Tuesday 31 January 2012

Amalkan kumur, gosok dan flos gigi






TATKALA mata bertemu mata, hanya sekuntum senyuman menjadi penghubung komunikasi pertama. Tetapi senyuman manis yang ditawarkan itu tidak sempurna jika ia tidak datang bersama sepasang gigi yang cantik, bersih dan putih.

Bukan untuk tujuan kosmetik semata-mata, kesihatan gigi sebenarnya merupakan tunjang untuk kesihatan keseluruhan tubuh badan manusia. Walaupun ia jarang diberi keutamaan terutama sekali di dunia yang terlalu obses dengan kecantikan berasaskan kosmetik.

Bagi selebriti, penyanyi dan ahli perniagaan yang mula membina nama melalui Akademi Fantasia 4, Farhan Azizan, 28, kebersihan dan kecantikan gigi adalah penjagaan wajib bagi beliau. Bukan disebabkan dia merupakan seorang selebriti tetapi, penekanan terhadap penjagaan gigi dan mulut sudah pun mula diberi perhatian sejak kecil lagi.

Lepas makan terus gosok gigi

"Terima kasih kepada ibu yang banyak membimbing kami lima beradik. Beliau sangat tegas dalam hal menjaga dan membersihkan mulut. Tiap kali selepas makan, adalah menjadi amalan wajib untuk membersih mulut. Ibu juga tidak menggalakkan kami makan coklat sejak kecil," ujar Farhan tentang rejim penjagaan gigi dan mulutnya sejak kecil.

Sudah membiasakan diri menggosok gigi acap kali makan, sekurang-kurangnya empat kali dalam sehari, rejim Farhan tidak terhenti di situ sahaja. 

Bahkan, obses beliau menjaga kesihatan gigi menyebabkan dia akan berjumpa dengan doktor gigi setiap bulan untuk melakukan scaling. Untuk sesi scaling setiap bulan itu dia memperuntukkan RM50.

"Saya tidak pernah ada apa-apa masalah gigi saya mahupun mulut. Jadi saya tidak pernah berjumpa doktor untuk apa-apa masalah, cuma mendapatkan nasihat semasa membuat scaling," katanya yang mengakui akan membawa ubat gigi dan berus gigi bersama-sama setiap masa.

GIGI yang tidak digosok akan menyebabkan plak selain gusi membengkak dan berdarah.


Dalam pada itu, Farhan juga peka terhadap ubat gigi yang digunakan. Oleh itu, beliau menggunakan ubat gigi organik yang menggunakan kandungan utama iaitu daun mambu. 

"Saya tidak gunakan flos sebab takut ia memberi kesan kepada gusi dan boleh merenggang gigi. Ia bukan tidak baik, tetapi mungkin saya tidak mahir menggunakan flos," katanya lagi yang ditemui di pejabat Kosmo! baru-baru ini.

Menariknya, disebabkan rejim gigi sihat yang diamalkan Farhan sehingga kini dia masih memiliki dua gigi susu. 

Sementara itu menurut seorang doktor gigi, Dr. Mazleen Abdul Rahman dari Klinik Pergigian Dr. Leen di Kajang, Selangor, selain memberus gigi yang menjadi amalan wajib, flos gigi adalah satu lagi elemen paling penting penjagaan gigi yang perlu dipratikkan.

"Walaupun kita berkumur atau memberus gigi selepas makan tetapi, tahukan anda bahawa akan terdapat makanan tersekat di celah-celah gigi?" tanya beliau.

Katanya, flos tidak perlu dilakukan kerap tetapi apabila perlu sahaja. Namun, kerisauan ia akan menyebabkan gigi renggang atau gusi berdarah tidak berasas sekiranya ia dilakukan secara betul.

"Flos dengan lembut dan jangan tekan dalam. Flos yang salah boleh memudaratkan gusi. Saya biasanya akan meminta pesakit menunjukkan cara mereka flos gigi supaya ia tidak dilakukan secara salah," katanya lagi sambil memberitahu scaling secara kerap tidak memudaratkan gigi kerana ia tidak membabitkan gigi sebaliknya hanya menggunakan getaran ultrasonic untuk memecahkan karang gigi.

Namun, memberus gigi dipandang satu amalan wajib dan mesti dilakukan beberapa kali sehari kerana ia berfungsi memecahkan sekumpulan bakteria dan sisa makanan yang membentuk biofilm dan seterusnya akan membentuk satu lapisan keras di sekitar permukaan gigi dan gusi kita. 

Apabila memberus gigi, ia akan memecahkan biofilm sebelum ia mula merebak. Plak dan karang gigi di permukaan gigi juga menjadi penyebab utama mulut berbau.

Ia juga boleh terhasil apabila seseorang itu tidak membersihkan lidah mereka. Bau mulut boleh diatasi dengan memastikan gigi dan lidah diberus dengan betul dan penggunaan ubat kumur. 

Antara sebab lain mulut berbau ialah kekurangan air liur berpunca daripada penyakit atau pemakanan ubat.
Bagi mereka yang mempunyai masalah itu, mengunyah gula-gula getah atau menggunakan air liur gantian boleh menyelesaikan masalah itu.

AMALAN membersih gigi dengan garam juga menjadi antara petua amalan Farhan.


Selain flos dan memberus mahupun berkumur Mazleen atau lebih mesra dengan panggilan Leen juga menggesa, supaya pemeriksaan gigi tetap dilakukan sekurang-kurangnya enam bulan sekali.

Ditanya mengenai kepercayaan gigi terlalu putih tidak berapa kuat, ujarnya tiada fahaman seperti itu.

Bagaimanapun, ada kepercayaan gigi kuning sedikit agak kuat kerana mempunyai lapisan dalam yang tebal malah, sebenarnya gigi manusia sedikit kekuningan.

Jelas beliau, berkumur mulut bukanlah wajib tetapi digalakkan sebagai rejim tambahan. 

Sebaiknya, pilihlah ubat kumur mulut bebas alkohol kerana ia boleh mengeringkan mulut selain mempunyai florida, antiplak, gliserin, garam dan bebas gula.

Jumpa doktor walau tidak sakit

Katanya, sikap berjumpa dengan doktor hanya apabila sakit menjadi punca mengapa perjumpaan dengan doktor gigi seringkali dilabelkan 'menakutkan'.

Malah, satu tinjauan membuktikan 50 peratus rakyat Malaysia bertindak mengunjungi doktor gigi hanya ketika mereka berdepan dengan masalah gigi. 

Pada kebanyakan masa, pesakit lebih rela makan ubat gigi atau tahan sakit selama berbulan-bulan mahupun bertahun-tahun semata-mata kerana enggan berjumpa doktor gigi. 

Rakyat Malaysia sukar menyenaraikan pemeriksaan gigi sebagai satu prosedur kesihatan yang wajib seperti mana pemeriksaan kesihatan lain.

Jangan takutkan anak



DOKTOR MAZLEEN memberi tunjuk ajar cara memberus gigi yang betul kepada sekumpulan kanak-kanak di kliniknya di Kajang.



Lebih menyedihkan apabila, ada pula ibu bapa yang suka menakut-nakutkan anak bahawa jika membuat nakal akan dibawa jumpa doktor gigi untuk mencabut gigi. 

Ugutan seperti itu sejak kecil menimbulkan sejenis ketakutan kepada kanak-kanak sejak kecil apabila mendengar perkataan doktor gigi.

"Perkara seperti ini telah menjadikan seseorang itu tidak berani berhadapan dengan doktor gigi. Ibu bapa perlu menghindari kenyataan menakutkan berkenaan doktor gigi. 

"Mereka perlu melatih dan menjadi contoh baik dari segi menjaga kesihatan mulut, gigi mahupun membuat temujanji untuk pemeriksaan," demikian tambah Leen.

Apabila ditanya tentang kedatangan pesakit ke klinik beliau, beliau mengakui 80 peratus pesakit datang selepas sakit dan lazimnya untuk mencabut gigi, manakala 20 peratus lagi datang dengan kesedaran melakukan pemeriksaan.

Bercakap lanjut mengenai kos dan caj rawatan, Leen memberitahu, rawatan gigi sememangnya mahal tetapi, masih terkawal.

Katanya rawatan gigi banyak menggunakan material mahal, perlu dibersihkan berkali-kali atau bahan pakai buang. Semua itu bagi memastikan keselamatan dan tiada infeksi kelak.

Petikan : www.kosmo.com.my

Enggan ajar anak hidup mewah

Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my
KOMITED...sebagai Pengarah Urusan IKSB Shazrina dan Irfan mempunyai hubungan baik dengan pekerja.

KOMITED...sebagai Pengarah Urusan IKSB Shazrina dan Irfan mempunyai hubungan baik dengan pekerja. 
PENAMPILAN wanita kepada empat cahaya mata ini cukup sederhana. Tanpa secalit solekan mahupun gincu pada bibir, wanita berdarah campuran India di sebelah datuk dan Cina sebelah nenek ini masih menawan dengan mengenakan padanan blaus dan skirt labuh. 

Walaupun bergelar isteri kepada jutawan Internet, Dr Noor Irfan Khairi Noor Azmi, 34, atau lebih dikenali sebagai Irfan Khairi, Shazrina Yusof, 36, tidak pernah menjadikan status diri untuk bermegah-megah atau tampil mewah sama ada dalam penampilan mahupun kehidupan.


