Saturday 21 July 2012

Suri hati Mohamed Morsi

RENCANA UTAMA


Petikan dari www.kosmo.com.my/rencana utama


NAGLAA tidak keberatan digelar 'pelayan rakyat'.


TANGGAL 30 Jun lalu rakyat Mesir secara rasmi menerima kepimpinan baharu apabila suruhanjaya pilihan raya negara itu mengumumkan Mohamed Morsi memenangi kerusi Presiden selepas menewaskan Ahmed Shafiq, perdana menteri terakhir di bawah pemimpin Mesir yang disingkirkan, Hosni Mubarak.

Situasi itu juga bererti rakyat Mesir akan menerima wanita pertama yang baharu.

Seperti suaminya, Naglaa Ali Mahmood, 50, merupakan seorang wanita yang sederhana. Beliau tidak pernah berpenampilan mewah bahkan wajahnya juga tidak pernah dihias dengan solekan.

Apa yang menjadi pro dan kontra adalah gaya berbusananya. Busana sehariannya adalah abaya atau jubah berwarna gelap dilengkapi dengan jilbab panjang yang merupakan gaya khas kaum wanita pengikut Ikhwanul Muslimin.

Bagi mereka yang tidak menyukainya, gaya busana Naglaa dilihat melambangkan arah tuju Mesir pada masa hadapan iaitu sebuah negara Islam konservatif. Berbeza pula bagi para penyokongnya, sikap dan penampilan Naglaa mencerminkan semangat demokrasi revolusi.

Media Mesir melaporkan, Naglaa lebih suka jika tidak tinggal di Istana Presiden.

"Saya hanya ingin digelar sebagai isteri presiden," katanya kepada Associated Press.

Naglaa sesungguhnya hanya ingin digelar 'Ummi Ahmed' atau Ibu Ahmed.

"Saya tidak suka gelaran wanita pertama. Jika gelaran menjadi keutamaan, saya tidak keberatan digelar 'pelayan rakyat'," katanya.

Rakyat Mesir hanya menunggu adakah Ummi Ahmed mahu bertemu tetamu negara, menghadiri konferensi atau acara penting lain dengan atau tanpa suaminya, atau mengubah penampilan untuk acara rasmi.

Peramah

Setakat ini, Naglaa tidak bersembunyi daripada tatapan umum dan beliau bersedia melayan sebarang permintaan wawancara daripada pelbagai media selain mendampingi suaminya semasa kempen pilihan raya lalu.

Seorang aktivis Ikhwanul Muslimin, Fatema Abouzeid, mengaku pernah bertemu secara langsung dengan Naglaa dan beliau menggambarkan Naglaa seorang yang sederhana dan peramah.

"Dia tidak sombong dan kalau ada orang yang memuji suaminya, dia hanya menjawab Alhamdulillah," kata Fatema.

"Saya tidak mahu membandingkannya dengan Suzanne (isteri kepada Hosni Mubarak), tapi perbezaan utamanya adalah cara dia melayani masyarakat. Dia bergaul dengan sesiapa sahaja dan berbual secara biasa," ujarnya.

Pendapat senada turut dilontarkan bekas anggota parlimen dari Ikhwanul Muslimin, Azza al-Gharf, yang telah mengenal Ummi Ahmed selama lima tahun.

Kata al-Gharf, apabila Naglaa mengikuti suaminya berkempen, beliau akan berdiri bersama khalayak, tidak menonjolkan diri dan menolak untuk duduk di tempat yang dikhaskan.

Al-Gharf menganggap Naglaa sebahagian daripada mereka yang turut mempunyai masalah seperti kebanyakan rakyat Mesir dan itulah yang membezakan antara Naglaa dan Suzanne. 

Keluarga biasa

Naglaa berkahwin dengan Morsi pada tahun 1978 ketika usianya 17 tahun.

Dalam wawancara dengan majalah wanita Nos al-Donia, Naglaa mengakui cincin kahwin dan maharnya bernilai sederhana sahaja.

"Kedudukan kewangan bukan menjadi perhatian saya. Apa yang membuatkan saya tertarik dengan suami saya adalah perasaan bahawa dia seorang yang bertanggungjawab dan mampu melindungi saya. 

"Apa yang penting, dia disukai orang tua saya sebelum mereka meninggal dunia," katanya tentang sang suami.

Kurang dari dua tahun selepas perkahwinan mereka, Naglaa mengikuti suaminya ke Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) yang melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran di Universiti California Selatan.

Dua daripada lima anak mereka, empat orang lelaki dan seorang perempuan lahir di AS.

Ketika menetap di California, Naglaa bekerja sebagai penterjemah daripada bahasa Arab ke bahasa Inggeris untuk warga Muslim Amerika.

Pasangan muda itu kemudian terlibat dalam pelbagai projek amal dan pada ketika itulah mereka menyertai gerakan Ikhwanul Muslimin.

Bertahun-tahun kemudian di Mesir, ketika Morsi ditahan selama lapan bulan pada tahun 2008 disebabkan aktivitinya bersama Ikhwanul Muslimin, yang pada waktu itu diharamkan pemerintah, Naglaa tetap merasakan damai di jiwa walaupun terpaksa berpisah dengan suaminya.

Dalam wawancara yang sama, Naglaa menggambarkan keluarganya seperti keluarga biasa yang meluangkan masa bersama menonton filem di rumah atau bersantai di pantai-pantai sekitar Mesir. - Agensi

'Nama saya Angela, seorang Muslim



SELEPAS memeluk Islam, Angela lebih selesa mengenakan hijab dan baju labuh yang menutup auratnya.


PEMILIK sepasang mata biru dan rambut perang ini, Angela Collins, 36, lahir dalam keluarga penuh kasih sayang dan berpegang kuat pada ajaran Katolik yang diwarisi sejak turun-temurun. 

Membesar di California, Amerika Syarikat, Angela hidup dalam budaya Barat yang sebelum ini dianggap sebagai cara hidup yang ideal. 

Bagaimanapun, tragedi serangan berani mati yang melakar sejarah hitam pada 11 September 2001 di New York itu membuka mata wanita ini untuk mendalami Islam. 

“Walaupun ada ahli keluarga yang meninggal dunia dalam serangan itu, saya tetap bulatkan hati untuk memeluk Islam. 

“Islam yang saya kaji adalah agama yang cukup indah, tidak seperti yang digambarkan Barat sebagai agama yang ekstrem. 

“Saya juga percaya dengan kandungan al-Quran yang saya yakin diturunkan oleh Allah S.W.T., bukannya karangan manusia. Selain itu, hidup saya juga berpandukan sunah Rasulullah. Dua perkara ini sudah cukup untuk menjadi sumber pegangan dan panduan hidup saya,” katanya. 

Sebenarnya, ketika usianya 14 tahun lagi, Angela sudah mempersoalkan konsep triniti dalam agamanya. Baginya ia suatu konsep kepercayaan yang cukup sulit dan kompleks untuk difahami. 

“Semakin lama saya cuba memahami konsep itu, semakin kabur penjelasan yang saya terima. 

“Saya bingung, mengapa Tuhan wujud dalam bentuk manusia dan membiarkan dirinya mati untuk menebus dosa dan membuktikan kebenaran tentang penyalibannya? 

“Saya pergi berjumpa dengan beberapa orang paderi dan bertanyakan hal yang sama, tetapi saya tidak temui jawapan yang saya cari. 

“Ketika itu, hati saya kuat mengatakan manusia perlu mempercayai hanya satu Tuhan iaitu Tuhan yang menciptakan segala-galanya. Paling penting, Tuhan bukan manusia. Ketika itu, tidak ada penjelasan lain yang saya rasa lebih rasional,” tukasnya. 

Keluarga

Lantas, selepas hatinya mantap dengan keyakinan bahawa Tuhan itu satu, Angela mengucapkan kalimah syahadah seminggu selepas tragedi hitam 11 September. 

Ketika itu, dunia sedang menyorot Islam sebagai agama terroris, namun, wanita ini tetap teguh dengan keislaman yang menjadi pilihannya malah pada detik bergelar sebagai seorang Muslim, Angela terus menutup auratnya sehingga ke hari ini. 

“Islam adalah agama yang datang untuk membetulkan kesalahan manusia yang telah mengubah wahyu Tuhan kepada nabi-nabi terdahulu atas dasar kepentingan mereka sendiri. 

“Islam itu sederhana. Allah ialah Tuhan yang menciptakan manusia dan kita menyembah-Nya. Allah mengutus para nabi seperti Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Muhammad untuk menyampaikan pesanan-Nya pada manusia,” jelas Angela. 

Menurutnya lagi, dalam Islam, Nabi Isa yang dipanggil Jesus cuma seorang nabi dan dia akan datang kembali ke dunia sebelum Hari Kiamat. 

Tambahnya, sebagai orang Islam, kita tahu bahawa apa pun yang dilakukan perlu dimulakan dengan niat sebelum mentranformasikan niat tersebut dengan ikhtiar untuk melaksanakan apa yang telah diperintahkan oleh Islam.

Bersyukur kerana keluarganya menerima baik keputusannya memeluk Islam, Angela bertambah yakin bahawa Islam bukanlah agama pengganas seperti yang dilabel oleh sebahagian besar masyarakat Barat. 

“Bapa saya, Dan Collins menghormati keputusan saya. Begitu juga dengan ibu. Ketika baru-baru memeluk Islam, saya memberitahu mereka, hubungan kekeluargaan tidak akan terputus hanya kerana saya sudah memeluk Islam. Sebaliknya, saya meyakinkan mereka bahawa saya tetap menyayangi mereka hingga ke akhir hayat. 

“Alhamdulillah, ibu bapa sangat memahami kehendak saya. Pesan mereka, jadilah Muslim yang baik, jangan tinggalkan mereka dan jangan jadi pengganas,” kata Angela yang turut menolak keganasan lebih-lebih lagi terhadap wanita dan kanak-kanak. 

Dia yang kini menjadi guru agama kepada kanak-kanak di komuniti Muslim di California menyifatkan, hidayah yang Allah berikan kepadanya adalah perkara paling indah yang pernah dilalui sepanjang hidupnya. 

“Allah telah membuka hati saya. Dia tiupkan iman dalam hati yang dahulu tercari-cari siapa Tuhan dan di mana Tuhan. 

“Mempelajari Islam membuka mata saya kepada erti kehidupan yang sebenar. Biarpun ada yang kata saya kolot, membalut tubuh dengan pakaian labuh dan tudung kepala, namun, bagi saya itulah kemanisan Islam. 

“Saya hanya melaksanakan tuntutan agama yang diperintahkan Allah melalui kitab suci al-Quran. Apa yang saya harapkan, Allah akan terus merahmati kehidupan saya di dunia dan akhirat,” katanya. 

Ditanya mengapa dia masih mengekalkan namanya, sambil tersenyum, Angela ringkas menjawab: 

“Saya bangga dengan nama yang ibu saya berikan. Saya Angela dan saya ialah seorang Muslim,” jawabnya.

Julia sudah puas hidup mewah

Petikan www.kosmo.com.my/rencana utama


IBU tunggal ini agak rapat dengan anak-anak yatim Rumah Aman, Shah Alam, Selangor.


WANITA ini selesa mengenakan baju kurung berwarna ungu. Penampilannya terserlah apabila dipadankan dengan selendang hitam walaupun dia berketurunan Cina.

Ketua Pegawai Eksekutif The Truly Loving Company Sdn. Bhd. (TLC), Julia Chong ini juga seorang yang suka mengamalkan sikap berjimat cermat semasa ditemui di Bukit Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Lampu pejabatnya akan dipadamkan apabila tidak digunakan termasuk peralatan elektrik lain bagi menjimatkan perbelanjaan bil utiliti.

“Saya telah puas menikmati kemewahan dunia dan tiba masanya menghabiskan sisa kehidupan dengan berbakti kepada orang lain tanpa mengira kaum dan agama,” cerita wanita berumur 60 tahun ini sebagai pembuka bicara.

Julia, anak ketujuh daripada sembilan orang adik-beradik berasal dari Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Dia merupakan salah seorang pengasas TLC, sebuah syarikat yang menjual rangkaian produk penjagaan diri dan rumah seperti sabun mandi, pencuci mangkuk tandas, cecair mencuci lantai dan cecair pencuci tangan.
Kesemua barangan itu boleh didapati pada kadar harga yang berpatutan di pasar raya utama di seluruh negara seperti Giant, Tesco dan Cold Storage.

Konsep perniagaannya tidak banyak berbeza cuma kesemua hasil jualan itu akan disalurkan kepada lima badan kebajikan iaitu Persatuan Angin Ahmar Kebangsaan (Nasam), Shelter: Home For Children, Rumah Aman, Hospis Malaysia dan Persatuan Penjagaan Kanak-Kanak Terencat Akal Johor Bahru.

Bagaimana wanita yang berstatus ibu tunggal ini terjun ke dalam bidang kebajikan?

Julia yang agak tersentak dengan pertanyaan yang dilontarkan penulis dengan nada teruja menceritakan, mendiang suaminya menjadi pendorong utamanya.

“Suami saya seorang ahli perniagaan tetapi dia mempunyai satu hobi iaitu suka menghabiskan masa setiap hujung minggu melawat sebuah rumah kebajikan kanak-kanak. 

“Saya tidak berkesempatan untuk mengikutinya setiap minggu kerana sibuk dengan urusan kerja sebagai seorang pengarah urusan sebuah syarikat terkemuka,” cerita Julia.

Nasihat suami

Kehidupan Julia sebelum ini cukup mewah. Dia sering keluar negara kerana mengawasi perjalanan syarikat bekas majikannya di Malaysia, Singapura, Thailand, Kemboja, Laos dan Vietnam.

Bicara apa sahaja soal kemewahan semuanya disediakan kepadanya dahulu iaitu mempunyai kereta mewah serta disediakan seorang pemandu, empat orang pembantu peribadi selain gajinya yang mencecah lima angka.

Namun, titik tolak perubahannya bermula apabila suaminya meninggal dunia kerana serangan jantung pada tahun 1999.

Peristiwa itu menyebabkan wanita ini mengambil alih tanggungjawab seorang bapa membesarkan dua orang anaknya.

“Tetapi selepas tujuh tahun, mereka membesar dan berjaya dalam hidup dengan mempunyai pekerjaan profesional. Umur saya pula semakin lanjut, jadi saya bertanya pada diri sendiri, sampai bila saya mahu hidup dengan mengejar harta benda semata-mata. 

“Saya sudah puas dengan kemewahan dunia dan tiba masanya saya berbakti kepada masyarakat,” tegasnya.
Akhirnya pada penghujung 2007, Julia mengambil keputusan berhenti kerja walaupun ramai rakannya mengatakan tindakannya itu gila dan tidak masuk akal.

Lantas, dia bersama seorang rakannya, Khaw Chay Tee menubuhkan TLC dengan modal permulaan melebihi RM1 juta menggunakan wang simpanan mereka sendiri. 

“Tidak mengapa kerana membantu ribuan individu untuk menjalani hidup lebih baik lebih penting, bukan? Saya juga seorang ibu dan peranannya bukan sekadar untuk anak-anak sendiri,” katanya.

Berbicara mengenai produk keluaran syarikatnya, Julia gembira kerana ia semakin mendapat sambutan daripada pembeli.

“Konsepnya mudah iaitu pembeli boleh mendapat barangan yang diperlukan selain menyumbang kepada orang lain.

“Rakyat negara ini sebenarnya pemurah dan tidak mementingkan wang ringgit. Mereka dengan rela hati membantu orang lain yang tidak bernasib baik,” katanya.

Julia juga tampil dengan kempen terbaharu sejak tiga tahun lalu iaitu TLC Promise Me yang menggalakkan remaja untuk berbakti kepada badan-badan kebajikan.

“Sambutan yang diterima cukup baik kerana banyak universiti, kolej, syarikat dan badan korporat yang membantu menghulurkan dana.

“Bukan sekadar wang tetapi peralatan serta kemudahan untuk rumah kebajikan. Bukan konsep menyerahkan cek semata-mata tetapi membangunkan fasiliti rumah terbabit,” ujarnya.

Tutur Julia, untuk kempen tahun ini dia dan 12 orang kakitangannya menyasarkan membantu 12 rumah kebajikan dengan peralatan elektrik yang menjimatkan tenaga serta tidak mencemarkan alam sekitar.

“Ini dapat membantu mengurangkan perbelanjaan utiliti semasa selain wang lebihan itu dapat digunakan untuk urusan lain,” beritahu Julia.

Sunday 15 July 2012

Muzaffar pecah tradisi


Petikan dari www.hmetro.com.my
Oleh NURUL HUSNA MAHMUD
husna@hmetro.com.my
pix_middle
KARAKTER pelopor industri membabitkan bidang kecantikan sering dikaitkan dengan ‘figura’ tubuh langsing dan kulit licin supaya menarik minat wanita yang ingin mendapatkan produknya.

Namun sebaik menjejakkan kaki ke pejabat ZZ Beauty & Hair Care di Bandar Rawang, Selangor, ahli perniagaan yang sinonim dengan produk kolagen asli ini adalah seorang lelaki.

Terdetik juga perasaan hairan mengapa dia meminati lapangan itu yang berbeza dengan pengusaha produk kesihatan dan kecantikan lain.

Cuba lari daripada kebiasaan, Pengarah Urusan ZZ Marketing Resources, Muzaffar Mustafa ingin memecah tradisi dengan pembabitannya secara serius dalam bidang keusahawanan yang dikuasai golongan wanita.

Lelaki berusia 39 tahun ini tidak kekok, malah selesa bercerita mengenai produk kesihatan dan penjagaan kecantikan wanita.

“Saya akui pembabitan lelaki dalam perniagaan yang dikuasai wanita, terutama perniagaan berasaskan penjagaan kesihatan dan kecantikan wanita seperti produk kolagen, sangat terhad.

“Bukan kerana malu, sebaliknya mungkin disebabkan kurang arif dan tidak selesa berdepan pelanggan yang majoritinya perempuan membuatkan mereka lebih suka berundur daripada mencubanya.

“Bagi saya, ia ‘universal’. Acapkali berurusan di luar sambil ditemani isteri menyebabkan saya mempunyai visi berbeza dengan melihat perniagaan ini tidak pernah ‘memilih bulu’ terhadap sesiapa yang ingin menceburinya.

“Cuma perlukan kesungguhan dan kebijaksanaan supaya pelanggan yang biasanya wanita faham apa yang kita ingin sampaikan mengenai sesuatu produk,” katanya yang lima tahun terbabit dalam perusahaan ini.

Apabila menyebut perniagaan itu lebih bersifat terbuka, Muzaffar berasa sasaran terhadap perniagaan itu turut luas.

“Siapa kata produk kolagen hanya boleh diminum wanita. Mereka yang mementingkan kesihatan, termasuk lelaki yang memerlukan kolagen bagi mengatasi masalah penuaan, boleh mengambil produk terbabit.

“Kesihatan meliputi kulit serta organ yang bertindak aktif untuk mengurangkan ejen penuaan, dan secara tidak langsung keletihan disebabkan terlalu banyak aktiviti dapat diatasi dengan pengambilan konsisten,” katanya yang ingin mengubah persepsi masyarakat bahawa kepentingan kolagen hanya khusus buat kaum Hawa.

Melihat dia benar-benar mengenali produk dihasilkan, Muzaffar berkata, kalau dibandingkan dengan usahawan lain, pembabitannya dalam bidang perniagaan masih dikit.

Dia pernah berkhidmat dalam sektor kerajaan selama 18 tahun sebelum mengambil tindakan drastik dengan meletakkan jawatan kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap perniagaan.

“Sebelum ini saya perlu berada di pejabat jam 8 pagi dan pulang sebaik jarum menunjukkan jam 5 petang, tetapi kini kehidupan saya berubah 100 peratus.

“Saya bekerja ibarat 24 jam. Pulang di rumah bukan bermaksud saya berhenti berehat, sebaliknya saya perlu memikirkan pula strategi untuk esok.

“Boleh dikatakan saya terbabit dalam sebahagian besar tumpuan kepada perniagaan dan semua peringkat jawatan yang wujud dalam syarikat.

“Tidak kiralah saya perlu menjadi kerani atau bertemu pelanggan mahupun urusan kilang, saya perlu turun padang,” katanya yang kini mempunyai ejen hampir di seluruh negara.

Ditanya mengenai tindakannya memperjudikan jaminan hidup apabila berhenti kerja di sektor kerajaan, Muzaffar tidak meragui tindakan itu disebabkan percaya dengan produk dihasilkannya.

“Sebenarnya, saya membabitkan diri secara sambilan selama tiga tahun dan melihat permintaan terhadap produk memberangsangkan. Saya bermula daripada bawah dan boleh dikatakan terbabit dalam setiap projek pembangunan produk.

“Saya lihat produk dihasilkan dan kesannya terhadap kesihatan dan kecantikan, malah ada potensi berkembang lebih jauh, menyebabkan saya tekad berhenti.

“Saya tidak kesal meninggalkan jawatan dalam kerajaan berikutan pencapaian memberangsangkan selepas lima tahun membangunkan ZZ Beauty bersama isteri,” katanya.

Dia berkata, sokongan padu tentu sekali diterima daripada keluarga. Bagi anak jati Kuala Lumpur itu, isterinya, Aziela Che Nor, 42, dan anak menjadi pendorong kepada usaha gigihnya untuk terus membangunkan jenamanya.

“Isteri sebenarnya menceburi bidang penjagaan kesihatan serta kecantikan terlebih dulu dan saya sekali sekala turun membantu.

“Melihat isteri gigih berusaha membuat saya kagum. Kerap turun bersama isteri membuat saya berminat menceburi bidang perniagaan dan berani keluar daripada zon selesa.

“Tambah menguatkan semangat, testimoni serta maklum balas pelanggan
begitu positif hingga membuatkan saya berasa teruja dengan produk dihasilkan,” katanya.

Berkongsi rahsia kejayaannya, Muzaffar berkata, tentu sekali ketelitian dan produk dihasilkan berkualiti dapat menjamin pasaran terus berkembang.

“Saya dan isteri sedia maklum, produk kolagen ditawarkan dalam pasaran tempatan tumbuh seperti cendawan sebaik hujan. Namun saya tidak khuatir dengan persaingan pasaran kerana produk disediakan kami dijamin kualitinya.

“Seawal pemilihan bahan mentah iaitu produk ikan segar diimport dari Perancis membolehkan kami mencapai spesifikasi piawaian kolagen bermutu tinggi.

“Syarikat saya juga mempunyai kilang sendiri, sekali gus membolehkan kami memantau setiap proses hingga ke peringkat pembungkusan mengikut amalan pengeluaran baik atau Good Manufacturing Practice (GMP) iaitu piawaian khusus produk bertaraf antarabangsa.

“Saya juga menghantar contoh produk untuk diuji enam bulan sekali bagi memastikan ia berkesan dan selamat untuk pelanggan,” katanya yang membuat lawatan ke luar negara untuk memastikan bahan mentah berkualiti tinggi.

Muzaffar turut kesal dengan tindakan sesetengah individu yang menghasilkan produk tiruan menggunakan jenamanya, sekali gus menjejaskan kredibiliti syarikatnya.

“Paling mencabar ketika ini ialah, saya dan isteri terpaksa bergelut dengan kemunculan produk tiruan yang menggunakan jenama kami.

“Ia dibungkus dalam botol, berbeza dengan produk tulen keluaran kami yang menggunakan kotak. Kredibiliti kami di kalangan pelanggan sedikit terjejas dan pelanggan yang pernah mengambil produk tiruan ini menerima kesan sampingan.

“Kami berusaha memaklumkan semua ejen mahupun pelanggan supaya mendapatkan produk sebenar dalam bentuk kotak kerana ia mematuhi piawaian Kementerian Kesihatan serta pihak berkaitan,” katanya.



PROFIL:

NAMA: Muzaffar Mustafa
UMUR: 39 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
JAWATAN: Pengarah Urusan ZZ Marketing Resources
ISTERI: Aziela Che Nor

ANAK: Wan Muhammad Izzat Ezany (23), Siti Camalin Sofea Muzaffar (10) dan Siti Aisyah Zulaika (3)

Petikan : www.hmetro.com.my

Ali Hashim tiada tandingan


Wartawan Sinar Harian
2 Julai 2012
Ali Hashim tiada tandingan
Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub (kanan) beri penerangan percetakan majalan kepada Ali Hashim.
 
Berteraskan slogan kata ‘Menjayakan Bisnes Sebagai Satu Jihad’, nama Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Tan Sri Muhammad Ali Hashim tidak asing dalam kalangan korporat dan menjadi kebanggaan umat Islam di Malaysia.

