Friday 20 April 2012

Mekanik terbaik untuk supercar



SEHARI sebelum perayaan Tahun Baru Cina 2012, suasana di dalam bengkel Ultra-Tune Sdn. Bhd. di Glenmarie, Shah Alam agak lengang berbanding hari-hari biasa.

Sebelum ini, ruang bengkel tersebut pasti akan dipenuhi dengan kereta-kereta berkuasa tinggi seperti Lamborghini, Ferrari, Porsche dan BMW. Disebabkan bengkel itu bakal ditutup selama seminggu, jadi hanya kereta yang memerlukan kerja pembaikan ringkas masih diterima pada saat-saat akhir.

Namun, suasana tersebut tidak terkesan kepada Soo Jen Loong dan tiga lagi rakannya yang sedang bertungkus-lumus menyiapkan Lamborghini Murcielago berwarna kuning sebelum bengkel ditutup pada pukul 3 petang.

Konsentrasi lelaki berusia 28 tahun itu tidak sedikit pun terganggu, walaupun rakan-rakan lain mengajak dia minum atau cuba mengusiknya.

"Jangan ganggu, saya sedang sibuk ini," tegas Jen Loong yang masih berasa tidak cukup mahir walaupun sudah tiga tahun bekerja di situ.

Peluang memandu supercar

Tidak seperti individu marhaen lain yang tidak pernah berpeluang menyentuh apatah lagi mendekati kereta berkuasa tinggi atau lebih dikenali sebagai supercar, bagi Jen Loong sudah tidak terkira bilangan supercar yang telah dipegangnya.

Jen Loong merupakan antara 16 orang mekanik yang bekerja di Ultra-Tune dan berpeluang menaiki serta memandu kereta supercar seperti Lamborghini atas kapasiti prosedur kerja.

Tetapi bukan semua mekanik yang dapat memegang stereng Ferrari, hanya mereka yang diberi kelepasan pihak pengurusan. Ujian memandu juga dilakukan ketika cuaca dalam keadaan baik sahaja.

Pihak pelanggan juga boleh memilih mekanik yang dipercayai untuk memandu kereta mereka atau pengurus bengkel sendiri akan melakukan ujian lapangan.

Mohd. Faizul Abd. Ghani masih lagi ingat ketika mula-mula mahu memandu kenderaan berkuasa tinggi. Perasaan gementar dan gemuruh menguasai dirinya terutama apabila ngauman enjin kedengaran.

"Kereta supercar mempunyai G-force (daya graviti) sangat rendah. Cara pemanduannya pun berbeza, kepada individu biasa yang tidak pernah memandu supercar memang sangat susah," ujar lelaki berumur 29 tahun itu.

Akui Mohd. Faizul, kereta-kereta seperti itu sangat sensitif dan jika dipandu dalam kesesakan jalan raya, ia akan memberi kesan kepada sistem penyejukan. Jadi, ia sentiasa memerlukan pergerakan angin ke dalam kereta.


RUANG dalam bengkel Ultra-Tune yang dipenuhi dengan kereta supercar pelbagai model.


Kemahiran Mohd. Faizul bukan sahaja dapat membaiki sesebuah kereta malah, mampu mengesan model, jenis dan tahun kereta dilancarkan dengan sekali pandang sahaja.

Bengkel kereta mewah 

Berbeza dengan bengkel-bengkel persendirian lain yang khusus pada sejenis kereta, Ultra-Tune adalah bengkel bebas yang dibuka pada tahun 1997 dengan menerima empat buah model kereta iaitu BMW, Mercedes, Porsche dan Ferrari.

Kemudian, bengkel yang terletak 23 kilometer dari pusat bandar raya itu berkembang dengan menerima beberapa buah lagi model kereta iaitu Bentley, Audi, Lamborghini dan Roll Royce.

Perkhidmatan yang disediakan menyeluruh sebagai sebuah pusat sehenti kereta mewah seperti penyelengaraan, pembaikan dan mengecat badan kereta.

Pelanggan mahu yang terbaik

Sementara itu, bagi Ahmad Syahir Che Abdul Aziz yang baru bekerja beberapa bulan di situ menghadapi banyak cabaran dalam menangani kerenah para pelanggan pada peringkat awal.

Ujarnya, pelanggan di Ultra-Tune bukan seperti di bengkel-bengkel kereta biasa lain. Mereka terdiri daripada golongan kelas atasan yang mampu mengeluarkan banyak duit untuk memenuhi minat terhadap kereta berkuasa tinggi.

"Pernah berlaku pada bulan pertama saya berkerja. Selepas memberi penerangan panjang lebar kepada seorang pelanggan. Maklum balas yang diterima adalah menunjukkan riak wajah berkerut.

"Kemudian, dia meminta pengurus saya menerangkan semula kepadanya," ujar lelaki yang berusia 27 tahun itu. Dia menyifatkan rungutan pemilik kereta merupakan perkara biasa ketika itu.

Tatkala pelanggan meminta bantuan pengurus, perasaan yang dirasainya bercampur-baur. Ada sedikit malu dan kecewa kerana tidak berjaya memenuhi tuntutan tugasan dengan baik.

Banyak ragam yang perlu ditempuhi Ahmad Syahir sepanjang bekerja di situ. Namun, selepas mendapat nasihat daripada majikan dan mula memahami personaliti pelanggan, dia mula dapat membaiki kelemahannya.

Walaupun melayan pelanggan sebegitu boleh dianggap sesetengah orang amat leceh, dia tetap berasa seronok bekerja di Ultra-Tune kerana bidang pemotoran memang menjadi minatnya sejak dahulu.

Perkara tersebut turut diakui oleh pengurus bengkel, Howie Yam, 50, yang juga amat meminati kereta. Dahulu, dia adalah pengurus dalam bidang jualan tetapi berhenti dan bekerja di situ atas dasar minat.

Perbezaan paling ketara bekerja di Ultra-Tune adalah cara para pekerja di bengkel itu melayan pelanggan. Menurut Howie, mereka perlu mengenali pelanggan secara peribadi.

"Mereka terdiri daripada individu yang berpangkat Datuk dan Tan Sri. Kebanyakannya tidak akan mendedahkan status diri tetapi, daripada perwatakan, kita tahu mereka siapa," terang Howie.

Malah, Howie harus mengetahui jadual dan aktiviti pemilik kereta serta bilangan kereta yang dimiliki kerana itu akan menentukan tahap kepuasan pelanggan terhadap servis mereka.

Kadangkala, pemilik akan menghantar kereta untuk penyelenggaraan berkala kerana mahu menyertai konvoi. Sudah pasti, Howie perlu memastikan ia akan siap sebelum tarikh acara kerana konvoi kereta berkuasa tinggi sangat jarang diadakan dengan kekerapan sekitar dua kali setahun.

Di Ultra-Tune, mereka bekerja dengan dibahagikan kepada lima buah kumpulan yang terdiri daripada tiga orang mekanik dengan seorang ketua.

Setiap pagi, satu mesyuarat akan dijalankan untuk mengetahui perkembangan terbaharu sesebuah kereta yang berada di bawah tanggungjawab kumpulan sambil berkongsi idea.

"Dengan cara bekerja begini, kami dapat memantau perkembangan kerja, memantau kemajuan pekerja dan mengawal kualiti perkhidmatan," kata salah seorang ketua kumpulan, Ronnie Chin, 49.

Pemilihan pekerja dikawal dan teliti dengan setiap pekerja terpilih perlu mempunyai pengalaman membaiki kereta continental sekurang-kurang lima tahun.

