Wednesday 30 November 2011

Allah beri peringatan

KUALA LUMPUR: “Kemungkinan ia petunjuk dan peringatan Allah kepada mereka supaya tidak meneruskan perbuatan terkutuk itu serta tanda Allah masih sayangkan mereka, maka segeralah bertaubat,” kata Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (Maij), Datuk Noh Gadut.

Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai tiga lelaki yang tidak nampak pintu keluar dari kawasan makam ulama terkenal Syeikh Abdul Malik Syeikh Abdullah di Kampung Pulau Manis, Serada, Terengganu ketika melakukan upacara pemujaan nombor ekor.

Imam Masjid Pulau Manis, Kori Endut yang menemui tiga lelaki berkenaan berkata, mereka yang terbabit berusia 40-an lengkap berserban dan berjubah bagi mengaburi mata orang ramai ketika memuja nombor ekor di kubur ulama lebih dikenali sebagai Tok Pulau Manis itu.

Noh berkata, perbuatan memuja kubur sesiapa saja termasuk ulama sekali pun boleh membawa hukum syirik dan terkeluar dari Islam.

“Mereka yang terbabit dalam perbuatan syirik ini jika ditakdirkan mati, mereka mati sebagai kafir,” katanya.

Petikan : www.hmetro.com.my 30/11/2011

Ketuk, cat, gergaji kayu masa pantang




PENULIS dan jurufoto, Azalezah Malek terkesima seketika. Di sebalik hutan belukar di Kampung Baru, Salong, Pekan, Pahang terdapat sebuah rumah papan usang yang dipenuhi kayu-kayan. Di situ, sepasang suami-isteri sedang bertungkus-lumus mengetuk dan menggergaji kayu.

Dari kejauhan, Ahmad Najib Mohd. Don, 60 dan Pauziyah Abdullah, 53, berbual kosong dengan penuh tertib. Kedua-duanya seolah-olah sedang memperkatakan tentang kehadiran kami di 'wilayah' mereka.

"Terima kasih kerana sudi datang ke bengkel kami. Perusahaan perabot dan barang perhiasan daripada kayu pain kami usahakan secara kecil-kecilan saja," kata Pauziyah segera meninggalkan pengetuk dan paku tatkala salam dihulurkan.

Ahmad Najib pula menghentikan mesin yang bunyinya ditelan dek siulan mergastua dan gemersik pepohon di hutan belukar itu.

Lambakan kayu pain boleh dilihat merata-rata. Suasana cukup sunyi sehingga jam yang sedang berdetik jelas pada pendengaran. Tiada radio untuk menemani kerancakan mereka bekerja. Hanya secangkir kopi dan biskut keras di sisi Pauziyah ketika itu.

Kata suami isteri ini, perusahaan membuat perabot menggunakan material kayu pain bermula sejak tahun 1990. Sejak itu, tanggungjawab, posisi dan karakter Pauziyah mengalami transisi yang sangat drastik. Daripada seorang suri rumah, wanita cekal itu bergelar seorang tukang kayu. 

Bagaimanakah pintu hatinya boleh terbuka melakukan tugas seperti buruh kasar? Tidakkah dia malu mengerjakan pekerjaan yang lazimnya didominasi oleh kaum lelaki? Di manakah dia mengumpul segenap tenaga untuk melaksanakan kerja-kerja berat itu?

Mendengarnya, Pauziyah seperti sudah siap siaga dengan jawapan. Dengan peluh merecik di wajah, anak kelahiran Pahang ini berkata: "Sudah menjadi tanggungjawab isteri membantu suami, masa dalam berpantang pun saya masih bekerja, mengetuk, mengecat dan menggergaji." Frasa yang lahir dari lohong hatinya itu membuatkan penulis dapat merasai keikhlasan dan pengorbanan tulusnya untuk keluarganya.

Pendidikan

GAGAH. Pauziyah menggunakan seluruh kudratnya mengalihkan papan sebelum melakukan kerja-kerja pemotongan kayu.


Garis halus di tapak tangan wanita ini juga sudah tidak kelihatan dan kelembutannya juga sudah hilang. Namun, dia tidak kisah. Bagi Pauziyah, seberat mana pun kerja yang dilakukan, janji ia membuahkan rezeki yang halal demi untuk meneruskan kelangsungan hidup.

"Ini rezeki kurniaan Allah yang maha hebat kepada kami. Duit inilah digunakan untuk membesar dan memberi pendidikan yang terbaik kepada empat anak saya," kata Pauziyah yang sarat dengan sifat keibuan. Beritahu wanita ini, sepanjang 21 tahun mengusahakan produk industri kecil dan sederhana (IKS), dia dan suaminya tidak pernah bercuti. Mereka akan mula bekerja seusai solat Subuh dan akan meninggalkan bengkel sebelum langit bertukar gelap.

Kalau diikutkan hati kata Pauziyah, mereka mahu lanjutkan kerja hingga lewat malam. "Tapi selepas kami dikejutkan dengan ngauman harimau di sebalik hutan belukar itu beberapa tahun lalu, kami batalkan niat itu," ceritanya.

Sepanjang wawancara berlangsung, mereka menjawab pertanyaan kami tanpa meninggalkan gergaji dan pengetuk di tangan. Pauziyah mengetuk paku pada sebuah bekas pasu tanpa ragu-ragu. Jari jemarinya yang lincah menukang menampakkan sisi profesionalnya sebagai tukang kayu. Wajahnya yang putih kuning menjadi sedikit merah padam tatkala menahan mata daripada dimasuki habuk.

Dia juga sedikit tidak menghiraukan bahang kepanasan yang membuatkan peluh membasahi seluruh tubuh badannya. Ketika sepasang suami isteri ini memerah kudrat, anak ketiga mereka, Nasyitah, 26, tampil lalu membutirkan kata-kata. "Parut dan lebam memang dah jadi 'makanan' mak, mak pernah tertusuk kayu sebesar duit 50 sen masa memotong kayu dulu. Paku juga pernah singgah di pahanya, tapi baginya macam tak de apa-apa saja," adu anak gadis muda itu. Pauziyah hanya mengangguk-angguk sambil mengerutkan dahi.


DI RUMAH usang yang ditransisikan menjadi bengkel merupakan lokasi Pauziyah bersama suaminya, Mohd. Najib menghasilkan perabot berasaskan kayu pain.


Si suami yang berkulit sawo matang dan berjambang putih pula lantas menyambung dengan nada seloroh : "Isteri saya adalah geng tukang saya, kalau dia cabut, habislah saya, susah mahu cari pekerja, gaji boleh bagi tapi ramai yang tak mahu." Menyentuh soal pekerja, Ahmad Najib memberitahu, dia tidak mempunyai pekerja selain isteri dan dua anaknya, Nasyitah, 26 dan Fadzillah, 28.

Persekitaran yang berdebu memungkinkan jangkitan penyakit. Namun akui Pauziyah mahupun Ahmad Najib, mereka jarang jatuh sakit. Penulis dan jurufoto mencuri sedikit masa terluang untuk menggali tentang perusahaan kayu pain yang diusahakan oleh Ahmad Najib dan Pauziyah ini.

Revolusi kayu pain

Ahmad Najib yang sebelum ini menjalankan bisnes rotan berkata, semua itu berlaku sejurus selepas cukai untuk rotan naik mendadak. Justeru, dia dan isterinya terfikir mengapa tidak merevolusikan kayu pain menjadi barangan yang berguna seperti perabot dan barangan perhiasan.

"Biasanya kayu pain orang anggap tak berguna dan akan buang begitu saja. Namun, kami melihat potensi kayu ini dan ramai tak tahu bahawa ia bagus. "Kayu ini sebenarnya berkualiti berbanding dengan kayu lain, urat kayunya juga lebih menarik," katanya yang mendapat bekalan dari sebuah syarikat di Peramu, Pekan dan mempunyai pengalaman menukang selama 35 tahun.

Syarikat mereka yang diberi nama Perniagaan Kayu Muhibbah akan memesan kayu pain yang sudah siap dipotong dua minggu atau tiga bulan sekali. Meskipun tidak berpelajaran tinggi, kreativiti dua insan ini begitu terserlah. Mereka berdua bertanggungjawab mereka pelbagai kelengkapan seperti rehal, pasu, peti, almari, penyidai baju, penyangkut kunci, meja dan banyak lagi.


PAUZIYAH berharap bisnesnya mampu membuka mata banyak pihak tentang keistimewaan kayu pain dalam penghasilan perabot yang berkualiti.


"Alhamdulillah, idea untuk menghasilkan barangan baharu sentiasa ada tapi seperti yang awak lihat, kita kekurangan peralatan yang canggih dan tenaga kerja," katanya. 

Pendapatan mereka bergantung kepada permintaan pelanggan. Namun, ada ketikanya jika produk dibawa ke pameran-pameran tertentu, mereka boleh memperoleh sekitar RM4,000. Kedua-dua mereka punya harapan besar untuk menakluk pasaran terutamanya di Lembah Klang jika ruang yang sepatutnya diberikan.

Sambil matanya singgah pada satu objek, Pauziyah berkata: "Kami bersedia untuk berkongsi kemahiran kepada mereka yang berminat dan selagi Allah mengurniakan kekuatan, saya akan meneruskan kerja sebagai tukang kayu walau ia nampak ganjil pada mata masyarakat."

Petikan : www.kosmo.com.my 30/11/2011

Saturday 26 November 2011

Zakaria, Hazran selesa bekerja sendiri

PENGALAMAN dan kemahiran menjadi asas prinsip Zakaria menjalani kehidupan.



BUKAN sahaja Muhammad Zakaria Md. Nor, 25, tidak memiliki segulung ijazah, bahkan dia juga tidak mempunyai sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR). Tahap pendidikan lelaki bertubuh kurus dan sawo matang itu terhenti setakat di tingkatan dua.

Biarpun dibedil kata-kata yang kurang enak gara-gara tidak mempunyai kelulusan akademik seperti orang lain, Zakaria hanya memekakkan telinga. Dia mengajar dirinya supaya kebal pada kata-kata yang boleh menjatuhkan semangatnya dalam mengejar impian hidup.