Kepimpinannya semakin terserlah menerusi pendekatan Islam dengan memperkenalkan produk berdaya saing seperti Wakaf Korporat, Klinik An Nur dan sebagainya.

Mengambil keputusan melepaskan jawatan sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) hampir dua tahun lalu tidak menghalang hasratnya menggalakkan usahawan menjalankan perniagaan mengikut sunah dan al-Quran.

Berpengalaman dalam bidang perniagaan korporat hampir 30 tahun mendorongnya memperkenalkan ‘Wakaf Korporat’ dalam memastikan pembaharuan nilai perniagaan dapat dilaksanakan.

Muhammad Ali diibaratkan ‘Jurutera Perniagaan’ menerusi misi dan kepemimpinannya menjadikan restoran makanan segera KFC dengan jaminan halal berkembang sehingga Singapura, Brunei, Kemboja dan Mumbai.

Kini ideologi seperti ‘Jihad Bisnes’ adalah perjuangannya dan fokus utama menjadikan negara sebagai destinasi unggul pengembangan perniagaan tersebut. Menerusi kunjungannya ke Kumpulan Media Karangkraf baru-baru ini, beliau berkongsi pengalaman dalam bidang itu bersama warga kerja menerusi sesi dialog yang diadakan.

Pada hemat Tan Sri, sejauh mana Islam diiktiraf dalam perniagaan sejak pendekatan perniagaan Islam diperkenalkan?
MUHAMMAD ALI: Selaku Ketua Eksekutif JCorp, sehingga kini saya telah meninggalkan aset bernilai RM18 bilion, anggota kerja 65,000 dan 280 syarikat. Pada saya, apa yang paling penting adalah nilai Islam dari segi budaya, amalan berurusan, hubungan antara anggota. Salah satunya, istilah ‘kakitangan’ diharamkan kerana kita perlu mengubah minda kebanyakan orang termasuk pemimpin.

Apabila kita panggil orang bawahan dengan gelaran ‘kakitangan’ maknanya ia tidak islamik dan merendahkan darjat orang. Lebih baik sekiranya kita menggunakan istilah anggota atau warga kerja. Selain itu, saya berpendapat pelancaran dasar penswastaan dengan tegas sebelum ini hanya merugikan orang Melayu dan tidak menepati nilai sebenar.

Apabila kebanyakan syarikat diswastakan, masalah besar yang berlaku adalah kebocoran. Individu tersebut tidak dapat bertahan khususnya dalam bersaing dengan bukan Islam di negara ini.

Sehubungan itu, apabila memiliki KFC, ia adalah amanah dan menjadi milik semua orang kerana tiada orang mengajar kita bahawa amanah itu boleh masuk ke poket sendiri.

Perjuangan DPIM tidak bersetuju dengan penswastaan maka alternatif lain ditawarkan adalah wakaf yang boleh menjadi hak milik komuniti dan kita boleh bekerja seperti orang biasa kerana pangkalnya bermula dengan orang ramai.

Maka, cara untuk menjayakan Islam selain daripada nilai budaya dalam, tetapi pangkalnya pemilikan dan ia menjadi salah satu sebab mengapa saya memilih memulakan perusahaan Wakaf Korporat di Johor. Sejak penubuhannya, kita telah mewakafkan sembilan peratus saham KPJ, empat peratus saham Kulim Malaysia Berhad ke Wakaf An Nur Corporation Berhad bermula dengan RM200 juta sejak 2006, tetapi sehingga hujung tahun lalu ia merekodkan RM583.5 bilion.

DPIM perjuangkan dan menggalakkan penubuhan lebih banyak wakaf korporat, walaupun tiada saham, tetapi saya yakin mereka boleh bekerja keras dengan memasukkan nilai semangat serta sentimen jihad kepada perniagaan kerana ramai yang sanggup berkorban. Insya-Allah. Tetapi apa yang dibimbangkan adalah formula tersebut dirombak walaupun ia telah diterapkan lebih 30 tahun.

Bagaimana dengan produk? Sebagai contoh KFC, sejauh mana kita boleh tahu bahawa ia halal?
MUHAMMAD ALI: Orang Islam kalau kita suruh dia buat sesuatu bertentangan pasti tidak sampai ke mana. Sekiranya kita ingin berjaya perlu mempunyai minat dan sanggup berkorban.

Dalam kes itu, apabila kita jihad bisnes tidak boleh jahat. Mungkin apa yang kita buat dulu juga bergelumang dengan riba, tetapi kini kita berpeluang ubah kepada islamik dengan pelbagai penawaran diberikan.

Begitu juga dengan produk. Sewaktu kita mengambil alih KFC pada 2006, pada masa itu hanya mempunyai 400 restoran tetapi hari ini kita mempunyai 900,000 malah telah membuka cawangan di Kemboja dan Mumbai.

Pembukaan dan pelaksanaan KFC secara halal di Kemboja dan Mumbai adalah kerana keyakinan Amerika berdasarkan pelaku terbaik di Asia.

Malah, KFC telah memenangi Tiger Award pada 2007 dan 2008 menerusi jualan paling tinggi meningkat. Pencapaian yang mampu dicapai dalam tempoh dua tahun itu didorong nilai ‘Jihad Bisnes’ dalam memastikan makanan disajikan adalah halal.

KFC adalah restoran makanan segera pertama di Malaysia yang memperkenalkan audit halal dan tidak hanya tertumpu pada syariah sahaja. Audit halal diperkenalkan itu melibatkan pelbagai faktor termasuk indeks prestasi pekerja (KPI) semua anggota serta mematuhi prosedur halal tanpa mengira agama.

Adakah DPIM menjalin kolaborasi bersama negara Islam lain bagi melaksanakan ‘Jihad Bisnes’ di negara mereka?
MUHAMMAD ALI: ‘Jihad Bisnes’ yang utamanya adalah satu prinsip menjalankan perniagaan berlandaskan Islam dan universal. DPIM lebih mengutamakan Malaysia tetapi ‘Jihad Bisnes’ tersebut telah dibawa ke beberapa negara menerusi seminar antarabangsa yang dihadiri termasuk Brunei, Singapura, Dubai, Kuwait, Turki dan Oxford.

Sambutan sangat menggalakkan khususnya di negara yang mempunyai komuniti Islam dalam kuantiti minoriti seperti di Kanada, Afrika Selatan, Australia, Amerika dan Eropah. Mereka lebih menginginkanwakaf kerana tiada kerajaan. Walaupun keutamaan adalah di Malaysia, tetapi penyebaran semakin meluas.

Dalam negara kita pun masih belum terlaksana secara menyeluruh, tetapi DPIM tetap mempunyai perancangan menembusi negara lain sekiranya ia dilaksanakan dengan baik di Malaysia.

Baru-baru ini, Oxford telah menyatakan bahawa Malaysia adalah negara contoh bagi perkhidmatan perbankan islamik, kewangan malah kita telah mendahului dalam bidang wakaf serta diperakui malah boleh diterima pakai di negara Islam lain.

Selain itu, DPIM turut melaksanakan program ‘Rakan Jihad Bisnes’ (RKB) iaitu perniagaan berbentuk rangkaian dan setiap ahli dapat menawarkan transaksi perniagaan kepada rakan lain dalam kumpulan yang sama. Sejak dianjurkan selama lebih 80 minggu, kini RKB mempunyai ahli di setiap negeri dan terbahagi dalam beberapa kumpulan.

Selain JCorp, syarikat mana yang boleh menerapkan perjuangan sama seperti diamalkan Tan Sri?
MUHAMMAD ALI: Saya melihat syarikat swasta lebih mudah mengamalkannya dan keutamaan adalah kepada mereka. Itu adalah salah satu faktor mengapa saya konsep ‘Jihad Bisnes’ dalam kalangan korporat dibawa ke KFC.

Apa pendapat Tan Sri mengenai perancangan Felda untuk disenaraikan dalam Bursa Malaysia?
MUHAMMAD ALI: Sekiranya mengikut rekod prestasi saya, penyenaraian tersebut dilihat adalah strategi perniagaan yang baik dan penswastaan syarikat korporat juga boleh dipertimbangkan.

