Saturday 25 February 2012

Rendang maman terlazat di dunia



JIKA ada yang bertanya, apakah masakan yang sinonim dengan Negeri Sembilan, pasti ramai yang terbayangkan kuah lemak berwarna kekuningan yang kaya dengan ramuan santan dan cili api.

Baik menggunakan ikan sungai salai, udang galah, ayam kampung mahupun daging yang disalai, masak lemak cili api ini sudah menjadi hidangan wajib bagi penduduk di negeri itu sejak beratus tahun dahulu. 

Namun, selain masak lemak cili api, negeri yang terkenal dengan budaya Minang itu turut popular dengan masakan tradisionalnya iaitu rendang daging lembu.

Lebih menarik, rendang Minang itu turut disenaraikan sebagai 50 hidangan terlazat di dunia oleh CNN International menerusi pencarian daftar makanan World's 50 Most Delicious Foods pada tahun 2011.

Kekayaan gastronomi yang diwarisi sejak turun-temurun di Negeri Sembilan turut dipelbagaikan, kebanyakannya melalui perkahwinan dan perpindahan. 

Di pekan Gemencheh yang terletak di daerah Tampin, misalnya, ia sangat popular dengan masakan rendang maman.

Orang Johol 

"Orang sini memang suko bonar rondang maman. Laie-laei bilo nak rayo. 

"Kalau tak do maman, tak rayolah Monceh," seloroh Meriam Pilus, 63, dalam loghat Negeri Sembilan. 

Menurut anak jati Gemencheh itu, keakraban masyarakat tempatan dengan rendang maman memang tidak boleh dipertikaikan. 

Katanya, masakan tersebut bukan sahaja diminati oleh orang Melayu malah orang Cina dan India. Juadah wajib ada semasa perayaan Aidilfitri itu turut menjadi hidangan pilihan keluarga semasa sambutan Tahun Baru Cina dan Deepavali. 

"Jangan pelik kalau masyarakat Cina dan India di sini pun sudah pandai masak rendang maman," katanya yang berasal dari Kampung Geduk, satu-satunya kampung di Gemencheh yang mengusahakan tanaman sayuran maman secara komersial.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Geduk, Fahim Mahmod, 49, sayur maman telah dijumpai lebih 100 tahun dahulu di kawasan Gemencheh seperti di Kampung Geduk, Sungai Dua, Kampung Seri Asahan, Gemencheh Lama, Kampung Sungai Jernih, Bukit Rokan dan Felda Bukit Rokan.

"Menurut cerita lisan daripada generasi terdahulu, rendang maman pernah mendamaikan perselisihan antara orang Johol dan orang Gemencheh di Negeri Sembilan.

"Menurut ceritanya, sekitar akhir 1800-an dan awal 1900-an, orang Johol dan Gemencheh berbalah kerana suku dan berebut lombong emas di Gemencheh.

"Orang Gemencheh sepakat mahu kenakan orang Johol yang datang bertandang. 

"Ketika mahu masak rendang maman, mereka masukkan cili api dan santan dalam jumlah yang banyak supaya orang Johol yang makan kepedasan dan serik untuk datang membuat kacau di Gemencheh. 

"Namun, apa diharapkan tidak menjadi. Orang Johol sebaliknya menggemari rendang maman malah ingin kembali ke Gemencheh untuk menikmati rendang maman," kata Fahim yang turut menjadi pengusaha maman di kampung. 


MASYARAKAT Gemencheh sangat menggemari rendang maman.


Ladang seluas 1.6 hektar tersebut mampu menghasilkan kira-kira hampir 200 kilogram (kg) maman setahun dengan pendapatan RM8,000 sebulan.

"Menjelang musim cuti sekolah dan perayaan, saya tidak menang tangan hendak penuhi permintaan pelanggan. 

"Kalau lagi dua-tiga hari hendak raya, macam pesta orang datang membeli sayur maman. Malah, sampai ada yang bergaduh berebutkan sayur maman di pasar tani," katanya yang menjual antara 300 hingga 400kg maman di pasar tani setiap hujung minggu.

RM18 sekilo

Menurutnya lagi, pada hari biasa, sayuran berbunga itu dijual pada harga RM6 sekilogram namun menjelang musim perayaan, ada yang mengambil kesempatan menjual sehingga RM18 sekilogram. 

Maman atau nama saintifiknya Cleome Gynandra merupakan sayuran yang boleh tumbuh dan dituai sepanjang tahun. 

Hanya mengambil masa selama 25 hari sebelum boleh dituai, penjagaan pokoknya yang berbatang lembut juga tidak cerewet. 

"Kita hanya perlu pastikan ia mendapat air yang secukupnya. Selain itu, ia juga perlu dibaja dan diracun secara berkala. 

"Sesekali dalam seminggu, rumput dan pokok bayam pasir yang sama-sama berebutkan khasiat baja tahi ayam perlu dicabut bagi memastikan maman mempunyai peluang untuk membesar dengan sempurna," kata seorang pekerja ladang maman, Hanipah Meon, 27. 

Dia yang berasal dari Surabaya, Indonesia mengenali maman ketika bekerja di ladang tersebut dan kini sudah pandai memasak rendang maman seperti orang tempatan.

Tidak hanya dinikmati ketika musim perayaan, rendang maman turut menjadi juadah pilihan dalam majlis kenduri-kendara dan menu seharian masyarakat Gemencheh. 

Hidangan tradisi itu juga sering menjadi menu harian apatah lagi jika ada anak-anak yang balik bercuti ke kampung.

Dalam kunjungan ke Kampung Geduk baru-baru ini, Jurnal berkesempatan untuk melihat proses penyediaan rendang maman Gemencheh.

Dimasak secara berkampung, kemeriahan suasana di perkarangan Masjid Kampung Geduk memang dapat dirasai sebaik kaki melangkah turun dari kenderaan. 

Kehadiran kami disambut aroma harum daging lembu segar yang disalai di atas bara sabut, membangkitkan lagi keterujaan untuk menikmati masakan tradisi itu.

Pahit

"Jangan kata raya, hari biasa pun kami masak rendang maman lebih-lebih lagi kalau ada anak menantu yang balik ke kampung. 

"Sehari sebelum itu, mesti mereka akan telefon dan minta kami masak rendang maman dengan daging salai," kata ibu kepada enam anak, Che Som Mohd. Yusuf, 66.

Selain Che Som, terdapat lebih kurang 10 orang penduduk yang sama-sama bergotong-royong untuk memasak rendang maman.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Gemencheh, Datuk Mohd. Kamil Abd. Aziz dan isteri.
"Kalau ada orang kenamaan datang ke Negeri Sembilan atau ke Tampin, rendang maman Gemencheh wajib dijamu. 


RENDANG maman dimasak menggunakan bahan-bahan yang ringkas. Hanya santan, cili api, kunyit hidup, asam keping dan garam diperlukan.


"Malah, kalau sudah pekena rendang maman sesuap, ada lauk lain yang tidak terusik," kata Kamil.

Antara orang kenamaan yang meminati masakan itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor. 

"Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Allahyarham Tun Endon Mahmood juga cukup meminati rendang maman.

"Malah, ada penduduk kampung ini sering diminta memasak rendang maman untuk dibawa ke Putrajaya," kata Kamil lagi.

Tidak lokek berkongsi resipi, menurut Che Som, kunci untuk mendapatkan rendang maman yang sedap adalah cara penyediaannya yang masih mengekalkan cara lama selain menggunakan bahan-bahan utama secukupnya.

"Bahan untuk memasak rendang maman cuma santan, kunyit hidup, cili api, asam keping dan garam secukup rasa. 

"Daging yang telah disalai dimasukkan ke dalam kuali bersama cili dan kunyit yang ditumbuk halus.
"Selepas bahan-bahan tadi mesra, masukkan santan yang telah diperah. Santan jangan terlalu cair dan terlalu pekat. 