Percaya dengan kata hati dan ketentuan Allah, anak kelahiran Masjid Tanah, Melaka itu nekad ke Kuala Lumpur pada usia 14 tahun untuk mencari pekerjaan. Takdir menemukan dirinya dengan seorang sahabat yang membawanya bekerja di sebuah kilang motosikal berkuasa tinggi BMW.

Dalam usia yang masih mentah, anak kelapan daripada sembilan beradik itu mengerah kudrat remajanya mempelajari selok-belok tugas sebagai mekanik kenderaan mewah itu.

"Tiga tahun saya bekerja di kilang tersebut dan banyak input saya dapat sepanjang tempoh itu. Berbekalkan kemahiran yang ada, saya kemudiannya bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel motosikal berkuasa tinggi di Kuchai Lama, Kuala Lumpur.

"Di bengkel itu, saya mengasah kemahiran mekanikal ke atas motosikal berkuasa tinggi buatan Jepun pula. Saya juga belajar sendiri cara mereka menguruskan perniagaan tersebut," singkap Zakaria. 

Setelah hampir tujuh tahun menabur bakti di bengkel tersebut, Zakaria nekad melepaskan jawatannya hanya kerana dia gagal menyiapkan sebuah motosikal seorang pelanggan.

"Waktu itu majikan saya bertugas di luar kawasan, tetapi barangan dan peralatan untuk motosikal yang perlu diperbaiki itu tidak ada, jadi saya perlu tunggu dia pulang ke Kuala Lumpur.

ARAN telah memiliki konsultan sendiri dan pada masa yang sama menyambung pelajaran dalam peringkat ijazah sarjana.



"Namun, apa yang mengejutkan, saya pula yang dimarahi dan diherdik seperti orang baru kerja. Selama ini saya tahan dan telan sahaja segala pahit maung bekerja dengan orang semata-mata semangat untuk belajar.
"Bagaimanapun, kejadian itu membuatkan saya sedar dan saya mengambil keputusan berhenti kerja," cerita Zakaria yang mendedahkan gajinya sebagai mekanik untuk tiga tahun pertama hanya RM600.

Jual kereta

Namun, Zakaria tidak menafikan tindakannya itu sedikit sebanyak membelenggu dirinya, kerana dia tidak tahu apa perlu dilakukan. Apatah lagi untuk bekerja di pejabat sudah tentu mustahil dengan kelulusannya yang tidak seberapa.

Ketika teraba-raba mencari arah tujuan, dia terlihat sebuah lot kedai untuk disewa di Bandar Tasik Selatan, Cheras, Kuala Lumpur. Tanpa berfikir panjang, Zakaria menghubungi pemilik premis tersebut untuk menyatakan hasratnya membuka bengkel motosikal berkuasa tinggi di situ.
Begitupun, memulakan bisnes tidak semudah yang disangka. Menyingkap detik awal merealisasikan hasratnya itu, Zakaria terpaksa menjual kereta, perabot dan segala barangan yang boleh menjadi modal buat perniagaan sulungnya itu.
"Telefon bimbit pun saya jual bagi menampung pembelian mesin untuk bengkel dan untuk berurusan dengan pelanggan. Untuk tujuan perhubungan, saya terpaksa menggunakan telefon awam.

Biar apapun yang terjadi, ternyata tekad Zakaria sudah bulat untuk mengusahakan sendiri sebuah bengkel motosikal berkuasa tinggi. Nama Aboy Motorshop akhirnya dipilih menjadi pengenalan kepada perniagaannya itu.

"Sebelum dapat merasai kesenangan atas kejayaan pada hari ini, banyak yang telah ditempuh. Saya pernah berlapar sepanjang hari dan mengalas perut dengan sebungkus roti yang saya simpan sampai waktu malam," imbas Zakaria.

Berkat pengalaman

Meskipun tidak mempunyai pengetahuan asas dalam bidang perniagaan, Zakaria tetap mahu membuktikan bahawa pengalaman dan kemahiran mampu memacu seseorang itu berjaya dalam bidang yang diminati.

Kini, setelah hampir setahun Aboy Motorshop dibuka, perkembangan positif dapat dilihat berdasarkan jumlah pelanggan yang kian meningkat dan kepuasan mereka terhadap servis yang ditawarkan Zakaria.

Para pelanggan Zakaria juga bukan calang-calang orang. Ramai pelanggannya terdiri daripada orang kenamaan dari serata negeri dan majoritinya merupakan pelanggan tetap.

Memilih prinsip meredah cabaran tanpa terlalu banyak berfikir, Zakaria kini mempunyai dua pekerja tetap dan dua lagi pekerja separuh masa yang terdiri daripada ahli keluarganya sendiri.

ZAKARIA nekad menjual kereta, perabot dan telefon bimbit bagi merealisasikan hasrat membuka bengkel sendiri.



Dibuka setiap hari, bengkel Zakaria yang masih belum menjalani pengubahsuaian sejak dibuka mampu memuatkan 28 buah motosikal berkuasa tinggi pelbagai jenama.

Tubuh konsultan

Jika Zakaria melunaskan tuntutan hijrahnya dengan cara begitu, berbeza pula dengan perjalanan yang ditempuhi seorang lagi lelaki muda yang kini merasakan sebahagian sasaran kehidupannya telah berjaya dicapai.

Pemenang tempat ketiga program Imam Muda musim pertama, Ahmad Hazran Ahmad Kamal, 27, menyifatkan rancangan itu telah membuka jalan dan ruang yang luas bagi menggapai cita-citanya. Bermula dengan tawaran selaku hos rancangan Khabar Haji yang bersiaran di Astro Oasis tahun lalu, Hazran atau mesra disapa Aran kini mengorak langkah dengan menubuhkan syarikat konsultan yang dikongsi bersama dua sahabat baiknya.

Menggunakan nama Aran Management Consultancy (AMC), syarikat yang baru sahaja berusia sembilan bulan itu menyediakan perkhidmatan kaunseling dan motivasi buat pelajar-pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi. 

Berbekalkan secebis pengalaman dan ilmu selama menuntut di Mesir untuk tempoh empat tahun, Aran selesa menyalurkan kemahirannya dengan menjadi pakar motivasi muda sama ada secara berkumpulan ataupun individu.

"Bagi saya menuntut ilmu tidak akan pernah habis dan bagi mereka yang mempunyai ilmu berguna, kongsilah ilmu tersebut dengan orang ramai agar kita sama-sama menerima faedah daripadanya," jelasnya yang kini sedang menyambung pengajiannya dalam peringkat Ijazah Sarjana al-Quran dan Sunnah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Bergelar pelajar sepenuh masa, menguruskan perniagaan dan memenuhi undangan motivasi serentak membuatkan kehidupan Aran sentiasa diisi dengan aktiviti berfaedah dan semuanya dijalankan lelaki itu dengan penuh tanggungjawab.

Berhenti kerja

PELUANG sebagai hos Khabar Haji membolehkan Aran (kiri) menunaikan haji pada usia yang masih muda.



Sebelum memasuki program Imam Muda, Aran baru sahaja memulakan kerjayanya di Bank Islam. Sejurus selesai program tersebut, dia dipanggil kembali berkhidmat tetapi demi mengejar cita-citanya, Aran menolak tawaran tersebut.

"Tidak pernah terlintas di fikiran bahawa saya akan berada pada kedudukan seperti ini sekarang dan jika tidak kerana Imam Muda, saya mungkin masih bekerja di tempat lama.

"Jika saya masih berkhidmat di bank, mungkin kehidupan saya tidak seimbang kerana pergaulan sedikit terbatas. Berbeza dengan apa yang saya alami hari ini kerana saya bebas membuat keputusan dan dalam masa yang sama melakukan apa yang saya cintai," ujar jejaka yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu.

Berhasrat menubuhkan sebuah pusat tahfiz sebelum menjangkau usia 40 tahun, Aran menyatakan bahawa semakin berjaya seseorang itu semakin banyak cabaran yang perlu didepani terutamanya yang melibatkan hal-hal material.

Mengupas konsep hijrah anak muda, Aran lebih suka pendekatan dakwah terhadap golongan muda dilakukan menerusi laman-laman sosial seperti Facebook dan Twitter kerana ia selari dengan gaya hidup semasa golongan itu.

"Untuk membimbing seseorang itu berhijrah ke arah kebaikan bukan mudah, jadi pendakwah dan ahli agama perlu bijak memilih pendekatan. "Kita tidak boleh menggunakan cara ekstrem dan menghukum seseorang itu berdasarkan persepsi yang diciptakan oleh kita sendiri.

"Itulah masalahnya apabila terdapat sesetengah golongan cerdik pandai agama bersifat riak dan memilih cara dakwah yang dirasakan berkesan untuk semua orang," jujur pandangan yang dikongsi Aran yang bakal mendirikan rumah tangga Januari depan.

Petikan : www.kosmo.com.my 27/11/2011

Amal pucuk kesum

MARANG: Pucuk daun kesum dan ubi menjadi rahsia seorang warga emas berusia 60 tahun di Kampung Tok Fakir, Merchang, di sini, yang beristeri empat untuk mengekalkan stamina dan susuk tubuh menarik sehingga tampak muda berbanding umur sebenar.

Mohamed Nor Awang atau lebih mesra dipanggil Pok Nor berkata, dia hanya mengamalkan pemakanan sihat, terutama pucuk kesum dan ubi, untuk mengekalkan stamina seperti orang muda selain ingin tampak menarik.

Malah, pokok kesum ditanam di setiap rumah isterinya yang tinggal berasingan bagi memudahkan dia menjamah ulam kegemarannya setiap kali makan nasi.“Pok Nor tak pernah guna ubat-ubatan atau majun, sebaliknya mengamalkan petua orang lama iaitu makan pucuk kesum dan ubi. Sejak 50 tahun mengamalkannya, Pok Nor kekal sihat zahir batin.