Sekiranya modal kita tidak cukup kita boleh senaraikannya, begitu juga yang saya lakukan dalam KPJ bagi mengurangkan beban dan tidak meminjam sumber kewangan yang banyak daripada bank, tetapi dengan syarat syarikat tidak cukup duit.

Saya tidak mahir dengan susur galur Felda, tetapi rancangan untuk menyenaraikan Felda ke Bursa Malaysia mungkin wajar. Apabila kita tersenarai, banyak mata yang memerhati. Sebagai contoh, JCorp yang menguruskan 280 syarikat telah menyenaraikan kebanyakan syarikat besar supaya sistemnya lebih mudah dan dapat berkongsi dengan umum.

Bagaimanapun, mereka perlu tahu niat untuk menyenaraikan Felda kerana ia juga boleh mengundang bahaya. Apa yang dibimbangkan, jual beli syarikat lebih mudah dilakukan dan ia tidak menjadi 100 peratus milik kita.

Petikan : www.sinarharian.com.my

Friday 13 July 2012

Mati mengejut kerana arteri tersumbat





JANGAN sesekali memandang ringan jika anda atau ahli keluarga terdekat mengalami simptom-simptom seperti sakit dada, sesak nafas, pening kepala dan mengalami palpitas iaitu denyutan jantung yang pantas, kuat atau tidak teratur.
Tanda-tanda tersebut merupakan siren awal yang memberitahu seseorang itu menghidap penyakit arteri koronari.
Penyakit arteri koronari merujuk pada penyempitan dan penyumbatan arteri yang membekalkan darah kepada jantung melalui pengumpulan lemak dan kolesterol.
“Proses ini dipanggil koronari aterosklerosis yang menyebabkan peredaran darah lemah, miokardium anoksia dan juga miokardium nekrosis.
“Dalam kes yang teruk, pesakit boleh meninggal dunia disebabkan jantung terhenti secara tiba-tiba atau dikenali sebagai serangan jantung,” kata pakar runding kardiologi, Profesor Dr. Sim Kui Hian.
Tambahnya, seseorang yang menghidap masalah penyakit arteri koronari juga biasanya akan berasa sakit di dada seperti rusuk dihimpit-himpit dan tidak kurang juga yang sakit di bahagian tangan kiri, siku dan perut.
Kui Hian memberitahu, penyakit arteri koronari terjadi apabila berlakunya pengumpulan lemak, kolesterol, kalsium dan bahan lain dalam darah yang dikenali sebagai plak.
Pengumpulan plak
Apabila plak tersebut terkumpul ia dipanggil koronari aterosklerosis.
“Pengumpulan plak ini selalunya berlaku dalam tempoh yang lama dan apabila ia mengeras, arteri akan tersumbat lalu menyebabkan peredaran darah menjadi lemah.
“Keadaan ini dinamakan aterosklerosis. Penyempitan arteri koronari ini menyebabkan darah beroksigen yang dihantar ke otot jantung berkurangan mengakibatkan sakit dada atau angina pektoris,” ujarnya.
Menurut Kui Hian, jika plak tersebut menghalang arteri koronari sepenuhnya atau pecah, ia boleh membawa kepada serangan jantung (infarksi miokardium).
Faktor risiko penyebab utama penyakit tersebut ialah tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, obesiti, merokok, kencing manis, amalan gaya hidup sedentari dan sejarah keluarga.
Bagi mengesan seseorang itu menghidap penyakit arteri koronari, seseorang doktor itu akan melakukan beberapa diagnosis seperti elektrokardiogram (ECG), ujian senaman treadmill, ekokardiografi, Myocardial Perfusion Scan, Cardiac Computed Tomography (CCT), Cardiac Magnetic Resonance Imaging (CMR), Cardiac Catheterization dan Coronary Angiogram.

BAGI mengesan seseorang itu menghidap penyakit arteri koronari, doktor akan melakukan beberapa diagnosis.


“Secara umum, doktor akan memilih penyelesaian terapeutik mengikut keadaan penyakit dan keadaan kesihatan pesakit selepas membuat diagnosis yang tepat tentang penyakit arteri koronari.
“Perubahan gaya hidup seperti berhenti merokok, pemakanan seimbang dan senaman yang mencukupi banyak membantu dalam pemulihan penyakit arteri jantung,” katanya.
Jelas beliau, pada masa sekarang, kaedah terapeutik yang digunakan untuk merawat penyakit arteri koronari ialah rawatan perubatan, pembedahan pintasan arteri koronari (CABG), percutaneous coronary intervention (PCI) yang lebih dikenali sebagai belon angioplasti dan pembedahan pintasan jantung.
Terdapat pelbagai jenis sten yang digunakan dalam teknik angioplasti iaitu menggunakan bare metal stent (BMS), drug-eluting stent (DES) dan bio-engineered stent (BES).
Kebiasaannya, pilihan rawatan berdasarkan faktor yang ditentukan oleh gejala-gejala yang dialami pesakit.
Dalam kebanyakan kes, jika arteri tersumbat kurang daripada 70 peratus, maka ubat akan menjadi pilihan rawatan baris pertama.
Jika pembedahan diperlukan, BES ialah sten yang sesuai untuk semua pesakit.
Pemasangan sten menawarkan penyelesaian bagi kumpulan pesakit tertentu seperti mereka yang memerlukan pembedahan dalam jangka masa pendek, pesakit yang tidak boleh menggunakan Dual Antiplatelet Therapy (DAPT) iaitu rawatan perubatan yang membabitkan pengambilan agen pencairan darah seperti aspirin dan agen antiplatlet untuk jangka masa panjang dan warga emas.
Pesakit yang menjalani rawatan memasukkan sten boleh menjalani kehidupan seperti biasa dengan membuat senaman aerobik.
Namun begitu, pesakit arteri koronari harus melakukan ujian stres terlebih dulu sebelum memulakan program senaman bagi mengukur kemampuan mereka untuk bersenam.
“Mereka dinasihatkan supaya melakukan senaman ditemani orang lain dan tidak berseorangan selepas beberapa bulan pertama menjalani rawatan.
“Gaya hidup yang sihat seperti berhenti merokok, mengamalkan diet sihat dan senaman dengan kerap sangat penting untuk mengekalkan kesihatan jantung,” ujarnya.
Dahulu, penyakit jantung hanya menyerang individu berusia, kini situasinya berbeza kerana golongan individu berusia bawah 50 tahun turut berdepan dengan risiko penyakit tersebut.
Gaya hidup
Menurut Kui Hian, keadaan itu berlaku akibat gaya hidup tidak sihat, tidak melakukan senaman, obesiti, merokok, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi.
“Penyakit ini berpunca daripada gaya hidup tidak sihat.
“Bagi mengelakkan penyakit ini, kita perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti kurangkan pengambilan makanan yang banyak mengandungi lemak, kolesterol dan garam, jangan merokok, kurangkan tekanan dan selalu bersenam,” nasihatnya.
Dalam pada itu, Hindon Abdul Aziz, 55, tidak menyedari sama sekali bahawa dia menghidap penyakit arteri koronari sehinggalah beliau membuat pemeriksaan penuh kesihatan yang disarankan oleh tempat kerjanya.
Selepas melakukan ujian stres dengan treadmill, doktor memberitahu bahawa Hindon mempunyai masalah saluran jantung tersumbat dan menyarankannya menjalani rawatan angioplasti.


GAMBAR di atas menunjukkan bagaimana sten dipasang bagi membesarkan saluran darah yang tersumbat bagi membolehkan aliran darah mengalir dengan normal tanpa sekatan.