Foto

















  
Foto
















  •  
  •  
  • KELUARGA...Shazrina bersama suami, Irfan Khairi dan empat anak mereka (dari kiri) Ilham Abadi, Ikhlas Abadi, Cinta Strawberry Abadi dan Kasih Kamilia Abadi yang menjadi tunjang dalam kebahagiaan keluarga.
SHAZRINA...sanggup menguruskan keluarga tanpa pembantu rumah.
Buktinya, walaupun memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Irfan Khairi Sdn Bhd (IKSB), dia tidak pernah mempunyai pembantu rumah, malah menguruskan anak-anak dan keluarga dengan bantuan suami.

Walaupun berpendapatan mencecah lima angka sebulan, bagi pasangan suami isteri ini menguruskan keluarga dengan melihat anak-anak membesar di depan mata adalah pengalaman paling berharga dan sukar dicari ganti.

“Saya sendiri memilih untuk menjaga anak-anak tanpa mengambil pembantu rumah atau menghantar mereka ke rumah pengasuh. Ini kerana ketika melahirkan anak pertama di England, semuanya saya uruskan sendiri dan selepas berbincang dengan suami, kami mengambil keputusan menjaga anak bersama-sama selepas kembali ke Malaysia,” kata Shazrina.

Sebagai Pengarah Urusan IKSB yang menjaga pengurusan syarikat termasuk kewangan dan pentadbiran, setiap hari masanya padat diisi dengan urusan pejabat dan kerja rumah.

Rutin harian Shazrina bermula seawal jam 5 pagi dengan menyediakan sarapan, membantu anak-anak bersiap kemudian menghantar empat anaknya, Ilham Abadi, 10, Kasih Kamilia Abadi, 8, Ikhlas Abadi, 6 dan Cinta Strawberry Abadi, 4, ke sekolah.

Kemudian dia bersarapan bersama suami dan terus ke pejabat menguruskan urusan syarikat sehingga anak-anak pulang dari sekolah.

“Biasanya saya memasak hidangan tengah hari sebelum menghantar mereka ke sekolah kerana tidak mahu mengganggu urusan pejabat. Selepas mengambil anak-anak dari sekolah, kami makan tengah hari bersama.

“Sekiranya tiada bengkel, program radio atau televisyen, Irfan bekerja di bilik yang dijadikan pejabatnya manakala saya melakukan tugasan dari rumah kecuali sekiranya ada hal penting barulah saya membawa anak-anak ke pejabat.

“Biasanya ini tidak menjadi masalah kerana di pejabat sudah disediakan bilik khas bersama komputer untuk anak-anak belajar dan bermain,” kata Shazrina yang memiliki kelulusan dalam bidang pengurusan perniagaan dan perhotelan daripada Universiti Birmingham, United Kingdom.

Bagi Shazrina, keputusan membesarkan anak-anak serta menjalankan urusan pejabat di rumah adalah langkah tepat. Sebagai ibu, dia menikmati banyak kelebihan berbanding pasangan lain yang bekerja lapan jam sehari antaranya kepuasan melihat perkembangan anak-anak sejak bayi dan kini bersekolah. Secara tidak langsung jalinan hubungan dengan anak-anak menjadi lebih mesra dan akrab.

“Saya dan suami menjadikan anak-anak sebagai kawan rapat. Kami boleh bercerita dan berbincang apa saja. Malah anak-anak senang meluahkan apa yang terbuku di hati mereka. Inilah kebaikan menguruskan perniagaan Internet dari rumah kerana kami dapat makan bersama, menemani anak-anak ketika belajar, membantu mereka membuat kerja sekolah, bermain permainan video atau beriadah di padang,” kata Shazrina.

Pada masa sekarang, pembelajaran di sekolah menjadi bertambah sukar dan mencabar. Anak-anak dibekalkan dengan pelbagai buku. Justeru, ibu bapa memainkan peranan penting memantau perkembangan anak-anak di rumah. Misalnya, melihat kerja sekolah serta memberi pemahaman apa yang mereka pelajari di sekolah.

“Ibu bapa tidak boleh meletakkan tanggungjawab kepada guru 100 peratus dan mengharapkan anak-anak akan mendapat apa yang mereka pelajari di sekolah.
Sebaliknya ibu bapa harus memastikan mereka turut berperanan dalam menyumbang bukan saja perkembangan mental malah emosi dan sahsiah diri,” katanya.

Menurut Shazrina, banyak kelebihan bagi pasangan suami isteri yang bekerja di rumah. Antaranya dapat memberi perhatian dalam pendidikan anak-anak seterusnya mewujudkan keluarga bahagia.

Sebagai ibu bapa moden yang berdepan dengan pelbagai cabaran dalam mendidik anak-anak, Shazrina mengakui adakalanya wujud rasa gusar memikirkan bentuk didikan yang bakal diberikan apabila mereka meningkat remaja. Oleh sebab itu, sejak kecil Shazrina dan Irfan mengajar anak-anak untuk tidak bermewah.

Walaupun berkemampuan membelikan apa saja barangan yang diminta, cara sebegitu akan menyebabkan mereka tidak tahu menghargai kesusahan.

“Sejak kecil saya sudah mengajar mereka menabung menerusi duit sekolah yang diberi setiap hari. Saya katakan, jika duit simpanan sudah cukup barulah dapat membeli barang yang mereka kehendaki.

“Walaupun mampu, kami tidak suka berhabis kepada perkara yang tidak perlu. Jika mahu sesuatu misalnya permainan, mereka harus berusaha memilikinya dengan tabungan sendiri. Misalnya apabila mendapat duit raya, saya membawa mereka membeli permainan mengikut nilai wang yang mereka miliki supaya mereka belajar menghargainya,” jelas Shazrina yang merancang perbelanjaan mengikut keperluan keluarga.

Apabila tiba hari lahir anak-anak barulah dia membelikan hadiah untuk mereka. Dengan cara ini mereka merasakan tidak semua barang dapat diperoleh dengan mudah.

Selain itu sebagai isteri dan ibu yang menguruskan keluarga, Shazrina mengamalkan makan bersama di rumah. Tambahan pula, Irfan lebih suka masakan isteri berbanding makan di luar.

Setiap hari dia memasak dan mencari resipi baru menerusi Internet. Begitu juga dalam soal membeli-belah, Shazrina tidak mengamalkan membeli barangan berjenama, sebaliknya mengehadkan kepada keperluan dan membeli ketika jualan murah.

“Kami amat jarang membeli-belah kecuali apabila perlu, contohnya ketika Aidilfitri. Malah, saya dan suami lebih suka amalkan membeli barangan ketika jualan murah kerana lebih jimat dan berbaloi. Irfan pula sekiranya terpaksa bekerja luar, sama ada di dalam atau luar negara, dia pasti membawa keluarga bersama-sama,” katanya.

Shazrina berharap, dengan didikan dan bimbingan yang diberi kepada mereka sejak kecil, anak-anak mampu menilai perkara yang baik dan buruk. Dalam pada itu, Shazrina dan Irfan sentiasa memberi kebebasan kepada anak-anak melakukan perkara yang mereka minati.

“Sama ada mereka memilih bidang teknologi, seni atau sukan, sebagai ibu bapa kami sentiasa memberi galakan. Namun jika diperhatikan kecenderungan anak-anak adalah lebih kepada bidang teknologi maklumat.

Sejak berusia tiga tahun mereka sudah menggemari bidang rekaan grafik dan masing-masing sudah mempunyai komputer sendiri. Anak sulung, Ilham misalnya sudah boleh membersihkan virus komputer dan ingin mengikut jejak langkah ayahnya manakala anak kedua bercita-cita membuka perniagaan suatu hari nanti,” kata Shazrina yang tidak akan menghalang keinginan anak-anaknya sekiranya mereka mempunyai cita-cita di bidang lain.

Bersuamikan seorang yang kaya dan terkenal, sebagai isteri Shazrina tidak pernah gusar malah sentiasa memberi sokongan kepada suaminya meneruskan legasi dalam perniagaan. Sejak mula mengenalinya, Irfan seorang yang sangat kuat bekerja dan menghabiskan masa 16 jam sehari di hadapan komputer.

“Sebagai isteri saya tidak pernah menganggap ia sebagai tekanan. Sebaliknya, kami sama-sama bertukar pendapat untuk memajukan syarikat dan juga kebahagiaan dalam keluarga. Sejak mengenalinya dia tidak pernah berubah. Bagaimana sikapnya sebelum bergelar jutawan begitu juga sekarang. Malah, kasih sayangnya makin menebal dengan kehadiran anak-anak,” kata Shazrina yang mengakui Irfan tidak boleh berjauhan dengan isteri dan anak-anak dalam tempoh yang lama.

Mengulas sikap suaminya di rumah, menurut Shazrina, Irfan seorang yang lembut dan tidak pernah meninggikan suara. Apabila bercakap, dia sentiasa menggunakan pendekatan berhemah dan jarang marah.

“Begitu juga dalam mendidik anak-anak. Dia tidak menggunakan kekerasan sebaliknya pendekatan psikologi. Oleh sebab itu anak-anak mudah mendengar kata walaupun dia bukan jenis yang garang.

Prinsip Irfan, apa pun yang berlaku dalam hidup setiap orang perlu berfikiran positif. Sebab itu wajahnya sentiasa ceria,” jelas Shazrina yang menjalinkan hubungan cinta dengan suaminya ketika bertemu di Birmingham, United Kingdom (UK) ketika kedua-duanya bekerja di sana.

Perkenalan diatur rakan masing-masing ketika itu akhirnya menyatukan kedua-dua ke jenjang pelamin.

“Selepas kira-kira enam bulan bertunang dan cukup setahun usia perkenalan, kami kembali ke Malaysia untuk melangsungkan perkahwinan. Kemudian, kami terbang semula ke UK dan kembali bekerja,” ceritanya mengimbas kenangan lama.