"Biasanya untuk sekilo maman, dua hingga tiga biji kelapa diperlukan," kata Che Som sambil membetulkan kedudukan kayu api. 

Memandangkan sayur maman ini pahit, asam keping perlu digunakan untuk menghilangkan rasa pahit tersebut. 

"Untuk sekilogram maman, lebih kurang enam hingga tujuh keping asam diperlukan," ujar Meriam sambil mengacau santan. 

Selepas santan menggelegak dan mula mengering, barulah sayur maman dimasukkan. 

Ia kemudian dimasak sehingga santan kering. Di tahap ini, ada syarat penting yang perlu dipatuhi, maman jangan dikacau selalu, jika tidak sekawah rendang akan pahit! 

petikan www.kosmo.com.my
 

Friday 24 February 2012

Sumbangan yang dilupakan



SEBAIK bersara sebagai jururawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada tahun 1993, hampir setiap hari Chan Yoon Mooi akan berulang-alik dari rumahnya yang terletak di Jalan Loke Yew ke Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur untuk meluangkan masa di premis Persatuan Keturunan Chan atau juga dikenali sebagai Chan She Shu Yuen Clan Association.

Di premis itu, dia akan bersosial dengan semua ahli keluarga Chan selain melakukan kerja-kerja kemasyarakatan seperti mengemas dan mencuci rumah tersebut.

Ujar warga emas yang berusia 74 tahun itu, walaupun dia seorang wanita, secara teknikalnya dia adalah sebahagian daripada ahli keluarga Chan.

Dalam amalan sosial masyarakat Cina, wanita yang telah berkahwin akan menjadi sebahagian daripada keluarga sebelah suaminya manakala Yoon Mooi pula masih bujang sehingga kini.

Cuma, wanita itu sudah jarang ke situ kerana mengalami sakit-sakit lutut selepas terlibat dalam kemalangan sedikit masa lalu.

Hubungan antara Yoon Mooi dengan bangunan yang mempunyai dekorasi tradisional Cina itu bukan sekadar terletak pada nama keluarga tetapi datuknya, Chan Sow Lin merupakan salah seorang pengasas bersama Chan She Shu Yuen Clan Association.

"Saya tidak pernah berjumpa dengannya, tetapi menurut ibu saya (Chung Yoke San), dia memiliki personaliti yang sangat baik," ujar anak kedua daripada lima adik-beradik itu.

Tambahnya, Sow Lin sangat gemar melakukan kerja-kerja kebajikan. Peribadinya pula sering mementingkan kejujuran dalam kerja dan kehidupan.

Sumbangan Sow Lin terhadap persatuan Chan sangat besar. Sampuk Tan Gee Boon, 63, sebagai pemimpin kaum Cina pada masa itu, Sow Lin telah menyumbang sebanyak tujuh buah lot kedai sebagai tapak bangunan.

"Waktu itu sebuah lot kedai berharga AS$500 dolar bersamaan dengan RM3 juta nilai duit sekarang," terang setiausaha persatuan Chan, Dr. BN Tan, 54.

Seperti juga Yoon Mooi, Gee Boon yang merupakan salah seorang ahli seumur hidup persatuan Chan sering bertandang ke Chan She Shu Yuen.

Generasi ketiga

Disebabkan sumbangannya itu, seluruh ahli keluarga Chan dapat disatukan di bawah satu bumbung sehingga kini. Cerita Yoon Mooi lagi, Chan Sow Lin memiliki empat orang anak lelaki dan tiga orang anak perempuan.

Bagaimanapun, kesemuanya telah meninggal dunia. Yoon Mooi pula anak kepada Chan Yew Cheong manakala tiga lagi anak Sow Lin bernama Yew Meng, Yew Hong dan Yew Kong.

Semua adik-beradik Yoon Mui telah meninggal dunia, cuma tinggal adik perempuannya sahaja yang sudah berkahwin.

Tambah Yoon Mooi, Sow Lin mempunyai sekitar 80 orang cucu. Rata-rata yang masih hidup adalah generasi ketiga sepertinya dan generasi selepasnya.

Dilahirkan pada tahun 1845, Sow Lin berhijrah dari Tanah Besar China pada usia 16 tahun dengan matlamat untuk terlibat dalam bidang perlombongan bijih timah di Pulau Pinang. Namun, ada pendapat mengatakan dia sebenarnya berasal dari Taiping, Perak.

Selepas bertahun-tahun membanting tulang empat kerat, dia berjaya mengumpulkan wang dan telah membuat keputusan berhijrah ke Kuala Lumpur bagi memulakan perniagaan perlombongan di situ.
Keputusannya sangat tepat apabila dia berjaya menjadi seorang ahli perniagaan yang kaya pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Selain dokumen-dokumen di Arkib Negara yang mencatat urus niaga yang dilakukan oleh Sow Lin, banyak juga kertas kerja yang merekodkan aktiviti amal beliau.

Sikap dermawan ahli perniagaan itu terserlah apabila menjadi salah seorang ahli lembaga pemegang amanah Sekolah Confucius Cina pada tahun 1910 yang ketika itu terletak di Kampung Attap. Seorang lagi dermawan Cina yang terlibat ialah Loke Chow Kit.


DUDUK, paling kanan: Chan Sow Lin, San Peng, Loke Yew dan Yap Kwan Seng bergambar pada tahun 1901 sempena kedatangan Raja George V di Singapura.


Bilangan pelajar di sekolah yang memberi peluang kepada kanak-kanak berketurunan Cina tempatan mendapat pendidikan bagi mengekalkan hubungan perdagangan dengan China itu meningkat saban tahun.
Premis yang sedia ada sudah tidak dapat menampung pelajar yang semakin ramai. Sow Lin dan Loke Chow Kit masing-masing menyumbang sebanyak RM62,170 dan RM31,230 untuk premis baharu di Jalan Pudu, Kuala Lumpur.

Industri perlombongan 

Dia juga tidak lokek dalam bidang perubatan apabila turut menyumbang kepada Hospital Tung Shin yang terletak di Jalan Pudu sekarang.

Kapitan Cina Kuala Lumpur terakhir, Yap Kwan Seng meninggal dunia pada tahun 1902 dan serta-merta jawatan tersebut dimansuhkan.

Berikutan peristiwa itu, Residen Selangor, Sir Frank Swettenham telah melantik Sow Lin sebagai wakil masyarakat Cina dalam Majlis Negeri Selangor. Kuala Lumpur pada masa itu merupakan sebahagian daripada negeri Selangor.

"Dia juga mendirikan pejabat pos untuk kegunaan orang ramai. Ketika itu tidak ada e-mel seperti sekarang," terang Dr. Tan mengenai kepentingan Sow Lin membawa sistem perhubungan kepada masyarakat.
Dalam bidang perindustrian pula, tokoh itu mendapat gelaran bapa besi di Tanah Melayu kerana sumbangannya dalam memajukan industri perlombongan.

Sebagai seorang yang berpengalaman dan terlibat secara langsung dalam industri tersebut, dia merupakan individu pertama yang membawa teknologi kapal korek dari Eropah ke Selangor.

Sebelum itu, aktiviti perlombongan menggunakan kaedah tradisional seperti mendulang dan pam kerikil.
Kemudian, melalui syarikatnya, Chan Sow Lin & Co. Ltd., dia memulakan perniagaan dalam industri besi tuang pada tahun 1913.

"Dia membawa kemajuan dalam industri berat di Selangor. Ia disifatkan seperti membawa kemajuan ke Malaya pada waktu itu," ujar Dr. Tan lagi.

Tambah Dr. Tan, atas usaha dan sumbangan pada pembangunan Selangor, nama Chan Sow Lin diabadikan di sebuah kawasan industri di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Jalan Chan Sow Lin masih lagi wujud sehingga sekarang dan di persekitaran jalan itu banyak menempatkan premis kilang industri berat.