MEKANIK supercar bukan sahaja perlu mahir membaiki jentera, bahkan bijak berurusan dengan pemilik kereta yang terdiri daripada kelompok kelas mewah.


Ultra-Tune dibuka dari Isnin hingga Jumaat pada pukul 9 pagi hingga 6 petang, manakala hari Sabtu pula operasi hanya sehingga pukul 3 petang.

Di Ultra-Tune, proses servis kereta sesebuah supercar mengambil masa sekitar empat jam dengan kos antara RM800 hingga RM1,200.

Bagaimana, tempoh masa untuk membaiki jentera yang rosak bergantung kepada komponen yang bermasalah.

Komponen supercar yang diimport dari Eropah biasanya berharga tiga hingga lima kali ganda berbanding komponen kereta biasa.

Bagaimanapun, dengan status jentera mewah ujar Ronnie, supercar jarang mengalami kerosakan major.

Petikan Rencana Utama : www.kosmo.com.my
                                        21/04/2012

Sunday 15 April 2012

Damsyik kota Ashabul Kahfi



KOTA Damsyik di Syria sudah berusia lebih 11,000 tahun, angka yang membolehkannya bergelar sebagai bandar paling tua di dunia. Damsyik merupakan bandar terbaharu di Asia Barat yang menyaksikan kebangkitan rakyat menentang status quo pemerintah. 

Sebelum ini, gelombang rakyat telah berjaya menjatuhkan kepimpinan Presiden Zin Al-Abidin di Tunisia, Presiden Hosni Mubarak di Mesir dan Muammar Gaddafi di Libya. 

Kini giliran Presiden Bashar Al-Assad merenung nasibnya sebagai pemerintah negara bersejarah itu.
Di Malaysia, umat Islam negara ini mengenali Damsyik sebagai pusat perdagangan yang telah membawa Nabi Muhammad SAW berkelana ke sana pada usia 12 tahun lagi. 

Pada masa itu, Syria dikenali sebagai negeri Syams dalam kalangan orang Arab. Jarak antara tempat tinggal Rasulullah di Mekah dan Damsyik adalah kira-kira 2,500 kilometer.

Pakar sejarah, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam, berkata Syria yang mempunyai penduduk seramai 20 juta orang sinonim dengan perkembangan agama Islam.

"Basra, sebuah pekan lama di selatan Damsyik merupakan lokasi Rasulullah berdagang bersama bapa saudara baginda, Abu Talib.

"Pada waktu itu, baginda masih kecil iaitu hanya berusia 12 tahun," cerita Ramlah. Semasa di Basra seorang ahli kitab bernama Buhaira telah mengenal pasti tanda kenabian Rasulullah seperti yang terdapat pada tubuh baginda. 

Empat mimbar


MASJID UMAYYAH merupakan tempat yang wajib dikunjungi pelancong yang datang ke Damsyik.


Berbicara mengenai Damsyik, Ramlah memberitahu, bandar itu menempatkan makam keluarga dan sahabat Nabi Muhammad. Ia juga menjadi lokasi tumpuan era Perang Salib di samping tempat kemunculan pemimpin Islam yang terkenal.

"Makam pahlawan Islam, Salahuddin Al-Ayubi yang membebaskan Baitulmuqaddis semasa Perang Salib terletak di Damsyik," katanya sambil menambah, sejarah Nabi Yahya dan Nabi Sulaiman berlaku di Syria.


"Pasar tertutup sepanjang 400 meter itu merupakan pasar terbesar di Syria. Barangan yang dijual sangat murah, daripada barangan cenderahati, pakaian, barangan dapur hinggalah makanan. Ramai juga yang datang ke Pasar Hamidiyya untuk mencuci mata," kata Daud sambil ketawa.

Terletak bersebelahan pasar tersebut ialah Masjid Umayyah iaitu masjid tertua dan terbesar di kota Damsyik.

"Masjid ini mempunyai kronologi sejarah yang panjang. Pada awal dibina, ia merupakan sebuah kuil tetapi dijadikan gereja sewaktu pemerintahan Empayar Rom. Sewaktu kerajaan Uthmaniah berkuasa, gereja itu diubahsuai menjadi masjid.


BUAH delima mudah ditemui di pasar-pasar di seluruh Syria.


"Apa yang uniknya, di dalam masjid itu terdapat empat mimbar yang menggambarkan empat mazhab yang diamalkan di Damsyik iaitu Syafie, Hambali, Maliki dan Hanafi," katanya.

Di tengah-tengah dewan masjid itu terdapat makam Nabi Yahya, manakala di luar masjid berhampiran dataran ditempatkan makam Husin Bin Ali, cucu kesayangan Nabi Muhammad. Husin adalah anak hasil perkongsian hidup antara Ali dan Fatimah, anak perempuan Rasulullah.

Gua

Terletak bersebelahan dengan masjid itu pula ialah makam seorang panglima tentera Islam yang tersohor pada era Perang Salib, Salahuddin Al-Ayubi.

Salahuddin telah membebaskan Baitulmuqaddis dan Masjid Al-Aqsa daripada genggaman tentera Salib pada tahun 1187. 

Tentera Islam kemudian membersihkan masjid yang telah ditukarkan kepada kandang kuda oleh tentera Salib dan mengembalikan maruah agama suci itu. Pada tarikh itu jugalah laungan azan kembali berkumandang dari menara Masjid Al-Aqsa.

Berdekatan Masjid Umayyah tadi terdapat sebuah tapak perkuburan, Bab As Saghir. Di situ bersemadinya beberapa insan yang rapat dengan Rasulullah termasuk isteri baginda, Ummu Habibah dan Ummu Salamah selain sahabat baginda, Bilal Bin Rabah.


SYRIA memiliki banyak bandar lama yang berusia ribuan tahun.


Di situ juga terdapat makam Muawiyyah Abu Sufian, Ibnu Makhtum, Abu Darda dan cucu Ali Abi Talib, iaitu Zainab dan Rugaiyah yang sering menjadi tumpuan kaum Syiah. Tokoh terkenal lain ialah Khalifah Umayyah, Abdul Malik Marwan dan anak beliau, Walid Abdul Malik. 

Daud menambah, kisah Ashabul Kahfi seperti yang diceritakan dalam surah al-Kahfi didakwa berlaku di sebuah gua di Damsyik. Ia mengisahkan beberapa orang pemuda yang tertidur di dalam sebuah gua dan cuma bangun 309 tahun kemudian.

"Makam Habil iaitu anak Nabi Adam AS yang dibunuh oleh saudaranya Qabil yang merupakan peristiwa pembunuhan pertama di dunia juga dikatakan terletak di pergunungan Qalamun yang terletak 45 kilometer dari Utara Kota Damsyik ," ujarnya.

Daud yang pernah melawat Syria pada tahun 2007 dan 2009 berkata, beliau tidak dapat melupakan pengalaman melihat banyak kereta nasional negara, Proton Iswara bergerak di jalan raya di Damsyik.
"Mereka mengatakan kereta buatan Malaysia tahan lama dan berkuasa tinggi," katanya.

Ceritanya lagi, ladang zaitun yang luas merupakan pemandangan biasa di Damsyik.

"Cuma yang peliknya, walaupun negara ini dikelilingi oleh laut, penduduknya jarang makan ikan. Mereka lebih suka makanan berasaskan ayam, kambing dan lembu," ujarnya.

Petikan dari rencana utama : www.kosmo.com.my/rencama utama 16/04/2012

Harta intelek Abd Latif

Oleh Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my
 
PELBAGAI...anugerah diterima FRIM.
PELBAGAI...anugerah diterima FRIM. 
 
APABILA bulan jatuh ke riba, pasti si penerima tidak akan sesekali menolak tuah yang datang namun berbeza bagi bekas graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Abd Latif Mohmod.
Kini menyandang tanggungjawab besar memartabatkan industri penyelidikan perhutanan sebagai Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), lelaki berusia 52 tahun ini pernah mengetepikan tawaran melanjutkan pelajaran dalam bidang pembedahan di Dublin, Ireland pada 1985 dengan tajaan sepenuhnya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
   
  • Foto ISTIMEWA...antara anugerah istimewa dan antarabangsa diterima Abd Latif.
  • Foto MESRA...tiada istilah birokrasi antara pekerja.
  • Foto IKTIRAF...antara pengiktirafan terbesar diterima Abd Latif.
  • Foto BAHAGIA...Abd Latif bersama keluarga meraikan perkahwinan anak sulungnya.
Sebaliknya, Abd Latif mengambil keputusan mengabdikan diri bersama FRIM sejak 1985 biarpun berbeza bidang yang diambil ketika di universiti.

Sebaik tamat pengajian dalam bidang mikrobiologi di UKM pada 1984, JPA memaklumkan bahawa beliau terpilih untuk melanjutkan pelajaran dan diberi tempoh masa setahun sebelum berangkat ke negara terbabit.


“Siapa yang tidak gembira apabila ditawarkan peluang sedemikian, namun tempoh setahun itu terlalu lama untuk dibazirkan.

“Saya dibesarkan arwah ibu, Satiah Abd Jalal selepas kematian bapa ketika berusia dua tahun. Jadi, sejak kecil saya dididik supaya sentiasa memanfaatkan masa.

“Percaya atau tidak, seawal usia enam tahun, saya mengambil upah membersihkan ladang dan estet serta mengutip getah sekerap. Ia dilakukan bukan atas desakan ibu, tetapi keinginan memiliki wang sendiri untuk membeli sesuatu yang dihajati.

“Lantas, saya meminta JPA memberi peluang pekerjaan terlebih dulu tiba masa keberangkatan ke Dublin. Kemudian, saya diminta menghadiri sesi temuduga bagi jawatan pegawai penyelidik di FRIM yang ketika itu dikenali sebagai Institut Penyelidikan Perhutanan (FRI) pada awal 1985.

“Berjaya dalam temuduga itu, saya dipanggil untuk berkhidmat secara kontrak dan saya akui seronok melakukan sesuatu yang baru.

“Sebulan bertugas di FRI, saya berkesempatan mengunjungi perpustakaan dan dikejutkan dengan penemuan yang menyatakan, seorang pegawai penyelidik harus menghasilkan sekurang-kurangnya dua kertas kerja setahun.

“Apabila saya membuat kajian dan pengiraan, menyedihkan apabila mengetahui kuota kertas kerja dihasilkan tidak sepadan dengan usia FRI.

“Lantas, saya yakin sesuatu harus dilakukan untuk memartabatkan institut penyelidikan ini,” katanya ketika berkongsi rahsia penolakan tawaran ke luar negara.

Menjadi satu-satunya penyelidik perhutanan yang menerima Anugerah Saintis Muda pada 1993, Abd Latif mengakui dia bermula dari bawah sebagai pegawai penyelidik sebelum dinaikkan pangkat menjadi Ketua Program Hasil Hutan Bukan Kayu FRIM mulai 1988 hingga Januari 1999.

Beliau kemudian dilantik sebagai Koordinator Kebangsaan Projek Perintis Buluh Negara pada 1998, inisiatif Jabatan Perdana Menteri.

Membanggakan apabila 50 ciptaan berkaitan pemprosesan rotan, buluh dan palma dikeluarkan serta didaftarkan selain 59 latihan industri dan kursus teknikal membabitkan 1,500 peserta.

Ketika menjalankan program terbabit, beliau banyak menghabiskan masa berkongsi ilmu dengan orang ramai mengenai teknik mengkomersialkan hasil hutan, terutama buluh dan rotan.

Malah, beliau pernah tinggal bersama penduduk di kawasan berbukit dan pergunungan di sekitar Pahang dan Perak semata-mata ingin mengajar mereka mengenai kraftangan yang diyakini dapat membantu golongan berkenaan menyara diri.

Diiktiraf sebagai European Manager of The Year Award (Science) oleh The Socrates International Committee, European Business Assembly, Oxford, teknologi ciptaan Abd Latif turut dipatenkan sebagai harta intelek, sekali gus menjadi rujukan agensi penyelidikan tempatan mahupun antarabangsa.

Antaranya adalah mesin rotan piuhan, mesin penggulungan rotan, mesin pembalut rotan, mesin ukiran buluh dan rotan serta pelbagai lagi.

Menariknya, ketika memegang jawatan penting dalam institut penyelidikan terbabit, bapa kepada dua cahaya mata ini tidak melepaskan peluang menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi secara sambilan hingga bergelar doktor falsafah di Universiti Putra Malaysia pada 1995.

Berkongsi rahsia kejayaan, Abd Latif berkata, sejak zaman persekolahan dan universiti, dia mengamalkan sistem ulangkaji pelajaran sekurang-kurangnya dua minggu sebelum memasuki kelas.

Sistem dirangka memudahkan beliau memahami dengan cepat ilmu disampaikan guru mahupun pensyarah. Sebagai persediaan menghadapi peperiksaan, Abd Latif mengulangkaji dan menghafal semua subjek sebanyak 25 kali.

“Pemergian ibu tersayang yang menjadi inspirasi perjalanan ilmu saya ketika tahun pertama di UKM sesungguhnya memberi kesan sangat hebat terhadap saya.

“Saya pernah tidak makan dua minggu akibat terlalu tertekan, malah pelajaran turut diabaikan. Syukur, Allah Maha Besar, Dia berikan saya kesedaran lantas kesungguhan untuk menuntut ilmu kembali,” katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh perkhidmatan bersama FRIM, lebih 300 jurnal ihasilkan dan setiap kajian dilaksanakan memberi manfaat kepada industri perhutanan negara mahupun luar.

Terbaru, 4 April lalu, FRIM menerima Anugerah Sains dan Teknologi Bank Pembangunan Islam (IDB) 2012 di Khartoum, Sudan, yang disampaikan presiden republik berkenaan, Omar Hassan Ahmed al-Bashir.

Enggan menyifatkan satu-satu anugerah sebagai istimewa, Abd Latif menganggap setiap pengiktirafan diterima, sama ada tempatan mahupun antarabangsa, memiliki erti besar dan tersendiri.

“Saya memasang angan-angan supaya FRIM akan menerima anugerah bertaraf Noble dengan kepelbagaian pengiktirafan yang diperoleh. Dengan itu, pada masa depan, kita boleh berbangga bahawa sistem perhutanan yang kita miliki gagal dicabar negara lain,” katanya mengakhiri perbualan.


FRIM ibarat rumah kedua

Siapa anda?

Saya cuma manusia biasa kepunyaan Allah SWT. Bagi saya, pangkat bukan ukuran kehidupan. Saya boleh dikatakan peramah dan mesra, terutama antara kakitangan, hubungan tidak dihadkan dengan istilah birokrasi mahupun protokol. Di situ juga, saya memperoleh idea baru dan bagus daripada segenap lapisan.


Pendorong anda?

Semestinya arwah ibu selain adik-beradik saya. Tujuan saya belajar sebelum ini pun kerana ingin melihat kebahagiaan ibu, tapi menyedihkan dia tidak berpeluang menyaksikan siapa saya hari ini.