Melihat kesibukan sebagai isteri, ibu dan pengarah di pejabat, nyata Shazrina sangat menjaga kesihatan. Walaupun tidak mengamalkan rutin senaman setiap hari, tetapi dia dan keluarga sentiasa bertemu pakar kesihatan bagi memastikan kesihatan suami dan anak-anak dalam keadaan sempurna.

“Sebagai seorang yang aktif saya akan pastikan tubuh berada dalam keadaan baik dengan mengamalkan makanan berkhasiat dan mengambil vitamin tambahan. Saya percaya kesihatan yang baik akan menjadikan seseorang itu produktif sama ada dalam kerjaya dan keluarga,” katanya yang turut menetapkan ciri-ciri keselamatan dalam keluarga sama ada di dalam mahupun ketika keluar rumah.

petikan www.hmetro.com.my 01/02/2012

Monday 30 January 2012

Tiga beradik tidak sekolah kerana miskin


K. Murugaya dan isterinya, Janaki serta dua anaknya, Arjunan (kiri) dan Mawani di hadapan rumah sewa mereka di Ladang Geddes, Jempol.


JEMPOL - Ketika rakan sebayanya pergi ke sekolah, tiga beradik di Ladang Geddes, dekat sini terpaksa melupakannya kerana ibu bapa mereka berhadapan kemelut kewangan.
Tiga remaja berkenaan, M. Guna, 15, M. Arjunan, 14 dan M. Mawani, 11 sekadar tumpang gembira mendengar cerita rakan yang bersekolah dan sesekali meminjam buku untuk mengetahui apa yang dipelajari di sekolah.
Sebelum ini Guna dan Arjunan pernah bersekolah sebelum mereka terpaksa berhenti pada tahun 2009 kerana kesempitan wang, manakala Mawani pula tidak bersekolah langsung.
Bapa mereka, K. Murugaya, 47, be rasa sedih apabila memikirkan masa depan anaknya yang tidak menentu.
"Saya tidak bekerja kerana berhadapan masalah kesihatan. Saya menghidap penyakit jantung dan pergerakan juga tidak normal.
"Seluruh badan saya kini lemah dan tidak mampu melakukan kerja berat," katanya di sini semalam.

Petikan Kosmo! www.kosmo.com.my
30/01/2012

Saturday 28 January 2012

‘Suara dari langit’ dijawab minggu depan
 


PETRA JAYA: Kejadian aneh ‘suara dari langit’ yang menggemparkan penduduk sekitar Kota Samarahan dekat sini pada 11 dan 12 Januari lalu, akan terjawab minggu depan apabila Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mengumumkan hasil siasatan pakar mereka.

Timbalan Menteri, Sains dan Teknologi, Datuk Fadillah Yusof, berkata pihaknya yakin kejadian aneh itu mempunyai penjelasan dari sudut saintifik yang dapat diterima semua pihak, sekali gus menolak beberapa andaian tidak logik.
Katanya, rakaman dan temu bual dengan penduduk yang mendengar suara aneh itu dibuat pasukan penyiasat dari Kuala Lumpur dengan jawatankuasa kementeriannya sedang menilai perkara berkenaan.
“Keputusan rasmi mengenai kejadian berkenaan akan dibuat oleh pihak MOSTI minggu depan selepas semua siasatan termasuk mendengar kembali bunyi aneh itu oleh pakar, dilaksanakan.

“Laporan awal mendapati kemungkinan besar bunyi berkenaan berpunca daripada pendandang kilang sawit milik FELCRA di Samarahan dengan pengesahan lanjut akan dibuat selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi Parlimen Petra Jaya, di sini, semalam.

Baru-baru ini, penduduk di sekitar Kota Samarahan mendengar bunyi aneh antara jam 1 pagi hingga 5 pagi pada hari berkenaan dan ia mencetuskan pelbagai andaian penduduk di negeri ini dan tersebar dalam Youtube.


Oleh M Hifzuddin Ikhsan 2012/01/29

Petikan www.bharian.com.my
29/01/2012

This summary is not available. Please click here to view the post.

Tetap rindu tanah air

Oleh YUSMIZAL DOLAH ALING
yusmizal@hmetro.com.my
     
RAMAH...Karimah (kiri sekali) bersama ahli keluarganya ketika sesi temuramah di Lombok.
RAMAH...Karimah (kiri sekali) bersama ahli keluarganya ketika sesi temuramah di Lombok. 

DIA tidak pasti sama ada disihir atau tidak tetapi yang dia tahu, setiap kali pulang ke Malaysia, rasa rindu yang mendalam untuk kembali ke Lombok begitu menebal.

Itu dilema hidup Lelly Hirawati, 31, rakyat kita yang jatuh cinta kepada jejaka Lombok sehingga sanggup mengikut suaminya menetap di sana sejak sembilan tahun lalu.


   
Foto
  •  
  •  
  • DILEMA HIDUP...Lelly bersama anaknya.
  • Foto DAYA PEMIKAT...pakaian tradisional pemuda Lombok.
Pada pandangan mata kasar dia nampak biasa, namun di dalam hatinya seolah-olah tampak tersimpan seribu rahsia keperitan hidup di rantau orang. Andai diselongkar rahsia hatinya, mungkin dia mahu mengubah kembali putaran masa supaya hidupnya lebih bermakna.

“Saya berserah pada Tuhan untuk menentukan nasib saya di sini. Segala-galanya berjalan lancar walaupun ada ketikanya begitu rindu untuk bersama keluarga di tanah air sendiri.


“Bagaimanapun, ini jalan yang saya pilih dan saya terima dengan hati terbuka.
Satu hari nanti, pasti saya akan pulang,” katanya kepada Metro Ahad ketika ditemui di Kampung Prabu, Lombok Tengah, baru-baru ini.

‘Drama’ kehidupannya bermula apabila berkenalan dengan suaminya yang dikenali sebagai Dino ketika dia masih di bangku sekolah pada 1997.

Hubungan berjalan dengan baik memandangkan lelaki itu bekerja di ladang berdekatan rumahnya di Kampung Bongsu, Temerloh, Pahang.

Bagaimanapun, lima tahun selepas perkenalan itu, suaminya mengalami kemalangan dan terpaksa dihantar pulang ke Lombok untuk menerima rawatan dan ketika itu jiwanya terasa kosong kerana tiada insan tersayang di sisi.

“Saya kemudian nekad untuk bersama-sama Dino di Lombok dan pergi ke sana seorang diri selepas memaklumkan hasrat itu kepada keluarga.

“Dua hari selepas sampai di sana, saya terus bernikah dengan suami dan saat itu bermulalah kehidupan saya sebagai ‘orang Lombok’ dan tinggal bersama mentua hinggalah dikurniakan dua anak yang kini masing-masing berusia sembilan dan tiga tahun.

“Pada awalnya, saya kekok untuk menyesuaikan diri dengan corak hidup masyarakat tempatan, namun mengenangkan kasih sayang kepada suami, saya gagahkan juga. Kini, saya fasih berbahasa Lombok dan melakukan kegiatan seharian sama seperti penduduk lain,” katanya.

Kerana desakan hidup, Lelly kini mahir melakukan kerja kampung dan pelbagai kegiatan lain untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga, ditambah pula pendapatan suaminya yang bekerja di tempat mendulang emas tidak seberapa.

“Bayangkan, ketika di kampung dulu, saya langsung tidak terfikir akan membela lembu dan buat kerja kampung kerana sebelum ini bekerja kilang. Namun di sini, saya melakukan apa saja untuk mencari rezeki keluarga dan anak.

“Mujur bapa mentua adalah ketua kampung sejak 28 tahun lalu. Pengalamannya banyak membantu saya menjalani kehidupan di sini. Kini saya dilantik sebagai wakil golongan wanita di kampung ini.

“Antara aktiviti yang saya jalankan ialah menjadi pemandu pelancong dan skim kutu untuk penduduk kampung. Sampai hari ini, hanya saya memakai seluar jeans kerana penduduk di sini hanya tahu memakai kain batik,” katanya.

Ditanya apakah perkara yang mengingatkannya kepada kampung halaman, Lelly berkata, sebagai anak jati Temerloh, sudah tentu dia ingin menikmati masakan lemak tempoyak ikan patin yang sinonim dengan daerah kelahirannya.

Walaupun tekaknya ‘lali’ dengan makanan Lombok, sesekali dia teringat kenangan manis ketika di kampung dan zaman sekolahnya dulu selain ketika bekerja sebagai penyelia sebuah kilang di Mentakab.

“Itu semua tinggal kenangan. Kedatangan ayah ke sini Mei lalu sedikit sebanyak mengubat rindu. Saya ingin pulang lagi ke Malaysia, tapi keadaan belum mengizinkan buat masa ini.

“Saya juga perlu memberi tumpuan untuk membesarkan anak,” katanya dalam pertemuan yang turut disertai Pegawai Khas Biro Aduan Komuniti, Pemuda Umno, Khairil Anuar Ahmad.

Sementara itu, bapa mentuanya, Lalu Haerudin, 60-an, berkata menantunya disenangi penduduk kampung kerana pandai menghormati orang lain, mampu melakukan pelbagai perkara dalam satu masa selain tahu menggunakan komputer.

“Dia disenangi penduduk di sini, malah golongan wanita menganggapnya sebagai ketua mereka. Banyak aktiviti dijalankan sejak dia datang di kampung ini.

“Dalam aktiviti kemasyarakatan, dia diberi kepercayaan sebagai bendahari di kampung dan menguruskan kewangan persatuan dengan baik,” katanya.


