah dalam menyelesaikan pertikaian diplomatik, mereka dianggap lemah dan acapkali mengikut telunjuk AS.

Hak veto yang dipunyai oleh AS dan sikap berdiam diri negara kuasa veto yang lain menyebabkan segala resolusi yang diputuskan lebur begitu sahaja. Hal itu sekali gus memperlihatkan badan dunia itu sudah tidak berbisa lagi.

Pentadbiran Annan dan Ki-moon menyaksikan kedua-duanya berada dalam dunia selepas era perang dingin yang sebelum ini dunia terbahagi antara blok Barat dan komunis. 

Bagaimanapun dengan keruntuhan Soviet Union, AS telah menjadi kuasa tunggal yang kini masih berdiri dan mencorakkan globalisasi. 

Biarpun PBB telah wujud sejak 1946, banyak masalah dan konflik lama masih berterusan dan kini diwariskan kepada Setiausaha-Setiausaha Agung itu.

Yang paling ketara pastinya masalah seperti kemiskinan di benua Afrika, konflik di Palestin-Israel dan hubungan tegang antara India dan Pakistan termasuk masalah demokrasi di Myanmar.

Terkini, cabaran Ki-moon lebih besar apabila berlaku gelombang revolusi negara-negara Asia Barat yang berterusan hingga kini.


PBB sering dicemuh dunia kerana pada kebanyakan masa gagal memperjuangkan nasib penduduk yang ditindas oleh negara maju terutama AS dan proksinya.


Tidak kira sama ada Annan atau Ki-moon, kedua-duanya dikatakan begitu lemah sekali membuat reaksi yang lebih tegas. Jadi, tidak hairanlah mereka sentiasa diselar dan dilabelkan sebagai boneka AS.

Sebagai rakyat Asia yang kaya dengan adab dan ketimuran, pendirian Ki-moon tentang golongan homeseksual baru-baru ini sangat mengecewakan masyarakat antarabangsa terutama orang Asia.
Beliau antara lain mengeluarkan kenyataan supaya pemerintah di rantau Afrika menghormati hak golongan itu.

Ya, memang benar impian Ki-moon untuk bergelar seorang diplomat selepas beliau berjumpa dengan mantan Presiden AS, John F. Kennedy di Rumah Putih pada 40 tahun yang lalu sudah menjadi kenyataan. Namun, beliau harus memikirkan semula formasi dirinya termasuk prinsipnya sebagai pemimpin.

Janjinya untuk melaksanakan perubahan dan memperbaiki imej PBB bagaikan hangat-hangat tahi ayam.
Bagaimana Ki-moon mahu generasi muda membesar dengan imej PBB jika beliau sendiri tidak berubah?

Petikan : www.kosmo.com.my / rencana utama

Ayen pernah panjat tingkap bas mini




MENYANDANG jawatan sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana), Datuk Shahril Mokhtar pernah diiktiraf sebagai salah seorang daripada 10 individu paling berpengaruh di Malaysia.

Pengiktirafan itu dibuat oleh laman web www.top10malaysia.com - sebuah laman web pertama seumpamanya yang memaparkan tentang kisah kejayaan dan pencapaian individu terhebat di Malaysia.
Menerusi artikel yang disiarkan pada bulan Februari tahu lalu itu, kehebatan beliau dapat dilihat apabila dipilih menerajui syarikat yang bertanggungjawab untuk memacu transformasi dalam perkhidmatan pengangkutan awam ke arah yang lebih cemerlang.

Seperti yang diketahui umum, Prasarana telah diberi sepenuh kepercayaan oleh pihak kerajaan untuk menjayakan projek My Rapid Transit (MRT) yang bernilai RM50 bilion sekali gus merupakan projek pengangkutan dan pembinaan terbesar dalam sejarah negara.

Menerajui syarikat penyedia perkhidmatan pengangkutan awam terbesar di Malaysia, tanggungjawab yang tergalas di bahu beliau ternyata bukan kecil. Namun, dengan iltizam dan tekad yang membara, Shahril optimis melaksanakan amanah yang diberikan.

“Ini merupakan satu tanggungjawab yang amat berat. Apatah lagi dalam industri ini, untuk memuaskan hati semua orang, ia boleh dianggap sesuatu yang amat mustahil. Tetapi, untuk mencari kesilapan kita, ia memang mudah. 

“Bagaimanapun, sebagai peneraju dalam syarikat ini, saya akan berusaha sehabis daya untuk memastikan perkhidmatan pengangkutan awam yang dikendalikan Prasarana mencapai standard yang boleh dibanggakan terutama buat seluruh penggunanya yang kini mencecah 715,000 orang setiap hari,” ujar Shahril dalam satu temu bual eksklusif bersama Kosmo! di pejabatnya yang terletak di tingkat 22, Menara UOA Bangsar, Kuala Lumpur Isnin lalu.

Memori bas mini


SHAHRIL optimis mahu mengangkat perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia berkelas dunia.


Apabila berbicara tentang kemudahan sistem pengangkutan awam, Shahril mengakui amat faham tentang ketidakselesaan yang perlu ditanggung oleh para pengguna seperti bas yang penuh sesak, berleluasa dengan kes penyeluk saku dan sikap biadab penumpang lelaki yang sering mengambil kesempatan ke atas penumpang wanita.

Ini kerana, anak kelahiran Petaling Jaya yang membesar di Lembah Klang itu juga pernah melalui pengalaman serupa sewaktu kecil hingga meningkat remaja apabila perlu menggunakan pengangkutan bas awam untuk ke sekolah.

Menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah St. John, Bukit Nanas, Shahril masih ingat kenderaan bas Sri Jaya yang menjadi pilihannya untuk ke sekolah. Walaupun sesak dengan penumpang hingga menjulur ke luar pintu, namun beliau tetap tegar menghadapi situasi tersebut saban hari.

“Bayangkan saya pernah menaiki bas dengan memanjat tingkap belakang memandangkan terlalu ramai penumpang berebut untuk naik dari pintu hadapan.

“Tabiat itu lazimnya dilakukan oleh penumpang lelaki yang masih muda. Justeru, apabila seorang sudah buat, mulalah jadi ikutan pada yang lain,” imbau Shahril yang secara peribadi mengagumi keberanian dan kecekapan pemandu bas terutama bas mini yang popular sekitar tahun 1980-an dalam meredah kesibukan jalan raya.

Tambahnya lagi, seluruh warga kota cukup faham dengan keadaan tidak selesa ketika itu.




“Namun, bas yang sesak dan tidak selesa atau pemandu berlumba di jalan raya adalah kisah zaman dahulu. Hakikatnya, hari ini kita sudah maju berpuluh kali ganda. Tetapi, jika anda tanya saya, masih terlalu banyak ruang yang boleh dibaiki.