Tokoh dikagumi?

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.


Hobi waktu lapang?

Mengaji dan menghafal al-Quran. Setiap hari, saya akan pastikan saya menghafal satu surah walaupun sibuk, sama ada di rumah, pejabat mahupun dalam kereta.


Waktu untuk keluarga?

Saya akan meluangkan masa bersama keluarga sejurus berakhir waktu bekerja dan tentunya pada hujung minggu.


FRIM untuk anda?

FRIM adalah rumah kedua saya dan setiap hari saya menghabiskan masa menghayati keindahan hutan. Justeru, saya berharap setiap pengunjung dapat menghormati alam sekitar kerana hutan adalah khazanah warisan negara.


Prinsip anda?

Kita boleh berhenti berharap kepada orang lain, tetapi jangan sesekali berhenti berharap kepada Allah SWT.



PROFIL

NAMA: Datuk Dr Abd Latif Mohmod
JAWATAN: Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia
LAHIR: 29 Ogos 1960
ASAL: Simpang Renggam, Johor
ISTERI: Halidah Kasmin
ANAK: Mohd Danial (26) dan Muhammad Ismail (8)
PENDIDIKAN: Ijazah Doktor Falsafah, Hasil Hutan Bukan Kayu, Universiti Putra Malaysia

petikan dari : www.hmetro.com.my

Saturday 14 April 2012

Merungkai misteri tenggelamnya Titanic



WALAUPUN sudah 100 tahun berlaku, tragedi kapal mewah RMS Titanic yang tenggelam di Lautan Pasifik masih lagi menjadi tanda tanya para pengkaji. 

Bagaimana sebuah kapal yang dilengkapi teknologi paling canggih ketika itu dan didakwa tidak mungkin tenggelam akhirnya 'tersungkur' ke dasar laut disebabkan berlanggar dengan bongkah ais, pukul 11.40 malam (waktu kapal) pada pagi Ahad 14 April 1912, sebelum ia tenggelam sepenuhnya dalam tempoh dua jam empat puluh minit kemudian iaitu pada pukul 2.20 pagi Isnin (15 April 1912).

Sehingga kini aura misteri itu masih kekal bersama 'bangkai' kapal itu di dasar Lautan Pasifik, namun saluran History (Saluran Astro 555) buat pertama kalinya akan mendedahkan penemuan-penemuan terbaharu mengenai tragedi Titanic kepada umum.

Bersempena ulang tahun ke-100 tragedi Titanic, saluran History akan mempersembahkan sebuah dokumentari berjudul Titanic Mystery Solved pada 15 April ini.

Dokumentari itu akan merakamkan detik-detik misi paling mutakhir, mendedahkan cebisan-cebisan bangkai kapal Titanic yang tidak pernah dilihat sebelum ini. 

Usaha yang turut melibatkan pakar-pakar kajian laut termasuk pihak dari RMS Titanic Inc. itu akan mendedahkan penemuan baharu dan peta pertama komprehensif bagi tempat persemandian Titanic. Ia meliputi sebuah kawasan lantai laut seluas 13 kilometer persegi dan kewujudannya dapat membantu merungkai teka-teki sekurun usia tentang kesilapan apakah yang telah berlaku dan menentukan siapa atau apa yang bertanggungjawab ke atas tragedi tersebut. 

Salah seorang yang turut terlibat dalam ekspedisi penemuan baharu kapal Titanic itu adalah Penerbit Eksekutif dokumentari Titanic Mystery Solved saluran History, Carl Lindahl.

Menurutnya, terdapat banyak misteri yang berputar tentang kapal Titanic iaitu bagaimana kapal yang sepatutnya tidak boleh tenggelam boleh tenggelam dalam pelayaran pertama secara ironiknya.

"Apa yang menyebabkan kapal Titanic tenggelam? Bagaimana kapal yang begitu bagus boleh tenggelam dan bagaimana begitu ramai orang mati. Soalan-soalan ini tidak pernah terdedah dan dijawab sepenuhnya. Disebabkan itu, mengapa kami dan para pengkaji lain masih melakukan pencarian dan setelah 100 tahun kejadian itu berlalu kami sudah menemui jawapannya," ujarnya. 

Ia turut dipersetujui oleh pengarah, penerbit dan penulis dokumentari yang sama iaitu Rushmore Denooyer.
Menurutnya: "Kapal yang mempunyai teknologi terbaik sepatutnya tidak dapat tenggelam tetapi ia tenggelam pada perjalanan pertama dan dua pertiga orang di dalam kapal itu mati".

Merungkai bagaimana penemuan kali ini akan mengubah sejarah Titanic, Ungkap Carl, ia adalah jawapan kepada beberapa misteri yang masih belum dapat diselesaikan sejak kapal itu tenggelam.

Menyambung bicara Carl, ujar Rushmore pula, Titanic merupakan kapal pertama yang tenggelam dikaji dengan teliti dan didokumentasikan.

"Ekspedisi ini akan menceritakan semuanya. Tiada ekspedisi dan pemetaan dilakukan secara menyeluruh dan teliti seperti mana kali ini.

"Ia merupakan satu anjakan paradigma untuk semua pihak yang mengkaji kapal karam. Saya fikir dengan penemuan baharu yang akan disiarkan di saluran History nanti akan mengubah sejarah Titanic," ujarnya.

Mengenai sama ada pihak saluran History turun ke dasar laut untuk melihat sendiri bangkai kapal Titanic, kata Rushmore, tiada seorang manusia pun yang turun ke dasar laut melihat kapal tersebut.

"Semua kerja siasatan dilakukan dengan menggunakan beberapa robot untuk mengambil beribu-ribu gambar serta membuat rakaman video tentang keadaan bangkai kapal yang tenggelam sedalam empat kilometer di dasar laut itu.


TITANIC mampu terapung dengan sebarang dua ruang tengah dipenuhi air atau empat bahagian pertama dipenuhi air. Sekiranya lebih daripada itu, ia akan tenggelam.


"Gambar yang diambil menggunakan kamera berteknologi tinggi itu dengan jelas menunjukkan keadaan landasan dan sauh kapal tersebut. Robot tersebut membawa turun lima hingga tujuh buah kamera dan ia dikawal oleh operator di atas kapal," ulasnya.

Berkongsi pengalaman ekspedisinya, kata Rushmore, mereka ada menemui beberapa objek yang agak kecil seperti saiz pintu.

"Ada juga objek seperti pinggan, pakaian, kasut serta botol wain yang masih kelihatan," ulasnya lagi.
Menurut Rushmore, gambar yang diambil memberi pemahaman yang lebih jelas tentang apa yang sebenarnya berlaku ke atas kapal itu pada 15 April 1912.

Gambar-gambar itu juga adalah hasil pelaburan bernilai puluhan juta ringgit serta ekspedisi selama dua bulan yang menggunakan beberapa pendekatan berbeza untuk mendapatkan imej yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

"Imbasan tepi dan multi sinaran sonar digunakan untuk menyimpan setiap butiran kapal itu dan menilai perubahan yang berlaku sejak ekspedisi sebelum ini," katanya.

Jelas Rushmore lagi, ekspedisi tersebut diketuai oleh RMS Titanic Inc. yang telah pergi ke lokasi Titanic tenggelam pada masa lalu dan mengumpul lebih 5,000 artifak. 

"Di samping itu, pakar pengimejan dalaman air yang terbaik pula menyediakan kami alat sonar ekspedisi untuk bekerja dan mewujudkan peta ini ke atas keseluruhan tapak tragedi. Terdapat banyak kontraktor lain serta saintis. Ia merupakan satu kumpulan yang sangat majmuk," jelasnya.

"Terdapat banyak kumpulan dan individu yang berbeza bekerja dalam ekspedisi ini. Sebagai contoh, mereka yang menghasilkan sonar pengimbasan tapak yang telah digunakan dalam ekspedisi ini," balas Carl pula.
Carl dan Rushmore turut menjawab persoalan mengenai kejadian Titanic karam yang dikaitkan dengan mitos kononnya berlaku sumpahan ke atas kapal tersebut.

Tambah Carl, tragedi Titanic tenggelam sangat ironik dan dramatik. Manusia membuat ramalan bahawa kapal tersebut tidak akan tenggelam. Namun perkara yang sebaliknya berlaku apabila ia tenggelam dalam pelayaran sulungnya. Ia seolah-olah satu sumpahan.

"Saya belum dengar apa-apa legenda atau sumpahan mengenai Titanic jadi saya tidak boleh mengulas tentang itu," ujarnya.

Ia turut dipersetujui Rushmore yang memberitahu, manusia kadang-kadang alpa dengan teknologi yang canggih tanpa menyedari ada kuasa lain yang mampu memusnahkan teknologi tersebut.

"Kita kadang-kadang menjadi terlalu kagum dengan teknologi ciptaan sendiri dan kita sering melupakan kuasa alam semula jadi. Dengan kemajuan teknologi kita tidak dapat mengawal alam semula jadi. Walau bagaimanapun, alam semula jadi masih lebih kuat daripada teknologi yang kita ada," ujar Rushmoore.

Sementara itu, Pengurus Besar, AETN All Asia Networks, Louis Boswell pula berkata, selain daripada membuat pemetaan ke atas keseluruhan tapak tragedi, siaran istimewa itu juga akan mendedahkan buat julung-julung kalinya gambaran sebenar bagaimana kapal itu boleh terbahagi lalu karam melalui penggunaan hangar virtual.

"Teknik siasatan nahas kapal angkasa ulang-alik dan pesawat (membuat pemetaan ke atas tapak bangkai kapal dan menyusun semula di hangar) digunapakai dan para pakar akan menghasilkan satu binaan holografik bagi tapak bangkai kapal di hangar.

"Belum pernah ada sebarang rancangan sempena ulang tahun lain yang memaparkan kisah eksklusif tentang ekspedisi unik dan pendedahan cukup luar biasa ini. Dalam tempoh 25 tahun semenjak bangkai kapal Titanic ditemui, tiada siapa pernah meneroka mahupun memetakan kawasan tapak bangkai kapal.

"Tiada siapa yang memiliki sebarang petunjuk akan apa yang sebenarnya telah berlaku pada malam nahas itu. Hampir separuh daripada kawasan tapak tidak dapat dijelajahi dan diperlihat. Malah, bahagian penting kapal yang mampu mendedahkan bagaimana ia boleh terbahagi juga tidak kelihatan," ujarnya.

Kini selepas 100 tahun, ulas Louis, setiap inci tapak karamnya kapal ini akhirnya telah pun diketahui. Dokumentasi dilakukan bagi merakamkan tempat sebenar ia tunduk karam di lantai laut sedekad yang lalu.

Katanya, di penghujung kisah Titanic Mystery Solved, penonton akhirnya akan mengetahui keseluruhan kisah yang membawa kepada bersemadinya Titanic di dasar laut.


Penemuan sulung bangkai kapal Titanic pada tahun 1985 oleh pasukan yang diketuai oleh Jean-Louis Michel dan Robert Ballard menjadikan Titanic kekal terkenal sehingga kini.


"Kisah kapal Titanic yang tenggelam telah menarik minat jutaan manusia di segenap pelosok dunia sehingga ia menjadi inspirasi kepada sebuah filem yang berjaya sepanjang zaman. 

"Semuanya itu telah memperhalusi sejarah kejadian buat ramai orang. Kami mahu melihat semula tragedi ini dari sudut saintifik dan mencari kebenaran di sebalik apa yang telah terjadi pada malam 15 April 1912.

"Oleh itu Titanic Mystery Solved merupakan bingkisan terhebat yang menjelaskan bagaimana Titanic telah karam dan ia turut mengungguli program-program lain yang pernah dibuat bersempena dengan ulang tahun sesuatu," ujarnya lagi.

Sejak ahli oseanografi, Robert Ballard dan kumpulannya menemui bangkai kapal Titanic itu pada 1985, beberapa ekspedisi telah dilakukan untuk mengumpul maklumat tentangnya sehingga kini.

Pengarah filem Titanic, James Cameron turut mengadakan ekspedisi ke lokasi itu bagi mendapatkan gambaran jelas tentang keadaan rupa bentuk kapal tersebut.

Petikan dari Rencana Utama : www.kosmo.com.my

Saturday 7 April 2012

Misi kuasai industri automotif dunia



JENAMA Volkswagen (VW) kini melanda pasaran automotif di seluruh dunia bagaikan wabak yang amat sukar diubati. Di mana sahaja pasaran yang dimasukinya, kenderaan jenama tersebut diterima baik. Ini sekali gus membuatkan pesaing lain terpaksa memikirkan strategi terbaik untuk mengekang penguasaannya. 

Penerimaan positif terhadap kereta VW didokong oleh beberapa faktor. Paling utama pastinya teknologi enjin dan transmisi di samping model-model malar segar keluarannya seperti Beetle dan Golf, varian yang memenuhi kehendak pelanggan serta rekabentuk futuristik jentera terkininya. 

Selepas sukses di Eropah, VW kini menumpukan perhatiannya ke pasaran Asia yang pesat membangun. China dan India menjadi lokasi seterusnya buat VW mengembangkan pengaruhnya. 

Malaysia nampaknya tidak terkecuali menerima tempias. Bukan sahaja jumlah kenderaan VW kian bertambah di atas jalan raya, malah program pemasangan tempatan (CKD) VW bersama pihak DRB-Hicom membuktikan VW tidak mahu sekadar menjadi jenama Eropah sampingan di pasaran tempatan. 

Sepuluh jentera 

Misi untuk menjadi peneraju industri automotif dunia adalah berpaksikan kepada Strategi 2018 yang disusun oleh VW. Dalam strategi yang diilhamkan pada tahun 2008 itu, VW dengan jelas menyatakan bahawa ia akan melabur sebanyak AS$82 bilion (RM250 bilion) untuk kilang-kilang pemasangannya, peralatan dan hartanah untuk tempoh lima tahun akan datang. 


FIRMA rekabentuk Italdesign Giugiaro mempamerkan kemahiran mereka menerusi model Brivido Concept.


Sekali dengar, matlamat itu seolah-olah tidak jauh berbeza dengan syarikat automotif gergasi yang lain misalnya Toyota atau GM. Namun, VW menegaskan bahawa misi tersebut mahu dicapai menerusi pengenalan model-model baharu, di samping terus membangunkan jentera hibrid dan elektrik. 

“Volkswagen AG akan menjadi pengeluar nombor satu melalui pengenalan model-model baharu, menarik dan berkualiti tinggi,” kata Pengerusi Majlis Kerja Kumpulan Volkswagen, Bernd Osterloh. 

Itu bukan cakap-cakap kosong. Buktinya, baru-baru ini VW memperkenalkan sepuluh jentera kepada dunia. Sepuluh jentera yang dimaksudkan ialah Audi A3, roadster paling laju di dunia, Bugatti Veyron 16.4 Grand Sport Vitesse, trak pikap Amarok Canyon, Porsche Boxster serba baharu, Skoda Citigo versi lima pintu, SUV Cross Coupé dengan sistem TDI plug-in Hybrid, Lamborghini Aventador Jota, SEAT Toledo Concept, SUV mewah penuh kuasa Bentley EXP9 dan kereta sport empat pintu Brivido Concept yang dihasilkan oleh pihak Italdesign Giugiaro. 

Pengerusi Lembaga Pengurusan Volkswagen AG, Profesor Dr. Martin Winterkorn memberitahu, Geneva 2012 menandakan bermulanya penstrukturan semula asas ekologikal syarikat tersebut.

“Kami bermatlamat menjadikan Volkswagen sebagai peneraju dalam aspek ekologikal. Justeru, kami akan mengurangkan kadar pengeluaran emisi kenderaan sebanyak 30 peratus dalam tempoh 2006 hingga 2015. 

“Hasilnya, emisi kenderaan keluaran Volkswagen pada tahun 2015 akan mencapai tahap di bawah 120gram CO2 bagi setiap kilometer buat pertama kalinya. Malah, setiap generasi baharu kenderaan secara puratanya adalah sepuluh hingga 15 peratus lebih cekap berbanding model sebelumnya,” kata Winterkorn. 


JENTERA sport Lamborghini Aventador Jota yang sememangnya memukau sesiapa sahaja.


Platform MQB 

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengurusan Volkswagen AG, Ulrich Hackenberg menerangkan bagaimana platform Modular Transverse Toolkit (MQB) binaan VW akan mampu merevolusikan industri automotif dunia. 

Secara ringkasnya, MQB ialah kit pemasangan atau platform yang sangat fleksibel. Komponen matriks itu dicipta bagi membolehkan VW mereka bentuk model-model berpacuan roda, enjin dan gandar hadapan dengan menggunakan set komponen yang sama. 

Biarpun begitu, platform itu cukup fleksibel sehingga membolehkan model-model tertentu memiliki tapak roda, trek dan dimensi luaran yang berbeza. 

Maka, kenderaan dapat dihasilkan dengan lebih efisien dan kos efektif. Kenderaan yang dijangka dibina di atas MQB terdiri daripada model-model mini dan kereta keluarga yang besar, sekali gus menggantikan generasi model sedia ada. 

“Berdasarkan kepada MQB, teknologi bercekapan tinggi Volkswagen boleh dijadikan sebagai ciri standard pada semua model-model baharu pada masa akan datang. Pencapaian penting pada tahun ini ialah pengenalan model Audi A3 dan Golf Mark VII baharu,” jelas Hackenberg. 

Hackenberg juga mengumumkan bahawa 2013 adalah tahun ‘e-mobility’ buat VW. Inisiatif itu dimulakan dengan model e-up! sebelum diikuti oleh jentera elektrik sepenuhnya atau hibrid daripada jenama-jenama di bawah VW. 


SUV konsep Cross Coupe ini menggunakan sistem TDI plug-in hybrid.


Andai dikira, VW hanya mempunyai kurang enam tahun untuk merealisasikan segala perancangannya itu. Namun, jika dilihat kepada kemampuan kewangan, kepakaran, teknologi dan sumber manusia, tidak ada apa yang mustahil untuk dicapainya.

Pereka Porsche 911 meninggal



PORSCHE bergambar bersama kereta Porsche 901 pada tahun 1963.


FRANKFURT, Jerman - Pereka model kereta sport Porsche 911, Ferdinand Alexander Porsche meninggal dunia pada usia 76 tahun. 

Cucu pengasas jenama automotif mewah itu menghembuskan nafas terakhirnya di Salzburg, Austria kelmarin. Punca kematiannya tidak didedahkan. 

Dikenali sebagai F.A dalam kalangan kakitangan Porsche, beliau mengetuai sebuah firma reka bentuk pada tahun 1960-an.

Firma tersebut diberi tugas menggantikan model Porsche 356. Porsche kemudian tampil dengan idea reka bentuk yang kemas, selain menggantikan enjin empat silinder kepada enjin lebih berkuasa iaitu enam silinder. 

Model Porsche 911 dihasilkan pada tahun 1963. Sudah memasuki generasi ketujuh, model itu terus dikenali sehingga ke hari ini. 

Pada asalnya, Porsche mahu menggunakan nama 901. Namun, nombor itu ditukar kerana pengeluar kereta dari Perancis, Peugeot mendakwa pihaknya sudah mempatenkan nama kenderaan dengan nombor '0' pada bahagian tengahnya. 

Ketua Pegawai Eksekutif Porsche, Matthias Mueller menyatakan penghormatannya ke atas Porsche dan menyifatkan beliau sebagai pengasas budaya reka bentuk dalam syarikat Porsche yang menjadikan kereta sport Porsche dikenali sehingga ke hari ini. 

Lahir di Stuttgart, Jerman pada tahun 11 Disember 1935, Porsche ialah anak Ferry Porsche.
Beliau melanjutkan pelajaran ke Ulm School of Design dan menyertai syarikat Porsche pada tahun 1958.
Pada tahun 1972, Porsche menubuhkan Porsche Design Studio yang bertanggungjawab mereka bentuk askseori seperti cermin mata, jam dan pen. - Agensi 

Petikan dari : www.kosmo.com.my/dunia
Tarikh         : 07/04/2012

Gambar pembunuh bersiri didedah

KOMBINASI gambar Manson dari tahun 1969 sehingga tahun lalu.


LOS ANGELES - Gambar baharu banduan digeruni, Charles Manson yang dipenjara selama 40 tahun kerana terlibat dalam satu siri pembunuhan kejam telah didedahkan oleh pihak berkuasa penjara California kelmarin. 

Manson yang berusia 77 tahun dikatakan akan menghadiri perbicaraan parol yang baharu pada Rabu depan. 

Gambar itu menunjukkan dia kelihatan tidak kemas dengan rambut beruban dan berjambang. 

Dia juga masih mempunyai tatu sawastika pada dahinya. 

"Kali terakhir dia menghadiri perbicaraan parol ialah pada Mei 2007. Dia kemudian tidak diberi parol selama lima tahun," kata seorang pegawai, Terry Thornton dari Jabatan Pemulihan California. 

Manson merupakan salah seorang banduan paling digeruni di Amerika Syarikat. 

Dia dipenjarakan di penjara negeri Concoran, 300 kilometer dari Los Angeles. 

Pada tahun 2007, dia dinafikan untuk mendapat parol buat kali ke-11. 

Dia pernah mengetuai satu kumpulan ajaran sesat dan merancang plot pembunuhan di kawasan perumahan mewah yang dihuni oleh penduduk kulit putih sebelum menyatakan jenayah itu dilakukan oleh penduduk Afrika-Amerika. 

Manson dikenakan hukuman mati kerana peranannya membunuh tujuh orang mangsa termasuk isteri pembikin filem Roman Polanski, Sharon Tate yang hamil pada Ogos 1969. 

Namun, hukuman itu ditukar kepada penjara seumur hidup selepas hukuman mati diharamkan di California pada tahun 1972. - AFP

Petikan dari : www.kosmo.com.my
Tarikh         : 07/04/2012

Thursday 5 April 2012

40 tahun bergelumang tanah liat




TANGANNYA jarang sekali kelihatan bersih kerana sering diselaputi tanah liat. Memilih kerjaya yang kedengaran kurang glamor, perasaan bangga tidak pernah surut dalam diri V. N. Ramadas Vengadasalam, 63, yang mengabdikan lebih 40 tahun hidupnya dalam bidang pembuatan tembikar.