Tiada istilah ‘bawa balik’

EMPAT hari yang penuh debaran. Itu yang boleh penulis simpulkan sepanjang berada di bumi Lombok dalam usaha menjejaki rakyat Malaysia yang dilarikan dan berkahwin dengan jejaka pulau berkenaan.

Dibantu Pegawai Pelancongan Nusa Tenggara Barat, Anton Han yang mengaturkan pertemuan demi pertemuan dengan ‘wakil’ penduduk di beberapa kampung, pengalaman menyamar sebagai pelajar berasal dari Malaysia yang ingin menyiapkan kerja kursus untuk subjek pelancongan di Universitas Mataram tentunya tidak dapat dilupakan.

Pelbagai helah perlu disusun berserta pelan kecemasan kerana sejak awal menyatakan hasrat membuat tugasan itu, penulis diingatkan mengenai bahaya yang menanti jika tersalah langkah, mujur Anton menggunakan ‘kemudahan’ dan kedudukannya sebagai pegawai pelancongan untuk memudahkan mendapat maklumat.

Sejak mula lagi, penulis menyerahkan kepada Anton untuk mendapatkan sumber seberapa banyak yang mungkin kerana ia tugasan sukar dan belum tentu akan mendapat kerjasama baik daripada warga Lombok, yang sudah tentu tidak mahu kisah warisan mereka dihebahkan kepada umum, lebih-lebih lagi Malaysia, negara jiran yang menjadi tempat mencari rezeki.

Berita gembira hanya diperoleh selepas seorang ahli perniagaan yang mahu dikenali sebagai Satria sudi membawa kami ke perkampungan Prabu, Pantai Kuta untuk bertemu warga kita berasal dari Temerloh, Lelly Hirawati, 31, yang lari mengikut suaminya ke sana sembilan tahun lalu.

Perjalanan yang mengambil masa hampir dua jam dari Kota Mataram itu diselang seli dengan perbincangan mengenai apakah soalan yang boleh ditanya atau tidak kerana Satria sendiri berdepan situasi rumit membawa tenaga kerja Indonesia untuk bekerja di sektor perladangan di Malaysia secara sah sejak 10 tahun lalu.

Kata Satria, jangan sentuh langsung mengenai tujuan membawa pulang mereka ke sana kerana bimbang, wanita berkenaan dipukul dengan teruk jika bercerita soal kesengsaraan hidup di Lombok, sebaliknya soalan lebih terarah kepada apa aktiviti dijalankan dan pendapat positif mengenai pulau itu.

Selepas tiga kilometer melalui jalan merah berbatu di kawasan berbukit, kami tiba di Kampung Prabu yang terkenal dengan aktiviti mendulang emas di kalangan penduduk sekitar dan terus ke rumah mentua Lelly, yang juga ketua kampung itu sejak 28 tahun lalu.

Penulis hanya mendiamkan diri ketika Anton dan Satria menyatakan tujuan kami ke situ dan memperkenalkan saya sebagai penuntut yang datang untuk menyaksikan kehidupan warga kita yang berkahwin dan menetap di sana.

Sebaik memulakan temubual, saya mula menyedari ahli rombongan kami mula bertambah ramai dengan sesekali terdengar bunyi orang berbisik di belakang saya.

Mujur Lelly terus bercakap sehingga selesai dan selepas itu baru bapa mentuanya, Lalu Haeruddin, mencelah kerana mahu memberikan maklumat tambahan kepada penulis mengenai tradisi Merariq yang diamalkan masyarakat Sasak sejak 15 generasi terdahulu.

Kemudian, tanpa disangka-sangka, Haeruddin memaklumkan penulis bahawa hari itu dia mempunyai acara istimewa untuk ditunjukkan kepada kami iaitu upacara melaporkan kepada ketua kampung mengenai kejadian culik yang berlaku.

Diketuai Samudera, 38, rombongan lapan pemuda lengkap berpakaian masyarakat Lombok duduk bersila di depan Haeruddin dan terus memberikan laporan mengenai kejadian culik yang baru berlaku tiga hari sebelum itu, selain memaklumkan cadangan pihak lelaki untuk berkahwin dengan si gadis.

Selesai upacara itu, kami mendapat panggilan daripada Pak Abu, Ketua Kampung Teruwai yang turut berusaha mendapatkan persetujuan seorang lagi gadis Malaysia dari Gua Musang, Karimah Yaacob, 27, yang mengikut teman lelakinya selepas berkenalan selama sebulan.

Mengambil masa lebih kurang sejam dari destinasi pertama, kami tiba di kampung berkenaan yang majoriti penduduknya bertani dan menternak sebagai punca pendapatan.

Di situ, lebih ramai penduduk berkumpul untuk mengetahui keadaan sebenar dan seperti mana permulaan, urusan itu penulis serahkan kepada Anton kerana dia lebih tahu pendekatan sesuai digunakan kerana yang penting, maklumat dan gambar daripada mangsa.

Sementara menunggu Karimah yang ke sawah untuk memotong rumput sebagai makanan lembu peliharaannya, penulis diajukan beberapa soalan mengenai tujuan ke situ dan kenapa menjadikan warga Malaysia sebagai responden, sedangkan banyak lagi aspek pelancongan lain yang boleh dijadikan bahan ‘kerja kursus’.

Sesi berkenaan menjadi terkawal dengan Anton banyak memainkan peranannya sebagai perantara yang memberikan kebenaran penulis ke kampung itu walaupun ada beberapa pemuda tampak tidak berpuas hati kerana penulis hanya menjawab beberapa pertanyaan mereka, namun kembali reda selepas Pak Abu campur tangan.

Sebaik Karimah tiba, penulis terus memulakan sesi soal jawab dan ternyata, dia terlalu rindukan kampung halamannya di Sungai Terah kerana sejak berhijrah ke Lombok pada 2006, dia belum pernah pulang ke pangkuan keluarga.

Sebaik selesai, Anton mengarahkan saya dan Pegawai Khas Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Khairil Anuar Ahmad segera menaiki kereta dan beredar dari kampung berkenaan kerana bimbang diajukan soalan oleh penduduk kampung yang memungkinkan risiko penyamaran kami pecah.

Rasa lega apabila menjejakkan kaki ke hotel di Selaparang, Mataram tidak kekal lama apabila saya menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Lelly yang menafikan dirinya bahagia selama berada di Lombok dan mahu pulang ke Malaysia jika mempunyai ruang.

Turut diceritakan bagaimana dirinya terjebak dalam cinta remaja dengan suaminya ketika masih di bangku sekolah dan bagaimana perasaannya apabila terpaksa ‘balik’ ke Lombok walaupun empat kali berjaya pulang ke pangkuan keluarganya di Temerloh.

Penulis menunjukkan SMS berkenaan kepada Anton dan dalam reaksi segera, dia menyuruh penulis mengabaikan SMS itu kerana ia berkemungkinan besar datang daripada suami Lelly yang mahu memerangkap kami supaya bertemu wanita itu buat kali kedua.

Mungkin ada benarnya tekaan Anton kerana selepas itu, penulis menerima satu lagi SMS meminta bertemu Lelly secara sendirian di Pantai Kuta kerana banyak yang mahu diceritakan, termasuk kemungkinan dirinya terkena sihir keluarga mentua.

Penulis sebaliknya memberikan alasan sibuk dengan kerja lain dan meminta pengirim menelefon semula, namun sehingga semuanya selesai, tiada satu pun panggilan diterima.

Kesimpulannya, peluang menjejaki kehidupan warga Malaysia di sana penuh dengan cabaran, baik perancangan hinggalah penyelesaian terbaik.

Tiada istilah ‘bawa balik’ semula rakyat kita di sana kerana secara tidak langsung mereka diiktiraf keluarga mentua sebagai orang Lombok.


Hanya perlu sebulan

HEBATNYA ‘ilmu’ jejaka Lombok apabila hanya memerlukan masa sebulan untuk memikat seorang gadis tempatan yang dikenali ketika bekerja di sebuah ladang di Sungai Terah, Gua Musang, Kelantan hingga gadis itu sanggup berhijrah ke negara jiran dan berumah tangga di sana.

Bukan itu saja, dia juga tidak pernah bersua muka dengan lelaki itu, malah hanya berhubung menerusi panggilan telefon dan kiriman gambar sebelum mengambil keputusan berkahwin dan tinggal bersama keluarga mentuanya di Desa Teruwai, Lombok Tengah.

Karimah Yaacob, 27, berkata pada mulanya dia langsung tidak menyedari kehadiran suaminya di kampungnya, namun selepas dimaklumkan seorang rakan bahawa ada lelaki ingin berkenalan dengannya, baru dia tahu sekumpulan pekerja Indonesia tinggal berdekatan rumahnya.

Katanya, dalam tempoh sebulan itulah dia mula berkenalan dengan suaminya menerusi telefon kerana kebetulan, selepas mula mengenali antara satu sama lain, suaminya berpindah ke Johor dan bertugas di sana, menyebabkan mereka tidak dapat bertemu.

“Suami sempat mengirimkan foto sebanyak tiga kali melalui seorang rakannya yang masih bekerja di kampung saya. Dalam tempoh itu, dia mengajak saya berkahwin dan mengikutnya ke Lombok untuk tinggal bersama keluarganya di sana,” katanya ketika ditemui di Desa Teruwai, Lombok Tengah, Nusa Tenggara Barat, baru-baru ini.

Katanya, selepas mendapat restu keluarga, dia kemudian ke Johor dan dibawa menaiki kapal di Stulang Laut menuju Batam dan transit di situ sebelum memasuki Lombok yang mengambil masa lima hari keseluruhannya.

