Doktor bukan Tuhan
|
TAN SRI DR. ROBAAYAH ZAMBAHARI tidak asing lagi dalam bidang rawatan
jantung di negara ini. Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif,
Institut Jantung Negara (IJN) itu merupakan salah seorang daripada
kelompok terawal yang mempelopori penubuhan hospital jantung terkenal
itu.
"Dahulu pesakit jantung tidak seramai sekarang. Kini ia menjadi
pembunuh No. 1 di banyak negara maju, begitu juga Malaysia," imbas pakar
kardiologi berusia 60 tahun itu.
Robaayah menganggap bahagian paling sukar dalam kerjayanya bukan di
bilik pembedahan sebaliknya semasa proses perundingan bersama keluarga
pesakit.
"Kes melibatkan jantung sentiasa berisiko dengan nyawa menjadi
pertaruhan lebih-lebih lagi jika berlaku situasi cemas semasa pesakit
dibedah.
"Walaupun saya telah mengendalikan pelbagai kes kritikal melibatkan
jantung dan paru-paru, saat perundingan dengan keluarga pesakit adalah
yang paling mencabar," beritahu beliau.
Tambah Robaayah, adalah menjadi tanggungjawab seorang pakar untuk
menerangkan kepada keluarga pesakit mengenai risiko rawatan yang mungkin
dihadapi.
"Mereka yang datang kepada kami membawa harapan yang sangat tinggi.
"Mereka berharap pesakit yang berjumpa kami akan sembuh, tetapi ada
juga kes ahli keluarga yang tidak dapat mengawal perasaan apabila
sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada pesakit.
Gagal
"Pada peringkat itu, ada sebilangan ahli keluarga yang pada mulanya
bersedia menerima apa sahaja kemungkinan, berubah sikap selepas satu
pembedahan yang gagal," ujar beliau sambil memberitahu, satu atau dua
peratus pesakit meninggal dunia semasa pembedahan.
Robaayah berkata, doktor bukan Tuhan.
"Pakar kardiologi dan pembedahan jantung hanya melakukan apa yang
terdaya untuk menyelamatkan nyawa pesakit tetapi mereka tidak boleh
memberi jaminan pembedahan itu akan berjaya 100 peratus," ujarnya.
Robaayah berkata, kadangkala pesakit mengalami komplikasi lain
seperti strok yang bebannya terpaksa ditanggung oleh keluarga mereka
seumur hidup.
Beliau menegaskan, pesakit serangan jantung yang teruk mesti
dikejarkan ke hospital untuk mendapat rawatan secepat mungkin kerana
jika terlambat ia akan menjejaskan organ lain.
Bagaimanapun, perkembangan teknologi perubatan jantung agak menakjubkan.
Beliau berkata, pesakit yang memiliki jantung yang terlalu lemah kini
boleh menukarnya dengan jantung baharu dengan selamat asalkan ada
penderma jantung. Kemudahan teknologi turut membolehkan masalah jantung
dikesan dengan lebih pantas.
Setakat ini, lebih 18 orang telah menjalani pembedahan pemindahan
jantung di IJN sejak tahun 1997 manakala tiga pemindahan paru-paru
dilakukan sejak tahun 2005.
Antara kes yang mendapat perhatian rakyat Malaysia ialah pelajar
sekolah dari Batu Pahat, Johor, Tee Hui Yee, 19, yang kini menjalani
kehidupan normal selepas menerima jantung sebenar pada tahun 2006.
Sebelum itu, Hui Yee memakai jantung mekanikal yang hanya boleh bertahan
selama dua tahun.
Tersumbat
"Kami berjaya melakukan pembedahan pemindahan jantung pertama ke atas pesakit R. Sathrugnan pada tahun 1997.
"Manakala Muhammad Fikri Nor Azmi ialah rakyat negara ini yang
pertama menerima jantung mekanikal sebelum menjalani pembedahan
pemindahan jantung sebenar pada tahun 2005.
"Kini dia sihat dan menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam tempatan," katanya.
Awal bulan ini, Robaayah memandang serius kesihatan jantung wanita di
negara ini kerana satu perempat populasi wanita berusia 56 tahun dan ke
atas berisiko diserang penyakit berkaitan kardiovaskular berbanding
kanser.
|
|
Di samping itu, wanita yang suka merokok turut berisiko tinggi berdepan sakit jantung.
Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun tahap kesedaran terhadap
penyakit jantung adalah tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia, beliau
mengakui penyakit koronari jantung adalah yang paling membimbangkan. Ia
berupaya menyebabkan kematian jika tidak dirawat.
"Biasanya penyakit jenis itu dikaitkan dengan saluran darah tersumbat
pada jantung akibat merokok, kegemukan, kurang bersenam, mengambil
makanan tidak sihat dan berkolesterol tinggi, darah tinggi dan diabetes.
"Stres turut menjadi punca jantung tersumbat. Di negara lebih maju,
mereka berjaya mengurangkan kesan penyakit jantung dengan menggunakan
teknologi perubatan terkini.
"Kita juga memiliki kepakaran dan teknologi yang bagus, malangnya
pada masa yang sama kes koronari jantung semakin merisaukan," katanya
yang pakar melakukan drug elluting stent (DES) bagi merawat penyakit berkaitan saluran darah jantung tersumbat.
Menurut Robaayah, rawatan DES dilakukan menggunakan stent yang
berupa tiub jaringan kecil seakan-akan spring dengan diameter antara
2.25 hingga 4 milimeter. Tiub itu dimasukkan ke dalam arteri jantung
yang sempit untuk kembali melancarkan peredaran darah.
Nasihat Robaayah, bagi mengelak masalah ini jauhi makanan
berkolesterol tinggi seperti susu penuh krim, minyak sapi dan makanan
segera.
"Amalkan senaman setiap hari. Makan makanan seimbang dan berkhasiat adalah langkah terbaik menjaga jantung," katanya.
Sejarah IJN bermula sebagai Bahagian Kardiologi di Jabatan Perubatan
Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada tahun 1977. Pada tahun 1982, ia
beroperasi sebagai Klinik Kardiologi dan Klinik Pembedahan Jantung HKL.
Pada tahun 1992 barulah IJN ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan
dan memiliki bangunan sendiri di ibu negara. Selama 18 tahun
penubuhannya, IJN telah merawat lebih dua juta pesakit tempatan dan
antarabangsa.
Statistik IJN menunjukkan sejumlah 3,183 kes pembedahan pintasan
jantung (koronari) dilakukan di institut itu antara tahun 2009 hingga
2011. Ini diikuti pembedahan injap jantung melibatkan 1,330 kes manakala
2,556 kes pembedahan jantung berlubang.
Dalam tempoh yang sama sebanyak 7,785 pesakit mendapatkan rawatan
saluran darah jantung tersumbat, masalah denyutan jantung (2,383) dan
jantung berlubang (296).
Petikan Rencana Utama
www.kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment