Saturday 31 December 2011

Bandar lahir Volkswagen

 

Antara model kereta terkini keluaran Volkswagen

WOLFSBURG adalah Volkswagen. Tanpa Volkswagen bandar ini akan mati kerana tiada apa untuk dibanggakan. Kehadiran Volkswagen mengubah segala-galanya hingga menjadikan ia terkenal. Di sinilah kilang Volkswagen wujud sejak sebelum perang dunia lagi dan memberikan peluang pekerjaan kepada penduduknya.


 
RAKAM...penulis (dua dari kiri) sempat merakam gambar bersama rombongan media lain.

Bandar ini yang mempunyai 122,800 penduduk dibuka pada 1938 dengan kewujudan kilang Volkswagen yang mengeluarkan Beetle atau “people's car” (kereta rakyat).

Pengeluaran kereta ini diberhentikan pada 1978 apabila dipindahkan ke Mexico hingga kini. Buat masa ini hanya kereta Volkswagen seperti Tiguan, Touareg dan Golf dikeluarkan di kilang berkenaan.

 Di bandar inilah juga wujud Autostadt (bandar raya kereta) yang mengandungi antaranya muzium ZaitHaus, taman tema, 13 restoran ekslusif, litar untuk pandu uji Touareg dan Tiguan serta dua menara kaca setinggi 48 meter untuk meletakkan 800 kereta Volkswagen yang baru keluar dari kilang bagi pasaran Eropah. 
Menara meletak kereta ini dikatakan adalah yang tertinggi, tercanggih dan terbesar di dunia.

Penulis berpeluang melawat bandar ini bersama 13 wartawan lain yang dibawa oleh Volkswagen Group Malaysia (VGM), baru-baru ini. Turut sama kami ialah Pengarah Urusan VGM, Ricky Tay dan Pengarah Pemasaran, Petra Schreiber.


 
Kilang Volkwagen kebanggaan Wolfsburg


Rombongan dibawa melawat kilang kereta popular ini yang beroperasi 363 hari setahun. Selain mempunyai 50,000 pekerja yang dibahagi kepada tiga syif, premis ini mempunyai 17 restoran bagi memudahkan pekerjanya makan dan minum tanpa perlu keluar. Lebih 5000 basikal disediakan bagi membolehkan pekerja bergerak sekitar kilang itu.

Sepanjang tahun lalu saja, satu juta kenderaan sudah dikeluarkan.
Bagaimanapun, pengunjung termasuk media tidak dibenarkan mengambil gambar sepanjang lawatan selama dua jam baik di dalam mahu pun di luar kilang kawasan berkenaan. Kebersihan premis amat dititikberatkan. Jadi tidak hairanlah kilang berkenaan sungguh bersih.

Autostadt pula dibuka pada tahun 2000 di kawasan seluas 25 hektar membabitkan perbelanjaan 430 juta euro (RM2.15 bilion). Menara tempat letak kereta setinggi 20 tingkat ini paling ramai menjadi tumpuan kerana keunikannya.

Semua kerja meletakkan kereta ini dilakukan secara automatik menggunakan lif khas yang boleh dilihat oleh pengunjung dengan lebih dekat. Bagaimanapun, orang ramai yang mahu memasuki menara ini dikenakan bayaran 8 euro (RM40).

Mereka boleh menaiki lif kaca yang boleh memuatkan tujuh orang termasuk seorang pemandu pelancong untuk melihat sekitar kawasan meletak kereta ini hingga ke tingkat atas selama 15 minit.

Dari tingkat 20, pelancong boleh menikmati pemandangan bandar pengeluar kereta terbesar di Eropah, Wolfsburg dan sekitar kawasan Autostadt. Ia sungguh mengagumkan. Yang pasti bandar raya ini cukup tenang, damai dan bersih. Apa pun sukar untuk melihat anak muda di bandar ini kerana tiada daya tarikan seperti di Munich atau Berlin.

Autostadt menjadi tumpuan utama penduduk Jerman termasuk pelancong dari seluruh dunia. Sejak dibuka 23 juta orang sudah mengunjunginya. Di muzium itu pelbagai jenama Volkswagen termasuk Beetle dan Combi keluaran tahun 1950-an dan 1960-an boleh dilihat. Kereta klasik lain ialah Audi, Lamborghini, Seat dan Skoda.
Mereka yang meminati kereta pasti teruja melihatnya.

Tarikan lain ialah Volkswagen Arena iaitu stadium bola sepak Wolfsburg berhampiran Sungai Aller yang menyertai liga bola sepak Jerman dan pernah mencipta sejarah buat julung kali memenangi liga berkenaan pada musim 2008/2009.

Stadium dan pasukan ini dibiayai sepenuhnya oleh Volkswagen.

Selain itu, penulis bersama rakan wartawan juga diberi peluang uji pandu Golf R dan Scirocco R yang akan memasuki pasaran Malaysia tahun depan.

Uji pandu diadakan di litar Oschersleben kira-kira sejam perjalanan dari hotel penginapan. Cuaca sejuk satu darjah Celsius bawah tahap beku mencabar kami memandu lebih-lebih lagi visibiliti hanya 10 meter.

Bagaimanapun, hasil tunjuk ajar pemandu profesional Jerman, kami berjaya melakukannya dengan baik tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini. Apapun, ia satu pengalaman yang sukar dilupakan bagi penulis kerana pertama kali melakukan uji pandu di litar.

Petikan : www.hmetro.com.my
Laporan dan foto JOHARI MOHD (yang mengunjungi kilang Volkswagen, Jerman)