Karimah berkata, setibanya di kampung suaminya, mereka terus disatukan sebagai suami isteri mengikut adat perkahwinan Lombok dan sejak itu dia tidak pernah pulang ke Malaysia dan hanya bertanya khabar sanak saudara di Kelantan menerusi telefon.

“Saya begitu rindu untuk menikmati masakan Kelantan, terutama budu, kerana sejak mengikut suami ke Lombok, saya tidak lagi berpeluang merasainya. Setiap hari saya berdoa supaya dapat pulang ke Malaysia untuk bersama-sama keluarga biarpun tidak tahu bila.

“Dengan keadaan hidup ketika ini, saya tidak pasti bila hasrat itu dapat dipenuhi. Saya perlu bersama-sama keluarga ‘baru’ ini walaupun di dalam hati terlalu rindu untuk pulang ke tanah air,” katanya.

Menurutnya, enam bulan pertama pernikahannya adalah tempoh yang mencabar kerana tidak faham bahasa Lombok dan hanya berkomunikasi dengan ibu mentuanya menggunakan bahasa isyarat dengan sesekali menganggukkan kepala tanda faham dan mahu sesuatu.

Setiap kali tiba waktu makan, ibu mentua mengajaknya makan bersama dan bertanyakan sama ada dia boleh makan masakan Lombok atau tidak, namun dia hanya mengangguk atau menggelengkan kepala sebagai maklum balas.

“Mulanya, saya tidak makan kerana tidak biasa dengan masakan sini. Suami membelikan saya roti untuk mengalas perut. Lama-kelamaan, saya dapat membiasakan diri dan sekarang saya pula yang menyediakan masakan Lombok untuk keluarga mentua.

“Saya juga tidak boleh bertutur dalam dialek Kelantan lagi kerana biasa dengan bahasa Lombok. Keluarga mentua pula tidak menggunakan bahasa Indonesia sepenuhnya, jadi mahu tidak mahu, saya terpaksa belajar bahasa tempatan,” katanya yang mengambil masa lebih setahun sebelum fasih menggunakan bahasa Lombok.

Katanya, dalam tempoh enam tahun tinggal di negara orang, antara perkara paling mengejutkannya ialah kunjungan seorang teman rapatnya di sekolah yang turut berkahwin dengan pemuda Lombok dan tinggal di sebuah kampung di Lombok Utara.

Karimah berkata, dia langsung tidak menduga dapat berjumpa teman baiknya dan sama-sama menjadi ‘orang Lombok’ memandangkan kali terakhir bertemu ketika belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Petra, Gua Musang hampir 10 tahun lalu.

“Saya masih ingat, waktu itu saya melahirkan anak sulung, Nur Qistina Syafika. Dia datang membawa buah tangan dan memberitahu saya bahawa dia juga berkahwin dengan orang Lombok,” katanya.

Menurut Karimah, dia kini bekerja sebagai petani dan membuat kerja kampung seperti menternak lembu dan mengerjakan sawah untuk mencari rezeki membantu suaminya, Kamaruddin, 30, dan memperoleh pendapatan sekitar Rp30,000 (RM11) seminggu.

Namun ketika diajukan soalan bila mahu pulang ke Malaysia, dia berkata, kesempitan hidup ketika ini tidak memungkinkan dia ke kampung untuk bertemu keluarga, namun tetap akan berbuat demikian jika diizinkan satu hari nanti.

“Kalau dapat pulang bertemu keluarga, sekarang juga saya akan balik. Saya rindu kampung halaman dan suasana di Gua Musang. Yang saya tahu, saya akan pulang juga nanti, doakan saya,” katanya.

petikan Harian Metro 29/01/2012

Friday 27 January 2012

Banyak yang pertama di Taiping



SEJURUS memasuki sempadan Kuala Kangsar - Changkat Jering melalui Lebuh Raya Utara-Selatan Plus, suasana sekeliling mula bertukar mendung dan dingin.
Pemanduan dari Kuala Lumpur sejauh 270 kilometer itu mengambil masa kira-kira 3 jam 5 minit ternyata memenatkan.
Namun, semua itu terus dilupakan sejurus memasuki tol Changkat Jering, Taiping yang menjadi susur keluar tol selatan melalui lebuh raya dari Kuala Lumpur.
Wartawan Horizon teruja untuk meneruskan perjalanan kembara bagi mengetahui lokasi menarik yang terdapat di Taiping.
Suasana aman dan damai yang segera menyapa setiap tetamunya, ternyata sesuai bagi mereka yang ingin lari sebentar daripada kesibukan hidup di kota.
Sesuai dengan nama Taiping yang bermaksud aman selamanya dalam bahasa Hakka.
Taiping terletak di atas permukaan muka bumi yang tinggi terutamanya di bahagian Bukit Larut.
Ia merupakan lokasi paling kerap menerima taburan hujan di negara ini iaitu sekitar 4,000 mm setahun. Lantaran itu juga keadaan muka buminya sentiasa lembap terutama di Taman Tasik Taiping. Namun begitu, keadaan tersebut tidak menyebabkan Taiping dilanda banjir kecuali kawasan paya bakau di sebelah barat.
Sesuatu yang paling menarik mengenai Bandar Warisan itu ialah landskapnya yang masih mengekalkan ciri-ciri peninggalan sejarah. Bangunannya bercirikan seni bina kolonial seperti utilitarian, neo-classical, palladian dan minnan.
Mengikut sejarah, Taiping dulunya dikenali sebagai Klian Pauh. Bandar itu menjadi tumpuan setelah penemuan bijih timah oleh Long Jaafar.
Kemakmuran dan kekayaan menerusi lombong bijih timah menyebabkan British telah membangunkan Taiping menjadi sebuah bandar pentadbiran yang serba lengkap. Namun pada 1937, kedudukannya sebagai ibu negeri telah berpindah ke Ipoh.
Rekod tertua Taiping

MUZIUM Taiping yang diiktiraf sebagai muzium tertua di negara ini dibina pada tahun 1883.


Hakikatnya, keistimewaan Taiping sebagai bandar warisan tidak boleh dipertikaikan lagi apabila Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menyenaraikan rekod 31 perkara yang terdapat di sana merupakan yang tertua di Malaysia.
Daripada muzium, tasik zoo, landasan kereta api sehinggalah pejabat pos dan telegraf pertama di Malaysia.
Di sinilah bermulanya landasan kereta api tertua iaitu menghubungkan Taiping dan Port Weld (Kuala Sepetang).
Begitu juga dengan muzium tertua yang dibina ketika zaman penjajahan British, zoo tertua (Zoo Taiping), pusat pemetaan atau pejabat topografi pertama negara dan sebagainya.
Oleh kerana itu, Taiping antara lokasi tarikan di Perak sebagai destinasi pelancongan.
Ketua Bahagian Pelancongan, Pendidikan dan Seranta MPT, Hanim Ramly, memberitahu, Zoo Taiping dan Safari Malam merupakan tarikan utama pelancong dari luar dan dalam negara bertandang ke Taiping.
“Pengunjung yang singgah ke Taiping pasti tidak akan melepaskan peluang untuk melawat Zoo Taiping dan Safari Malam yang sebelum ini dikenali sebagai Taman Mergastua Sultan Idris Shah,” ujarnya.
Tambahnya, pengunjung yang mengunjungi zoo itu berpeluang mempelajari dan menyaksikan kira-kira 1,300 ekor haiwan daripada lebih 200 spesies burung, reptilia dan mamalia yang dipamerkan dalam suasana semula jadi dan kurungan terbuka.
“Di sini pengunjung diberi kebebasan untuk mengambil gambar dan melihat haiwan-haiwan yang jarang kita temui dengan lebih dekat dalam habitat semula jadi mereka.
“Selain itu, pihak zoo turut menyediakan pakej pendidikan dengan harga murah untuk murid sekolah dan mahasiswa yang datang secara berkumpulan melawat zoo ini,” katanya.
Zoo terbuka
Sementara itu tambah Hanim lagi, bagi kumpulan pelancong dewasa mereka diberi pilihan mengupah seorang renjer zoo sebagai pemandu pelancong untuk memberi penerangan lengkap mengenai haiwan yang ada di zoo.

REKREASI di Tasik Taiping pasti mengimbau nostalgia lama dihampar dengan tasik indah dan pepohon menghijau.


Lokasinya yang terletak di kawasan Taman Tasik Taiping dan berhampiran kaki Bukit Larut, memberi ruang kepada para pengunjung untuk ’bermesra’ dengan alam.
“Kawasan seluas 13.7 hektar daripada 40.5 hektar kawasan tasik telah dipilih pihak MPT untuk dijadikan zoo yang satu-satunya terletak di sebelah utara Semenanjung Malaysia.
“Zoo Taiping telah memulakan satu pembaharuan dengan memperkenalkan pameran haiwan dengan menggunakan konsep terbuka. Ia diperkenalkan dengan mengambil kira habitat asal haiwan tersebut,” katanya.
Tasik terindah
Pemandu pelancong bagi syarikat R2 Travel and Tours, Anis Sabhee berkata, lokasi yang paling menarik dan hampir dilupakan ialah kewujudan landasan kereta api pertama Malaysia antara Taiping dan Pelabuhan Kuala Sepetang (dulu Port Weld) yang dibina pada tahun 1885.
Ketika itu katanya, kerajaan British telah membina landasan tersebut untuk memudahkan mereka mengangkut bijih timah ke Pulau Pinang dari Taiping.
“Pengunjung dapat menyaksikan beberapa monumen binaan landasan dan batu tanda serta bangunan usang sebagai bukti kewujudan infrastruktur yang dibangunkan British di sini.
“Kesemua ini dapat disaksikan di celah-celah bangunan dan kawasan penempatan penduduk di Port Weld atau jeti Kuala Sepetang,” katanya.
Kunjungan ke Taiping tidak sah jika anda tidak ke Taman Tasik Taiping yang dibuka pada tahun 1880. Merupakan tasik bekas lombong ia dicatatkan sebagai taman riadah dan rekreasi pertama dibuka di negara ini.