“Pucuk kesum dan ubi dijadikan ulam-ulaman ketika makan nasi dan sehingga kini Pok Nor tidak menghidap penyakit berbahaya, malah masih kuat bekerja sebagai penjual kayu api dan buruh. “Ramai juga pelik dengan kecergasan Pok Nor, namun itulah hakikatnya apabila kita menjaga kesihatan serta mengamalkan petua yang betul. 

“Pernah juga rakan mencadangkan Pok Nor mengambil majun untuk kekal sihat, namun ia tidak perlu kerana Allah mengurniakan kesihatan zahir batin kepada Pok Nor,” katanya.

Empat isterinya ialah Wan Rukiah Mat Yusoff, 55, Khalthum Dollah, 42, Noraini Daud, 43, dan Suzi Sulong, 37.Usia Suzi sebaya dengan anak sulungnya, Shamsudin Mohamed Nor.

Isteri pertamanya, Wan Rukiah dikahwini pada 1973 dan dikurniakan sembilan anak berusia 16 hingga 37 tahun, manakala Khalthum dinikahinya pada 1987 dan dikurniakan empat anak berusia 15 hingga 22 tahun.

Dia berkahwin dengan Noraini pada 1988 dan dikurniakan lima anak berusia tujuh hingga 21 tahun, manakala isteri keempat, Suzi pada 10 Julai 2008.

Bersama Suzi, mereka belum dikurniakan cahaya mata selepas isterinya mengalami keguguran tahun lalu.

Bagaimanapun, perkahwinan dengan Suzi berdepan masalah apabila permohonannya di Mahkamah Tinggi Syariah untuk berkahwin lagi ditangguh pihak mahkamah sehingga mendorong ketiga-tiga isterinya turut membuat rayuan supaya membenarkan serta menyokong permohonan suami mereka.

Menurutnya, pernah seorang Datuk berstatus VIP yang ingin berpoligami berjumpanya untuk mencungkil rahsia dan petua mengekalkan keharmonian rumah tangga dan kekuatan batin.

“Tiada petua khusus selain mengamalkan makan pucuk kesum untuk kesihatan tubuh badan serta menerapkan amalan agama, termasuk bacaan surah Yasin setiap malam Jumaat secara beramai-ramai dengan keluarga untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga.

“Memang jarang yang gemar makan pucuk kesum, padahal ia rahsia semula jadi yang diamalkan orang lama. Pucuk ubi juga bagus tetapi tidak dapat menandingi pucuk kesum.

“Pantang paling besar dalam hidup Pok Nor ialah tidur siang secara berlebihan, terutama petang. Siang adalah masa untuk badan kita bekerja dan aktif, manakala berehat hanya pada sebelah malam,” katanya.

Pok Nor berkata, dia bahagia bersama empat isteri dan 18 anaknya.

“Paling meriah ketika menyambut hari raya apabila semua anak dan cucu berkumpul dan kami bersama-sama menyiapkan hidangan hari raya untuk meraikan tetamu.

“Saya bersyukur kerana dianugerahkan kesihatan baik, boleh melihat cucu dan menjalankan tanggungjawab sebagai suami empat isteri, bapa kepada 18 anak dan datuk kepada 12 cucu,” katanya.

petikan : http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Amalpucukkesum/Article/index_html

Air mata taubat

SAYA banyak melakukan dosa pada masa silam dan ingin bertaubat atas kesilapan lalu. Setiap kali berdoa selepas solat, saya hanya mampu menitiskan air mata memohon taubat supaya diterima Allah.

Hanya itu doa saya, sementara doa termasuk memohon rezeki dan jodoh yang baik tidak pernah saya sertakan bersama. Saya terlalu malu untuk meminta daripada Allah kerana tahu saya bukan hamba-Nya yang baik dan mulia.

Bagi saya, jika Allah mendengar keluhan saya dan menerima taubat hambanya yang hina ini, itu sudah cukup memadai. Adakah berdosa tindakan itu sebab ada yang berpendapat ia menunjukkan kesombongan kepada Allah.

GADIS WASATIAH,
Kuala Lumpur


BERISTIGHFAR iaitu memohon keampunan Allah seperti yang anda amalkan itu adalah sebahagian daripada doa kepada Allah. Doa seorang hamba kepada Allah termasuk dalam ibadah kepada Allah.

Berdoa adalah salah satu ibadah di luar sembahyang selain membaca al-Quran dan berzikir. Islam melihat berdoa kepada Allah sangat penting. Ia dapat menjalin hubungan yang erat antara seorang hamba dengan Allah.

Sebagai manusia dan hamba kita tidak terlepas dan memerlukan pertolongan Allah. Berdoa antara sebahagian daripada usaha dan ikhtiar.

Berdoa kepada Allah menandakan seorang hamba kembali kepada Allah dan merendah diri kepada-Nya. Apabila menyedari kepentingan doa sebagai ibadah dan cara memohon serta berhubung dengan Allah, kita tidak perlu berasa bersalah untuk memohon apa saja daripada Allah seperti yang dinyatakan.

Janganlah ada perasaan malu atau ‘sombong’ untuk memohon segala permintaan kepada Allah kerana ia sebahagian daripada usaha.

Sekiranya permintaan atau doa kita tidak dimakbulkan, anggaplah ia yang terbaik daripada Allah untuk kita.

Kita sepatutnya tidak berasa malas untuk terus berusaha dan berdoa kepada Allah.
 
petikan : www.hmetro.com.my/articles/Airmatataubat/Article
            : 27/11/2011

Wednesday 23 November 2011

12 Wajah di Padang Mahsyar

Pada Hari Kiamat, umat Islam dikumpulkan berbaris-baris menjadi 12 barisan dengan membawa amalan mereka sendiri.. Maka telah dinyatakan oleh Rasulullah saw keadaan di Padang Mahsyar nanti, lalu digambarkan 12 barisan berkenaan iaitu :-


1. Diiringi dari kubur dengan tidak bertangan dan tidak berkaki.

Keadaan ini dijelaskan melalui satu seruan dari sisi Allah SWT : " Mereka itu adalah orang-orang yang ketika hidupnya menyakiti hati jiran, maka ini balasannya, dan tempat kembali mereka adalah neraka.."

2. Diiringi dari kubur dalam keadaan berbentuk babi hutan.

Datanglah suara dari sisi Allah yang berfirman : " Mereka itu adalah orang yang ketika hidupnya meringankan solat, maka inilah balasannya, dan tempat kembalinya adalah neraka.."
3. Mereka datang dalam bentuk keldai, sedangkan perut mereka penuh dengan ular dan kala     
    jengking.

Allah swt menjelaskan : " Mereka ini adalah orang yang enggan membayar zakat, maka inilah balasannya, dan tempat kembali mereka adalah neraka.."

4. Diiringi dari kubur dengan keadaan darah seperti pancutan, keluar daripada mulut mereka.
Allah swt menegaskan : " Mereka ini adalah orang yang berdusta di dalam jual beli, maka inilah balasannya, dan tempat mereka adalah neraka.."

5. Diiringi dari kubur dengan bau busuk daripada bau bangkai. Ketika itu Allah swt 

   menurunkan angin sehingga bau busuk itu mengganggu ketenteraman di Padang   Mahsyar.

Allah swt menegaskan. " Mereka ini adalah orang yang menyembunyikan perlakuan derhaka takut diketahui manusia, tetapi tidak pula rasa takut kepada Allah swt, maka inilah balasannya, dan tempat kembali mereka adalah neraka.."

6. Diiringi dari kubur dengan keadaan kepala mereka terputus daripada badan.

Allah swt berfirman: " Mereka adalah orang yang menjadi saksi palsu, maka inilah balasannya, dan tempat kembal mereka adalah neraka.."

7. Diiringi dari kubur tanpa mempunyai lidah dan dari mulut mereka mengalir keluar nanah dan darah.

Allah menegaskan : " Mereka itu adalah orang yang enggan memeberi kesaksian dia atas kebenaran, maka inilah balasannya, dan tempat kembali mereka adalah neraka."

8. Diiringi dari kubur dalam keadaan terbalik dengan kepala ke bawah dan kaki ke atas.

Allah swt berfirman : " Mereka adalah orang yang berzina, maka inilah balasannya, dan tempat
kembali mereka adalah neraka.."

9. Diiringi dari kubur dengan berwajah hitam gelap dan bermata biru, sementara dalam diri mereka penuh dengan api yang bernyala.

Allah swt menyatakan : "Mereka itu adalah orang yang makan harta anak yatim dengan cara haram, maka inilah balasannya, dan tempat kembali mereka adalah neraka.."

10. Diiringi dari kubur dalam keadaan tubuh mereka penuh dengan sopak dan kusta.

Allah swt berfirman : " Mereka adalah orang yang derhaka kepada kedua-ibubapanya, maka inilah balasannya, dan tempat kembali mereka adalah neraka.."

11. Diiringi dari kubur dengan berkeadaan buta, gigi memanjang sepeti tanduk lembu jantan, bibir melebar sampai ke dada dan lidah terjulur memanjang sampai ke perut dan keluar berbagai-bagai kotoran.
 

Allah swt menegaskan : " Mereka adalah orang yang minum arak, maka inilah balasannya, dan tempat kembali mereka adalah neraka.."

12. Diiringi dari kubur dengan wajah yang bersinar-sinar laksana bulan purnama. Mereka melalui 
   titian sirat sperti kilat.

Maka, datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih menegaskan : " Mereka adalah orang yang beramal soleh dan banyak melakukan kebaikan. Mereka menjauhi perbuatan derhaka, mereka memelihara soalat lima waktu, ketika meninggal dunia mereka sempat bertaubat, maka inilah balasannya, dan tempat kembali mereka adalah syurga, mendapat keampunan, kasih sayang dan keredhaan Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang.."


Rujukan : Majalah ANIS (Februari 2011)
 

Lelaki tua edar makanan untuk penduduk miskin


LISBON, Portugal - Seorang warga Amerika Syarikat (AS) yang menetap di sini, Hunter Halder yang berusia 60 tahun akan mengedarkan lebihan makanan restoran dengan percuma kepada penduduk miskin yang ditemuinya pada setiap hari.