"Tetapi, syarikat Chan Sow Lin tidak pernah ada di situ," katanya kepada Kosmo!. Kata Dr. Tan, atas sumbangan Sow Lin kepada komuniti Cina dan negara amnya, beliau telah dianugerahkan pingat Jaksa Pendamai daripada pejabat Residen Selangor pada tahun 1918.

Sow Lin meninggal dunia pada umur 82 tahun dan memorialnya berada di tanah perkuburan Kwang Tong yang terletak di Jalan Kerayong, Kuala Lumpur.

Peminat sejarah komuniti Cina Malaysia, C.F Lim, 37, berkata, dengan melihat saiz kuburnya sahaja sudah boleh diramal bahawa tokoh masyarakat Cina itu sangat kaya pada waktu kematiannya.

Berbanding saiz kubur lama di sekelilingnya, kubur Sow Lin sangat besar dengan lokasinya terletak di lereng tanah berbukit dan menghadap sebatang anak sungai.

Kedudukannya agak tersorok dan dikelilingi pokok-pokok yang tinggi.


DARI kiri: Geek Boon, Yoon Mooi dan Dr. Tan berbual mengenai sumbangan Sow Lin terhadap penubuhan bangunan Persatuan Keluarga Chan di Kuala Lumpur.


Pada batu nisannya terpampang imej Sow Lin yang berpakaian kostum tradisional pegawai istana Maharaja China.

Imej tradisi Cina

"Pakaian tersebut hanya boleh dianugerahkan oleh Maharaja China. Setiap corak dan rekaan pada baju tersebut melambangkan pangkat serta status pemiliknya," kata C.F Lim yang ditemani isterinya, Apple Chan, 36.

Amat sukar untuk menentukan pangkat Sow Lin kerana gambar yang terdapat pada batu nisan itu tidak jelas dan berwarna hitam putih.

Bagaimanapun, tokoh sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim pula berpendapat, imej itu hanya menggambarkan dia seorang yang memegang kuat tradisi Cina.

Malah, ujar Dr. Khoo, Sow Lin pernah mempunyai tocang mengikut gaya masyarakat Cina di Tanah Besar sehinggalah Maharaja Qing menukar gaya rambut, orang Cina di Tanah Melayu turut memotong tocang mereka.

Itu adalah perkara biasa pada waktu itu apabila gaya hidup penduduk China diikuti oleh komuniti Cina di Malaya.

Reka bentuk batu nisan Sow Lin agak ringkas dan menjadi tradisi orang Cina, pada batu nisan ditulis sejarah ringkas sepanjang hayat si mati.

Dengan bantuan Apple menterjemah karakter Cina pada permukaan batu nisan tersebut tertera tempat asal, bilangan anak lelaki dan tahun kematian Sow Lin.

Dr. Tan dan Yoon Mui mengakui bahawa amat sukar untuk menggambarkan tahap kekayaan yang dimiliki oleh Sow Lin kerana mendiang meninggal dunia berpuluh tahun lalu. Tambah Yoon Mui, generasinya yang masih ada tidak pernah bertemu dengan tokoh yang banyak menabur bakti itu.

Petikan : www.kosmo.com.my
 

Friday 10 February 2012

Beza suka, minat dan cinta


CINTA didefinisikan dengan pelbagai cara oleh ahli psikologi.


MUTAKHIR ini, kita berasa sedikit sangsi apakah yang menyebabkan anak-anak gadis terpesona dan jatuh cinta dengan lelaki asing dari Afrika? Lebih malang, mereka ini kemudian menjadi hamba seks atau keldai dadah. Ada pula yang ditahan di negara asing dan meringkuk di dalam penjara.

Sebelum kehadiran warga Afrika ini, kita disajikan dengan berita anak-anak gadis yang terperangkap dengan cinta lelaki dari tanah seberang sehingga sanggup meninggalkan keluarga sendiri.

Benarlah, cinta itu memerlukan pengorbanan. Sayangnya, ada antara anak-anak gadis yang hidup melarat selepas melarikan diri ke negara asal pemuda yang mereka cintai. Bahkan, ada yang terputus hubungan dengan keluarga sendiri bertahun-tahun lamanya.

Mengapa hanya kerana cinta, segelintir anak gadis kita sanggup berkorban seteruk itu? Kalau dikatakan cinta itu sesuatu yang indah, mengapa perlu berakhir dengan derita?

Persoalan yang patut ditanya oleh anak-anak gadis kita apabila sudah jatuh hati dengan seseorang ialah bertanya kepada diri sendiri sama ada perasaan itu sekadar suka, minat atau ia sememangnya cinta.

Walaupun cinta telah didefinisikan dengan pelbagai cara oleh ahli psikologi, secara umumnya, cinta didefinisikan sebagai an endurancing sentiment toward a person producing a desire to be with that person and a concern for the happiness and satisfactions of that person (The Penguin Dictionary of Psychology). 

Seseorang yang bercinta mempunyai perasaan yang sangat kuat terhadap pasangannya dan ingin berkongsi segala-galanya dengan orang tersebut. Bahkan, bercita-cita untuk sehidup semati dengan orang yang dicintai.

Suka pula hanya sekadar perasaan senang dengan seseorang yang mungkin menarik atau mempunyai personaliti yang kebiasaannya mempunyai banyak persamaan dengan kita. Bagaimanapun, suka tidak membawa seseorang itu sanggup berkorban apa sahaja dengan orang yang disukainya.

Kebanyakan mereka yang menjadi sahabat terdiri daripada orang yang kita suka. Bagaimanapun, ini tidak bermakna mereka sanggup berkorban apa sahaja demi sahabatnya. Ada juga hal-hal yang tidak dikongsi dengan sahabat, misalnya hal yang dianggap terlalu peribadi.

Bukan idola

Bagaimana pula yang dikatakan minat? Walaupun minat agak mirip dengan suka, tetapi ia sesuatu yang berbeza. Seseorang perlu menyukai sesuatu dahulu, kemudian barulah minat itu timbul. Ada hal-hal yang hanya sekadar disukai sahaja, tetapi tidak pula bermakna kita akan meminatinya. Kita boleh suka kepada seseorang, tetapi mereka mungkin bukan idola yang kita minati. 

Idola sukan atau artis, misalnya, ialah mereka yang diminati walaupun tidak semestinya kita perlu menyintai mereka. David Beckham atau Michael Jackson, misalnya, diminati oleh peminat dari seluruh dunia. Mereka juga mungkin hanya sekadar disukai, tetapi tidak diminati. Bagaimanapun, orang yang membencinya tidak akan menyukainya, jauh lagi untuk meminatinya. Apatah pula berangan-angan untuk sehidup semati dengan idola kesayangan mereka itu.

Itulah yang membezakan antara cinta, suka dan minat. Dalam situasi kini, segelintir anak gadis kita begitu sangat terpesona dengan pemuda asing yang adakalanya tidak begitu diketahui asal usulnya, sama ada mereka ini benar-benar benar-benar jatuh cinta atau sekadar suka. 

Ia boleh jadi kerana perwatakan lelaki asing ini menarik atau mereka dijanjikan dengan kemewahan yang tidak masuk akal. Ada pula yang mungkin terperangkap dengan janji-janji manis yang dinukilkan menerusi pelbagai medium laman sosial.

Sebab itulah, anak-anak gadis kita seharusnya lebih berhati-hati apabila menjalinkan hubungan dengan warga asing yang tidak diketahui latar belakangnya. Apatah lagi, apabila hubungan itu hanya terjalin melalui komunikasi talian yang menyebabkan peluang untuk diperdayakan adalah lebih tinggi. Walaupun bukan semua lelaki pendatang ini tidak boleh dipercayai, namun beberapa kejadian pemerdagangan manusia sejak akhir-akhir ini memaksa kita membuka mata.