KIRI: Inilah stesen kereta api Port Weld yang dibuka pada tahun 1885 untuk memudahkan pengangkutan bijih timah.


Berada di taman itu, pengunjung dapat menikmati pemandangan landskapnya yang indah, dihiasi pokok-pokok angsana berusia ratusan tahun.
Ia tidak mungkin dapat diperoleh di mana-mana lokasi lain kerana usia ratusan tahun itu tidak mampu ditukar dengan 1,000 pokok bunga sekali pun.
Selain 10 kolam besar, tasik tersebut juga lengkap dengan kemudahan tandas, laluan berjoging dan pondok berehat.
Selain itu, Bukit Peranginan Maxwel atau Bukit Larut (1870) juga menyamankan. Untuk sampai ke puncak yang ketinggiannya 1,250 meter dari paras laut, pengunjung perlu menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang disediakan.
Di samping kesemua tarikan wajib itu, banyak lokasi lain yang boleh diteroka pelancong.
Bagaimanapun, sedikit komentar membina penulis, dengan kekayaan warisan dimiliki Taiping pihak berkenaan seharusnya melipat gandakan promosi untuk menarik lebih ramai pelancong luar.
Jika Melaka mampu mengajak pelancong asing singgah menghayati kesan sejarah lampau, kenapa tidak Taiping.

Sapu bersih wang ATM

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Dengan kepakaran dimiliki, dua penjenayah menyapu bersih wang tunai berjumlah RM388,000 dalam mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah stesen minyak di Taman Connaught, Cheras, di sini, tanpa meninggalkan kesan rompakan.

Kedua-dua penjenayah licik yang memakai seragam pekerja syarikat kawalan keselamatan untuk mengelirukan orang ramai di stesen minyak itu dipercayai memiliki kemahiran tinggi yang membolehkan mereka memecahkan kod rahsia untuk menyelongkar mesin ATM berkenaan.

Kelicikan dan kepakaran mereka menyebabkan kehilangan wang tunai di mesin ATM itu hanya disedari jam 2.30 petang kelmarin dan pemeriksaan pada kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian mendapati rompakan dipercayai dilakukan pada 4 Januari lalu.

Sumber polis berkata, kejadian disedari selepas petugas syarikat kawalan keselamatan memeriksa mesin ATM berkenaan sebelum memaklumkannya kepada pihak bank dan laporan kehilangan wang dibuat di Balai Polis Cheras.

“Petugas syarikat kawalan keselamatan berkenaan terkejut apabila mendapati semua wang di dalam mesin ATM itu hilang sedangkan tiada sedikitpun kesan pecah atau rosak. Mereka kemudian memaklumkan kejadian itu kepada pihak bank.

“Selepas rakaman CCTV di tempat kejadian diperiksa, didapati pada jam 5.30 petang, 4 Januari lalu, dua lelaki memakai pakaian seragam seakan-akan pekerja syarikat kawalan keselamatan membuka mesin ATM itu dan melarikan wang,” katanya.

Petikan : www.hmetro.com.my
 

Rahsia kuah mi kaya rasa udang





DARI jauh terdengar sayup-sayup suara lelaki berusia 62 tahun menyapa orang ramai yang lalu lalang supaya singgah menikmati mi bandung Muar.

"Meh singgah dulu rasa mi bandung Muar special".

Begitulah rutinnya setiap kali ada sesiapa yang melalui depan kedainya di 69-A, Jalan Abdullah, Muar, Johor Darul Takzim.

Jarang yang berlalu begitu sahaja tanpa menjamah mi bandung Muar istimewa air tangan Abu Bakar Hanipah.

Silap haribulan, jika kena dengan selera, mahu licin sepinggan mi bandung, malah siap dibungkus untuk menikmatinya di rumah.

Mengambil tempat duduk di meja di kaki lima kedai itu membuatkan penulis teringat kembali kata-kata sinis yang diungkapkan kepada seorang rakan suatu ketika dahulu.

"Apa yang ada di Muar tu? Setakat nak makan mi bandung, di Kuala Lumpur berlambak!"

Demikian respons penulis apabila seorang rakan mengajak ke Muar pada hujung minggu semata-mata untuk menikmati sepinggan mi bandung. Pelawaan tersebut dianggap tidak masuk akal kerana anda perlu menempuh perjalanan sejauh 182 kilometer dari Kuala Lumpur ke Muar.

Itu cerita beberapa bulan yang lalu. Kini, sambil menikmati sepinggan mi bandung, ada sahaja kereta yang berhenti dan singgah di kedai mi bandung Abu Bakar sama ada menjamu selera di situ atau bungkus untuk dibawa pulang.

Bisnes datuk

"Beginilah keadaan kedai setiap hari. Hujung minggu dan musim cuti lagi ramai pelanggan," sapanya yang membahasakan diri sebagai pak cik Abu Bakar selepas selesai tugas di dapur menyiapkan pesanan pelanggannya.

Bapa kepada tiga cahaya mata yang peramah itu kelihatan masih kuat dan sihat walaupun pada usia emas. Dirinya masih gagah berdiri lama untuk menyediakan mi bandung istimewa buat para pelanggan sambil dibantu isteri tercinta, Sabariah Salleh, 49.

Berasal dari Muar, Johor, Abu Bakar mula berniaga sejak tahun 1957 lagi ketika itu usianya baru tujuh tahun.

Ceritanya, perniagaan mi bandung itu dimulakan oleh datuknya iaitu Yusof Hanipah yang berasal dari Madras, India pada tahun 1930. Pada masa itu, datuknya berniaga di Panggung Wayang Rex.

Namun pengasas mi bandung Muar Istimewa itu ialah ayahnya. Abu Bakar sendiri tidak tahu dari mana idea rempah mi bandung yang menjadi perniagaan turun-temurun itu.

"Saya hanya ikut cara membuat rempah dan cara masakan ayah yang diperturunkan daripada datuk. Walaupun perniagaan mi bandung ini telah bermula sejak tahun 1930, tetapi rasanya masih sama. Cuma yang berbeza ialah harga. Kalau dahulu harga sepinggan mi bandung 50 sen, kini seiring dengan peredaran masa dan kenaikan harga barang, harganya ialah RM4 sepinggan," kata Abu Bakar.

Apakah keistimewaan mi bandung Muar Istimewa Abu Bakar Hanipah sehingga ia menggamit Presiden Singapura, S. R. Nathan dan tukang masak terkenal, Chef Wan bertandang ke sana?
Ketika soalan tersebut diajukan kepadanya, Abu Bakar hanya tersenyum.



WALAUPUN berusia 62 tahun, Abu Bakar masih kuat berdiri lama untuk menyediakan hidangan mi bandung Muar istimewa buat para pelanggannya sambil dibantu oleh isterinya, Sabariah Salleh.



Dia memberitahu, ramuan asasnya lebih kurang sama seperti yang lain cuma dia menggunakan udang kering semata-mata tanpa ditambah kacang seperti mi bandung yang lain.

Rempah segera 

Rempah istimewa dibuat sehari sebelum perniagaan bermula iaitu waktu malam selepas pulang daripada berniaga.

Jika dulu pada zaman bapa dan datuknya, penyediaan rempah dibuat dengan menggunakan kaedah giling namun, kini prosesnya lebih mudah kerana menggunakan pengisar.

"Menggunakan kaedah giling lagi sedap, gunakan pengisar pun sedap juga. Selain menjual mi bandung di kedai, saya juga ada menjual rempah segera mi bandung pada harga RM10 satu bekas.

"Penjualan rempah segera ini sudah lama, cuma ia diberikan nafas baharu pada tahun 2006 hasil nasihat daripada FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) dan Jabatan Pertanian yang memberikan mesin untuk mengadun rempah," ujarnya.

Sebanyak 10 hingga 20 kilogram rempah akan diadun setiap hari untuk penggunaan di kedai dan dijual paket.

Bagi mereka yang membeli rempah, Abu Bakar tidak lokek menunjukkan cara-cara memasak mi bandung Muar Istimewa tanpa diminta walaupun sudah tertulis arahan pada paket tersebut cara memasaknya.

"Datang jauh-jauh untuk makan dan beli rempah di sini. Nanti salah masak, rasanya tak sama macam makan di sini, kasihan pula.

"Ada juga yang datang ke rumah di Simpang Baba, Batu 4 1/2, Jalan Saleh untuk membeli rempah segera ini. Malah yang jauh pula, meminta kami melakukan penghantaran pos ke Kelantan, Terengganu, Perak dan Pulau Pinang," katanya.

Apabila ditanya mengenai pengalamannya berhadapan dengan pelanggan, Abu Bakar memberitahu, dulu ketika tahun 1960-an ada pelanggan yang kata mi bandung yang dijualnya tidak sedap dan tidak mahu membayarnya.

"Ada yang marah-marah kerana lambat hidangkan kepada mereka, ada pula yang sengaja letakkan rambut sebagai alasan tidak mahu membayar apa yang dimakan.

"Sudah adat berniaga begitu. Itu cerita dulu, kini pelanggan tidak begitu. Berniaga ada pasang surutnya, kadang-kadang ramai orang dan kadang-kadang tidak," ujarnya.