Halder akan pergi ke restoran dengan menunggang sebuah basikal untuk mendapatkan bekas plastik yang mengandungi lebihan makanan untuk diedarkan kepada penduduk miskin.

Dia kemudian meminjam kereta milik sukarelawan untuk menghantar makanan tersebut. Seramai 80 anggota sukarelawan dan 30 buah restoran menyertai projek menghantar lebihan makanan tersebut yang dirintis oleh Halder sejak Mac lalu.

Antara makanan yang diedarkan itu ialah daging, sup, nasi dan ubi kentang.H alder mampu mengedarkan makanan itu untuk 100 orang setiap hari.

"Saya tidak boleh hidup tanpa Hunter. Sebelum saya mengenalinya, saya pernah tidak makan selama beberapa hari," kata seorang lelaki berusia 55 tahun, Celeste Castanho yang menerima lebihan makanan yang dibawa Hunter itu.

Dia hanya menerima elaun kebajikan bulanan sebanyak 300 euro (RM1,289) untuk keluarganya setiap bulan.
Menurut Hunter, dia melancarkan projek itu yang dikenali sebagai Re-Food bagi membantu penduduk miskinkerana krisis kewangan yang melanda Portugal. - AFP

Petikan Kosmo 23/11/2011

Abang sumber inspirasi

KETIKA Paige Mackenzie perlukan seseorang untuk mendengar luahannya, nasihat atau mungkin satu galakan, dia hanya menemui seseorang yang istimewa, iaitu abangnya Brock. Pemain yang beraksi dalam Jelajah LPGA buat tahun kelima itu banyak bergantung kepada abangnya untuk menasihatinya, menegurnya atau mungkin menenangkannya ketika mengharungi liku pertandingan sepanjang minggu.

Brock tahu apa yang dilalui Paige memandangkan dia pernah melalui perkara yang sama dalam Jelajah Nationwide. Paige yang mula bermain golf sejak berusia tiga tahun, mengakui hubungan rapatnya dengan abangnya satu daripada rahsia kejayaannya.

Kami tinggal dan berlatih bersama selepas akhir musim sejak menjadi pemain profesional,” kata Paige mengenai abangnya. “Seronok apabila mempunyai seseorang yang bukan saja boleh berlatih bersama tetapi sentiasa berada di sisi anda dan mahu anda menjadi lebih baik.

“Dia akan berkata sesuatu yang mungkin tidak diperkatakan jurulatih kerana dia abang saya dan dia tidak takut untuk melukakan hati saya tetapi kadang kala itulah yang menjadikan saya lebih baik. “Saya didesak, diejek dan dikalahkan dan dia menjadikan saya seperti sekarang, bukan saja lasak tetapi kompetitif sebagai atlet. Dia adalah faktor utama mengapa saya berada di sini.”

Paige dan Brock menyertai aktiviti sukan ketika kecil, masing-masing bermain bola sepak dan bola keranjang di sekolah tinggi. Kedua beradik itu melanjutkan pelajaran ke Universiti Washington bersama-sama, apabila kedua-dua menjadi pemain terbaik dalam skuad masing-masing.

Paige bergelut dalam tempoh beberapa tahun sejak menyertai Jelajah pada 2007 tetapi mengumpul AS$100,000 (RM315,800) pada 2009 dan juga pada tahun ini. Dia mengubah corak hayunan dan abangnya sentiasa bersamanya baik ketika susah dan senang.

“Kami mempunyai hubungan yang unik kerana kami lebih memahami cara hidup masing-masing,” katanya.

“Kami boleh bercakap mengenai segala-galanya secara terbuka. Anda tidak boleh menceritakan segala-galanya kepada rakan pemain, jadi seronok dapat berbincang mengenainya dengan abang sendiri. “Saya fikir ia sesuatu yang istimewa kerana mempunyai hubungan seperti itu.

Saya tidak perlu menjelaskan mengenai diri saya kepadanya kerana dia memahaminya dan tahu apa yang saya lalui dan itulah sebaliknya.”

Petikan : Harian Metro 23/11/2011

Friday 18 November 2011

Jodoh dan perkahwinan


JODOH bukan semata-mata ketentuan takdir, sebaliknya seseorang itu perlu berusaha dan berikhtiar untuk mencari pasangan hidup masing-masing. - Gambar hiasan



MENGIKUT laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat pada pertengahan tahun ini, Malaysia bakal menjadi negara yang mempunyai lebihan warga tua iaitu generasi berusia 60 tahun dan ke atas.Statistik pada tahun 2000 menunjukkan warga tua di Malaysia berjumlah 1.45 juta atau 6.2 peratus. Pada tahun 2009 pula berjumlah 2.03 juta iaitu 7.1 peratus dan jumlah ini dijangka meningkat pada tahun 2035 dengan menguasai 15 peratus daripada populasi penduduk Malaysia. 

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sesebuah negara dengan statistik menunjukkan warga tuanya melebihi 10 peratus adalah termasuk dalam kategori Ageing Nation.Mengikut kajian, antara punca berlakunya masalah ini ialah makin berkurangnya perkahwinan. Berdasarkan maklum balas dalam sesi ceramah saya, rata-rata orang muda hari ini khususnya wanita, takut untuk berkahwin dan yang lelakinya pula, ada keinginan tetapi mempunyai masalah kewangan. Lantas, apabila soalan ditanyakan, jawapan yang diberikan ialah 'takdir belum tentukan!'.

Hakikatnya, jodoh bukan semata-mata ketentuan takdir. Ia memerlukan usaha dan ikhtiar kita juga. Menepati maksud firman Allah SWT dalam ayat 11 surah ar-Ra'du: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri." 

Ayat itu jelas membuktikan bahawa jodoh atau ketentuan untuk mempunyai pasangan hidup bukan semata-mata kehendak Ilahi. Ia sebenarnya mempunyai kaitan dengan usaha dan ikhtiar kita sendiri juga. 

Mr./Mrs. Right bukan dipilih

Ramai yang berusaha untuk mencari individu terbaik bagi memenuhi cita rasa dan keinginannya untuk dijadikan sebagai teman hidup.Mereka ini lupa, pilihan akan sentiasa tersedia di depan mata. 

Kita memang berhak memilih tetapi terlalu memilih adalah satu penyakit. Tidak perlu mencari pasangan yang sama sikap dan minat. Berbeza sikap dan minat juga bukan halangan hidup bahagia bersama. 

Perlu difahami, pasangan ertinya saling menyempurnakan. Setiap individu diberikan kelebihan malah juga kekurangan. Lantas, melalui konsep saling memberi dan menerima serta ikhlas, akan berhasillah Mr. atau Mrs. Right pilihan anda. 

Panduan mencari pasangan

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Seorang wanita itu dinikahi boleh kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia." - Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Biarpun hadis ini menyebut tentang kriteria memilih calon isteri namun ia juga relevan dan berkait rapat dengan kriteria calon suami. Perlu difahami maksud 'kerana agamanya'. Ia bukan bermaksud calon itu perlu mempunyai kelayakan atau sijil pendidikan tinggi dalam bidang agama tetapi bermaksud lelaki atau perempuan yang melaksanakan tuntutan agama Islam. 

Malah menurut para fuqaha', asas ketetapan kufu' atau sekufu menurut syarak ialah sama taraf dalam ilmu dan amalan agama, bukan sama taraf dalam paras rupa, kekayaan atau pangkat. Dalam usaha mendapatkan calon pilihan, setiap individu perlu perbetulkan diri, apakah anda betul-betul layak untuk berkahwin? 

Jangan terkejut, bukan saja poligami, malah monogami pun ada syarat kelayakannya. Jika anda gagal penuhi kelayakan, hukum asal berkahwin yang harus boleh menjadi makruh atau haram.

Kemampuan

Seseorang lelaki dikategorikan sebagai wajib berkahwin apabila mereka mampu dari segi fizikal dan kewangan malah dibimbangi sekiranya tidak berkahwin, takut terjerumus kepada maksiat zina. Lelaki yang sunat berkahwin ialah mereka yang mampu dari segi fizikal dan kewangan serta mempunyai keinginan untuk berkahwin. Bezanya mereka tidak bimbang akan terlibat dengan zina sekiranya tidak berkahwin.

Lelaki yang haram berkahwin pula ialah mereka yang tidak mampu dari segi nafkah zahir dan batin. Haram juga bagi lelaki yang berkahwin dengan tujuan untuk memudaratkan isterinya.Lelaki yang tergolong dalam senarai makruh berkahwin ialah mereka yang tidak mampu memberi nafkah kepada isterinya tetapi berkeinginan untuk berkahwin. 

Lelaki yang harus berkahwin pula ialah mereka yang tidak mempunyai sebab yang mendesak untuknya berkahwin dan tidak pula mengharamkan dia berkahwin.

Hikmah jodoh lambat

Jika anda termasuk dalam kategori yang lambat berkahwin, jangan susah hati dan jangan bersedih. Ya! Saya akui, sukar untuk meneruskan hidup apabila berdepan dengan pelbagai soalan berkaitan perkahwinan.
Saya sendiri mengalaminya lantaran hanya berjaya menamatkan zaman bujang ketika usia 28 tahun. Ketika itu, saya hanya membiarkan segala soalan tersebut berlalu kerana saya yakin, biarpun jodoh termasuk ikhtiar kita di samping takdir-Nya, keputusan dan perancangan-Nya sentiasa yang terbaik.

Setiap ketentuan dan kehendak Allah itu ada sebab dan hikmahnya. Ada orang yang bertemu jodoh pada usia muda, ada yang bertemu jodoh agak lewat usia dan ada juga yang ditakdirkan hanya bertemu jodoh di akhirat kelak.

Sebab dan kenapa? Hanya Dia yang mengetahui segalanya. Ada kes perkahwinan pada usia muda yang berakhir dengan perceraian hanya selepas dua atau tiga tahun perkahwinan. Lebih menyedihkan, ada perkahwinan yang hanya bertahan selama sebulan.