Bertanyalah kepada diri sendiri, adakah kita sememangnya sedang dilamun cinta atau hanya sekadar suka. Mereka ini juga mungkin hanya sekadar seseorang yang diminati, tetapi tidak lebih lebih daripada itu. Jangan kerana silap membuat perhitungan, akhirnya musibah buruk yang menimpa diri.

Ada satu cerita benar yang patut diketahui oleh anak-anak gadis betapa cinta itu hanyalah sekadar fatamorgana. Kalaupun ia dikatakan indah, tetapi ia tidak selalunya betul. Bahkan, kisah ini juga boleh dijadikan panduan untuk mereka yang berkahwin.

Korban

Tahun 1971. Seorang suami yang sangat menyintai isterinya telah menuliskan sekeping nota cinta, lalu memasukkannya ke dalam botol. Ia dicampakkan ke Lautan Pasifik. Sepuluh tahun kemudian botol itu ditemui di pantai Guam. Terjemahan nota itu berbunyi begini.

Tatkala surat ini sampai kepadamu, aku mungkin sudah tua dan beruban. Bagaimanapun, ketahuilah bahawa cintaku masih tetap segar seperti hari ini. Ia mungkin mengambil masa seminggu atau beberapa tahun untuk surat ini sampai kepadamu. Jika surat ini tidak pernah sampai kepadamu, percayalah yang ia tetap tertulis di hatiku yang aku sangat menyintai dirimu. Suamimu, Bob.

Wanita yang tercatat namanya dalam nota itu akhirnya berjaya dihubungi oleh seseorang menerusi telefon. 

Nota itu dibacakan kepadanya.

Apakah reaksi wanita tadi?

Dengan marah, wanita itu akhirnya berkata: "Kami sudah bercerai." Dia lalu menghempaskan telefonnya. 

Begitulah tragisnya cerita sebuah hubungan. Tidak semua cinta berakhir dengan kebahagiaan.

Jadi mengapa harus ada antara kita yang menjadi korban?

petikan :
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0203&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_02.htm

Didik anak-anak tidak berkemampuan

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
RUMAH Amal Bistari di Rawang dikendali dengan sumber kewangan Lauzaei dan Siti Aishah sendiri selain sumbangan beberapa individu.


ATAS dorongan kuat mahu membantu anak-anak kecil yang memerlukan perlindungan, Lauzaei Md. Akhir, 42, dan isterinya Siti Aishah Ghazali, 42, tekad menubuhkan sebuah rumah amal bagi memberi sinar harapan kepada penghuninya. 

Rumah amal itu mula beroperasi sejak Januari 2010 bertempat di Bandar Country Homes, Rawang, Selangor.

Lauzaei yang juga seorang ustaz menyewa sebuah rumah berkembar bagi dijadikan tempat berlindung untuk anak-anak tersebut di atas nama Rumah Amal Budi Bistari. 

Objektif utama penubuhan rumah amal itu bertujuan membantu golongan yang memerlukan bantuan. Ia juga dijadikan sebuah pusat pengajian fardu ain bagi anak-anak sekolah rendah, remaja dan masyarakat setempat.

Ia juga merupakan sebuah platform untuk menjalinkan hubungan antara golongan berkemampuan dan mereka yang kurang bernasib baik.

Rumah Amal Budi Bistari menempatkan seramai 40 orang anak-anak kecil yang berumur lingkungan lima hingga enam belas tahun. Selain menyediakan asrama, rumah amal itu juga bertanggungjawab memberi segala kelengkapan daripada keperluan asas sehinggalah ke aspek pembelajaran anak-anak tersebut. 

Dengan adanya sistem pembelajaran yang teratur, ia dapat membantu anak-anak tersebut mempersiapkan diri bagi menghadapi kehidupan yang penuh mencabar.

Menerapkan nilai-nilai Islam, Rumah Amal Budi Bistari mengasuh dan mendidik anak-anak tersebut agar mereka kenal, yakin dan menerima ketentuan Allah mengikut kehendak-Nya.

"Kami di Rumah Amal Budi Bistari menekankan asas-asas fardu ain sebagai pedoman hidup. Pendidikan insan dan rohaniah dijadikan sebagai pendidikan utama yang sangat ditekankan kepada anak-anak yang menghuni di sini," kata Lauzaei yang juga Pengerusi Rumah Amal Budi Bistari.


PENGHUNI Rumah Amal Budi Bistari dididik dengan ilmu duniawi dan agama sebagai bekalan pada masa depan.


Anak-anak rumah itu didisiplinkan dengan sembahyang berjemaah setiap waktu, mengaji al-Quran, bertahlil dan qiyamullail supaya timbul rasa cinta, sayang dan takut kepada Yang Maha Esa agar mereka memiliki jiwa besar untuk mengharungi masa depan.

"Mereka sentiasa mendapat bimbingan untuk memahami pelajaran yang dipelajari di sekolah. Mereka dibantu dalam menyelesaikan kerja-kerja sekolah oleh guru-guru sukarela yang berpengalaman terutama pada hujung minggu dan waktu cuti persekolahan," katanya.

Perlukan pengangkutan

Selain aktiviti pengajian dan pembelajaran, anak-anak di rumah amal itu juga didedahkan dengan pelbagai aktiviti dan kemahiran yang bersesuaian dengan peringkat umur mereka. Ia memboleh mereka tahu hidup berdikari setelah mereka keluar dari rumah amal tersebut kelak. 

Aktiviti-aktiviti dan pendedahan sebegini dapat menyuburkan minda dan fizikal anak-anak, ia sangat membantu dalam pembinaan jiwa dan sahsiah anak-anak. 

Buat masa sekarang, Rumah Amal Budi Bistari hanya mengharapkan sumbangan individu dan usaha pengasasnya sendiri untuk pelbagai kerja menampung kos daripada keperluan asas makanan, bayaran sewa rumah dan kemudahan-kemudahan lain.

Setiap hari, anak-anak di rumah amal itu berjalan kaki ke sekolah. Daripada 40 orang, hanya sebahagian sahaja dapat mengikuti Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di sekolah atas sebab masalah pengangkutan. 

Bagi anak-anak yang tidak dapat menghadiri kelas KAFA di sekolah, mereka akan diajar tentang asas fardu ain di rumah amal.

"Saya berharap, dapatlah kiranya pihak individu dan syarikat korporat sama-sama menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada anak-anak kecil ini di rumah amal ini terutama barang-barang keperluan asas seperti makanan dan pakaian.

"Bagi syarikat-syarikat korporat yang bermurah hati kami amat berharap dapat memberi sumbangan berupa pengangkutan untuk kemudahan anak-anak ke sekolah dan melakukan aktiviti-aktiviti luar," ujarnya.

Petikan www.kosmo.com.my.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0204&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm

Keluarga miskin terpaksa berlapar



RAHMATUNISA (dua dari kiri) memberi susu kepada anak bongsunya sambil diperhatikan Muhammad Nor (dua dari kanan) dan dua anak mereka di George Town semalam.


GEORGE TOWN - Kesempitan hidup menyebabkan sebuah keluarga yang tinggal di flat Sungai Pinang dekat sini kerap berlapar kerana kehabisan bekalan makanan.

Berikutan itu, Muhammad Nor Abdullah, 33, dan isterinya, Rahmatunisa Jeelani, 33, serta empat anak mereka yang berusia di antara dua hingga 15 tahun terpaksa mengharapkan sumbangan daripada jiran-jiran.

Malah, keluarga itu hanya menunggu masa untuk diusir keluar akibat tidak mampu membayar sewa rumah yang tertunggak sejak enam bulan lalu.

Rahmatunisa yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah bank di sini juga sedih apabila anak sulungnya, Muhammad Saiful Rahman, 15, terpaksa berhenti sekolah baru-baru ini disebabkan kekangan kewangan.