Jika anda bernasib baik, kunjungan anda pasti disambut oleh sekumpulan burung merpati yang setia menunggu Abu Bakar menjamu mereka dengan jagung di kaki lima jalan raya depan kedainya.

Setiap hari sebanyak 10 kilogram jagung diberikan kepada burung-burung merpati tersebut yang singgah pada waktu-waktu tertentu sahaja iaitu pukul 7 pagi, 12 tengah hari dan 4.30 petang.

Menurut Abu Bakar, ia adalah salah satu cara untuk bersedekah dan berkongsi rezeki dengan makhluk Allah yang lain.

Kedainya yang buka seawal pukul 6 pagi dan ditutup pukul 5 petang. Lazimnya, kedai Abu Bakar penuh dengan pelanggan pada musim perayaan dan cuti sekolah. Secara purata, Abu Bakar mampu menjual 100 pinggan sehari bergantung kepada jumlah pelanggan.

Terus diwarisi

SIFAT ramah Abu Bakar disenangi oleh para pelanggan yang datang menjamu selera di kedainya.


"Saya berharap perniagaan turun temurun ini tidak putus dan terus diwarisi oleh anak cucu kelak. Kini, sudah ada tiga cawangan mi bandung Muar di daerah ini yang dijalankan oleh anak-anak saya iaitu Sabarina, di Agro Bazar Pagoh; Baharin, di Medan Selera Tanjung Emas dan sebuah lagi diberikan kepada anak bongsu saya iaitu Mohd. Azrin, 22," katanya yang melihat mereka sebagai generasi keempat perniagaan itu.

Mohd. Azrin sendiri gemar membantu ayahnya di kedai secara sukarela sejak bersekolah lagi.

"Lepas sekolah, pasti saya akan membantu ayah di kedai. Saya mahu belajar berniaga dengan ayah sebelum membuka perniagaan sendiri.

"Tidak hanya sekadar membantu menghantar hidangan kepada pelanggan, saya juga boleh masak mi bandung Muar seperti ayah," katanya yang masih mempelajari selok-belok memasak dan berniaga daripada ayahnya.

Dalam pada itu, seorang pekerja Restoran Wah San, Lee Toh, 56, yang beroperasi berdekatan dengan kedai Abu Bakar memberitahu, ramai orang tidak kira Melayu, Cina atau India datang untuk menikmati mi bandung Muar Abu Bakar Hanipah.

"Ada juga pelanggan yang sama datang banyak kali dalam seminggu," katanya ramah.

Tan Kean Eng, 71, pemilik Restoran Wah San yang sudah empat dekad berniaga di situ menjadi saksi perjalanan perniagaan Abu Bakar.

"Sejak bujang, dia sudah berniaga di sini dan perniagaannya semakin maju. 

"Kalau hujung minggu dan musim cuti, penuh meja di kaki lima kedai. Walaupun tempat letak kenderaan penuh, orang sanggup berjalan jauh untuk ke sini," katanya.

Dalam pada itu, seorang pelanggan dari Kuala Lumpur, Natasha Nur Mohd. Diah, 29, sanggup meredah perjalanan selama dua jam semata-mata untuk memenuhi keinginannya menikmati mi bandung Muar Abu Bakar Hanipah.

"Ya, memang di Muar banyak menjual mi bandung, namun mi bandung di sini berlainan sekali kerana kuahnya kaya dengan rasa udang dan ia jauh lebih enak daripada yang dijual di Kuala Lumpur.

"Jika singgah di sini, selepas menikmati mi bandung, saya akan membawa pulang rempah segera mi bandung ini untuk dimasak di rumah kelak," katanya yang gemar menikmati makanan lain di Muar seperti asam pedas, kuih pau dan sate.

petikan : www.kosmo.com.my

Fahami Inggeris dengan bahasa Melayu






























IDEA Noorizah (kanan) dan Rosniah banyak membantu mereka yang berminat untuk mempelajari bahasa Inggeris dengan cara yang paling mudah dan berkesan.



DR. NOORIZAH Mohd. Noor dan Dr. Rosniah Mustafa punya cara tersendiri untuk memberi bimbingan kepada mereka yang ingin mempelajari bahasa Inggeris.

Apakah pendekatan yang mereka lakukan? Barangkali ini yang pertama kalinya diaplikasikan, kedua-dua pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menghasilkan buku mempelajari bahasa Inggeris menggunakan medium bahasa Melayu.

“Sebelum memutuskan membuat buku ini, saya ada membuat sedikit uji kaji ketika mengajar. Pada awalnya, saya menggunakan bahasa Inggeris dalam mengajar tatabahasa Inggeris tapi ada pelajar yang kurang faham.

“Tapi, apabila menggunakan bahasa Melayu untuk menerangkan sesuatu perkara, ia berhasil maka, bertitik tolak daripada pengalaman itu, saya dan Noorizah bergabung tenaga menulis buku yang bertajuk Tatabahasa Inggeris,” kata Rosniah yang juga merangkap Ketua Program Bahasa Inggeris, UKM ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Ternyata, daya usaha berbaloi dan mendapat sambutan hangat bukan sahaja dalam kalangan pelajar tetapi, individu yang bersungguh-sungguh untuk menguasai bahasa Inggeris.

Akui mereka, sejak mula diterbitkan pada tahun 1998, buku Tatabahasa Inggeris sudah enam kali diulang cetak. Kali terakhir ialah pada tahun 2008.

Buku susulan

Melihat kepada perkembangan positif terhadap buku berkenaan, Noorizah dan Rosniah mendapat idea baharu. 

Kali ini, mereka menghasilkan buku bertajuk Kesilapan Tatabahasa Inggeris pula. Ia masih meneruskan konsep pengajian yang menerangkan tentang tatabahasa Inggeris dengan bahasa Melayu.

Karya setebal 130 muka surat itu antara lain memberi panduan kepada pembaca mengenai pelbagai jenis kesilapan yang sering dilakukan tanpa disedari.

Antara kesilapan yang paling ketara yang dilihat oleh kedua pensyarah itu ialah kesalahan penggunaan jenis perkataan, penggunaan tenses (kata kerja menurut waktu), maksud dan ejaan, sentense connectors (penyambung ayat) dan pemilihan perkataan.

Menariknya lagi, buku yang penuh manfaat itu turut menjelaskan tentang perbezaan ejaan antara British English dan American English.

Contoh-contoh yang diberi juga dilengkapi dengan penerangan yang mudah difahami.

Mengulas lanjut mengenai kaedah unik yang digunakan, kedua-duanya mengakui bahawa sebaik-baik pembelajaran bahasa adalah dengan menggunakan bahasa itu sendiri.

“Bagaimanapun, bagi mereka yang mengalami kesukaran dengan cara demikian, maka lebih mudah mempelajari bahasa menggunakan bahasa ibunda atau bahasa lazim yang digunakan.

“Kaedah ini juga penting dalam membina keyakinan diri dan tentunya lebih mudah memahami sesuatu pelajaran yang disampaikan dalam bahasa yang biasa dituturkan,” kata mereka senada.

Justeru, kata Noorizah, kedua-dua buku yang dihasilkannya bukan sahaja sesuai untuk pelajar sekolah menengah tetapi, untuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk pembaca umum yang menghadapi masalah dalam kaedah tradisional mempelajari bahasa Inggeris.

petikan : www.kosmo.com.my

Rekod cemerlang Kelantan FM



GIMIK pelancaran segmen Cekok yang diharap mampu menjadi pemangkin meremajakan Kelantan FM.



RADIO Malaysia Kelantan FM mula beroperasi pada 16 November 1963, dan sejak itu tidak lagi menoleh ke belakang. Walaupun terpaksa bersaing dengan kemunculan stesen-stesen radio popular swasta, ternyata ia tidak menenggelamkan Kelantan FM.

Stesen itu kini mempunyai pendengar seramai 663,000 orang, menurut kajian terbaru AC Nielsen pada 2011. Hari ini, sejak lima tahun berturut-turut Kelantan FM merupakan stesen radio Malaysia atau radio kerajaan yang mempunyai jumlah pendengar radio yang tertinggi.

Radio itu bersiaran di frekuensi 102.9Mhz bagi pemancarnya di Telipot, 97.3Mhz (Bukit Bakar, Machang), 90.00Mhz (Jeli), 88.1Mhz (Paloh, Gua Musang), 92.0Mhz (Bukit Chupot, Gua Musang dan 107.1Mhz (Bukit Bintang, Besut, Terengganu).

Pendengarnya merupakan hampir separuh penduduk Kelantan iaitu yang mempunyai populasi seramai 1.4 juta orang.

Stesen radio itu juga berjaya meraih pendapatan melalui iklan sebanyak RM2.1 juta pada 2011. Ia merupakan pendapatan tertinggi antara stesen radio Malaysia.

Semasa melancarkan program baharu Kelantan FM baru-baru ini, Timbalan Pengarah Bahagian Urusan Rancangan Jabatan Penyiaran, Siti Mohani Saad menyifatkan kejayaan stesen radio itu adalah sesuatu yang sangat membanggakan jabatan.

Pada 2008, hasil pendapatannya sebanyak RM1 juta. Ia meningkat kepada RM1.8 juta pada tahun berikutnya dan terus meningkat kepada RM1.9 juta pada 2010.

"Jabatan ini sangat berbangga dengan peningkatan hasil pendapatan iklan Kelantan FM. Ia membolehkan kami mencapai KPI (petunjuk prestasi utama) iaitu pendapatan sebanyak RM21 juta di seluruh negara pada 2011," katanya.