Ada kes perkahwinan lewat usia tetapi kekal bahagia hingga akhir hayat. Bukan bermaksud kahwin muda tidak bagus, bukan juga bererti kahwin lewat itu yang terbaik. Lantaran tidak semua kes kahwin muda bermasalah dan bukan semua kes kahwin lewat itu bahagia.

Perkara utama ialah setiap ketentuan Allah itu mempunyai alasan yang tersendiri yang hanya akan anda ketahui apabila tiba masanya nanti. Yang penting, jangan putus asa, jangan putus doa, Dia akan berikan anda pasangan apabila itu adalah yang terbaik untuk anda. 

Hanya apabila bersedia

Perkahwinan bukan mainan, bukan juga makmal kajian sebaliknya perkahwinan adalah permulaan medan perjuangan untuk melaksanakan segala amanah dan tanggungjawab anda sebagai suami dan juga isteri.

Lantas, berkahwinlah apabila anda dan si dia sudah betul-betul bersedia, bukan sebab dipaksa orang tua atau hendak mengelak maksiat dan fitnah semata-mata. Maksiat tidak perlu dielak jika anda tidak dekatinya.
Buat para gadis, pastikan bakal suami benar-benar layak. Jangan mudah bertoleransi dari awal, natijah besar menanti anda di belakang hari. Paling penting, dalam ada juga keadaan sentiasa benar-benar serahkan setiap keputusan kepada-Nya. Dia akan membantu, insya-Allah!

Petikan : Kosmo 18/11/2011

Kelapa sumber rezeki Ishak



BAGI yang sudah terbiasa dngan produk tempatan berasaskan bahan semula jadi, tentu tidak asing apabila melihat jenama Bio-Asli. Cukup gah dengan rangkaian produk berasaskan herba dan juga minyak kelapa dara, keluaran milik syarikat Ishak Basiran, 42, itu banyak cerita dan keistimewaannya.

Namun, di sebalik kejayaannya mencipta hingga 40 produk dan dipasarkan dalam talian ke 231 buah negara, laluan buat Ishak sebenarnya tidak bermula dengan mudah. Ia merupakan hasil kerja keras serta usaha yang tidak pernah putus. Pada awal zaman persekolahan, Ishak kerap ponteng kelas dan hal itu membuatkan hati ibunya sedikit tersinggung memikirkan masa depan anaknya.

“Saya ambil upah kupas kelapa setiap kali saya ponteng sekolah. Bila tiba masa kawan-kawan pulang dari sekolah, saya akan menyorok dalam lori kelapa tersebut. “Memanglah ketika itu malas sangat hendak belajar, tapi selepas ditegur oleh seorang lelaki yang juga mengambil upah kupas kelapa sama seperti saya, ia membuatkan saya sedikit takut akan masa depan dan bimbang menjadi seperti dia,” imbas Ishak yang berasal dari Sabak Bernam, Selangor.

Bermula saat itu, Ishak tekad untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran. Setiap malam Ishak akan mengulangkaji pelajaran bertemankan pelita tanah dan seperti biasa dia tetap akan mengambil upah mengupas kelapa selepas habis kelas.

Walaupun persekolahan Ishak berjalan lancar selepas itu, tetapi dia masih gagal mengatasi kelemahan Bahasa Inggeris dan ciri-ciri kepimpinan dalam diri. Begitupun, berkat usaha yang tidak kenal putus asa, akhirnya dia muncul sebagai pelajar terbaik Sijil Rendah Pelajaran (SRP) di sekolahnya.

Sejurus menempatkan diri di Universiti Teknologi Mara (ketika itu Institut Teknologi Mara), kecintaan Ishak terhadap dunia perniagaan semakin ketara apabila dia terlibat dengan jualan dari rumah ke rumah menjual barangan syarikat yang disertainya seperti berus gigi, buku dan lain-lain.

MINYAK Kelapa Dara merupakan produk pertama keluaran Bio-Asli pada tahun 2005.


“Di kolej pula, saya memang tidak boleh duduk diam, saya akan isi masa saya menjual nasi lemak dari bilik ke bilik dan pendek kata selagi saya boleh membuat duit saya akan cuba lakukan,” imbas Ishak. J urutera elektronik Sebagai lulusan Ijazah Sarjana Kepujian Kejuruteraan Jentera, Ishak menimba pengalaman dahulu dalam bidang tersebut untuk beberapa tahun sebelum membuka sebuah kilang elektronik di Sabak Bernam pada 1997.

Bermodalkan RM2,600 dan enam orang tenaga kerja, kilang tersebut mendapat kepercayaan syarikat gergasi Jepun, Tamura Electronics (M) Sdn. Bhd. untuk pemasangan komponen transformer. Pada awalnya, ia mampu mengaut keuntungan jutaan ringgit setiap bulan dan secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak desa Sabak Bernam.

“Kegawatan ekonomi ketika itu menjejaskan prestasi syarikat dan bagi mengelakkan perniagaan saya terkubur, saya mengambil alternatif lain dengan melakukan satu lagi perniagaan dengan jenama Desaku. “Desaku diwujudkan pada 2000 dengan produk utama kami merupakan makanan dan minuman berasaskan bahan-bahan asli orang kampung seperti buah-buahan tempatan,” katanya yang juga memiliki pengalaman menimba ilmu sebagai jurutera di Amerika Syarikat (AS) dan Korea.

Masih belum berpuas hati dengan perkembangan perniagaan Desaku, Ishak lantas cuba berfikir untuk mencipta produk baharu menggunakan herba ataupun buah-buahan tempatan. Selepas menjalankan beberapa siri penyelidikan dan pembangunan (R&D), pada tahun 2005 dengan rasminya tercipta minyak kelapa dara sebagai produk sulung di bawah syarikat baharu Ishak, Bioasli Global Business. Minyak kelapa dara . Pemilihan minyak kelapa dara dirasakan bertepatan dengan kehendak perniagaan Ishak yang mahu membawa rangkaian produk tempatan ke peringkat antarabangsa.

“Kelapa merupakan buah-buahan tempatan yang mengandungi banyak khasiatnya. Paling menyedihkan, orang kita sendiri tidak tahu akan keistimewaan buah kelapa tersebut.“Penciptaan minyak kelapa dara membuka mata ramai pihak bahawa isi kelapa segar itu membantu merawat tubuh badan dan boleh diekstrak ke dalam bentuk lain untuk tujuan kecantikan dan kesihatan.

“Lebih daripada itu, produk ini boleh digunakan oleh semua orang di serata dunia. Menerusi aplikasi dalam talian, perniagaan saya lebih mudah dan berkembang dengan pantas,” jelasnya yang cukup mengagumi kehebatan herba-herba tempatan.

DALAM tempoh lebih lima tahun, Bio-Asli berjaya mencipta sehingga 40 jenis produk.


Kini selepas lima tahun bertapak, minyak kelapa dara keluaran Bio-Asli terus bertahan dan mendapat permintaan menggalakkan orang ramai berikutan kualiti serta perkhidmatan yang cemerlang. Selaku usahawan, Ishak tidak mahu Bio-Asli hanya bergantung harap pada minyak kelapa dara. Oleh itu, dia akan memastikan satu produk baharu dihasilkan setiap tiga bulan sekali.

Kesemua produk yang dihasilkan itu pula tidak tertumpu kepada kesihatan sahaja malah ia turut merangkumi kecantikan lelaki dan wanita seperti losyen, syampu, deodoran dan minyak wangi. Produk untuk keintiman suami isteri yang menggunakan herba tradisional juga mendapat permintaan dalam kalangan pengguna produk bioasli terutama produk Brutal yang menjadi pilihan utama kaum Adam.

Orang kampung. Percaya atau tidak, kejayaan yang diciptakan Ishak itu terjadi di luar bandar dan ibu pejabat serta kilang pemprosesan perniagaannya juga terletak di Sabak Bernam. Kemudahan perniagaan dalam talian memudahkan segala urusan Bio-Asli berhubung ke serata negara tanpa perlu bersusah payah ke bandar atau ke luar negara bagi menghantar produk yang dibeli pengguna.

“Untuk menjadi seorang usahawan, kita tidak perlu bersusah payah bekerja di bandar kerana sebenarnya kawasan kampung paling banyak membuka pintu rezeki buat masyarakat kita. “Jika kita lihat, banyak tumbuh-tumbuhan, buah-buahan dan herba-herba tempatan boleh dikomersialkan menjadi produk bertaraf antarabangsa namun, anak-anak muda kita lebih suka bekerja di bandar kerana suasananya lebih mewah dan selesa,” luahnya.

Ishak juga berpendapat bahawa jika pakar-pakar penyelidik pulang ke kampung halaman dan bersedia menjadi usahawan, sudah tentu Malaysia sudah menjadi negara yang terkenal dengan pengekstrakan produk tempatan.

Oleh ALIF ABU BAKAR
alif.abubakar@kosmo.com.my
Petikan : Kosmo 18/11/2011

Hutang AS cecah RM47.39 trilion

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

AHLI-AHLI Kesatuan Jururawat Kebangsaan dan penyokong mereka mengadakan tunjuk perasaan di Washington DC pada 3 November lalu yang menuntut hutang Amerika Syarikat dikurangkan.


WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Beban hutang pentadbiran AS melepasi takat AS$15 trilion (RM47.39 trilion) kelmarin ketika ahli-ahli politik terus bertelagah berhubung langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengurangkan perbelanjaan negara.

Agensi berita AFP melaporkan, angka daripada Perbendaharaan AS menunjukkan beban hutang persekutuan yang ditanggung rakyat negara itu kini berjumlah AS$15,033,607,255,920.32 (RM47,490,698,234,988.44), meningkat sebanyak AS$55.8 bilion (RM176.28 bilion) sejak Selasa lepas.

Jumlah tersebut dianggarkan menyamai 99 peratus saiz keseluruhan ekonomi AS untuk tahun 2011 yang disifatkan amat tidak sihat oleh pakar-pakar ekonomi.