“Apa yang pasti, sasaran saya adalah untuk menjadikan sistem pengangkutan awam negara ini berkelas dunia. Itulah juga yang menjadi matlamat operasi Prasarana sekarang,” kongsinya.

Budak lasak

Menyingkap zaman kanak-kanak yang dilalui, bapa kepada empat cahaya mata itu mengakui beliau seorang yang sangat aktif dan tidak boleh duduk diam. Setiap hari pasti ada sahaja aktiviti yang akan dilakukan sama ada secara bersendirian atau berkumpulan.

Memanjat pokok, menangkap ikan di lombong, bermain batu seremban dan teng teng, itu antara rutin harian yang dilalui beliau. Malah, Shahril pernah mengalami kecederaan patah tangan sebanyak dua kali akibat terjatuh ketika memanjat pokok kedondong dan sewaktu berlari.

“Jika diingat semula, memang kelakar apabila saya terjatuh ketika memanjat pokok kedondong. Maklumlah pokok itu bukanlah tinggi sangat pun. Cuma, untuk kanak-kanak berusia lapan tahun yang terlalu lasak, itulah ‘hadiahnya’,” tutur Shahril sambil ketawa.

Selepas menduduki Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada tahun 1987, Shahril mendapat tawaran meneruskan pembelajaran tingkatan empat dalam jurusan sains tulen di Sekolah Menengah Taman Keramat.

Pada mulanya Shahril menerima tawaran tersebut tetapi selepas hanya sehari masuk ke sekolah itu, hatinya meronta-ronta untuk kembali ke sekolah lama.

SUMBANGAN Shahril dalam bidang pengangkutan awam negara turut diiktiraf oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.


“Dek mengikut kata hati, keesokan harinya saya pergi ke sekolah lama seperti biasa dan masuk ke kelas sastera. Reaksi gembira yang ditunjukkan rakan-rakan dengan kepulangan saya membuatkan saya enggan menoleh ke belakang lagi.

“Sebaliknya cikgu-cikgu pula yang bimbang kerana apa yang saya lakukan adalah salah kerana tidak mengikut prosedur perpindahan sekolah seperti yang telah ditetapkan. Tetapi nasib saya baik kerana pengetua telah mengambil tindakan segera dengan menguruskan perpindahan saya ke sekolah lama,” kata Shahril yang berpendirian bahawa belajar tetap sama walaupun di mana-mana sekolah, cuma yang penting keazaman untuk berjaya.

Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan keputusan cemerlang, Shahril mendapat tawaran daripada Jabatan Pelajaran Awam (JPA) untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Politik di Universiti Missouri, St. Louis, Amerika Syarikat (AS).

Tawaran tersebut diterima, namun Shahril membuat keputusan menukar major daripada Sains Politik kepada Psikologi Industri dan Organisasi sewaktu semester kedua kerana minatnya cenderung dalam jurusan itu.

petikan : www.kosmo.com.my/ rencana utama
tarikh   :  31/03/2012

Tuesday 27 March 2012

Rumah Busu Dolah tiada pendua


TANGGA rumah Melayu Melaka seakan-akan wajib dihias dengan jubin warna-warni dengan motif flora.


FALSAFAH reka bentuk rumah tradisi Melayu Melaka sememangnya sangat unik. Ia adalah garapan apresiasi pemiliknya terhadap budaya Melayu, keindahan alam dan kehidupan bermasyarakat yang diterjemahkan melalui ilham seni bina.

Justeru, identiti rumah Melayu Melaka begitu mudah dikenali. Bumbungnya panjang memayungi bahagian serambi rumah dan binaan tangga batunya pula seakan-akan wajib diberi kemasan jubin bermotif flora.

Bagi Yaakob Buang, 54, jendela yang dipasang rendah dan ukiran kayu turut dijadikan tanda pengenalan. 

Lebih dikenali sebagai Busu Dolah, penjawat awam ini merupakan pemilik satu-satunya rumah tradisional Melayu Melaka yang ada di negara ini.

Kukuh

Kemewahan rumah yang diwarisi daripada datuknya, Hitam Buntal ini bukan dilihat pada perabot atau hiasan dalaman sebaliknya dinilai berdasarkan kehalusan ukiran dan seni binanya. 

Tersergam indah di Jalan Bukit Godek, Kampung Semabok Dalam, Melaka, rumah warisan tersebut sudah berusia 103 tahun. 

“Menurut arwah bapa, rumah ini mula dibina pada tahun 1909 oleh tukang rumah tempatan. 


TERDAPAT 12 jendela kayu lengkap dengan kayu ram yang mengawal kemasukan cahaya dan udara di serambi rumah.


“Pembinaannya tidak menggunakan paku sebaliknya memakai pasak dan tanggam sahaja,” kata Busu Dolah.

Mewah dengan ukiran kerawang jenis tebuk tembus dan tebuk timbul di keseluruhan serambi dan rumah ibu, ternyata ia melahirkan rasa kagum yang bukan sedikit.

Biarpun sudah didiami selama empat generasi, keunggulan seni binanya yang masih kukuh sekali gus membuktikan seni bina budaya Melayu suatu masa dahulu benar-benar berkualiti.

Menurut Busu Dolah, rumahnya itu sering menjadi tumpuan pelancong, arkitek, jurutera dan penuntut universiti tempatan. 

Malah, ia juga menjadi pilihan pelbagai syarikat produksi serta stesen penyiaran dari dalam mahupun luar negara untuk dijadikan lokasi penggambaran. 

“Selain seni bina rumah, ukiran kerawang turut menggamit pengunjung bertandang ke mari.
“Daripada kajian yang dijalankan, semuanya berpendapat ukiran yang ada di rumah ini tiada penduanya di tempat lain.

“Rumah ini juga dianggap sebagai satu-satunya rumah warisan Melayu Melaka yang masih ada,” katanya.
Upah 10 sen sehari 

Bercerita lanjut tentang ukiran yang menjadi penyeri kediamannya, Busu Dolah memberitahu, sekeping ukiran kayu mengambil masa selama tiga hari untuk disiapkan. 

“Arwah datuk mengupah orang kampung untuk mengukir kerawang dengan motif flora dan geometri dengan upah 10 sen sehari. 

“Diukir menggunakan pahat dan penukul, hasil kerja tangan ini memang halus buatannya,” ujarnya.

KEMEWAHAN rumah Busu Dolah dilihat dari aspek seni bina tradisional dan ukiran kerawang yang halus buatannya.


Selain untuk tujuan hiasan, kepelbagaian ukiran berlubang di atas jendela, muka pintu dan dinding turut menggalakkan kemaskan udara dan cahaya ke dalam rumah. 

Memetik kata-kata Penolong Pengurus Projek, Badan Warisan Malaysia, Intan Syaheeda Abu Bakar, ukiran penuh kerawang bukan sahaja dipandang sebagai aksesori tetapi turut menunjukkan status pemilik rumah. 