Siti Mohani berkata, langkah Kelantan FM itu wajar dicontohi 33 stesen radio Malaysia yang lain.
"Stesen radio Malaysia yang lain perlu mencari kelainan dan kreatif untuk mencapai jumlah pendengar yang tinggi dan pendapatan lebih baik," kata Siti Mohani.

Pengarah Penyiaran Kelantan, Zainab Yusof berkata, antara resipi kejayaan Kelantan FM ialah siarannya yang menepati selera pendengar rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang.

Akok paling popular 

Katanya antara program yang popular ialah Apa Khabar Orang Kelantan (Akok) segmen yang berjaya menambat hati pendengar sejak 10 tahun lalu.

Program itu bersiaran pada pukul 2 petang hingga 6 petang setiap hari. Akok merupakan aset Kelantan FM yang paling berharga sehingga mampu menambat lebih 600,000 pendengar ketika ini.

"Akok lebih banyak menggunakan dialek Kelantan, menyebabkan stesen ini lebih dekat di hati pendengar Kelantan. Segmen ini mampu meraih pendapatan yang tinggi setiap tahun," katanya.

Beliau berkata, penyampai dengan panggilan Kak Ngah, Kak Wan, Abe Him, Kak Chik dan Kak Nik sangat dekat dengan hati pendengar.

Selain berinteraksi secara terus dengan pendengar, rahsia stesen itu menambat hati pendengar ialah lagu-lagunya yang ke udara, mampu menghibur pendengar semua peringkat.

"Penyampai ini kebanyakannya akan bercakap dialek Kelantan dan diisikan dengan lagu yang pelbagai seperti lagu-lagu berentak retro, Bollywood, dikir barat dan lagu-lagu terkini.," katanya.

Meremajakan KelantanFM



SITI MOHANI (tengah) beramah mesra dengan penyampai radio ketika hadir pada Majlis Pelancaran Segmen Cekok Radio Malaysia Kelantan FM baru-baru ini.



Mempunyai seramai 69 petugas termasuk 22 penyampai, Kelantan FM kini mengorak langkah untuk meremajakan semula siaran radio berkenaan.

"Kami merasakan sudah sampai masanya kami memperkenal satu rancangan baharu khusus untuk golongan muda kerana jika tidak, sudah tentu kami akan gagal untuk bersaing dengan siaran radio swasta yang lain," katanya.

Selaras dengan itu, baru-baru ini Kelantan FM memperkenal rancangan Cerita Kita Orang Kelantan atau singkatnya Cekok. Mempunyai empat penyampai muda dan dibantu beberapa penyampai rancangan Akok, Cekok kini mula berusaha menambat pendengar muda.

Zainab berkata, Cekok sebenarnya lebih menfokus kepada pelajar institusi pengajian tinggi, para belia yang mendengar radio pada waktu malam serta mereka yang bertugas pada sebelah malam.

Segmen Cekok itu terbahagi kepada tiga iaitu Gege Gegok (9 malam hingga 10 malam), Bbaghi (10 malam hingga 11 malam) dan segmen Ngulek (11 malam hingga 12 tengah malam).

Lagu-lagu dikir barat moden, lagu daerah, lagu pop masa kini yang sesuai dengan jiwa golongan muda dipertaruhkan kepada golongan sasaran itu.

"Penggunaan dialek Kelantan dalam rancangan Cekok itu mencetuskan rasa kemesraan dalam kalangan pendengar, menimbulkan semangat kekitaan di samping mampu menjadi bahan menyatu padukan antara pendengar tanpa mengira kaum di negeri ini," kata Zainab penuh harapan.

Zainab yakin program Cekok itu akan mampu mendapat tempat dalam kalangan pendengar sekali gus mencapai sasaran Kelantan FM untuk meraih kira-kira seramai 1 juta pendengar tahun depan.

Menyentuh saingan dengan radio swasta lain, Zainab yakin Kelantan FM sama sekali tidak akan kalah dengan radio swasta. Kelantan FM ada pendengar setianya. 

Siaran Kelantan FM menjangkaui sejauh Merapoh di Pahang, Setiu di Terengganu, dan selatan Thailand. Siarannya juga boleh didengar melalui laman web www.kelantanfm.gov.my atau boleh berinteraksi melalui www.facebook.com/kelantanFM. - Bernama

Monday 23 January 2012

Mimpi lelaki tua berserban



SYARIKAT ini memperoleh persijilan ISO 9001:2000 daripada SIRIM QAS International pada April 2003.



MINYAK urut jenama Afiat telah lama diketahui berkesan untuk mengatasi masalah terseliuh, kebas atau membetulkan perjalanan darah. Ia juga popular dalam mengembalikan kesihatan wanita lepas bersalin.

Terletak di Batu 30, Jalan Ipoh, Kuala Kangsar, Perak, syarikat Minyak Afiat Sdn. Bhd. telah beroperasi selama lebih 80 tahun. Ia diasaskan oleh Panjang Kamaruddin di Tambun.

“Nama ‘afiat’ itu diambil daripada ungkapan sihat walafiat. Imej lelaki memakai songkok pada produk Afiat pula merupakan gambar Haji Panjang Kamaruddin yang sengaja dipaparkan secara animasi,” kata Pengarah Urusan Minyak Afiat, Ahmad Zakaria Khalid.

Zakaria berkata, asal-usul perniagaan itu memiliki sisi eksentrik. Cerita beliau, Panjang yang merupakan ketua sebuah kampung di Tambun tiba-tiba lumpuh kedua-dua belah kaki tanpa diketahui sebabnya. 

Walaupun, pelbagai usaha dilakukan untuk memulihkan penyakitnya ia masih gagal. Hendak dijadikan cerita, pada suatu hari semasa Panjang sedang tidur, beliau bermimpi didatangi seorang tua berserban dan berjubah putih.

Mimpi 

Orang tua itu menyuruh Panjang mengambil satu bungkusan putih yang di dalamnya mengandungi beberapa jenis herba. 

Panjang diberitahu bahawa bungkusan putih itu tertanam di dalam tanah di hujung kampung dan perlu dicampurkan dengan minyak kelapa hijau sebelum disapu di tempat yang sakit. 

Selepas itu, Panjang meminta anak saudaranya bernama Khalid Uda Ismail yang merupakan bapa Zakaria, mengambil bungkusan itu keesokan harinya.

“Bungkusan berkenaan mengandungi 40 jenis herba antaranya daun pucuk jambu, rambutan, pegaga dan pandan.

“Setelah ayah saya membawanya pulang, herba berkenaan dicampur dengan minyak kelapa hijau. Apa yang menghairankan, Panjang pulih daripada penyakit lumpuh tidak lama selepas diurut dengan minyak herba itu,” cerita Zakaria. 

Khalid mengkomersialkan minyak tersebut pada tahun 1924.

“Bagaimanapun, ayah saya seorang yang pendiam menyebabkan beliau sukar untuk menjual minyak itu,” kata Zakaria.

Namun, satu kejadian pada penghujung tahun itu membuatkan Khalid bertukar peramah.

Menurut Zakaria, bapanya telah menjual sebotol minyak Afiat kepada seorang tukang rumah yang dikenali sebagai Haji Seman di Parit Buntar.

Semasa ingin memaku bumbung rumah, Haji Seman terketuk jari telunjuk tangan kanannya menyebabkan ia berdarah.

“Kerana terlalu sakit, beliau menjerit hingga ramai penduduk pekan Parit Buntar mendengar suaranya. Ayat yang beliau gunakan ialah ‘mana minyak Afiat, jari aku berdarah’,” ujar Zakaria.

Haji Seman mengayuh laju basikalnya untuk pulang ke rumah dan menyapu luka jarinya dengan minyak Afiat. Tangannya berhenti berdarah dan pulih beberapa hari kemudian.

Selepas itu, Haji Seman menjadi ejen tidak rasmi mempromosikan minyak Afiat. Khalid juga dapat belajar daripada Haji Seman yang peramah cara-cara menjual minyak itu.

Ayam sabung

Sejak itu, cara pemasaran minyak Afiat mula berubah dengan Khalid menjualnya di pasar malam dan sekitar kampung di Perak.

Sama seperti babak menjual ubat di pasar sambil menyanyi dalam filem Do Re Mi arahan Tan Sri P. Ramlee, medium yang sama digunakan oleh Khalid. Beliau bermain gambus. 

“Malangnya ramai orang kampung kurang yakin dengan khasiat minyak itu, lalu mereka mencabar ayah supaya memulihkan kaki ayam sabung yang patah. 

“Ayah saya menyapu minyak Afiat pada kaki ayam itu dan mengurungnya di dalam reban. Beberapa hari selepas itu kaki ayam itu pulih,” cerita Zakaria lagi.

Setelah hampir 87 tahun beroperasi, syarikat Minyak Afiat kini mempunyai lebih 30 pekerja. Ia turut memperoleh persijilan ISO 9001:2000 daripada SIRIM QAS International pada April 2003.

Apa yang menarik, pelanggan mereka juga terdiri daripada kerabat diraja, bekas perdana menteri dan juga menteri besar.

“Ada kerabat diraja di sebuah negeri yang membeli secara berterusan dengan kami tetapi siapakah dia, adalah menjadi rahsia kami. Ada bekas perdana menteri dan menteri besar yang menggunakan produk kami hingga sekarang.

“Malah, bekas pegawai British ada yang membawa pulang minyak itu ke negara mereka apabila tidak lagi bertugas di Tanah Melayu,” ujarnya.

Petikan Kosmo! Online
www.kosmo.com.my
24/02/2012