Petikan : Kosmo 18/11/2011

Srikandi kelas corot

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib dan Shuhada Mansor
am@hmetro.com.my

KONGSI...Kamaliah (kiri) berkongsi bersama rakan sekelasnya Allysha Mohamad Nadzri yang turut mendapat 5A.
 
KONGSI...Kamaliah (kiri) berkongsi bersama rakan sekelasnya Allysha Mohamad Nadzri yang turut mendapat 5A.

KUALA LUMPUR: “Saya nekad mahu buktikan walaupun ditempatkan di kelas tercorot saya juga mampu memperoleh keputusan cemerlang dalam pelajaran seperti murid lain,” kata Siti Aisyah Mawardi, 12, yang memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Siti Aisyah yang tinggal bersama nenek selepas ibu bapanya bercerai enam tahun lalu adalah antara 41 murid memperoleh keputusan cemerlang di Sekolah Kebangsaan Sentul 1 di sini, semalam.

Dia juga tidak menyangka akan mendapat keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran berikutan ketika peperiksaan percubaan UPSR hanya memperoleh 4B 1C. “Keputusan yang kurang memberangsangkan itu menyebabkan saya terus membanyakkan ulang kaji mata pelajaran yang lemah. Saya juga bersyukur kerana selain selalu dibantu guru di sekolah, nenek juga tidak jemu memberi dorongan dan sokongan,” katanya.

Ditanya resipi kejayaannya, Siti Aisyah berkata, dia memberi tumpuan ketika belajar di dalam kelas serta sentiasa menyiapkan kerja sekolah selain mengikuti kelas tambahan disediakan pihak sekolah.

Sementara itu, Kamaliah Nasuha Azuan, 12, dari Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1, kejayaannya mendapat 5A dalam UPSR berbaloi dengan usaha kerasnya selama ini walaupun terpaksa menyeimbangi antara latihan sukan dan akademik.

Kamaliah yang pernah mewakili sekolahnya dalam sukan bola jaring hingga ke peringkat negeri berkata, walaupun penat menjalani latihan kokurikulum di sekolah, dia cuba mencuri masa dua jam untuk mengulangkaji pelajaran bagi menghadapi peperiksaan.

“Saya bercita-cita menjadi atlit negara dalam sukan bola jaring,” katanya.

Selain itu, katanya, keputusan yang diperoleh semalam agak mengejutkannya kerana tidak menyangka mampu memperoleh 5A berikutan dia agak lemah dalam subjek Sains. “Sebelum ini pun saya hanya memperoleh B bagi subjek Sains. Saya tak percaya boleh dapat A,” katanya.

Petikan : Harian Metro 18/11/2011

Friday 11 November 2011

Peninju pertama tumbangkan Ali



“SAYA akan mengingati Frazier dengan penuh rasa hormat dan mengagumi kehebatannya sepanjang hayat.’’ Demikian kenyataan pendek musuh peninju dunia, Joe Frazier, 67, Muhammad Ali berhubung kematian legenda itu baru-baru ini.

Kematian Joe disebabkan kanser hati itu diumumkan keluarganya sendiri selepas legenda itu disahkan menghidapi penyakit itu September lalu dan diletakkan di bawah seliaan hospital beberapa hari sebelum tarikh kematiannya.

Tiga pertemuan dalam gelanggang tinju tumpuan ramai itu cukup menjadikan Frazier dan Ali sebagai ikon tinju dunia yang tiada tolok bandingnya. Trilogi pertembungan dua gergasi sukan yang menjadi fenomena suatu ketika dulu bermula pada tahun 1971 di arena tersohor, Madison Square Garden. Bahkan, ia dilabel sebagai Perlawanan Abad Ini.

Menerusi aksi sulung mereka itu, Ali, ditumbangkan oleh Frazier selepas mengharungi 15 pusingan getir dan seterusnya menjadikan Frazier sebagai peninju pertama menewaskan Ali.Memori 40 tahun dulu itu sentiasa segar dalam ingatan ketika hayatnya. Ia disuarakan Frazier sendiri beberapa bulan sebelum kematiannya apabila beliau berbicara tentang kehidupan, karier dan hubungannya dengan Ali.

“Ke mana sahaja saya pergi, saya tidak boleh untuk tidak bercakap soal kemenangan itu, ia merupakan perkara terbaik pernah terjadi dalam hidup saya,” kongsi Frazier jujur kepada pemberita The Associated Press (AP).

Dengan jolokan Smokin’ Joe, kemenangan epik itu membuatkan nama Frazier disebut-sebut sebagai seteru utama Ali, malah sehingga akhir hayat Frazier pun, beliau masih tidak boleh lari daripada bayangan Ali.
Dengan berat hanya 93 kilogram, Frazier membuktikan bahawa saiz bukan ukuran untuk menumbangkan lawannya. Beliau membuktikan kejayaan itu pada tahun 1970 tatkala menewaskan Jimmy Ellis di Madison Square Garden.

BERTUBUH kecil tidak bermakna Frazier (kiri) tidak boleh menumbangkan lawannya, Muhammad Ali. Foto ini dirakam pada tahun 1971.


“Beliau mempunyai fizikal yang agak kecil untuk kategori heavyweight tetapi Frazier cukup terkenal sebagai peninju yang ganas dan mahir melemahkan lawannya menerusi siri tumbukan pantas termasuklah tumbukan sauk kanan yang menumbangkan Ali ketika perlawanan pertama mereka,” dedah penganjur tinju, Don King.

Kembali bersemuka dengan Ali untuk kali kedua di gelanggang yang sama pada tahun 1974, Frazier gagal mengekalkan penguasaannya ke atas Ali apabila tewas selepas bergelut dalam 12 pusingan.

Melengkapkan trilogi Ali-Frazier selaku musuh tradisi ialah pada 1975 dalam perlawanan hebat digelar Thrilla in Manila yang berlangsung di Filipina. Ia menyaksikan kegagalan Joe mengulangi kejayaan pertamanya apabila tewas selepas mengharungi 14 pusingan.

Pencetus inspirasi
Enggan mengaku kalah, Frazier berdegil mahu menghabiskan pusingan terakhir walaupun pandangan matanya telah kabur ketika itu hinggakan jurulatihnya, Eddie Futch terpaksa menariknya ke penjuru gelanggang.Walaupun tewas, Frazier tidak memberi laluan mudah buat Ali dan ia diakui oleh Ali sendiri yang menyatakan bahawa momen perlawanan itu merupakan gambaran paling dekat terhadap kematian.

“Saya ingin memberitahu dunia bahawa Frazier memaksa saya bekerja keras dan merupakan peninju yang bertanggungjawab menjadikan saya sebagai yang terbaik.“Dia merupakan peninju terhebat sepanjang zaman di samping saya,” jelas Ali pada satu sesi temu ramah usai perlawanan tersebut,” bukti Frazier antara pengaruh tinju ternama dunia menerusi kenyataan yang dikeluarkan bekas penulis sukan tinju AP, Ed Schuyler Jr.

Biarpun dimamah usia, Frazier tidak memilih untuk lenyap terus daripada dunia tinju, dia tetap menghadirkan diri di beberapa pertandingan tinju bagi menunjukkan sokongan dan memenuhi undangan.Pada bulan September lalu, Joe dilihat dalam keadaan sihat dan gembira menandatangani autograf buat orang ramai yang hadir bagi menyaksikan perlawanan antara Floyd Mayweather Jr. dan Victor Ortiz di Hotel MGM Grand, Las Vegas.
Pemergian Joe mengundang kedukaan kepada beberapa atlet-atlet muda hari ini antaranya termasuklah peninju Floyd. Flyod, menerusi laman sosial Twitter menyatakan bahawa sukan tinju telah kehilangan seseorang yang hebat.

Sukan Olimpik
Dilahirkan di Beaufort, South Carolina, Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1944, anak bongsu daripada 12 beradik itu mula meminati sukan tinju selepas menonton satu perlawanan tinju di televisyen.Anak kepada pasangan Rubin dan Dolly itu membesar di ladang tembikai dan kapas milik ibu bapanya. Awal tahun 50-an, Frazier sudah mula mengenali dunia tinju menerusi kaca televisyen hitam putih di rumahnya.

FRAZIER pada majlis tayangan filem premier Georgia Rule di Ziegfeld Theatre, New York empat tahun lalu.


Perlawanan antara Sugar Ray Robinson dan Rocky Marciano menjadi pencetus rasa cinta Joe terhadap sukan tinju. Kesungguhan itu disaksikan sendiri oleh bapa saudara Frazier, Israel yang menyatakan bahawa Joe bakal menjadi pengganti Joe Louis.
Bagi memulakan ‘latihan’ sendiri, Joe membuat sendiri beg tumbuk menggunakan guni yang diperbuat dari gentian gumpalan kapas.

Dengan beg tumbuk ciptaannya itulah Frazier melatih dirinya saban hari menjadi peninju sehinggalah dia mengalami kemalangan yang mengakibatkan kecederaan pada tangan kirinya.

Kemalangan yang mewujudkan tumbukan padu sauk kiri yang sinonim dengan Frazier itu berlaku gara-gara hobinya yang suka mengganggu seekor khinzir seberat 136kg belaan keluarganya. Suatu hari khinzir itu mengamuk dan mengejar Frazier sehingga dia terjatuh.
Pada usia 15 tahun, Frazier bercanggah pendapat dengan seorang pemilik ladang kulit putih tempat dia bekerja dan beliau kemudian berpindah ke New York bersama abangnya, Tommy.

Memulakan perjalanan sebagai peninju, Joe mengekalkan gelaran Middle Atlantic Golden Gloves heavyweight untuk tiga tahun berturut-turut bermula dari tahun 1962 hingga 1964 dan rekod kekalahannya hanya kepada seorang peninju, Buster Mathis Sr.

Walaupun tewas kepada Mathis untuk pusingan kelayakan ke Olimpik, kecederaan tangan yang dialami Mathis ketika membuat tumbukan di kepala Joe mengubah takdir Frazier apabila dia diangkat sebagai pengganti Mathis mewakili negaranya ke Sukan Olimpik pada 1964.Bermula sebagai peninju amatur terkenal di awal pembabitannya, kecintaan Joe dalam dunia tinju semakin menyinar setelah dia menjadi satu-satunya rakyat AS yang berjaya memenangi pingat emas di temasya sukan Olimpik di Tokyo, Jepun pada tahun 1964.