“Boleh jadi juga,” pintas Busu Dolah. Suatu masa dahulu, arwah datuknya merupakan peniaga yang cukup disegani. 

“Selain mempunyai tanah bendang yang luas, beliau turut dikenali sebagai pengeksport telur ikan terubuk Melaka ke Thailand. 

“Beliau juga menghasilkan baja sawah daripada tulang lembu yang dibakar dan ditumbuk sebelum dijual kepada penduduk kampung,” ujar Busu Dolah lagi.

Meneliti reka bentuk rumah yang berusia lebih seabad ini, identiti rustik, canggih dan bistari yang diserap melalui teknik pembinaannya nyata masih relevan untuk dipraktikkan dalam seni bina masa kini.

Selain berfungsi sebagai tempat berlindung, binaannya tidak lari daripada perincian khusus bagi memastikan keselesaan penghuni tanpa melupakan pengaruh adat dan alam.

“Serambi adalah bahagian hadapan rumah di mana tuan rumah menyambut kedatangan tetamu. 


KEUNGGULAN seni bina dan rekaan rumah Melayu tradisi Melaka ini masih kekal biarpun ia telah didiami selama empat generasi.


“Jika ada yang bermalam di sini, kaum lelaki akan tidur beramai-ramai di serambi sementara anak dara akan berehat dan tidur di loteng atas rumah,” ujar isteri Busu Dolah, Zainab Mat Yasin, 51. 

Rumah ini pada asalnya memanjang ke belakang dan tidak mempunyai rumah bawah. 

Namun, selepas lebih 70 tahun digunakan, bahagian dapurnya dibuka dan diganti dengan rumah bawah yang dibina menggunakan batu. 

“Kos untuk membaiki rumah kayu sangat tinggi, lagipun rumah asal mempunyai sebuah bilik sahaja,” tambah Busu Dolah. 

Petikan : www.kosmo.com.my/rencana utama

Bayar hutang sampai mati



HARGA rumah di bandar raya Kuala Lumpur sekarang dianggap menakutkan. Kondominium One Menerung di Bangsar yang seluas 2,000 kaki (185 meter) persegi dijual pada harga RM2.4 juta seunit. Sebuah rumah semi-D di Sri Hartamas berharga RM1.5 juta manakala rumah teres dua tingkat di Cheras bermula dari harga RM500,000. 

Dengan harga yang begitu tinggi, ia bukan lagi merupakan rumah mampu milik khususnya bagi warga kota berpendapatan sederhana iaitu kira-kira RM6,000 sebulan. 

Malangnya, bukan ibu negara sahaja yang mengalami kenaikan melambung harga rumah dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini. 

Malah, kawasan pinggir Lembah Klang seperti Kajang, Bangi, Sungai Buloh, Rawang dan Klang menunjukkan trend yang sama.

Tinjauan Jurnal di beberapa lokasi seperti Semenyih mendapati harga rumah teres baharu dengan keluasan 24x70 kaki (7x21 meter) kini mencecah harga RM460,000. 

Di Kajang, rumah bersaiz 22x70 kaki berharga RM510,000, Rawang RM288,000 (20x65 kaki), Sungai Buloh RM398,000 (22x75 kaki) dan Klang RM335,000 (24x75 kaki). 

Pada umumnya, rumah teres sering menjadi pilihan golongan berpendapatan sederhana kerana saiznya lebih luas serta memiliki laman dan tempat letak kereta yang mesra pengguna. 

Malangnya, masih ada satu lagi berita buruk iaitu rumah teres dijangka mencecah harga RM800,000 sebuah menjelang tahun 2020. 

Ini berdasarkan unjuran kenaikan purata harga sebanyak tujuh peratus setahun oleh syarikat perunding hartanah CH William Talhar & Wong Sdn. Bhd. (WTW) selepas mengambil kira harga purata terbaharu rumah teres di Selangor iaitu RM480,000 sebuah.

Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (Macfea), Profesor Dr. Jariah Masud meramalkan bahawa harga rumah teres di Lembah Klang bakal mencecah RM1 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Harga rumah di negara ini akan terus berkembang walaupun berlaku krisis ekonomi,” katanya.
Pengarah Urusan WTW, Sr. Foo Gee Jen memberitahu, harga rumah teres di pinggir bandar bakal menjadi lebih kompetitif berikutan kenaikan harga rumah di pusat bandar Kuala Lumpur.

Pendapatan


HARGA rumah teres di Lembah Klang akan meningkat sekali ganda menjelang tahun 2020.


Beliau memberi contoh rumah teres di Taman Tun Dr. Ismail yang kini bernilai RM1.5 juta bakal mencapai harga RM3 juta dalam tempoh lapan tahun lagi.

“Untuk memiliki sebuah rumah teres pada tahun 2020 sekurang-kurangnya sebuah isi rumah perlu mempunyai pendapatan sebanyak RM12,000 sebulan.

“Secara purata pendapatan isi rumah sekarang ialah RM6,000 bagi golongan pertengahan. Jika harga rumah naik sekali ganda maka pendapatan isi rumah harus meningkat seiring dengan harga rumah,” terang beliau.

Membeli rumah berharga RM500,000 dengan pendapatan bulanan RM6,000 bukanlah satu tindakan bijak.
Menurut kiraan seorang pegawai bank, andaikan si pembeli meminjam RM400,000 sahaja daripada bank dengan purata kadar faedah enam peratus setahun, peminjam perlu membayar ansuran bulanan sebanyak kira-kira RM2,400 selama 30 tahun. 

Ini bermakna peminjam yang membeli rumah teres pada usia 30 tahun hanya akan habis membayar hutang pada usia 60 tahun. 

Jika tidak bernasib baik, peminjam tadi mungkin meninggal dunia terlebih dahulu sebelum sempat melangsaikan hutang rumahnya.

Persoalannya, berapa ramaikah orang muda memiliki pendapatan RM6,000 sebulan sekarang?
Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Kuala Lumpur, NK Tong berkata, pelbagai faktor menyebabkan kenaikan harga hartanah termasuk pengumuman kerajaan untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur seperti pembinaan projek Transit Aliran Massa (MRT) yang menghubungkan Sungai Buloh dan Kajang.

“Dengan kemudahan seperti MRT, orang ramai akan mula keluar dari pusat bandar dan bertumpu ke kawasan pinggir Lembah Klang. Sehubungan itu permintaan terhadap rumah akan meningkat,” hujah beliau.

Menabung


JIKA ingin memiliki rumah idaman, belilah pada hari ia dilancarkan kerana harganya pasti meningkat selepas itu.


Tambah Tong lagi, konsep bina dan jual yang suatu ketika dahulu hangat diperkatakan diramal dilaksanakan pada tahun 2015 dan ia pasti meningkatkan harga rumah.