“Ahli keluarga saya ramai meninggal akibat penyakit yang berkaitan jantung seperti kolesterol tinggi dan angin ahmar.
“Sebulan jugalah saya membuat keputusan untuk membuat angioplasti. Prosedur angioplasti ini mengambil masa lebih kurang satu jam,” katanya.
Selepas membuat pemasangan sten, doktor menasihatkannya membuat perubahan pada diet.
“Makanan laut tidak boleh makan kerana kandungan kolesterolnya tinggi, makanan berminyak dan bersantan selain mengamalkan gaya hidup sihat seperti tidak merokok.
“Jika tidak berpantang, ada kemungkinan saluran tersebut tersumbat kembali. Apabila rakan-rakan tahu saya menghadapi masalah penyakit ini, ramai yang menyarankan supaya makan epal hijau, saderi, lemon dan teh hijau,” ujarnya.
Ditanya mengenai rawatan ubat tradisional yang banyak diamalkan oleh segelintir masyarakat, Hindon memberitahu doktor mengingatkannya supaya tidak mencampurkan pengambilan ubat doktor dengan ubat tradisional.
“Tidak dinafikan selepas didiagnosis menghidap penyakit ini, diet saya sekeluarga berubah dan jarang sekali makan di luar seperti sebelum ini.
“Sekarang ini, tengok sahaja orang makan nasi lemak sepinggan penuh saya sudah takut. Mula-mula dapat tahu menghidap penyakit ini, saya tidak lagi makan nasi lemak dan bertukar kepada capati,” katanya yang kini menyediakan makanan menggunakan kaedah rebus, kukus dan panggang.
Secara peribadi, Hindon memberitahu, pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali amat penting.
“Lebih baik dapat tahu awal daripada tidak tahu langsung dan tiba-tiba sahaja mendapat serangan jantung.
“Sehingga hari ini, setiap hujung minggu sebaik sahaja selepas subuh saya dan suami akan berkebun untuk mengeluarkan peluh,” ujarnya yang banyak membawa artikel-artikel mengenai arteri koronari.

Persiapan rapi elak risiko



MELIHAT penampilan fizikal lelaki itu yang masih tegap dan sihat seolah-olah tidak sepadan dengan usianya. Pergerakannya, masih tangkas dan lincah. Kudratnya masih kuat dan bertenaga melakukan pelbagai aktiviti kecergasan di luar atau di dalam rumah.

Antara yang digemarinya ialah berenang, berkunjung ke gimnasium atau setidak-tidaknya berbasikal di sekitar kawasan rumahnya di Taman Tun Abdul Razak, Ampang Jaya, Selangor.

Pada usia 69 tahun, bekas Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Khalid Yunus tampak muda berbanding lelaki seusia beliau.

"Saya ini memang jenis tidak suka duduk diam. Sejak zaman muda, saya aktif dalam sukan olahraga termasuk pernah mewakili sekolah sehingga ke peringkat negeri.

"Sifat itu terus terbawa-bawa sehingga semasa saya menjadi wartawan dahulu sebelum menceburkan diri dalam bidang politik dan beberapa persatuan sukan ketika itu.

"Walaupun sibuk, saya akan pastikan masa untuk beriadah setiap hari," kata beliau yang sering mendaki Gunung Datuk setiap kali pulang ke negeri kelahirannya, Negeri Sembilan.

Menurut Khalid, dia mula mengenali aktiviti mendaki pada tahun 2002 ketika menyertai ekspedisi pendakian ke Gunung Tahan, Pahang.

Menjadi pendaki tertua pada usia 58 tahun, Khalid tetap teruja dan bersemangat menyudahkan ekspedisi menawan puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia itu yang memakan masa hampir seminggu.

"Sukar digambarkan perasaan saya ketika itu, seronok, puas, bangga dan sebagainya. 

"Sejak itu saya bertekad untuk menjadikan aktiviti mendaki gunung sebagai satu hobi di samping sebahagian daripada rutin kecergasan," ceritanya yang kini telah mendaki sebahagian besar gunung-gunung di Malaysia.

Setahun kemudian, beliau memberanikan diri untuk menyertai ekspedisi mendaki Gunung Kala Pattar di Nepal yang mempunyai ketinggian 5,643 meter bersama ahli-ahli Persatuan Rekreasi Angkasapuri.

Suhu ekstrem

Berdepan dengan suhu yang ekstrem mencecah 10 hingga 15 darjah Celcius di bawah paras beku nyata menguji mental dan fizikal Khalid.


BERDEPAN dengan cuaca ekstrem di bawah paras beku antara pengalaman yang pernah dilalui Khalid ketika misi menawan puncak Everest satu ketika dahulu.


"Semasa mendaki, beberapa rakan pendaki telah menunjukkan puncak Everest yang tampak begitu megah berdiri di hadapan kami.

"Sebaik sahaja melihatnya, saya jatuh cinta. Di dalam hati saya berkata, saya pasti akan kembali semula ke situ untuk menawan puncak setinggi 8,848 meter itu," katanya yang merupakan anak sulung daripada sembilan beradik.

Pada tahun 2004, Khalid yang dilantik sebagai Penasihat Kehormat Ekspedisi Demi Negara Ke Everest 2004 sekali lagi ke berpeluang meneroka banjaran Himalaya itu bagi memberi sokongan kepada dua orang pendaki negara, Muhammad Muqharabbin Mokhtaruddin dan Ahmad Reduan Rozali dalam misi mereka menakluk puncak Everest.

Bangga dengan kejayaan kedua-dua pelajar Universiti Teknologi Mara itu, beliau kemudiannya menubuhkan Persatuan Kembara Malaysia (PKN) dengan matlamat untuk melakukan misi yang sama pada tahun 2007. 

"Saya sendiri menawarkan diri untuk menyertai Merdeka de' Everest 2007. Sepanjang tiga tahun, saya mengorbankan masa untuk melakukan latihan intensif di Gunung Kilimanjaro di benua Afrika, Puncak Meera di Himalaya dan Gunung Cairngorms Aviemore, Scotland.

"Bagaimanapun, saya hanya mampu sampai di Kem 3 pada ketinggian kira-kira 7,000 meter dari aras laut akibat diserang simptom mabuk gunung (acute mount sickness - AMS). 

"Biarpun kecewa, saya berbangga enam pendaki kita berjaya sampai ke puncak termasuk pendaki Everest wanita pertama negara, Marina Ahmad," jelas beliau.

Pada tahun lalu, beliau sekali lagi mengetuai Misi Perdana De' Everest Tibet 2011 untuk menawan puncak Everest. Namun, percubaan pasukannya digagalkan akibat cuaca buruk. Beliau hanya sempat berada di Kem 3.

"Siapa yang tidak kecewa, apatah lagi selepas membuat pelbagai persiapan rapi sebelum itu. Namun, gagal sekali bukan bererti gagal selamanya, jika diizinkan Tuhan, saya akan cuba menakluk puncak itu pada masa hadapan.

"Lagipun, kejayaan pendaki wanita Everest tertua di dunia dari Jepun, Tamae Watanabe menjadi inspirasi untuk saya, mana tahu selepas ini giliran saya pula mengharumkan nama Malaysia," seloroh Khalid.

Rutin kecergasan

Sementara itu, status nenek kepada 10 orang cucu tidak menghalang Hasnah Abdullah, 60, untuk terus aktif dalam aktiviti mendaki gunung.

Seperti Khalid, Hasnah yang berasal dari Kluang, Johor juga mula mendaki pada usia emas iaitu ketika berumur 54 tahun.

Isteri kepada pesara guru, Abdul Kadir Abdullah, 72, itu berkata, sebelum itu dia telahpun mendaki Gunung Lambak yang terletak berdekatan dengan rumahnya di Kluang, Johor sebagai salah satu rutin kecergasan di samping mengisi masa yang terluang.

Ujar Hasnah, biarpun ia tidak begitu mencabar iaitu hanya memakan masa sekitar satu setengah jam, dia tetap berasa puas dan tenang sebaik tiba di puncak.

Menurut nenek yang kental semangat itu, dia tertarik untuk menyertai satu ekspedisi pendakian di Gunung Nuang, Selangor selepas melihatnya di dalam sebuah majalah pada tahun 2007. Ketika itu beliau berusia 54 tahun.

"Bayangkan saya sanggup naik bas dari Johor semata-mata tidak mahu terlepas menyertainya. Biarpun tidak mengenali sesiapa ketika itu dan tidak mempunyai kelengkapan mendaki yang lengkap, saya gagahkan diri untuk mencuba.


HASNAH berasa puas setiap kali tiba di puncak gunung kerana berpeluang melihat keindahan alam semula jadi.


"Kejayaan pertama itu membuatkan saya terus 'ghairah' mendaki sehingga ke hari ini. Dalam tempoh beberapa tahun sahaja, saya sudah mendaki sebahagian besar gunung-gunung di Semenanjung Malaysia melalui pelbagai ekspedisi yang diadakan oleh kelab-kelab rekreasi," katanya yang digelar Hasnah Gunung dalam kalangan rakan-rakan pendaki.