"Dengan pendapatan hanya RM500 sebulan, saya terpaksa menanggung semua perbelanjaan rumah kerana suami hanya mengambil upah menjaga gerai buah dengan gaji RM10 sehari," katanya di sini semalam.

Petikan www.kosmo.com.my
11/01/2012

Ratu Elizabeth II enam dekad atas takhta



SAAT menerima berita kemangkatan ayahandanya, Elizabeth sedang melawat sebuah kawasan terpencil di Kenya dan berumur 25 tahun. Tanpa berlengah, beliau terbang ke London dan ketibaannya di lapangan terbang disambut oleh Perdana Menteri Britain ketika itu, Winston Churchill.

Tarikh 6 Februari 1953 menjadi sejarah penting dalam hidup Elizabeth apabila secara rasmi, beliau menjadi monarki utama Britain dengan membawa gelaran Ratu Elizabeth II.

Permulaan pemerintahan wanita yang bernama Elizabeth Alexandra Mary itu agak sukar kerana pada usia yang muda, beliau perlu menstabilkan kembali keadaan negara itu yang terjejas akibat persengketaan yang dicetuskan Nazi berlarutan selama enam tahun.

Sedikit demi sedikit, kelibat Ratu Elizabeth kian jelas dalam masyarakat negara itu, bahkan beliau turut menjadi ikon dan simbol seluruh penduduk dunia apabila melibatkan hal-hal diraja.

Hari ini, selepas enam dekad pemerintahan beliau, ratu yang berusia 85 tahun itu masih teguh berdiri di atas takhtanya. Tempoh itu juga menandakan seluruh rakyat jelata United Kingdom dan 15 buah negara lain menyambut ulang tahun Jubli Intan.

Kedua paling lama

"Saya berterima kasih kepada rakyat jelata di atas sokongan dan dorongan yang mengagumkan selama saya memerintah.

"Pada tahun yang istimewa ini, saya akan pastikan khidmat untuk semua rakyat akan berterusan. Saya juga berharap, kita semua dapat mengenang kembali kekuatan muafakat dan kepentingan menjaga hubungan baik sesama keluarga, persahabatan serta jiran tetangga.


RATU Elizabeth seorang yang sentiasa mendampingi rakyat.


"Kesemua nilai-nilai murni ini banyak membentuk rakyat yang prihatin, berkualiti dan saya bangga dengan anda semua," ujar Elizabeth menerusi perutusan yang ditujukan kepada rakyat yang dikeluarkan oleh Istana Buckingham baru-baru ini.

Ulang tahun itu secara automatik menjadikan Ratu Elizabeth sebagai pemerintah kedua terlama menerajui sistem monarki Britain selepas Ratu Victoria yang memerintah selama 63 tahun. Ratu Victoria merupakan moyang kepada Ratu Elizabeth. 

Secara kasarnya, Ratu Elizabeth yang merupakan ibu kepada empat orang anak dan nenda kepada lapan orang cucu itu memerintah sambil menyaksikan pertukaran presiden Amerika Syarikat (AS) sebanyak 11 kali. Ratu Elizabeth dilahirkan pada pukul 2.40 pagi pada 21 April 1926 di Bruton Street, Mayfair, London. Beliau merupakan anak pertama Duke dan Duchess of York, yang kemudiannya bergelar Raja George VI dan Ratu Elizabeth.

Beliau diberi nama Elizabeth Alexandra Mary sempena nama bondanya, sementara kedua-dua nama tengahnya merupakan nama moyangnya, Ratu Alexandra dan nenda sebelah bapanya, Ratu Mary.
Pada tahun 1930, beliau menerima kelahiran seorang adik perempuan yang diberi nama Puteri Margaret Rose. Mengikut giliran pemerintahan, Ratu Elizabeth berada pada kedudukan yang ketiga di belakang Putera Edward dan ayahandanya.

Ketika Putera Edward menaiki takhta dengan gelaran Raja Edward VIII, kehidupan Ratu Elizabeth sekeluarga masih berada dalam keadaan terkawal dan sunyi tanpa tumpuan masyarakat.

Namun, selepas Raja Edward VIII membuat keputusan untuk turun takhta dalam tempoh tidak mencecah angka setahun pemerintahan, ayahnya pula menaiki takhta dengan membawa gelaran Raja George VI.


GAMBAR ini diambil pada 8 September 1960. Ratu Elizabeth II dan Putera Philip duduk di Balmoral bersama anak-anak mereka iaitu Puteri Anne (kiri), Putera Charles (kanan) dan paling kecil, Putera Andrew (tengah).


Sejak itu, hidup Elizabeth sering dipenuhi dengan majlis-majlis diraja yang menuntut kehadiran ibu bapanya selaku monarki terpenting Britain.

Elizabeth sebagai nenda

Jika golongan marhaen hanya mampu melihat ratu itu daripada jauh, dua cucu lelakinya yang cukup popular dalam kalangan penduduk dunia, Putera William, 27, dan Putera Harry, 29, pula bercerita tentang bagaimana karakter sebenar Ratu Elizabeth.

Ketika ditemu bual oleh British Broadcasting Corporation (BBC) pada bulan Disember lalu, seluruh kerabat diraja Britain berada dalam keadaan gusar kerana Putera Philip perlu menjalani pembedahan kecemasan akibat arteri koronarinya tersumbat selepas mengadu sakit dada.

"Mungkin pada pandangan orang ramai, datuk saya hanya seorang individu berkecuali dan hanya mahu melakukan halnya sendiri.

"Tetapi sebenarnya, datuk merupakan insan penting di belakang keutuhan nenda. Tanpa datuk, nenda tidak akan berada di mana dia berdiri sekarang.

"Nenda mungkin nampak seperti wanita yang amat berdikari tetapi secara jujurnya, dia amat bergantung kepada datuk dan perkara itu telah terjadi lebih enam dekad," demikian pendedahan yang dibuat oleh Putera Harry, yang risau kondisi datuknya ketika itu akan menjejaskan kestabilan Ratu Elizabeth sebagai Ratu Britain.

Namun, itu tidak sewajarnya dijadikan tafsiran negatif kerana sebenarnya, kedua-dua putera mendiang Puteri Diana itu amat menyayangi dan menghormati Ratu Elizabeth sebagai nenda dan pemerintah negara.
Putera William yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan bersama Kate Middleton pula memberitahu, beliau sering mendapatkan nasihat daripada nendanya terutama tentang hal-hal peribadi.

Sebagai seorang putera raja, William sering menjadi sasaran media antarabangsa yang sentiasa dahagakan cerita-cerita peribadi berkaitan dirinya. Situasi itu menjadikan William tidak selesa dan beliau melihat Ratu Elizabeth sebagai pembimbing terbaik bagi mengatasi masalah itu.

"Baginda (Elizabeth) tidak kisah tentang kehidupan popular kerana dia sangat mementingkan privasi.
"Ia amat sukar bagi meletakkan garisan di antara kehidupan peribadi dan kehidupan sebagai figura awam. Tetapi dia berjaya melepasi fasa sukar itu dan saya harapkan saya dapat menjadi sepertinya," ujar William.
Ratu Britain itu tidak akan lengkap tanpa beg tangan klasik Launer yang menjadi signaturnya sejak sekian lama. Disebabkan itu, timbul persoalan apakah sebenarnya yang dibawa Ratu Elizabeth di dalam beg tangan itu?

Rahsia beg tangan

Perkara itu menjadi teka-teki rakyat England dan telah dibukukan oleh penulis Phil Dampier menerusi bukunya bertajuk, What's In The Queen's Handbag And Other Royal Secrets.