“Jika konsep itu dilaksanakan, pihak pemaju akan mengehadkan jumlah rumah yang dibina dan ini mengakibatkan terjadi situasi permintaan melebihi penawaran,” jelasnya yang tidak menolak spekulasi turut memainkan peranan rumah dijual pada harga yang lebih tinggi daripada nilai sebenar.

Dalam situasi ini pasangan muda yang ingin memiliki sebuah rumah idaman pada masa hadapan disaran supaya menanam tabiat menabung sekurang-kurang 10 peratus daripada jumlah pendapatan isi rumah.

Mentor kewangan, Azizi Ali berkata, senario sekarang menunjukkan kebanyakan pasangan muda bersikap sebaliknya. Mereka membelanjakan kesemua wang pendapatan dengan harapan akan ada lebihan untuk dijadikan simpanan.

Katanya, apabila menabung dulu sebanyak 10 peratus, pasangan masih mempunyai 90 peratus daripada jumlah pendapatan manakala jumlah hutang tidak boleh melebihi 40 peratus pendapatan.

“Jumlah bayaran untuk kereta tidak patut melebihi 10 peratus atau maksimum 15 peratus,” katanya.
Jelasnya, trend pasangan muda sekarang adalah mereka lebih cenderung memiliki kereta mewah hingga membebankan hutang isi rumah.


KEMUDAHAN pengangkutan awam merupakan salah satu faktor harga hartanah meningkat.


“Kita tidak sepatutnya menjadi hamba kepada hutang sendiri dan terpaksa bekerja keras semata-mata untuk melunaskan hutang,” katanya.

Bagaimanapun, kenaikan harga rumah mungkin memberi kebaikan kepada pemilik kediaman sedia ada. 

Penjawat awam, Ariffin Ahmad, 30, memberitahu beliau membeli sebuah rumah teres dua tingkat pada penghujung tahun 2009 pada harga RM167,000.

“Tidak sampai setahun saya dan keluarga menetap di kawasan itu, harga rumah saya meningkat hampir sekali ganda menjadi RM288,000.

“Membeli rumah adalah satu pelaburan yang baik untuk jangka masa panjang tetapi saya lihat kini harga rumah yang ditawarkan semakin mahal menyebabkan ramai orang tidak mampu membelinya. Jika ada pun, pasti lokasinya di luar Kuala Lumpur,” katanya.

Petikan : www.kosmo.com.my

Saturday 24 March 2012

Dibakar dengan ketuhar batu-bata





REKA bentuk bangunan itu seakan-akan sebuah bangsal. Melihat keadaan binaan yang diperbuat daripada lapisan papan selain serpihan cat berwarna putih yang kelihatan sudah tertanggal membuatkannya kelihatan agak usang. 

Namun, bangunan yang disangkakan rumah itu sebenarnya ialah sebuah kilang memproses roti yang masih kekal seperti asalnya walaupun zaman telah berubah. Meninjau kilang yang dikatakan sudah berusia hampir 100 tahun itu, bermula dari pintu gerbang menghala ke ruang masuk utama hingga ke pintu belakang, jelas membayangkan pemiliknya, Mokhtar Amat Mohd. Taqi, 49, sarat dengan nilai-nilai sentimental. 

Begitupun, mungkin ramai orang luar tidak mengetahui cerita di sebalik kilang roti yang terkenal dalam kalangan penduduk setempat di kawasan Slim River, Perak itu.

Percaya atau tidak, kilang roti milik arwah bapa Mokhtar iaitu Mohd. Taqi Habib telah wujud hampir 100 tahun lalu berdasarkan maklumat asal usul kilang berkenaan daripada cerita orang tua di situ.

Kilang tersebut pada asalnya dikendalikan oleh seorang individu yang juga mengusahakan pembuatan roti sekitar tahun 1912. 

Bagaimanapun, kilang tersebut kemudian dibeli oleh pakcik Mokhtar, Abdul Kadir Habib pada tahun 1950-an yang ketika itu baru berhijrah dari Lucknow, Uttar Pradesh, India ke Malaysia.

Dia hanya dapat berniaga buat seketika kerana menemui ajal disebabkan sakit tua. Sebelum itu, arwah mewasiatkan bapa Mokhtar, Mohd. Taqi untuk menerajui perniagaan berkenaan untuk melangsaikan hutang-hutangnya.

Bermula dari detik itulah, empayar roti keluarga tersebut bermula sehingga hari ini yang diteruskan oleh generasi kedua iaitu Mokhtar sendiri.

Tiada nama khas

Menariknya, populariti roti yang diusahakan keluarga itu mampu bertahan lebih 60 tahun walaupun tidak mempunyai nama khas.

Sebaliknya, nama roti yang diusahakan Mokhtar diberikan sendiri oleh pelanggan-pelanggan tetapnya dengan gelaran seperti roti Babu, roti Tapah, roti Benggali dan roti sedap.

“Ketika itu, ayah hanya menjalankan perniagaan ini secara kecil-kecilan. 






“Macam-macam nama diberikan pembeli. Jika dilihat pada lesen perniagaan nama yang didaftarkan ialah roti Mokhtar, tetapi jarang sekali mendengar nama itu,” ujarnya ketika ditemui di kilangnya yang terletak di Jalan Masjid Lama, Slim River, Perak baru-baru ini.

Mengimbau kembali bibit-bibit pembabitannya dalam bidang itu, segala-galanya bermula selepas beliau tamat persekolahan.

Menurut anak kelima daripada enam adik-beradik itu, selepas tamat belajar dia menjadi guru sementara di salah sebuah sekolah swasta di Slim River.

Kerjaya itu tidak menghalang beliau membantu ayahnya. Setiap hujung minggu dia akan menunggang motosikal dan membawa roti-roti yang telah dibuat ayahnya untuk dijual ke kampung-kampung berdekatan.

Sekitar tahun 1985, beliau mula serius dengan perniagaan roti memandangkan mengalami masalah pembayaran cukai untuk mendapat lesen guru atau lebih dikenali sebagai lesen biru.

Disebabkan keadaan itu, Mokhtar membuat keputusan untuk membantu ayahnya sepenuh masa memandangkan dia satu-satunya anak yang menunjukkan minat untuk mempelajari selok-belok pembuatan roti.

Mokhtar mengakui pada permulaan dia agak sukar menyesuaikan diri terutamanya ketika waktu menjual roti kerana terpaksa berpanas di bawah terik matahari dan kadangkala meredah hujan. 

“Pada hari pertama keluar menjual, saya demam dan sakit tekak selama seminggu kerana tidak tahan dengan cuaca yang berubah-ubah, namun lama-kelamaan ia tidak lagi menjadi masalah utama.

“Pada masa yang sama, ayah juga mengajar cara-cara membuat roti seperti bahan-bahan yang digunakan selain proses pembakaran,” ujarnya sambil menyifatkan tiada sebarang resipi rahsia selain menggunakan pembakar roti yang telah berusia lebih 100 tahun itu.