“Dia peninju yang berdiri untuk diri sendiri dan tidak memberi belas kasihan ketika beraksi, Frazier akan memberi keupayaannya 100 peratus di gelanggang dan dia tidak pernah patah semangat,” kata promoter tinju, Bob Arum mengenang kembali kemenangan Joe pada Sukan Olimpik dahulu walaupun mengalami kecederaan pada ibu jari tangan kiri pada pusingan akhir.

FRAZIER (duduk kiri) sambil memegang anak perempuannya, Jo-Netta. Gambar bersama keluarganya ini dirakam pada tahun 1970 selepas kejayaan Frazier di Philadelphia. Florence (duduk kiri), isteri Frazier, bersama Natasya, bayi mereka yang berumur 12 minggu. Berdiri dari kiri: Jaquelyn, 9, Marvis, 10, dan Weatha, 7.


Mula digelar peninju profesional pada tahun 1965, nama Frazier semakin harum dalam sukan tinju dan digeruni peninju-peninju lain disebabkan kehebatan tumbukannya.Selepas bersara daripada dunia tinju, Frazier mengalami masalah kewangan dan membuka sebuah gim di Philadelphia yang kemudiannya ditutup tidak berapa lama selepas itu.

Anak perempuan Joe, Jacqui Frazier-Lyde membuat keputusan untuk mengikut jejak langkah ayahnya pada usia 38 tahun untuk beraksi di gelanggang tinju.Tahun 2001 menyaksikan pertembungan anak perempuan kedua-dua musuh tersebut, Jacqui menentang anak perempuan Ali, Laila Ali dan gagal mencipta sejarah seperti ayahnya, Jacqui tewas di tangan Laila pada pusingan kelapan.

Petikan : Kosmo
12/11/11

Wednesday 9 November 2011

Sarkozy panggil Netanyahu penipu

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
AKSI Sarkozy sewaktu bercakap dalam satu sidang media pada hari terakhir Persidangan G20 di Cannes 4 November lalu.


PARIS - Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy memanggil Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai seorang penipu ketika berbual dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama yang kemudian merungut terpaksa berdepan dengannya (Netanyahu) setiap hari. 

Perbualan itu berlaku sewaktu Persidangan G20 di Cannes, Perancis baru-baru ini. Kata-kata itu didengar oleh wartawan-wartawan selepas ia secara tidak sengaja disalurkan ke sistem yang digunakan untuk tujuan terjemahan, lapor laman web media, Arret sur Images

"Saya tidak boleh berjumpa dengannya (Netanyahu) lagi. Dia seorang penipu," kata Sarkozy dalam bahasa Perancis. "Anda mungkin sudah meluat dengannya, tetapi saya terpaksa berdepan dengannya setiap hari," balas Obama yang diterjemahkan ke dalam bahasa sama. 

Beberapa orang wartawan yang dihubungi AFP mengesahkan mereka mendengar perbualan tersebut. Laman web itu juga menyatakan bahawa sekumpulan wartawan mengambil keputusan untuk tidak melaporkan insiden itu kerana menyifatkannya sebagai perbualan sulit. - AFP 

Petikan kosmo 09/11/11

Tuesday 8 November 2011

'Isteri, ibu terbaik’



KASIH BAPA...Rosli dicium pasangan kembar.
KASIH BAPA...Rosli dicium pasangan kembar.
SEDIH...Rosli menyiram air mawar ke atas pusara Aisah (gambar kecil).
SEDIH...Rosli menyiram air mawar ke atas pusara Aisah (gambar kecil).
SUNGAI BESAR: “Arwah adalah isteri dan ibu yang terbaik,” kata ayah pasangan kembar Ahmad dan Muhammad, 13, Rosli Abdul Rahim, 40.
Isterinya, Aisah Kanda, 35, meninggal dunia kira-kira 4 pagi semalam di Hospital Putrajaya selepas menderita kanser payudara hampir setahun.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor, selepas solat Zuhur, semalam.
Sebelum bacaan talkin dibaca diketuai oleh Imam Masjid Nurdiniah Parit 2 Sungai Haji Dorani, Husin Yusuf, hadirin turut mengalunkan bertakbir kerana jenazah meninggal dunia ketika umat Islam menyambut Aidiladha.

Rosli ketika ditemui menyifatkan isterinya adalah terbaik bagi dia sebagai suami serta ibu kepada lima anak iaitu kembar Ahmad dan Muhammad, Muhammad Iman, 9, Ammar Safiy, 6, dan Nurbadrisa yang berusia tiga tahun.

“Arwah isteri saya sangat tabah, tidak pernah pun mengeluh walaupun membesarkan lima anak termasuk OKU.

“Ketika isteri sakit pun, dia tak pernah nak menunjukkan kepada anak-anak supaya mereka tak susah hati. Malah, sejak dua bulan lalu arwah tak boleh bergerak dan hanya duduk di katil pun tiada keluhan didengari.

“Semalam (kelmarin) saya katakan padanya ‘Ayang, awak kena kuat, namun arwah pula yang meminta saya supaya tabah,” katanya ketika ditemui di rumah mentua di Kampung Sungai Limau, di sini, semalam.
Ditanya bagaimana penerimaan anak-anak apabila mengetahui kematian ibu mereka, Rosli berkata semua anaknya boleh menerima takdir itu namun hanya anak ketiga iaitu Muhammad Iman yang masih sukar untuk menerimanya.

“Semua boleh reda kecuali anak yang ketiga. Mereka selalu bertanyakan khabar ketika arwah dirawat di hospital. Kira-kira 1 pagi tadi (semalam) Ahmad ada menghantar SMS bertanyakan mengenai Aisah.

“Saya jawab emak dah tenat, Along (Ahmad) bacalah Yasin banyak-banyak dan dia jawab Along dengan Angah dan adik baca Yasin untuk emak,” katanya.

Rosli yang bekerja sendiri dengan membuka bengkel besi berkata, dia berazam untuk menjaga anak-anaknya sendiri lebih-lebih lagi sudah biasa dengan cubaan ketika arwah sedang sakit dia mengambil alih hampir semua urusan anak-anak. Sementara itu, Ahmad berkata, dia sebagai anak yang tua akan selalu mengingati pesan ibunya supaya jaga adik dan selalu diingatkan mengenai kerja rumah.

Ahmad dan Muhammad yang lahir bercantum menjalani pembedahan pemisahan hampir 23 jam di Hospital King Fahd National Guard, Bandar Perubatan King Abdul Aziz, Riyadh, Arab Saudi pada September 2002, ketika ini bersekolah dalam tingkatan 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 23, Subang Jaya. 

Oleh Amir Abd Hamid, Siti A’isyah Sukaimi, Suzaini Sulaiman
am@hmetro.com.my
Harian Metro 08/11/11

Enam sahabat terapung 30 jam akibat bot karam

SUNGAI PETANI: Enam sahabat kaki pancing berdepan detik cemas apabila terapung hampir 30 jam dalam laut dengan berpaut kepada tong minyak dan tong ikan yang diikat pada sebatang rotan panjang sebelum diselamatkan sepasang nelayan suami isteri kira-kira tiga kilometer dari pantai Kuala Kedah, malam kelmarin.

Kegembiraan enam sahabat itu keluar memancing dengan bot yang baru dibeli bertukar mimpi ngeri apabila bot berkenaan karam di perairan Yan berhampiran Pulau Songsong, pada jam 2.45 petang, Sabtu lalu.

Bukan itu saja, enam sahabat yang tinggal berjiran di Taman Semarak, di sini, juga terpaksa menyambut Aidiladha dalam keadaan yang tidak dijangka apabila terapung hampir sepanjang hari, kelmarin.
“Sayu kerana menyambut Aidiladha ketika terapung di tengah-tengah laut,” kata Sairi Ibrahim, 51, seorang daripada mangsa kejadian itu ketika ditemui di sini, semalam.

Selain Sairi, lima lagi rakannya ialah Fatah Yahya, 45, Shafie Saidin, 52, Salleh Hamid, 47, Abdullah Yusof, 56, dan Alang Kasturi, 56.

Menurut Sairi, mereka terapung tidak jauh dari kawasan pantai Yan dan dia dapat melihat rumah penduduk selain mendengar takbir raya dari surau kampung berkenaan.

“Malam itu ketika terapung di laut kami melihat lampu sepanjang pantai dan cuba berenang ke arah daratan, tetapi dihanyutkan semula ke tengah. Ketika itu kami dengar azan dan takbir, tapi lama-kelamaan ia hilang selepas kami dihanyutkan jauh ke tengah,” katanya. Sementara itu, rakannya Fatah, berkata apa yang terlintas dalam kepalanya hanya mati kerana tiada siapa yang dilihat boleh menyelamatkan mereka manakala hari semakin gelap.

“Kami memaut apa saja yang ada dan saya berpaut pada tong minyak,” katanya. Semua mangsa diselamatkan sepasang nelayan suami isteri berhampiran Tukun Kepala Batu Tokong, kira-kira tiga kilometer dari Kuala Kedah. Nelayan terbabit, Abdul Satar, berkata dia bersama isterinya turun ke laut untuk menangkap sotong sebelum terdengar orang menjerit.

“Sebaik terdengar jeritan itu, saya berpatah balik dan terjumpa mereka terapung keletihan. Saya ambil mereka dan beri mereka makan dan minum sebelum dibawa ke daratan ke Balai Polis Kuala Kedah,” katanya. Semua mangsa dibawa rakan mereka ke Hospital Sultan Abdul Halim, di sini, pada jam 1 pagi semalam dan dirawat sebagai pesakit luar.