Akhirnya rahsia kandungan beg tangan Ratu Elizabeth terbongkar selepas didedahkan oleh seorang penulis biografi diraja. Beliau mendakwa barangan di dalam beg tangan Ratu Elizabeth adalah sama seperti kebanyakan wanita lain.

GAMBAR ini diambil pada 2 Jun 1953 ketika Elizabeth diisytiharkan sebagai Ratu Elizabeth 11 di Buckingham Palace, London. Di sisi beliau ialah suaminya, Putera Philip.


Penulis buku Elizabeth The Queen: The Woman Behind The Throne, Sally Bedell Smith mendakwa antara barangan yang di dalam beg tangan Ratu Elizabeth ialah cermin mata untuk membaca, lozeng pudina, pen dakwat, cermin kecil dan lipstik.

Telegraph melaporkan, kenyataan yang ditulis Bedell Smith itu diterima daripada seorang pembantu peribadi diraja dan mereka mendakwa pernah mencuri-curi untuk melihat kandungan yang terdapat di dalam beg tangan ratu itu.

Satu barangan tambahan yang mengejutkan berada dalam beg tangan Ratu Elizabeth ialah cangkuk serbaguna (portable hook) yang didakwa dibawa ke mana-mana bagi memudahkan beliau menggantungkan beg tangan beliau di bawah meja ketika beliau duduk.

"Saya nampak dia membuka beg tangannya dan mengeluarkan sebuah bekas seakan-akan cangkuk. 

Dia kemudiannya meletakkan cangkuk itu di bawah meja dan menyangkut beg tangannya di situ," jelas seorang tetamu yang pernah berkunjung di kediaman sepupu Ratu Elizabeth, Jean Wills di Berkshire.

Dikhabarkan, beliau juga jarang membawa wang tunai melainkan sekeping duit bernilai lima atau 10 pound (RM24-RM48) yang dibawa pada setiap hari Ahad untuk didermakan kepada gereja.

Petikan www.kosmo.com.my
11/01/2012


Bukan sebarang Mata


Juan Mata
Juan Mata 
 
JUAN Mata mungkin menjadi pegawai pemasaran, biarpun ketika ini menguruskan kerjayanya menjadi impian setiap pegawai pemasaran.

Mata mempunyai minat mendalam dalam bidang pemasaran, dia mempunyai seorang bapa saudara dalam bidang berkenaan dan mengikuti pengajian dalam dua ijazah di sebuah universiti di Madrid selain menyarung jersi Chelsea.

Hakikatnya, dia bukan pemain bernilai  23.5 juta (RM112.4 juta) yang biasa anda lihat melakukan sepakan voli untuk membolosi gawang Manchester United, Ahad lalu.

Bagaimana anda melihat kecergasan fizikalnya, begitulah juga dengan kecerdasan mindanya. Dia membaca mengenai kehidupan pengasas Apple, Steve Jobs dan mengisi masa lapangnya dengan mengembara di kawasan perkampungan Sepanyol atau kepulauan Greece.


Dia mengambil masa kurang setahun untuk fasih dalam bahasa Inggeris sejak meninggalkan Valencia dan menjadikan kehidupannya di London satu kembara pembelajaran, menghantar gambar mercu tanda kegemarannya di London menerusi laman sosial miliknya yang disuntingnya sendiri.

“Bagi saya, perpindahan ini adalah perubahan penting dalam kehidupan saya sebagai seorang manusia juga sebagai pemain bola sepak,” kata Mata yang tinggal berhampiran Chelsea bersama rakan sepasukan, Oriol Romeu.

“Ia satu peluang untuk mengenali banda raya, budaya dan bahasa lain. Saya cuba mengenali setiap pelusuk London untuk memperbaiki bahasa Inggeris saya dan menikmati bola sepak. Pada hari cuti, saya pergi ke tempat berbeza di banda raya ini.

“Jika anda tidak mahu dikenali, anda boleh pergi ke Soho atau Camden, tiada masalah. Terdapat ramai orang Sepa-nyol di sana. Jika anda pergi ke Piccadilly atau Oxford Circus anda akan mendengar ramai orang berbahasa Sepanyol tetapi saya juga tidak dikenali di sana.

“Saya sukakan Hyde Park dan Regent’s Park di mana anda boleh mengambil gambar yang cantik serta menikmati makanan yang sedap di King’s Road.

Mata, 23, mengakui dia seorang yang berjiwa merdeka dan sukakan kebebasan.

“Ketika kecil, saya suka pergi ke perkampungan kecil di Burgos dan kami meraikan pesta Sepanyol pada musim panas.

“Ada kugiran dan warga tua menari sepanjang malam berpakaian seperti Red Indian dan sebagainya.

“Saya mengembara sepanjang tahun menerusi perlawanan bola sepak tetapi suasananya tidak sama. Saya bersama dua rakan ketika ini, kami mengembara bersama pada musim panas ke Sepanyol dan seluruh Eropah.

“Kami membawa beg galas dan pergi ke mana saja. Sebelum ini kami mengembara ke kepulauan Greece.

“Sewaktu remaja, saya dan beberapa rakan menang satu pertandingan radio untuk pergi ke Jerman, Switzerland, Austria dan Liechtenstein. Saya ingin pergi ke Asia, ke Thailand dan Jepun.

Saya sukakan pantai juga. Saya ingin habiskan masa seminggu di pantai pada musim panas.”

Mata bukan saja bijak, bersopan santun serta mempunyai semangat ingin belajar tetapi kini berusaha mendapatkan dua ijazah, satu dalam bidang pemasaran, satu lagi dalam sains sukan di Universidad Camilo Jose Cela, Madrid.

“Bukan sesuatu yang mudah melakukannya dari Valencia dan kini saya di London dan saya berhubung dengan tutor saya menerusi e-mel,” kata Mata.

“Saya mempunyai seorang bapa saudara yang berkerja sebagai pegawai pemasaran di bank dan saya mahu terbabit dalam bidang promosi dan pemasaran sukan,” katanya.

Petikan : www.hmetro.com.my 11/01/2012

Bekas jutawan LBJ tak mampu bayar bil api, air

SEREMBAN: Tidak mampu membayar bil air dan elektrik yang mencecah lebih RM500 sebulan selain cukai tanah melebihi RM1,000 antara faktor segelintir penduduk Kampung Lyndon Ben Johnson (LBJ), Labu di sini, meninggalkan deretan banglo tiga tingkat di kampung itu yang kini menjadi kenangan kekayaan pernah dimiliki bekas peneroka terbabit.
Tinjauan mendapati hampir 10 rumah dibiarkan terbengkalai manakala 20 yang separuh siap terbiar dengan dengan semak samun.

Bekas Ketua Umno cawangan Labu Jaya, Norman Mohd Nor, 66, berkata, dia sedih melihat keadaan itu kerana 504 bekas peneroka kampung terbabit dikenalinya.
“Keadaan itu berlaku kerana kebanyakan mereka ‘rambang mata’ apabila mendapat bayaran antara RM1.3 hingga RM1.8 juta, bergantung kepada keluasan tanah.

“Lebih menyedihkan, ada antara penduduk kini bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk menampung hidup dan ada yang bergelap dalam rumah mewah itu kerana tidak mampu membayar bil elektrik,” katanya.

Menurut Norman, ketika mendapat ‘durian runtuh’ pada 1997, penduduk Kampung LBJ bagaikan menerima limpahan emas berikutan pembinaan Litar F1 Sepang terletak hanya lima kilometer dari situ dan pusat pentadbiran negara, Putrajaya kira-kira 32 kilometer menyebabkan tanah peneroka menjadi rebutan.

Katanya, faktor lokasi menyebabkan kawasan itu amat berdaya maju untuk projek komersial seperti industri atau perumahan.