ROTI yang siap dibakar akan dibungkuskan dalam plastik putih tanpa sebarang logo atau jenama.


Sudah 27 tahun Mokhtar menerajui perniagaan bapanya itu, namun hanya satu sahaja kaedah yang dikekalkan iaitu membakar roti menggunakan ketuhar tradisional batu-bata dengan bahan bakarnya ialah kayu serta tempurung.

Meskipun sudah berpuluh-puluh tahun berlalu, keadaan kilang tersebut tetap sama. Disebabkan mahu mengekalkan ciri-ciri keaslian kilang itu, Mokhtar jarang melakukan perubahan melainkan jika berlaku kerosakan. 

Bapa kepada tujuh anak tersebut mengakui ketuhar tersebut menyebabkan roti-roti yang dihasilkan menjadi lebih lembut dan sedap. 

“Bukan mahu mendabik dada. Saya sebenarnya tidak mengikuti sebarang kelas masakan cuma mengamalkan apa yang diajar oleh arwah bapa,”ujarnya.

Bagaimanapun, Mokhtar mengakui kerja-kerja membuat roti itu mengambil masa sekurang-kurangnya enam jam termasuk menguli, proses membuat doh dan membakar roti.

Anak jati Slim River itu memberitahu, kerja-kerja tersebut bukanlah satu tugas yang mudah memandangkan dia melakukan kesemua kerja-kerja berkenaan sendirian tanpa mengupah pekerja.

Menurutnya, dia tidak mengupah pekerja kerana tiada sesiapa yang berminat untuk mempelajari seni membuat roti itu. 

Keaslian roti

Tuntutan rezeki itu menyebabkan setiap hari beliau terpaksa bangun seawal 6 pagi untuk menyediakan bahan-bahan membuat roti berkenaan.

Menurutnya, selepas solat Subuh dia akan mula menyediakan adunan roti seperti tepung dan telur yang akan berakhir sekitar pukul 1 petang.

Dalam sehari, Mokhtar menghabiskan sebanyak satu guni tepung, 2 kilogram (kg) marjerin, 4kg gula dan 200 gram yis untuk menyediakan kira-kira 450 biji roti.

Roti-roti itu terdiri daripada roti kelapa, kacang, krim, bantal, bijan, paun dan roti keras. Kesemua inti itu dibuat sendiri kecuali inti kacang yang siap dibeli daripada pembekal.

SEBAHAGIAN roti kelapa dan kaya yang telah siap diuli.


Ketika ditanya mengenai harga, Mokhtar memberitahu, harga roti tersebut dijual pada harga 20 sen, 40 sen dan RM1.40 mengikut jenis. Berbicara lanjut mengenai perniagaan itu, Mokhtar bersyukur kerana keaslian rotinya membuatkan dia terkenal di pekan kecil itu.

Ia berikutan selepas menjual roti di kilang, dia akan membawa kesemua roti berkenaan ke sebuah kampung iaitu Slim Village. 

Beliau tidak perlu menggunakan hon motosikal untuk memaklumkan tentang kehadirannya di kampung itu sebaliknya, para pelanggan akan menunggunya di jalan-jalan utama setiap hari sebaik jam menunjukkan pukul 3.30 petang.

“Mereka akan menunggu saya kecuali jika hari tersebut hujan. Kalau hujan mereka tahu saya akan datang lambat sedikit,” jelasnya yang mampu meraih sekitar RM100 setiap hari.

Ternyata, aroma dan rasa roti yang sedap membuatkan pelanggan bukan sahaja menunggu di tepi jalan bahkan, berkunjung ke kilangnya untuk membeli roti panas yang baru keluar dari ketuhar.
Orang ramai yang berminat untuk membeli atau mempelajari ilmu membuat roti boleh menghubungi Mokhtar ditalian 016-5186200.

Friday 23 March 2012

Muamba mati selama 78 minit


MUAMBA diberi rawatan oleh pasukan perubatan selepas pemain itu rebah dan tidak sedarkan diri ketika perlawanan peringkat suku akhir Piala FA antara Bolton dan Tottenham di London Sabtu lalu.



LONDON – Jantung pemain kelab bola sepak Bolton, Fabrice Muamba berhenti berdegup selama 78 minit dan dia sepatutnya telah meninggal dunia, kata pasukan doktor kelab itu kelmarin.

Bagaimanapun, jantungnya berfungsi semula selepas alat defibrilator digunakan pada dadanya sebanyak 15 kali semasa dia dirawat di Hospital Dada London di sini.

Kejadian itu berlaku selepas dia rebah di atas padang ketika perlawanan suku akhir Piala FA antara Bolton dengan Tottenham pada Sabtu lalu kerana diserang sakit jantung.

Perlawanan di White Hart Lane itu kemudiannya terpaksa dihentikan akibat kejadian tersebut.

Menurut doktor kelab tersebut, Jonathan Tobin, anggota-anggota perubatan cuba untuk memulihkan Muamba selama 48 minit sebelum dia tiba di hospital.

Masa selama 30 minit lagi diperlukan untuk menghidupkan semula jantungnya di hospital berkenaan.

Selepas 15 kali kejutan listrik dengan alat defibrilator dilakukan, jantung pemain tersebut berdenyut semula.

Sebanyak 12 daripada 15 kejutan listrik itu dibuat di dalam ambulans.

“Mereka berusaha tanpa jantungnya berdegup. Selama 78 minit jantungnya tidak berdegup dan dia tidak bernafas.

“Dia telah mati ketika itu,” tambah Tobin.

Petikan : www.kosmo.com.my
              23/03/2012

Friday 16 March 2012

Berniaga jadi darah daging Alice



MEMBESAR dalam kehidupan yang serba kekurangan bersama 11 adik-beradik membuatkan Alice Yong, 61, menanam tekad untuk berubah. Dia mula berniaga secara kecil-kecilan sebagai usaha utama untuk membawa perubahan dalam kehidupan.

Menceritakan semula hidup keluarganya, anak kelahiran Sungai Siput, Perak itu memberitahu, kedua-dua ibu bapanya hanya bekerja menanam sayur di kawasan perumahan mereka. 

Kehidupan keluarga mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang kerana mereka bergantung kepada upah jualan tanaman sahaja. 

Hasil yang tidak seberapa tersebut akan digunakan untuk menampung keperluan seharian anak-beranak itu. Hakikatnya, pendapatan itu nyata tidak mencukupi untuk menyara keluarga sebesar itu.

Nekad mahu mengubah nasib keluarganya, pada tahun 1967 Alice telah berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bekerja di sebuah kilang. Sehinggalah pada suatu hari, Alice membuat keputusan berani untuk memulakan perniagaan sendiri.

Sekitar tahun 1976, Alice membuat pinjaman bank untuk memulakan bisnes beg tangan dan kasut di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur. 