Hasnah memberitahu, keseronokan mendaki bukan setakat berjaya menawan puncak gunung, sebaliknya dapat berkenalan dengan ramai kenalan baharu di samping melihat panorama alam semula jadi.

Ujarnya, gunung yang berbeza pastinya mempunyai cabaran yang berbeza, bagaimanapun dia bersyukur kerana tidak pernah berhadapan dengan masalah atau kecederaan sejak aktif di dalam aktiviti itu.

"Ada juga rakan-rakan sebaya yang pelik dengan aktiviti saya ini, maklumlah sudah bercucu, tapi minat mengatasi segala-galanya.

"Saya bersyukur kerana dikurniakan suami dan anak-anak yang sentiasa memahami. Biarpun sibuk menyertai ekspedisi yang diadakan saban tahun, namun saya tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu. Keluarga tetap merupakan keutamaan," ujarnya.

Ditanya mengenai rahsianya kekal sihat dan cergas, Hasnah berkata, dia sering berjoging, mengamalkan minum susu setiap hari dan tidak mengambil minuman berais.

"Saya tidak pasti sampai bila akan terus mendaki, tetapi selagi dikurniakan kesihatan yang baik, saya tidak akan berhenti," ujarnya.

Kisah misteri

Sementara itu bagi Ghazali Safri, 51, atau lebih mesra dengan gelaran Pak Teh, mendaki gunung membolehkannya bersantai sambil melepaskan diri daripada hiruk-pikuk kehidupan kota.

Kakitangan pentadbiran di sebuah syarikat swasta itu berkata, membesar di kawasan kampung di Taiping, Perak, menyebabkan dia selesa berdamping dengan bunyi cengkerik dan unggas di rimba.

"Dahulu ketika masih muda, saya aktif mendaki beberapa bukit dan gunung di sekitar Taiping seperti Bukit Larut, Bukit Merah dan Gunung Semanggol bersama rakan-rakan.

"Bagaimanapun, selepas berhijrah di kota, bekerja dan berkahwin hasrat itu terpaksa dilupakan seketika," ujar bapa kepada tiga orang cahaya mata itu.

Pak Teh berkata, hanya pada tahun 2003, dia mula mengikuti pelbagai ekspedisi mendaki yang dianjurkan oleh kelab-kelab rekreasi. Antaranya ialah Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL).

Tambah Pak Teh, antara pengalaman pendakian yang tidak dapat dilupakan ialah ketika mendaki Gunung Tahan pada tahun 2007.

"Sepanjang ekspedisi itu saya memang tidak mempunyai masalah kecergasan, namun sebaik sebaik tiba di kawasan bernama Puncak Bonzai dari Bukit Botak, saya tiba-tiba lemah.

"Ketika dalam perjalanan turun di laluan yang sama, saya dan seorang pendaki mengambil keputusan untuk berehat seketika. 


BIARPUN bergelar nenek, Hasnah (belakang, tiga dari kiri) tidak kekok bercampur dengan pendaki-pendaki muda setiap kali menyertai aktiviti mendaki.


"Sebaik sahaja saya bangun, saya dapati pokok-pokok di sekeliling saya menyerupai bentuk wanita. Meremang bulu roma dibuatnya! 

"Namun, kita harus sedar bahawa di dalam hutan, bukan kita sahaja makhluk yang ada," ujarnya yang memberitahu Gunung Tahan sememangnya mencabar seperti juga namanya.

Katanya, biarpun telah berusia, beliau tidak kekok bergaul dalam kalangan pendaki yang rata-ratanya masih muda di samping berkongsi segala pengalaman dan tip pendakian.

"Ketika mendaki, teknik pernafasan kena betul, badan kena sedikit bengkok untuk mengimbangi beban yang dibawa, pada masa yang sama tingkah laku dan pertuturan juga harus dijaga.

"Bagaimanapun, kepuasan utamanya adalah setiap kali berjaya tiba di puncak, segala penat mengharungi perjalanan panjang, pasti hilang dalam sekelip mata," katanya

Petikan : www.kosmo.com.my/rencana utama

Tuesday 10 July 2012

Inspirasi Federer

     
LONDON: Roger Federer percaya menjadi seorang bapa dan menyambut hari jadinya yang ke-30 memberi inspirasi buatnya untuk menyamai rekod tujuh kejuaraan Wimbledon.

Federer menyamai pencapaian Pete Sampras dengan tujuh kejuaraan di Kelab All England dan meraikan kejayaannya meraih kemenangan Grand Slam ke-17 menerusi kemenangan 4-6, 7-5, 6-3, 6-4 ke atas pemain Britain, Andy Murray dalam kemunculan kelapannya pada final di Wimbledon, kelmarin.

Kemenangan itu, yang diraih di bawah bumbung Gelanggang Tengah bernilai �80 juta (RM395 juta), turut melonjakkannya kembali sebagai pemain nombor satu dunia yang mana minggu ini dia akan berada di puncak selama 285 minggu, hanya satu minggu kurang daripada rekod Sampras.

Secara keseluruhannya, ia hari terbaik buat pemain yang tidak diberikan harapan dalam era keemasan Novak Djokovic dan Rafael Nadal, selain menamatkan kemarau kejuaraan Grand Slam sejak gelaran ke-16 pada Terbuka Australia 2010.

Namun Federer berkata dia didorong melakar kemenangan untuk membolehkan dua anak perempuan kembarnya, Myla Rose dan Charlene Riva, yang berusia tiga tahun bulan ini, menyaksikan bapa mereka beraksi dengan cemerlang.

“Orang terlupa kadang-kadang saya memiliki dua anak perempuan kembar. Ia satu impak besar dalam kehidupan saya. Ia banyak membantu permainan saya lebih daripada yang lain kerana saya fikir saya bermain antara yang terbaik dalam karier saya sekarang,” kata Federer.

“Kejayaan hari ini adalah mimpi jadi nyata buat saya dan keluarga. Ia memang mengagumkan.” Federer tua lebih lima tahun daripada Murray dan Djokovic, penyandang juara yang disingkirkan di Wimbledon oleh bintang Switzerland itu pada separuh akhir dan empat tahun lebih senior daripada Nadal, yang meraih rekod tujuh kejuaraan Terbuka Perancis bulan lalu.

Mengalahkan Djokovic dan Murray dalam perlawanan berturut-turut di Kelab All England memberikan Federer lebih keyakinan bahawa dia mampu meraih lebih banyak kegemilangan pada masa depan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/09

Warga emas pandu Volvo lama sejauh hampir 4.8 juta kilometer

Petikan dari www.kosmo.com.my/rencana utama



GORDON memandu kereta Volvo P1800 miliknya di Babylon, New York semalam.



NEW YORK - Seorang bekas guru di Amerika Syarikat (AS), Irvin Gordon berharap dapat mencatat perjalanan sejauh 4.8 juta kilometer (km) bersama kereta merah kesayangannya, Volvo P1800 keluaran 1966 tidak lama lagi, lapor laman berita chron.com semalam.

Setakat ini, odometer kereta dua pintu itu mencatat jarak perjalanan melebihi 3.2 juta km atau hampir 1,176 pusingan mengelilingi dunia.

Gordon, 72, berharap dapat mencatat jarak 4.8 juta km menjelang tahun hadapan. Warga emas itu cuma perlu memandu sejauh 54,400km lagi untuk melakukan pencapaian tersebut.

"Saya seronok memandu kereta ini," kata Gordon yang membayar $4,150 (RM13,228) untuk kenderaan tersebut pada 30 Jun, 1966.

"Ketika itu, ia bersamaan gaji saya selama setahun," tambahnya.

Gemar melakukan perjalanan jauh, Gordon adalah pemegang Guinness World Record kategori Kenderaan Perbatuan Tinggi sejak 2002 dan merupakan orang pertama yang mencatat rekod tersebut.

Menurutnya, dia mengambil masa 21 tahun untuk mencapai jarak 1.6 juta km dan 15 tahun lagi untuk mencecah 3.2 juta km.

Kini bergelar duda selepas bercerai dengan isterinya, Gordon memandu sekitar 136,000km hingga 160,000km setiap tahun.

Kebanyakan perjalanan itu dilakukan untuk bersiar-siar atau menyaksikan pertunjukan automobil di seluruh AS.

Ditanya sama ada dia akan menukar kereta lama tersebut dengan model baharu, Gordon menyatakan perkara itu tidak pernah terlintas dalam fikirannya.