“Kami menjual tanah tetapi akhirnya ada yang menjadi ‘jutawan fakir’ dalam masa beberapa tahun kerana boros membelanjakan wang pampasan, termasuk ada yang melabur dalam skim cepat kaya,” katanya.
Menurutnya, ketika menerima wang jualan tanah, suasana ketika itu meriah kerana banyak pameran kereta dan hartanah diadakan di Dewan Orang Ramai, tidak termasuk risalah yang dihantar dari rumah ke rumah,” katanya.

Petikan : www.hmetro.com.my/11012012

Friday 3 February 2012

Nafas baru Kazakhstan





TIDAK ramai mengetahui negara yang baru merdeka dua dekad lalu telah mencapai status sebagai antara negara yang termaju di dunia hari ini. 

Republik Kazakhstan kini adalah antara kuasa ekonomi dunia selain pengeluar sumber tenaga utama yang mempunyai sumber asli seperti minyak, gas dan uranium. 

Kazakhstan terletak di Asia Tengah. Ia jauh terperosok ke dalam benua Eurasia dengan jumlah penduduk seramai 16.6 juta. Ibu negaranya sebelum ini ialah Almaty, sebelum berpindah ke Astana pada tahun 1998.
Ia adalah sebuah negara daratan. Kazakhstan tidak mempunyai pesisiran pantai laut yang terbesar di dunia dengan keluasan lebih 2.7 juta kilometer persegi. 

Hampir 44 peratus daripada muka bumi Kazakhstan adalah padang pasir manakala selebihnya padang rumput sebanyak 26 peratus, kawasan kontang separa padang pasir (14 peratus) dan hutan (5.5 peratus). 

"Terdapat 8,500 sungai besar di Kazakhstan. Sungai yang terpanjang ialah Ural dan Emba yang mengalir masuk ke Laut Caspian dan Syr Darya yang memasuki Laut Aral. Laut-laut ini sebenarnya adalah tasik kerana ia dikelilingi daratan. Terdapat 48,000 tasik di Kazakhstan. Antara yang terbesar ialah Aral, Balkash, Zaizan, Alakol dan Tengkiz. Kawasan terbesar utara dan bahagian tengah pesisiran Laut Caspian (tasik terbesar di dunia) adalah kepunyaan Kazakhstan," kata Duta Kazakhstan ke Malaysia, Beibut B. Atamkulov ketika ditemui di Kedutaan Kazakhstan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kazakhstan mempunyai simpanan sumber asli yang besar termasuk minyak, gas dan uranium yang menjadi bahan asas untuk tenaga nuklear. 

"Kami mempunyai banyak simpanan minyak dan gas di bahagian barat dan republik ini adalah antara pengeluar minyak terbesar dunia," kata Atamkulov.

Simpanan minyak 

Negara itu mempunyai simpanan minyak kesembilan terbesar di dunia dan yang ke-19 dari segi pengeluaran. Begitu juga dengan kromium. 

"Kami juga mempunyai simpanan uranium terbesar di dunia selain adalah ketiga terbesar dari segi pengeluarannya. Kami juga antara 10 negara utama dalam simpanan zink, plumbum, perak, besi dan emas. 

"Sumber-sumber asli ini membantu negara kami secara ekonomi seperti dalam perlombongan dan perusahaan keluli, juga dalam industri kimia, petrokimia, jentera, pembinaan dan farmaseutikal," jelas beliau. 

Selain simpanan mineral, Kazakhstan juga mempunyai industri ternakan berikutan padang ragut yang luas.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kazakhstan adalah AS$146.5 bilion (RM445 bilion) pada tahun 2010 dan KDNK per kapitanya sebanyak AS$9,009 (RM27,387) pada tahun yang sama. 

Kazakhstan juga menerima AS$18 bilion (RM60 bilion) dalam Pelaburan Terus Asing (FDI) pada tahun 2010 dan AS$9.9 bilion (RM30 bilion) sehingga suku kedua tahun lepas. 

Menurut Atamkulov, dari tahun 1993 hingga 2010, Belanda adalah negara yang mempunyai FDI terbanyak di Kazakhstan dengan jumlah 23 peratus diikuti Amerika Syarikat (16 peratus) United Kingdom (lapan peratus) Perancis (enam peratus), Itali (empat peratus) dan Austria (dua peratus). 

Rusia adalah rakan niaga Kazakhstan terbesar dengan 18 peratus diikuti China (16 peratus), Itali (12 peratus), Perancis (6 peratus), Belanda (5 peratus), Jerman (4 peratus) dan Austria (3 peratus). 

Menyentuh mengenai perniagaan dengan Malaysia, Atamkulov berkata, Kazakhstan mempunyai objektif untuk menggandakannya kepada RM500 bilion daripada RM300 bilion pada tahun lalu.

"Getah, perabot, makanan laut dan produk tropika adalah antara barangan yang memberangsangkan. Kami optimis dengan perhubungan perniagaan yang akan wujud dengan beberapa syarikat Malaysia. 

"Kini, terdapat 60 syarikat Malaysia beroperasi di Kazakhstan," terang beliau. 

Difahamkan, syarikat dari Malaysia melibatkan diri dalam beberapa bidang di Kazakhstan. Antaranya operasi Petronas dalam industri minyak dan gas, penglibatan Genting Group dalam pembinaan loji tenaga dan penubuhan bank Islam oleh institusi perbankan Malaysia. 

Tahun lalu, syarikat Malaysia, Melewar Integrated Engineering Sdn. Bhd. telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Kazmy Steel Company bagi membina kilang keluli di Almaty. 

Atamkulov berkata, Kazakhstan bersedia bekerjasama dalam usaha membina loji nuklear bagi membekalkan tenaga elektrik. "Malaysia seperti Kazakhstan mempunyai simpanan minyak dan gas tetapi pada masa hadapan, simpanan ini akan berkurangan. Kita terpaksa mencari alternatif lain bagi sumber penjanaan tenaga. Tenaga nuklear adalah satu daripada alternatif ini," terang beliau. 

Dua hala 

Pada 10 Oktober 2007, angkasawan Malaysia, Dr. Sheikh Muzaphar Shukor ke angkasa lepas menuju Stesen Angkasa Antarabangsa dari Pusat Angkasalepas Baikanor di Kazakhstan.

"Pelancaran ini menjadi satu titik tolak signifikan dalam industri angkasa Malaysia. Kami mahu bekerjasama dengan Malaysia agar ia dapat mengorak langkah selanjutnya dalam industri angkasa lepas," kata beliau. 

Menurut Atamkulov, ia penting bagi mengukuhkan kerjasama dua hala antara Kazakhstan dan Malaysia untuk kebaikan bersama kedua-dua negara. "Penduduk dua negara ini mempunyai banyak persamaan, jadi kita perlu gunakan landasan bersama yang ada bagi menggembeling tenaga untuk memajukan kedua-dua buah negara," katanya. - Bernama

Petikan www.kosmo.com.my 03/02/2012

Sirleaf ibu revolusi Liberia





WANITA ini pernah dipenjarakan pada tahun 1985 oleh diktator Afrika paling kejam, Samuel Doe selama sedekad. Sengsara itu berterusan apabila pengganti Samuel, Charles Taylor menuduhnya sebagai penderhaka dan mengheretnya sekali lagi ke penjara.

Sesungguhnya, perjalanan karier Ellen Johnson Sirleaf, 74, sebelum dilantik menjadi Presiden Liberia tidak mudah. Beliau meniti cabaran yang bukan calang-calang.

Menjadi satu cabaran sangat hebat kepada wanita itu apabila beliau bukan sahaja mentadbir sebuah negara yang berusia 166 tahun tetapi baru sahaja bertemu keamanan setelah bergelut dengan perang saudara.

Perang itu, kata Sirleaf, telah merencatkan pembangunan ekonomi dan kemajuan Liberia. Di saat negara lain meniti arus kemodenan, rakyat Liberia masih menyalakan pelita minyak tanah dan mengangkut air dari telaga.