Dia memberitahu, pada mulanya bisnes itu beroperasi di kaki lima sahaja memandangkan dia tidak mempunyai modal besar untuk mendapatkan sebuah premis niaga.

Begitupun, dengan bersusah payah menjalankan perniagaan harian seawal pukul 10 pagi hingga 7 malam kecuali pada hari Ahad, Alice tidak pernah berputus asa menanti kedatangan para pelanggannya.

Wanita yang tidak lekang dengan senyuman itu mengakui dia meletakkan sasaran untuk menjual sekurang-kurangnya tiga beg tangan pada setiap hari. Ketika itu, harga barangan yang dijualnya adalah bermula dari RM5 hingga RM60. Pada masa yang sama, Alice turut menjual kasut wanita.


ALICE (kanan) dan Alan menunjukkan koleksi beg tangan dan kasut di butik mereka.


Dengan harga berpatutan, perniagaan Alice semakin mendapat tempat dalam kalangan pelanggan yang bekerja di kawasan itu.

“Dalam sehari, saya boleh memperoleh RM300 sehingga RM500. Syukur dengan pulangan itu kerana modal tersebut dilaburkan semula untuk membesarkan perniagaan,” ujarnya.

Buka butik

Selepas mengumpulkan pulangan yang diperoleh selepas lima tahun, sekitar tahun 1981 Alice berjaya membuka sebuah butik kasut yang dinamakan Princess di Jalan TAR. 

Nama Princess dipilih kerana Alice mahu pelanggan wanitanya meletakkan diri mereka sebagai puteri yang anggun apabila menyarungkan jenama kasut tersebut.

Namun, Alice tidak mahu tertumpu kepada satu produk sahaja. Ibu kepada tiga orang anak lelaki itu memberitahu, dia mengambil inisiatif untuk mempelbagaikan produk dengan menjual kasut, cermin mata dan aksesori lain.

Atas kegigihannya menempuh cabaran berniaga selama ini, Alice hari ini mampu tersenyum dengan hasil usahanya. Butik Princess sudah beroperasi di sembilan buah cawangan di sekitar Lembah Klang termasuk Shah Alam. 

Begitupun, seiring dengan peningkatan usianya, Alice kini menyerahkan empayar bisnesnya itu kepada anak bongsunya, Alan Lok Yet Luan, 24. 

Alice percaya, biarpun Alan masih muda, anaknya itu mampu menerajui perniagaan itu dengan baik.

Ambil alih 

Sebaik menamatkan pengajian di Universiti Canterbury Christchurch, Kent, England, dalam jurusan Pemasaran dan Pengurusan Jualan Runcit pada tahun 2009, Alan pulang ke tanah air.

PRINCESS menampilkan pelbagai koleksi terbaharu selain menjual kasut yang bersaiz antara sembilan hingga 13.


Pada tahun yang sama, Alan terus membantu ibunya memandangkan beliau banyak menimba pengalaman di luar negara mengenai rekaan fesyen kasut yang terkini.

Tambahan pula, Alan tidak kekok membantu ibunya berniaga memandangkan ketika berumur lima tahun lagi dia sudah mula mempelajari selok-belok kerja di butik ibunya. 

Biarpun ketika itu tugasnya hanya membungkus kasut dan beg tangan yang dibeli pelanggan, banyak ilmu pengurusan yang diserap secara tidak langsung.

Alan yang memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Princess Shoe & Handbag Centre Sdn. Bhd. berazam mahu mengubah pandangan pelanggan yang berpendapat jenama tersebut hanya sesuai untuk wanita berusia.

Sambil menafikannya, Alan menegaskan bahawa seleksi kasut di Princess amat sesuai untuk wanita yang berumur antara 20 hingga 40 tahun ke atas. 

“Kami menampilkan koleksi terbaharu seperti kasut tumit tinggi, kasut ballet rata dan sandal bergaya. Kami juga menawarkan rekaan yang lebih berani seperti kasut bertali dengan rona metalik dan but bertumit setinggi lima inci.

“Selain itu, Princess masih mengekalkan signatur yang sama iaitu menjual kasut wanita yang bersaiz antara sembilan hingga 13. Rata-rata produk kami sesuai untuk digayakan ke pejabat, majlis formal dan bersantai,” ujarnya ketika ditemui di butik Princess di kompleks beli-belah Ampang Park. 

Dalam pada itu, tambah beliau, harga kasut yang dijual adalah dari serendah RM49.99 sehingga RM259.99, manakala harga beg dan aksesori seperti cermin mata pula dijual pada RM29.99 hingga RM300. 

Alan mengakui, untuk menarik perhatian golongan wanita muda, dia sanggup meluangkan masa bersama rakan-rakan wanita ketika mereka membeli-belah kasut dan beg.


ALAN berbincang sesuatu dengan ibunya mengenai corak dan rekaan kasut.


Melalui cara itu, dia dapat mengetahui cita rasa wanita dalam soal pemilihan kasut dan beg.
Bahkan, beliau juga mengikuti peredaran fesyen kasut menerusi laman-laman web dan majalah wanita. Maklumat yang diperoleh melalui sumber-sumber tersebut banyak membantu beliau untuk mempelbagaikan lagi produk Princess. 

Demi memajukan lagi perniagaan ibunya itu, Alan sanggup turun padang menemui pelanggan-pelanggannya.
Setiap kali mengadakan promosi, dia sendiri akan bersemuka dengan pelanggan seolah-olah menjadi pekerja di kedai itu.

“Sekurang-kurangnya dengan langkah itu, saya dapat mengetahui pendapat-pendapat pelanggan dengan jelas. Segala kritikan dan pujian akan dijadikan panduan untuk meningkatkan lagi mutu perniagaan,” ujarnya.
Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi talian 03-7785 4185 atau layari laman web www. princess .com.my, akaun Facebook di www.facebook.com/PrincessShoes atau blog www. princess-shoes.blogspot.com.

Petikan : www.kosmo.com.my

Hidup melarat pada usia emas



MEMILIKI empat cahaya mata yang sudah dewasa, wang simpanan yang mencukupi dan rumah sendiri, Lee Hua menyangka dia boleh menghabiskan sisa-sisa hidupnya dalam suasana yang selesa.

Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Wanita berusia 77 tahun itu kini terpaksa menyara hidup dengan mengutip barangan terbuang yang boleh dikitar semula untuk dijual.

Dengan nada suara yang perlahan dan tidak bermaya, Hua menceritakan bagaimana dia telah dipaksa keluar dari rumahnya dan kini tinggal di sebuah rumah usang yang disewa di Jinshan di luar ibu kota Taiwan. Malah, duit simpanan di dalam bank juga sudah tiada. Lebih memburukkan keadaan, dia turut terputus hubungan dengan tiga anak perempuan dan seorang anak lelakinya.