"Kenapa saya perlu menukar kereta ini? Ia ibarat seorang wanita yang baik, anda tidak akan mencari yang lain," ujarnya. - AP

Buru puluhan ribu buaya Sarawak




 
 
 

KEHANGATAN kisah manusia menjadi santapan buaya atau serangan haiwan reptilia yang terkenal dengan jolokan sang bedal ini sering menjadi paparan media.

Malah cerita atau mitos mengenai haiwan pemangsa ini seringkali menjadi bualan penduduk yang tinggal berhampiran sungai, lebih-lebih lagi di sepanjang sungai di Sarawak.

Terbaharu, negara digemparkan dengan kejadian menimpa isteri Ketua Rumah Panjang Nanga Sungai Anak, Siah Munsong, 42, yang dibaham buaya berukuran lima meter dan bersaiz sebesar tong dram. Dia diserang ketika sedang mandi di jeti rumah panjang itu.

Rentetan peristiwa tersebut, suami mangsa Embol Asum, 48, menyimpan dendam terhadap Bujang Sebelak, pemangsa yang meragut nyawa wanita yang dikahwininya kira-kira tiga dekad lalu.

Berbekalkan kerinduan terhadap mendiang isteri dan dendam kesumat terhadap haiwan yang dalam masyarakat Iban yang terkenal dengan panggilan 'aki' atau sebutan akik, 'orang dalam' atau 'jelu air', kepakaran dan kemahiran seorang pawang tersohor dari Betong, Indet anak Sanabong, 49, diperlukan.

Menceritakan pengalamannya, Indet mula belajar ilmu tersebut daripada seorang guru di Sipitang, Sabah selama dua tahun.

"Saya bekerja tanpa gaji tetapi saya banyak mengikutnya berniaga buah pisang dan nanas.

"Siang hari saya akan membantu guru berniaga. Pada malam hari, barulah saya belajar ilmu tersebut sehingga dia mengambil saya sebagai anak angkat sehinggalah perguruan saya sempurna," katanya.





















































 INDET menunjukkan tiga mata kail ketika keluar memburu buaya di Sungai Sebelak, Betong, Sarawak baru-baru ini sambil diperhatikan isterinya.



Bapa kepada enam anak yang berusia antara 21 hingga 30 tahun itu mula berkecimpung dalam bidang tersebut sejak remaja pada usia 16 tahun. Dia mendakwa telah menangkap puluhan ribu buaya di seluruh sungai Sarawak sama ada untuk menjualnya atau menangkap buaya yang membaham manusia.

Disumpah jadi buaya

"Lima anak saya disekolahkan menggunakan duit upah menjual buaya kepada taman-taman buaya dan orang perseorangan. Tetapi apabila saya mengetahui tindakan saya itu menyalahi undang-undang saya berhenti," ujar lelaki bertubuh tegap dengan ketinggian 1.6 meter itu. 

Indet yang gemar memakai topi merupakan seorang yang tidak lokek berkongsi pengalaman. 

Menurut lelaki yang mempunyai lebih tiga dekad pengalaman menangkap buaya itu memberitahu, mengikut kepercayaan, buaya yang mengganas dengan membaham manusia asalnya ialah manusia yang kemudiannya disumpah menjadi buaya.

"Jolokan nama 'bujang' bermaksud orang yang jaguh, hebat, disegani dan gelaran terhormat bagi seorang lelaki.

"Jadi sinonimnya gelaran bujang yang diberi kepada reptilia ini kerana menghormati buaya buas," katanya.
Malah, mengikut kepercayaan sesetengah masyarakat Iban sendiri, aki atau buaya ini merupakan jelmaan dewa sungai iaitu Ribai.

Kata Indet, kepercayaan ini juga mendorong masyarakat setempat mengelak daripada membunuh haiwan ini kerana bimbang ditimpa malapetaka.



PENGHUNI rumah panjang menjulang Bujang Seblak, buaya yang dipercayai menyebabkan kematian Siah.



Mengikut ilmu yang dipelajari Indet, buaya tidak menyerang sebarangan orang sebaliknya akan menyerang manusia yang hanya berada dalam keadaan puni atau sebutannya punik.

"Mengikut masyarakat Iban puni bermaksud seakan-akan kempunan dalam budaya masyarakat Melayu, tetapi puni ini lebih kepada janji yang tidak ditepati oleh seseorang.

"Seperti dia dipelawa untuk makan tetapi dia tidak menjamah makanan tersebut lalu melakukan pekerjaan lain maka orang itu berada dalam keadaan puni," terangnya.

Sehubungan itu, bagi membatalkan puni apabila seseorang dipelawa makan, dia harus menjamah sedikit makanan atau menyentuh bahagian bawah pinggan makanan sambil berkata, 'udah aki'.

"Antara pantang-larang yang diamalkan masyarakat yang mendiami kawasan berhampiran tepi sungai ialah tidak sesekali bercakap besar kerana aki ini tidak menyukainya.

"Sekalipun hanya terdetik di dalam hati, perasaan untuk mencabar ini akan menyebabkan naluri mahkluk tersebut naik berang lalu menyerang manusia," katanya.



INDET (tengah) bersama rakannya ketika menangkap buaya di Miri, Sarawak.



Dalam pertemuan dengan Indet tersebut di rumahnya di Betong, suami kepada Rameh anak Manggai, 58, berkongsi serba sedikit tentang ilmunya untuk memburu buaya yang mengganas di sungai-sungai sekitar Sarawak.

Pada satu operasi memburu Bujang Sebelak di Sungai Sebelak, Roban, Saratok seekor buaya yang dinamakan Bujang Muara 'longlai' dan akur kepada Indet.

Membuang puni 

"Puni terhadap buaya terjadi apabila ia pernah membaham manusia. Untuk menamatkannya, buaya tersebut terpaksa memakan umpan yang telah dijampi oleh saya.

"Hanya buaya yang pernah makan manusia sahaja akan memakan umpan terbabit yang menggunakan daging anjing putih yang diletakkan pada gugusan tiga mata kail serta diikat pada tali rotan hidup," ujarnya. 

Sehubungan itu, untuk membuang puni dalam kes buaya yang meragut nyawa manusia bererti buaya itu sendiri perlu dihapuskan.

Mengikut kepercayaan Indet, buaya yang tidak memakan umpan tersebut lambat-laun akan menemui ajalnya juga.

Mengenai kebolehannya menangkap buaya ganas dengan tangan kosong, Indet memberitahu, hanya buaya yang bersalah dan sedia mengakui kesalahannya sahaja akan memakan umpan tersebut.

"Kamu telah melihat sendiri bagaimana buaya tersebut akur dan tidak melawan semasa saya menariknya ke atas perahu selepas memakan umpan tersebut.

"Saya ibarat polis kepada pesalah, jadi dia menyerah diri untuk mulut dan keempat-empat kakinya digari," ujar Indet.

Namun, tidak semua buaya yang ditangkap Indet akur, malah ada juga yang melawan semasa proses tersebut. Sehubungan itu, haiwan tersebut terpaksa dibunuh serta-merta bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

"Pembunuhan itu tidak menggunakan senjata api atau senjata tajam sebaliknya hanya menggunakan tangan. Selepas membaca mantera, saya akan menampar kepala buaya dan ia mati serta-merta," katanya berkongsi rahsia.

Walaupun ilmu tersebut dituntut untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan, namun jika tersilap langkah ia juga boleh digunakan untuk cara yang salah.

Sebagai seorang pawang buaya, Indet sering dicabar oleh mereka yang mahu membuktikan kesaktian yang dimilikinya.

"Jadi diri dan hati harus dididik supaya menjadi penyabar. Saya lebih rela malu disebabkan kalah daripada berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini seperti kematian.

"Biarlah orang mengatakan saya ini penakut atau lari dari medan perang," ujarnya selain memberitahu dia sering diajak bergaduh oleh mereka yang ingin membuktikan ilmunya.

Bahkan, anak lelaki sulungnya, Juti anak Indet, 30, juga tidak mampu untuk memikul beban menuntut ilmu tersebut kerana menyedari dia tidak sesabar diri Indet.

Meskipun Indet tidak meletakkan sebarang harga, namun upah yang diterima perlulah berbaloi mengikut usaha yang dilakukannya selain terpaksa bertarung nyawa.

Petikan dari www.kosmo.com.my/rencana utama