Harian Metro 08/11/11

Jurutera wakaf harta RM10 juta

KUALA LUMPUR: “Saya tidak pandai berdakwah dan ini yang mampu saya lakukan sebagai persiapan menghadapi kematian,” kata pewakaf, Ir Mohd Mazlan Md Ismail, 70, dari Kampung Sungai Penchala, di sini.
Mohd Mazlan mewakafkan dua bidang tanah seluas 0.68 hektar serta dua buah rumah dengan nilai anggaran melebihi RM10 juta kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk dijadikan pusat pendidikan Islam khas kepada warga emas.

“Sudah lebih dua tahun saya berhasrat mewakafkan harta kepada golongan kurang berkemampuan dan alhamdulillah ia termakbul hari ini selepas MAIWP melaksanakan amanah berkenaan.“Harapan saya supaya dimanfaatkan sebaiknya dan membantu golongan warga emas untuk mendalami ilmu Islam secara kaedah pondok dengan pendekatan lebih moden,” katanya ditemani isteri, Rabiah Bee Mohamed Sulaiman, 64, ketika penyerahan hak milik kepada MAIWP di rumahnya, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Dr Muhammad Yamin Ismail.

Menurut Mazlan, keputusan itu mendapatkan persetujuan tiga anaknya dan dia serta isteri menetap di sebuah rumah yang diwakafkan sebelum diserahkan sepenuhnya selepas mereka berdua tiada kelak.
Sementara itu, Dr Muhammad Yamin berkata, bagi merealisasikan hasrat pewakaf, pihaknya memutuskan menjadikan wakaf itu sebagai Pusat Pengajian Warga Emas atau dikenali Pusat Pengajian Warga Emas Dar-Assakinah.

“Segala pengurusan pusat pengajian dikelolakan Bahagian Pembangunan Insan MAIWP dan sebagai permulaan MAIWP akan mengambil antara 10 hingga 15 warga emas atau mengikuti kesesuaian kapasiti rumah ini.
“Namun segala perancangan lain akan dilanjutkan dalam mesyuarat lembaga pada pertengahan tahun ini dan merancang untuk membina satu lagi bangunan di tanah ini bagi membolehkan ramai lagi yang dapat mengikuti pengajian terbabit,” katanya.

Katanya, MAIWP juga akan melantik seorang pengetua bagi menguruskan pusat pengajian yang dibantu pembantu hal ehwal Islam serta seorang pembantu am.

Oleh Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my
Harian Metro 08/11/11

Fauzi tebus maruah keluarga



INDAH...bersama anak dan isteri ketika kunjungan ke Perth, Australia.
INDAH...bersama anak dan isteri ketika kunjungan ke Perth, Australia.
KENANGAN...Fauzi bergambar kenangan bersama pelakon veteran, 

Datuk Sarimah Ahmad selepas program Al-Kuliyyah.
KENANGAN...Fauzi bergambar kenangan bersama pelakon veteran, Datuk Sarimah Ahmad selepas program Al-Kuliyyah. 
 
 
“TERPAKSA berjalan kaki ke sekolah sejauh tiga kilometer dengan seluar compang-camping antara pengalaman yang tidak saya lupakan. Seluar yang bertampal bertahun-tahun tidak berganti, lalu setiap kali berdepan rakan atau guru, saya menekap tangan untuk menutup tampalan kerana malu.

“Kehidupan daif zaman kanak-kanak tanpa kemudahan elektrik, hanya mengharapkan pelita minyak tanah serta menggunakan perigi sebagai sumber air membuatkan saya dan adik-beradik gigih belajar demi menebus maruah keluarga,” cerita perunding motivasi, Fauzi Mustaffa perihal zaman lampaunya.
Cabaran dirasai Fauzi ketika itu lebih mencabar berikutan saudara mara jarang berkunjung ke rumah kerana tahu kesusahan mereka sekeluarga.

Kalaupun tetangga datang, mereka enggan minum kerana khuatir air perigi yang tidak dimasak akan memudaratkan dan masakan emak menjijikkan.

“Kami sekeluarga tidak pernah sedih dengan ‘penghinaan’ sedemikian, sebaliknya menjadikan semua itu sebagai cermin diri untuk mengubah nasib keluarga satu hari nanti.

“Berkat kesungguhan emak dan ayah selalu menekankan pentingnya berpelajaran tinggi, kami adik-beradik selalu berlumba-lumba untuk mencapai keputusan cemerlang dalam pelajaran.

“Alhamdulillah, boleh dikatakan kami semua berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. Abang, kakak dan adik meraih pelbagai jawatan penting seperti jurutera, akauntan dan pakar ekonomi. Inilah pengorbanan ibu bapa yang membesarkan kami,” katanya.

Di sebaliknya, Fauzi tidak menafikan pengorbanan ibunya, Allahyarham Esah Abdullah yang hanya suri rumah tangga sepenuh masa tetapi berjaya membesarkan 15 anak mengetepikan segala kepayahan.

Manakala bapanya pula, Allahyarham Mustaffa Mahmood bergelar guru biasa di daerah Jerteh, Besut, Terengganu membuatkan dia bertekad merealisasi impian untuk berjaya dalam hidup.

“Kini, setelah orang tua kami menghadap Ilahi, saya dan adik-beradik tidak pernah lupa memanjatkan doa buat mereka,” katanya.

Fauzi yang mendapat pendidikan di Universiti Al-Azhar, Mesir mula dikenali menerusi program ‘Aspirasi’ yang disiarkan di TV1 (Radio Televisyen Malaysia) pada 1995.

Seiring minatnya yang mendalam di bidang keagamaan, sememangnya ia sesuai dengan keinginan masyarakat masa kini yang terarah kepada program bercorak keagamaan.

Setahun kemudian, dia mula mengacara program Forum Perdana Ehwal Islam (TV1) selama tiga tahun sebelum dilamar Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) pada 1999, seterusnya menjadi pengerusi bagi program Al-Kuliyyah oleh stesen itu
hingga kini.

Pembabitannya walaupun diikat secara kontrak, namun dia berusaha memantapkan diri menguasai bidang perunding dan motivasi yang mencakupi kekeluargaan, kerjaya dan kemasyarakatan.

Kini namanya mula dikaitkan dengan perubatan secara Islam dan sering dijemput ke Australia, Jordan, Bahrain, Brunei dan Singapura serta turut memberi ceramah agama sesuai pengalaman yang diraihnya lebih 15 tahun di bidang itu.

Fauzi juga terbabit sebagai duta produk makanan dan minuman kesihatan iaitu Jus Tok Guru menerusi syarikat Safran Integrated Marketing dan berbangga kerana mampu melonjakkan perniagaan diasaskan golongan Bumiputera.

Anak kelima daripada keluarga besar itu turut mengakui, antara kenangan terindah yang tidak mungkin dilupakannya adalah berpeluang menemani arwah ibunya mengerjakan umrah di Makkah pada Ramadan 2004 setelah lapan tahun bapanya meninggal dunia.

Saat indah itu dikongsi bersama arwah ibunya yang ketika itu baru sembuh daripada sakit batu karang dan dia bernazar jika pulih daripada kesakitan, mereka berhasrat menunaikan umrah.

“Arwah emak bernazar jika penyakitnya sembuh, dia ingin mengerjakan umrah di samping mengorbankan dua ekor kambing sebagai pernyataan syukur kepada Allah SWT.

“Sepanjang di Makkah, hubungan dengan arwah emak sangat rapat memandangkan saya menguasai bahasa Arab dan hukum-hakamnya, jadi emak menjadikan saya sebagai rujukan.

“Arwah emak pula mengalami lumpuh sebahagian badan dan fizikalnya lebih besar daripada saya, tetapi dengan kuasa Allah apabila arwah emak paut leher saya, terasa begitu ringan badannya.

“Sepanjang umrah itu juga, saya rasa bahagia dan lapang kerana dapat melakukan yang terbaik buat arwah emak,” katanya.

Fauzi turut mengakui, pengalaman ‘direhatkan’ oleh sebuah stesen televisyen akibat salah faham tidak mampu dilupakan. Namun dia menerima dugaan itu dengan penuh sabar serta meminta ibunya melakukan solat supaya dia lebih tenang.

“Arwah emak banyak berdoa untuk kesejahteraan hidup saya. Sepanjang tempoh berehat itu walaupun tidak bekerja, saya menjadi tenang kerana perhatian, kasih sayang, kehebatan doa seorang emak yang sangat mustajab apabila kontrak saya dapat disambung semula di stesen itu.

“Bahkan, rezeki semakin bertambah selepas itu dan tidak tahu bagaimana hendak menggambarkannya melalui kata-kata.

“Sebelum emak meninggal dunia pada 2005, saya rasa tenang biarpun pengorbanan tidak sebesar mana buat orang tua, namun sesuatu yang saya pelajari daripada ‘kehebatan’ seorang ibu yang pernah mengandungkan kita... kasih sayangnya tiada tara. Oleh itu, jagalah hati ibu bapa ketika mereka masih hidup.

“Walau sesibuk mana diri kita, pulanglah menjengah mereka. Apabila mereka sudah tiada, banyakkan bersedekah dan melakukan amal ibadat supaya roh mereka ditempatkan di kalangan insan bertakwa,” katanya.

Dia mengakui, hubungan sesama adik-beradik semakin akrab dan setiap kali Aidilfitri mahupun Aidiladha, walaupun masing-masing berumah tangga, mereka berkumpul di rumah peninggalan arwah ibu bapa setiap kali menjengah kampung halaman.tercinta.



PROFIL:

NAMA: Fauzi Mustaffa
LAHIR: 15 Oktober 1969
ASAL: Besut, Terengganu

JAWATAN: Perunding motivasi (kekeluargaan, kerjaya, kemasyarakatan dan perubatan Islam)

AKADEMIK: Ijazah Sarjana Muda, Universiti Al-Azhar, Mesir
STATUS: Kahwin
ISTERI: Haszlinna Hasnan

ANAK: Luqman Al-Hakim (13), Lutfie Al-Husni (12), Aisyah Al-Humaira (10), Rabiah Al-Adawiah (8) dan Uwais Al-Qarni (dua minggu)

Oleh NORIAH IDRIS
nori@hmetro.com.my
Petikan : Metro Ahad 08/11/11