"Sudah terlalu banyak saya menangis sehingga penglihatan saya menjadi kabur. Sekarang, saya cuba untuk tidak memikirkan apa yang telah berlaku," katanya yang duduk di tengah-tengah timbunan kotak, botol-botol plastik dan tin-tin minuman yang dikutip di jalanan.

Hua yang memperoleh pendapatan bulanan sebanyak Tw$500 (RM51.60) hasil menjual sampah yang dikutip kepada perniagaan kitar semula, mewakili kumpulan baharu warga tua di Taiwan yang dipinggirkan anak sendiri lantaran generasi muda sudah hilang ketaatan kepada ibu bapa.

Hidup Hua mula tidak keruan selepas kematian suami sejak 13 tahun lalu apabila anak perempuan sulung dan menantunya ingin meminjam wang ketika itu untuk memulakan perniagaan mereka.

"Bagaimanapun, wang yang telah dipinjam itu langsung tidak dikembalikan dan mereka juga terus menghilangkan diri," imbau Hua tentang kisah silamnya sambil menahan air mata daripada gugur membasahi pipinya.

"Saya tidak sangka anak dan menantu sanggup menipu ibu sendiri sehingga semua wang yang saya miliki hilang begitu sahaja. Inilah takdir saya."

Sementara itu, anak keduanya yang juga seorang perempuan turut terputus hubungan dengan Hua apabila dimasukkan ke penjara selepas terjebak dengan penyalahgunaan dadah.

Seorang lagi anak perempuan Hua masih berhubung dengannya, tetapi dia tidak dapat membantu dalam aspek kewangan kerana pendapatan yang diperoleh juga tidak mencukupi.

Nilai kekeluargaan berubah


HUA merenung sayu akan nasib malang dirinya yang disisihkan anak-anak di hadapan pintu rumah usang yang diduduki seorang diri.


Berdasarkan statistik, hampir 2,800 warga tua di Taiwan telah memohon bantuan terhadap kes penderaan, diabaikan dan dibuang keluarga pada tahun 2010. Menurut data terbaharu kerajaan, jumlah itu meningkat berbanding hanya 2,100 pada tahun 2009.

"Bilangan sebenar mungkin lebih tinggi memandangkan ada juga warga tua yang malu untuk mengakui bahawa mereka mempunyai anak-anak yang tidak bertanggungjawab," jelas Ketua Yayasan Elders di Taiwan, Lee Hsiung.

Terang Hsiung, pekerja sosial jauh daripada kes terpencil dan perubahan nilai kekeluargaan menyebabkan kurangnya rasa tanggungjawab golongan dewasa terhadap ibu bapa mereka yang sudah tua.

Budaya tradisional Cina amat mementingkan ketaatan kepada ibu bapa. Malah, lelaki dewasa yang sudah berkahwin juga biasanya akan tinggal serumah dengan ibu bapa mereka supaya kebajikan orang tua terjamin.

"Membesarkan anak-anak bermakna keselamatan pada usia tua," ujar Hsiung memetik satu pepatah lama. Memiliki keluarga yang besar pula adalah satu perkara normal.

Namun demikian, hari ini struktur keluarga telah berubah. 

Pasangan yang berkahwin lebih suka memiliki sedikit anak dan ini menyebabkan kadar kelahiran di Taiwan menjadi antara yang paling rendah di dunia.

Ahli sosiologi pula mengatakan golongan dewasa tidak kira lelaki atau wanita sanggup memilih untuk hidup sendirian daripada berkahwin dan memiliki keluarga sekali gus meningkatkan rasa individulisme.

Daripada 23 juta populasi penduduk Taiwan, sebanyak 10.7 peratus mencecah usia 65 tahun ke atas, jauh melebihi paras tujuh peratus untuk kebanyakan negara yang ditakrifkan sebagai penuaan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menurut Biro Penyelidikan Penduduk, Washington Amerika Syarikat (AS), bilangan penduduk Taiwan yang berpopulasi 23 juta orang kini mengalami kadar kelahiran paling rendah di dunia. 


MESKIPUN sudah berusia lanjut, tetapi lelaki tua ini tetap menggagahkan tulang empat keratnya mengutip kotak-kotak untuk dijual.


Taiwan melaporkan, hanya 1.05 bayi dilahirkan oleh setiap wanita di Taiwan. Kadar itu berkurangan daripada 7.04 pada tahun 1951 dan 2.10 pada tahun 1984.

"Ia bukan hanya paras terendah pernah dicatatkan di Taiwan, tetapi juga paras terendah dalam sejarah. Tiada negara yang pernah memiliki paras serendah itu," kata Carl Haub, seorang ahli demografi daripada biro tersebut.

Kakitangan di Yayasan Elders, Wu Chiang-sheng memberitahu, dia telah mengendalikan banyak kes yang lebih serius berbanding apa yang dialami Hua. 

Antaranya kes seorang wanita berusia 90 tahun dengan tujuh orang anak yang kesemuanya enggan menjaga ibu mereka kerana sibuk dengan tuntutan kerja.

Undang-undang baharu

Lantaran itu, kerajaan sedang mempertimbangkan satu rang undang-undang untuk memenjarakan anak-anak yang gagal menjaga ibu bapa yang sudah tua. Keputusan itu juga dibuat berikutan kes membuang atau meminggirkan ibu bapa semakin meningkat.

"Tidak ketinggalan, terdapat juga kes-kes melibatkan anak-anak yang telah dewasa, tetapi tidak bekerja dan masih bergantung harap kepada kedua-dua orang tua untuk menyara hidup mereka.

"Walaupun usia telah mencecah 30 hingga 40 tahun, mereka tetap memilih untuk kekal menganggur dan tinggal bersama ibu bapa. Inilah yang disebut sebagai bentuk penderaan ekonomi kepada golongan tua," terang Chiang-sheng lebih lanjut.

Kadar pengangguran di Taiwan berada pada tahap 4.18 peratus pada Januari lalu.

Pertumbuhan ekonomi di pulau itu juga susut dengan ketara kepada 1.89 peratus pada suku keempat tahun 2011, kadar paling perlahan dalam tempoh lebih dua tahun.


SAMPAH menjadi sumber rezeki wanita tua ini untuk dijual kepada perniagaan kitar semula.


Sementara itu, Persekutuan Kebajikan Warga Tua Taiwan mula mempromosikan konsep keselamatan ekonomi warga tua seperti menggalakkan mereka menyimpan wang dalam unit amanah.

Presiden Taiwan, Ma Ying-jeou menganggap penjagaan warga tua merupakan cabaran besar bagi kerajaan yang merancang untuk menggubal undang-undang baharu penjagaan warga tua jangka panjang sekitar tahun 2017.

Tahun ini, kerajaan bersedia untuk memulakan percubaan sistem gadai janji saraan hari tua untuk individu yang tidak mempunyai anak.