Pemilik V. N. Ramadas Trading itu tidak pernah menyesali pilihannya mewarisi perniagaan tinggalan bapa, biar pun pada mulanya mempunyai impian untuk menjawat jawatan yang lebih hebat di mata masyarakat.

"Selepas tamat sekolah pada tahun 1965, saya tidak mendapat pekerjaan. Justeru, saya menolong bapa membuat tembikar untuk menambah pendapatan keluarga dan mempunyai wang saku sendiri.

"Akhirnya, saya berasa seronok dan serasi bekerja di sini lebih-lebih lagi apabila mula mahir dan dapat menghasilkan pelbagai produk tembikar baharu," katanya yang memiliki dua orang anak perempuan dan seorang anak lelaki.

Ramadas memberitahu, dia mengambil alih perusahaan itu daripada bapanya sejak kira-kira 20 tahun lalu bagi meneruskan usaha bapanya yang amat meminati seni pembuatan tembikar.

"Kini, saya dibantu adik perempuan, adik ipar dan anak lelaki tunggal untuk meneruskan perniagaan ini tanpa melibatkan tenaga kerja luar," katanya.

Menyorot pembabitannya dalam bidang tersebut, Ramadas memberitahu, dia didedahkan dengan kaedah membuat tembikar sejak berusia 12 tahun daripada bapanya yang bermigrasi dari India.

"Bapa saya, Vengadasalam datang ke negara ini pada tahun 1946 selepas Perang Dunia Kedua dan mengusahakan bengkel tembikar kecil di Batu 2, Kuala Selangor, Selangor untuk jualan dari rumah ke rumah.

RAGUCHATE (atas) tekun menghasilkan man vilakku (pelita tanah) yang mendapat permintaan ramai pelanggan kaum India.


"Dahulu, produk tembikar yang dihasilkan hanyalah periuk tanah, bekas simpanan air, bekas makanan dan beberapa produk berbentuk keagamaan seperti pelita tanah yang dipanggil man vilakku dalam bahasa Tamil," katanya.

Ramadas memberitahu, dahulu roda gasing digunakan untuk membentuk tembikar yang akan diputarkan menggunakan sebatang kayu berulang kali sehingga produk yang dihasilkan siap.

"Roda gasing itu digunakan sehingga akhir tahun 90-an apabila mesin penguli khas mula digunakan sejak tahun 2000.

"Roda itu tidak dibuang sebaliknya digunakan bagi tujuan pendidikan kepada pelawat yang datang ke sini untuk mempelajari sejarah dan teknik pembuatan tembikar terutamanya dalam kalangan pelajar," katanya.

Menurut Ramadas, seni pembuatan tembikar telah berkembang seiring zaman dengan terhasilnya pelbagai produk porselin, hiasan rumah dan arca yang dapat menembusi pasaran lebih luas.

"Bahan utama bagi menghasilkan produk tembikar adalah tanah liat dan pasir yang diadun sebelum dibentuk dan dikeringkan. Ia kemudiannya dibakar di dalam oven khas selama beberapa jam.

"Melalui proses yang serupa, pelbagai produk baharu yang lebih komersial juga dapat dihasilkan dan dipasarkan. Malah, ia turut mendapat perhatian ramai pelancong luar terutama dari Paris yang suka membeli produk tembikar sebagai cenderamata dan perhiasan rumah," katanya.

Ramadas memberitahu, dia sudah menjelajah banyak negara bagi mempelajari seni pembuatan tembikar seperti pembuatan pasu bunga, periuk tanah, periuk sup dan pelita tanah.

"Masih ramai pengguna lebih suka menggunakan periuk tanah untuk memasak kari, kurma dan rendang kerana periuk ini kelihatan lebih cantik dan tahan lama," katanya sambil memberitahu, penggunaan periuk tanah untuk memasak sesuai menggunakan kaedah kayu arang atau kayu api.


PERIUK tanah masih digunakan oleh banyak suri rumah untuk menghasilkan sajian yang lebih enak.


Katanya, pelita tanah pula amat popular dalam kalangan kaum India kerana ia adalah sebahagian budaya dan agama yang diamalkan sejak zaman nenek moyang lagi.

"Ramai keluarga India akan datang ke bengkel ini sebelum perayaan Deepavali untuk membeli pelita tanah yang akan diletakkan di atas altar dan di rumah.

Ada juga yang menggunakan pelita tanah sebagai tapak lilin," katanya.

Sementara itu, adik perempuan Ramadas, Salamah Vengadasalam, 48, memberitahu, dia mengambil masa sebulan mempelajari teknik pembuatan tembikar dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mahir bagi meneruskan perniagaan keluarganya itu.

"Produk yang saya selalu hasilkan adalah pasu, tabung, bekas kemenyan, periuk tanah, patung sembahyang dan barangan perhiasan rumah," katanya.

Tambahnya, produk yang paling mudah dihasilkan ialah pelita tanah yang mengambil masa hanya beberapa saat sahaja untuk dihasilkan bagi mereka yang mahir.

"Di bengkel ini, pengguna boleh membeli pelita tanah pada harga 10 sen sahaja bagi setiap satu," katanya sambil memberitahu harga produk bergantung kepada saiz, jenis dan kesukaran pembuatannya.

Suaminya yang turut bekerja di situ, Raguchate Rengasamy, 56, pula memberitahu, pada mulanya dia hanya tertarik untuk membantu isteri sebelum terus terjun ke bidang pembuatan tembikar secara serius.

"Dahulu bengkel ini ada mengambil pekerja luar, tetapi mereka tidak bertahan lama mungkin kerana tidak mempunyai minat yang mendalam.

"Saya juga bermula daripada kosong dan kini mampu membuat pelbagai produk tembikar yang sukar," katanya sambil tangannya tidak berhenti membuat pelita tanah yang disusun di atas sekeping kayu.

Tambahnya, kini dia mampu menghasilkan sebanyak 2,500 pelita tanah sehari kerana ia mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan pelanggan terutama berketurunan India.

Anak tunggal Ramadas, Velavar Ramadas, 34, pula memberitahu, pertama kali dia cuba menghasilkan sebuah pasu kecil adalah ketika berumur 10 tahun.


PERNIAGAAN pembuatan tembikar Ramadas lebih kepada bisnes keluarga kerana ia menuntut minat dan kesabaran.


"Saya bekerja secara sepenuh masa di sini sejak berusia 18 tahun dan cuba menghasilkan pelbagai produk baharu untuk mengembangkan lagi perniagaan ini dan memasarkan produk secara lebih meluas.

"Saya menyukai semua proses pembuatan tembikar bermula daripada mengacau tanah, membuat produk, membakar dan mengecatnya. Sebab itulah saya kekal di sini," katanya.

Tambahnya, mereka masih menggunakan kaedah membakar secara tradisional walaupun kerajaan telah memberikan mereka sebuah oven khas untuk membakar hasil tembikar-tembikar berkenaan.

"Tempat pembakaran lama lebih luas berbanding oven. Justeru lebih banyak tembikar dapat dibakar dan mempercepatkan proses menyiapkan produk dan tempahan," katanya.

Petikan : www.kosmo.com.my/rencana utama

Tuesday 3 April 2012

Nenek pendayung Kampung Kuantan




HANOM tiba di Jeti Pelancongan Kelip-Kelip Kampung Kuantan, Kuala Selangor, tatkala lembayung senja mula menyinari dada langit. 

Dengan menjinjing dua kaki payung, langkah tuanya diayun perlahan menuju ke deretan bangku kayu yang membelakangi Sungai Selangor.