Kemudahan lain seperti hospital, klinik dan sekolah usah ditanya. Semuanya punah dilanda badai perang. Canda tawa keluarga dan kanak-kanak sudah hampir tidak kedengaran. Memetik laporan AP, lebih 250,000 nyawa terkorban impak daripada perang saudara negara itu.

BBC News pula melaporkan, kadar pengangguran di negara Afrika itu cukup tinggi iaitu mencecah 80 peratus.

Melangkau tahun 2005, ia menokok kepada 85 peratus dan prestasi itu dikatakan terburuk pernah dicatatkan dunia.

Pendapatan rakyat Liberia pula hanya berjumlah RM3.80 sehari. Bayangkan bagaimana kesengsaraan penduduk negara di pesisir Barat Afrika itu.

Senario itu sememangnya telah memberi tekanan hebat kepada seluruh penduduk. Jadi tidak hairanlah orang muda di sana sering bergelumang dengan dadah sehinggakan penjara di ibu negara Liberia, Monrovia, sesak dengan banduan.


LIBERIA yang dihuni hampir empat juta penduduk baru sahaja bebas daripada perang saudara yang berlarutan hampir 15 tahun lamanya.



Dalam hal ini, kata Sirleaf, semasa baru memegang tampuk pemerintahan: "Keutamaan saya adalah untuk mendidik orang muda dan memberi mereka peluang untuk penyatuan."

Rasuah turut memeningkan kepala Sirleaf kerana ia telah menghancurkan sistem kehakiman dan perundangan Liberia.

Namun, yang paling menyulitkan pentadbiran Sirleaf ialah bagaimana beliau harus menghentikan praktik amalan ritual Liberia iaitu perbicaraan berasaskan keseksaan.

Ia merupakan hukuman yang dikenakan menggunakan sama ada minyak atau logam panas dan air mendidih untuk menghukum tertuduh. Jika, individu itu berjaya menyempurnakan seksaan tanpa sebarang kecederaan, individu itu akan dianggap tidak bersalah.

Diceraikan

Sirleaf tidak hanya berdepan dengan masalah negaranya yang kucar-kacir. Aturan kehidupan peribadinya juga tidak seindah seperti pemimpin-pemimpin dunia lain.

Lelaki yang dikahwininya pada usia 17 tahun menceraikannya. Mengapa? Itu semua kerana mantan suaminya, James Sirleaf dikatakan tidak dapat menerima kelebihan isterinya yang dikatakan lebih bijak daripadanya.

Barangkali kenyataan itu ada kebenarannya. Berasal daripada suku kaum Americo-Liberian di Monrovia, Sirleaf ialah graduan daripada Madison Business College, Madison, Amerika Syarikat (AS) dalam bidang ekonomi dan perakaunan.

Pencarian ilmunya tidak terhenti setakat di situ. Pada tahun 1971, wanita itu memperoleh Ijazah Pentadbiran Awam daripada Universiti Harvard dan kemudian dilantik sebagai Menteri Kewangan sewaktu era pemerintahan William Tolbert.

Sepanjang hayatnya, Sirleaf telah menumpahkan jiwa dan raganya berkhidmat dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Bank Dunia termasuk dengan institusi kewangan persendirian Citibank di New York.

Profil kerjayanya semakin memuncak apabila memenangi kerusi Presiden Liberia pada tahun 2006. Sirleaf mencatatkan sejarah tersendiri apabila menjadi wanita pertama di benua Afrika menyandang jawatan Presiden.


SELAIN disokong oleh Barack Obama, kepimpinan wanita Liberia ini turut mendapat sokongan kuat daripada mantan Presiden AS, George W.Bush.


Pada pilihan raya Presiden pusingan kedua tahun lalu, wanita itu dengan mudah menewaskan bekas pemain bola sepak kelab terkenal Itali, George Weah.

Atas kredibiliti Sirleaf, tidak hairanlah apabila beliau diceraikan oleh suaminya. Kini, beliau yang bergelar janda melayari bahtera kehidupannya di samping empat anak dan enam cucunya.

Kejayaan

Meskipun bergelar janda, rakyat Liberia tetap yakin dengan keupayaan Sirleaf. Mereka juga percaya bahawa Liberia tidak akan jatuh ke dalam satu lagi krisis yang akan mengancam penduduk pada masa akan datang.

Ya, sememangnya Sirleaf bukan sebarangan wanita. Latar belakangnya dikatakan banyak membantunya memacu ekonomi negaranya.

Pada awal pemerintahannya, Global Post melaporkan, Sirleaf berjaya mengurangkan kadar hutang kebangsaan yang dianggarkan bernilai RM15 bilion. 

Liberia juga berjaya mempengaruhi AS untuk mendapatkan hutang geran bernilai hampir RM1 bilion.

"Orang luar pasti tidak menjangkakan perubahan Liberia kerana kami miskin. Negara perang seperti kami biasanya memerlukan lelaki yang gagah untuk mentadbir tapi wanita telah menunjukkan sisi lain dan perlu saya katakan bahawa saya telah membuktikan pandangan orang luar itu sama sekali salah," tegasnya.

Bagaimanapun, ujar Presiden ke-24 Liberia itu, kancah politik yang dinaunginya mendedahkan dirinya dengan banyak musuh.

Sirleaf sememangnya telah dikecam hebat oleh kepimpinan lalu apabila beliau dikatakan gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai Presiden pada penggal pertama lalu.

"Sirleaf menunjukkan prestasi mengecewakan, dia gagal membendung gejala rasuah dan mendamaikan negara," selar bekas Presiden paling lama memerintah Liberia, Winston A. Tubman.

Kata-kata Tubman itu sedikit pun tidak mengurangkan sokongan ke atas Sirleaf. Sebaliknya, para penyokongnya berpendapat, wanita besi mereka telah melakukan revolusi paling hebat.

Antara anjakan paradigma awal anak kelahiran Monrovia itu ialah menjalin hubungan diplomatik dengan beberapa negara kuasa besar dunia seperti Republik China selain AS. 

Dua tahun lalu, Sirleaf telah bertemu dengan Barack Obama di White House dalam usahanya meraih sokongan negara Uncle Sam itu.

Kerajaan Liberia juga menjalin kerjasama dengan Malaysia apabila Sime Darby Bhd. dilaporkan telah melabur dalam projek perladangan di sana.

Paling menggembirakan Liberia semasa era pemerintahan Sirleaf adalah peningkatan pendapatan rakyat Liberia daripada RM114 ke RM243 sebulan.

Namun, semasa wawancara eksklusif bersama New York Times, beliau melontarkan kebimbangan terhadap ancaman rogol dalam kalangan wanita. Jenayah rogol, katanya, merupakan endemik yang masih berleluasa dan menakutkan.






"Ia masih menjadi masalah besar bagi Liberia dan berlarutan kerana masing-masing mendiamkan diri kerana rasa malu," katanya.

Beliau juga sedang berusaha meningkatkan kadar literasi rakyatnya yang tidak sampai 30 peratus itu.
Kepada mereka yang tidak yakin dengan kebolehan Sirleaf dulu, barangkali perlu membuang persepsi itu jauh-jauh.

Obama pada Mei 2010 memuji pentadbiran wanita itu dengan berkata: "Liberia kini bebas daripada kemelut yang berpanjangan. AS sangat berbangga dengan usaha luar biasa beliau."

Dalam perutusan tahun baru lalu, Sirleaf yang hanya digaji sebanyak RM22,800 sebulan dengan wajah kelegaan berkata: "Selepas enam tahun, kita bangga melihat kemajuan negara kita, kita berjaya membangunkan ekonomi, prasarana, keselamatan, undang-undang dan keamanan. Liberia di bawah pentadbiran saya diharapkan akan terus aman dan makmur."

Petikan www.kosmo.com.my o03/02/2012