Melalui sistem ini, mereka boleh menggadai rumah atau hartanah yang ada kepada pihak bank untuk mendapatkan elaun bulanan, tetapi pada masa yang sama mereka masih menetap di rumah tersebut.
Pengumpul sampah warga emas, Hua bagaimanapun masih bersikap skeptikal terhadap sejauh mana bantuan yang akan disalurkan kerajaan.

"Kerajaan tidak boleh melakukan banyak dalam hal ini terutamanya sejak pertumbuhan ekonomi semakin teruk. Saya cuma berharap agar satu hari nanti, anak lelaki saya akan mendapat pekerjaan yang baik supaya dia boleh menjaga saya sehingga kematian menjemput," sayu suara Hua melahirkan harapan yang pada hakikatnya belum pasti sama ada tertunai atau tidak.

Petikan : rencana utama
              www.kosmo.com.my
              16/03/2012

Tuesday 13 March 2012

21 Immortals realiti polis


SELEPAS kejayaan 21 Immortals, Rozlan berhasrat untuk terus menghasilkan karya tentang perjalanan kehidupan Inspektor Mislan secara konsisten sehingga akhir hayatnya.


EMPAT tahun lalu, Rozlan Mohd. Noor merasakan sudah sampai masanya untuk dia melakukan sesuatu bagi menterjemahkan keghairahannya dalam bidang penulisan.

Jika sebelum ini dia hanya menulis cereka jenayah untuk bacaan rakan-rakannya, namun dek permintaan anak bongsunya, lelaki 58 tahun ini bersedia untuk menulis dengan lebih serius. 

“Idea menulis novel datang daripada anak bongsu saya, Daniel yang kini berumur sembilan tahun. 

“Beberapa tahun lalu, ketika saya sedang menulis cerita, dia datang kepada saya. Dia bertanya, bolehkah dia membawa cerita saya ke sekolah untuk diberikan kepada gurunya. Saya menjawab, tidak boleh. Cerita ini untuk rakan-rakan ayah sahaja. 

“Daniel bertanya lagi, kenapa cerita ini die-mel kepada rakan-rakan ayah sahaja? Kenapa tidak dibuat buku? Katanya lagi, jika cerita ini dibukukan, ia mudah dibaca di mana-mana. 

“Dia juga mahu namanya ada di dalam buku. Bertitik-tolak daripada permintaan itu, saya ambil keputusan untuk menulis novel. 

“Selepas berbulan-bulan membuat kajian dan menyiapkan manuskrip, maka terhasillah novel jenayah saya yang pertama, 21 Immortals pada September 2010,” cerita Rozlan.

Naskhah pertama itu memberi impak yang bukan sedikit. Bakat menulisnya yang selama ini hanya dikongsi bersama rakan-rakan telah menarik minat peminat novel Inggeris antarabangsa.
Buktinya, Februari tahun lalu, Rozlan menjadi wakil tunggal dari Asia Tenggara yang disenarai pendek bersama lima lagi penulis lain dari Australia dan New Zealand untuk pencalonan Hadiah Penulis Komanwel anjuran Yayasan Komanwel.
Enam terbaik
Biarpun tidak berjaya, bapa kepada tiga anak ini tetap optimis. 

“Ketika dimaklumkan 21 Immortals terpilih sebagai enam karya terbaik, perasaan saya bercampur-baur.

“Ia adalah gabungan bermacam-macam perasaan yang tidak pernah saya alami. 

“Apabila diberitahu oleh penerbit, saya terkedu, gembira dan menjadi sangat teruja apabila 21 Immortals diberi penghargaan dan pengiktirafan sebegitu,” katanya yang pada mulanya menjangkakan novel tersebut hanya dibaca oleh segelintir rakannya.

Selain itu, tahun ini, novel yang diterbitkan oleh Silverfish Books ini turut disenaraikan sebagai 149 karya Inggeris terbaik seluruh dunia yang dicalonkan untuk menerima Anugerah Sastera Dublin yang keputusannya akan diketahui pertengahan tahun ini.

“Meletakkan karya sulung saya sebaris dengan penulis hebat di dunia adalah penghargaan yang sangat tinggi nilainya. Ia mencetus semangat saya untuk lebih giat berkarya,” katanya.

Dijual pada harga RM35, 21 Immortals membawa pembaca menyelami kegigihan Inspektor Mislan, seorang pegawai polis yang bersikap jujur, rajin dan telus dalam tugasnya. 

Bagaimanapun, sikapnya itu membuatkan rakan sekerja, pihak atasan jabatan hinggalah ahli politik tidak senang duduk. Malah dia sering menjadi mangsa politik dalaman di jabatannya. 

“Novel ini adalah realiti kerjaya polis di negara ini. Ada polis baik, yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mencari kebenaran dan ada juga polis yang minta disogok untuk menutup kes,” terang Rozlan yang turut menyelitkan adegan pembunuhan, penipuan serta penggodaman data dalam novel ini. 

“Kes yang ditonjolkan hanyalah rekaan tetapi setiap teknik siasatan yang digunakan untuk menyelesaikan kes itu adalah benar,” kata Rozlan yang pernah berkhidmat selama 11 tahun sebagai pegawai polis di bahagian siasatan dan pendakwaan.
Untuk menghasilkan novel yang realistik, dia mengambil masa di antara enam hingga lapan bulan untuk menjalankan kaji selidik dalam pelbagai jenis lapangan berkaitan jenayah seperti perubatan dan sains forensik.

“Menulis lebih mudah daripada buat kaji selidik. Asalkan saya sudah mendapat tajuk sesuai untuk sesuatu bab dan mood menulis ada, saya akan terus menulis tanpa perlu merangka.
 
Teh tarik

“Apa yang terlintas dalam kepala, itulah yang akan ditaip,” ujarnya. 

Memilih bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara, Rozlan mengakui agak sukar untuknya menghasilkan novel berbahasa Melayu.

“Saya pernah mencuba tetapi bukan mudah untuk menulis dalam bahasa Melayu. 

“Terlalu banyak perkataan pinjam dalam bahasa Melayu hinggakan kermurniaan bahasa itu semakin hilang,” katanya yang juga penterjemah bertauliah di Institut Terjemahan Negara.

Walaupun ada suara yang mengkritik, Rozlan ada pendirian tersendiri. 

“Bertutur bahasa Inggeris tidak akan mengurangkan kemelayuan atau semangat nasionalisme saya,” tegasnya. 

Buktinya, banyak perkataan Melayu berserta glosari dimuatkan dalam novel-novelnya seperti tuan, teh tarik, rendang, Assalamualaikum, Hari Raya Aidilfitri dan nasi lemak.

“Jika ada orang luar yang membacanya, mereka akan faham tentang budaya kehidupan kita di sini. Malah, banyak respons daripada pembaca asing yang memberitahu mereka teringat semula pengalaman bercuti di negara ini selepas membaca novel saya,” katanya.