Sambil melepaskan lelah, Hanom atau nama sebenarnya Hasimah Kasim mengukir senyuman sewaktu melihat dua buah bas persiaran memasuki pekarangan jeti.

"Alhamdulillah, ada rezeki saya mendayung malam ini. Nampak gaya boleh juga buat satu dua trip," ujar ibu tunggal berusia 63 tahun ini.

Suasana yang tadi lengang mula riuh dengan canda tawa dan gelagat pelancong dari Jepun, Eropah dan Asia Barat. Mereka memenuhi ruang menunggu sementara menanti hari bertukar gelap.

Keterujaan jelas terpancar di wajah mereka. Masing-masing tidak sabar untuk mendekati habitat asal kelip-kelip, sejenis serangga berkepak yang boleh menghasilkan tiga kerlipan cahaya dalam masa sesaat.

Sementara kebanyakan pelancong ghairah merakamkan panorama biasan mentari senja di gigi air, Hanom tekun memeriksa keadaan sampannya. 

Selesa bekerja tanpa kasut, nenek kepada tiga cucu ini memasang pendayung kayu pada tali di kedua-dua belah sampan. 

Keadaan air sungai yang pasang dan berarus membuatkan sampannya teroleng-oleng. Badan Hanom kelihatan uzur, bagaimanapun, dia masih mampu berdiri dengan stabil. 

Mungkin juga kerana pengalamannya selama 15 tahun mengendalikan sampan menjadikan wanita ini memahami lenggok aliran air. 

"Bagi yang tak biasa, mereka mang kecut perut bila mahu turun ke sampan.

"Gelagat pelancong memang macam-macam, terutamanya yang datang dari luar negara. 

"Ada yang ringan mulut bertanyakan itu ini, ada juga yang lebih suka memerhati keindahan cahaya kelip-kelip dalam keadaan tanpa sebarang gangguan. 


KELIP-kelip hidup dalam suhu lembap di kawasan berpaya.


Tunggu sejam

"Kerap juga pelancong Barat bertanya, mampukah saya mendayung sampan yang dinaiki empat penumpang dewasa. Tidakkah ia terlalu membebankan?

"Malah ada yang kasihan dan mahu menggantikan saya mendayung," ujarnya sambil tersenyum.

Berkongsi cerita tentang kerjaya sebagai pendayung di pusat ekopelancongan itu, Hanom memberitahu, kebiasaannya dia memulakan tugas pada pukul 7.45 malam. 

"Selesai solat Maghrib, anak akan menghantar saya ke sini untuk mendayung. Jika berasa penat, saya akan berhenti dan minta anak datang menjemput pulang," ujar Hanom.

Menurutnya, pada musim cuti sekolah atau hujung minggu, memang ramai pengunjung yang datang ke situ untuk melihat kelip-kelip. 

"Adakalanya mereka perlu menunggu sejam sebelum dapat menaiki sampan," katanya. 

Dianggap sebagai musim kemuncak, seorang pendayung boleh membuat antara lima hingga lapan trip semalam. 

"Pada hari biasa, jumlah pengunjung tidak begitu ramai. Mungkin satu dua trip, sudah habis. 

"Biasanya kami mendayung sehingga 300 meter sehala dan penumpang mahu berada lebih lama di satu-satu pokok yang nampak lebih bercahaya," katanya yang bekerja apabila keadaan kesihatannya mengizinkan.

Hanom mula mendayung selepas suaminya terlantar akibat serangan strok.

Demi kelangsungan hidup mereka sekeluarga, ibu cekal ini mengambil alih tugas suaminya dengan mencuba nasib sebagai pendayung sampan di Jeti Pelancongan Kelip-Kelip Kampung Kuantan.

Lagu Jepun

Terdapat 30 pendayung sampan di jeti tersebut dan Hanom adalah satu-satunya pendayung wanita di situ.
"Ketika itu, anak-anak sudah ada yang bekerja, hanya yang bongsu masih bersekolah.

"Begitupun, saya tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada anak-anak kerana pendapatan mereka tidak menentu. 

"Mahu tidak mahu, saya perlu keluar bekerja. Lagipun, kerja mendayung hanya pada waktu malam.
"Saya masih boleh menjaga suami dan melakukan kerja rumah pada sebelah siang.

"Selepas suami meninggal dunia, saya berehat seketika namun kembali mendayung beberapa bulan kemudian," katanya. 

Dalam usia yang semakin lanjut, kudrat Hanom sudah tidak sekuat dahulu. Dia yang menghidap kencing manis dan sakit sendi di bahagian lutut kini tidak mampu mengejar trip lagi.


KUMPULAN besar kelip-kelip akan mengeluarkan cahaya serentak seakan-akan gerakan berirama.


"Dahulu selalu juga buat lima trip, sekarang nak buat dua trip pun sudah mengah. 
"Setiap trip memerlukan 20 hingga 30 minit dayungan.
"Pendayung akan mudik ke hulu terlebih dahulu sebelum menghilir sungai.
"Kami akan membawa pengunjung dekat dengan pokok berembang yang menjadi habitat semula jadi kelip-kelip," katanya yang dibayar RM18 untuk setiap trip.

Hidup Hanom sangat rapat dengan kelip-kelip. Hatinya berasa bangga kerana keajaiban kerlipan cahaya daripada serangga sebesar beras yang ada di kampung kelahirannya itu mampu menggamit kedatangan puluhan ribu pengunjung setahun dari seluruh dunia. 

Malah, dia yang hanya bersekolah hingga darjah enam itu sudah boleh bertutur dalam bahasa Inggeris mudah dan menyanyikan serangkap lagu Jepun yang dipelajari daripada para penumpangnya.

Setiap kali mengambil penumpang, dia akan mengingatkan mereka supaya tidak menggunakan lampu kilat kamera jika ingin merakamkan aksi kelip-kelip. 

"Penggunaan lampu suluh dan cahaya daripada telefon bimbit juga dilarang kerana kelip-kelip amat sensitif terhadap cahaya. 

"Sewaktu berkelip, ia sedang mengawan. Jika diganggu dengan cahaya lebih terang, ia mungkin akan jatuh, mati atau terbang. Proses mengawan berkemungkinan besar gagal," ujar Hanom.

Membentuk keindahan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, formasi kerlipan cahaya kelip-kelip ini kelihatan seakan-akan pokok Krismas.

Bukan sekadar mendayung, Hanom turut mengambil tanggungjawab memberi penerangan tentang kelip-kelip di Kampung Kuantan kepada penumpangnya walaupun tiada yang menyuruh. 

"Saya mahu penumpang faham tentang kitaran hidup kelip-kelip, habitat asal dan keistimewaannya.
"Kelip-kelip ada di beberapa negeri lain tetapi populasinya lebih banyak di sini. 


MENJELAJAHI Sungai Selangor untuk melihat kelip-kelip dengan menaiki sampan menjanjikan lebih kepuasan kepada pelancong asing.


"Sepanjang 10 kilometer tebing sungai ini ditumbuhi pokok berembang yang merupakan rumah kelip-kelip. Malah, kalau bernasib baik, kelip-kelip akan bermain-main dengan kita," katanya. 

Menjadi sumber rezeki dan tarikan pelancongan, Hanom selalu berdoa agar kelip-kelip kesayangannya itu tidak akan pupus ditelan arus urbanisasi. 

"Selagi ada bulan dan bintang, biarlah kelip-kelip ini terus wujud di Kampung Kuantan," katanya penuh mengharap. 

Petikan : www.kosmo.com.my/rencana utama