Friday 20 April 2012

Mekanik terbaik untuk supercar



SEHARI sebelum perayaan Tahun Baru Cina 2012, suasana di dalam bengkel Ultra-Tune Sdn. Bhd. di Glenmarie, Shah Alam agak lengang berbanding hari-hari biasa.

Sebelum ini, ruang bengkel tersebut pasti akan dipenuhi dengan kereta-kereta berkuasa tinggi seperti Lamborghini, Ferrari, Porsche dan BMW. Disebabkan bengkel itu bakal ditutup selama seminggu, jadi hanya kereta yang memerlukan kerja pembaikan ringkas masih diterima pada saat-saat akhir.

Namun, suasana tersebut tidak terkesan kepada Soo Jen Loong dan tiga lagi rakannya yang sedang bertungkus-lumus menyiapkan Lamborghini Murcielago berwarna kuning sebelum bengkel ditutup pada pukul 3 petang.

Konsentrasi lelaki berusia 28 tahun itu tidak sedikit pun terganggu, walaupun rakan-rakan lain mengajak dia minum atau cuba mengusiknya.

"Jangan ganggu, saya sedang sibuk ini," tegas Jen Loong yang masih berasa tidak cukup mahir walaupun sudah tiga tahun bekerja di situ.

Peluang memandu supercar

Tidak seperti individu marhaen lain yang tidak pernah berpeluang menyentuh apatah lagi mendekati kereta berkuasa tinggi atau lebih dikenali sebagai supercar, bagi Jen Loong sudah tidak terkira bilangan supercar yang telah dipegangnya.

Jen Loong merupakan antara 16 orang mekanik yang bekerja di Ultra-Tune dan berpeluang menaiki serta memandu kereta supercar seperti Lamborghini atas kapasiti prosedur kerja.

Tetapi bukan semua mekanik yang dapat memegang stereng Ferrari, hanya mereka yang diberi kelepasan pihak pengurusan. Ujian memandu juga dilakukan ketika cuaca dalam keadaan baik sahaja.

Pihak pelanggan juga boleh memilih mekanik yang dipercayai untuk memandu kereta mereka atau pengurus bengkel sendiri akan melakukan ujian lapangan.

Mohd. Faizul Abd. Ghani masih lagi ingat ketika mula-mula mahu memandu kenderaan berkuasa tinggi. Perasaan gementar dan gemuruh menguasai dirinya terutama apabila ngauman enjin kedengaran.

"Kereta supercar mempunyai G-force (daya graviti) sangat rendah. Cara pemanduannya pun berbeza, kepada individu biasa yang tidak pernah memandu supercar memang sangat susah," ujar lelaki berumur 29 tahun itu.

Akui Mohd. Faizul, kereta-kereta seperti itu sangat sensitif dan jika dipandu dalam kesesakan jalan raya, ia akan memberi kesan kepada sistem penyejukan. Jadi, ia sentiasa memerlukan pergerakan angin ke dalam kereta.


RUANG dalam bengkel Ultra-Tune yang dipenuhi dengan kereta supercar pelbagai model.


Kemahiran Mohd. Faizul bukan sahaja dapat membaiki sesebuah kereta malah, mampu mengesan model, jenis dan tahun kereta dilancarkan dengan sekali pandang sahaja.

Bengkel kereta mewah 

Berbeza dengan bengkel-bengkel persendirian lain yang khusus pada sejenis kereta, Ultra-Tune adalah bengkel bebas yang dibuka pada tahun 1997 dengan menerima empat buah model kereta iaitu BMW, Mercedes, Porsche dan Ferrari.

Kemudian, bengkel yang terletak 23 kilometer dari pusat bandar raya itu berkembang dengan menerima beberapa buah lagi model kereta iaitu Bentley, Audi, Lamborghini dan Roll Royce.

Perkhidmatan yang disediakan menyeluruh sebagai sebuah pusat sehenti kereta mewah seperti penyelengaraan, pembaikan dan mengecat badan kereta.

Pelanggan mahu yang terbaik

Sementara itu, bagi Ahmad Syahir Che Abdul Aziz yang baru bekerja beberapa bulan di situ menghadapi banyak cabaran dalam menangani kerenah para pelanggan pada peringkat awal.

Ujarnya, pelanggan di Ultra-Tune bukan seperti di bengkel-bengkel kereta biasa lain. Mereka terdiri daripada golongan kelas atasan yang mampu mengeluarkan banyak duit untuk memenuhi minat terhadap kereta berkuasa tinggi.

"Pernah berlaku pada bulan pertama saya berkerja. Selepas memberi penerangan panjang lebar kepada seorang pelanggan. Maklum balas yang diterima adalah menunjukkan riak wajah berkerut.

"Kemudian, dia meminta pengurus saya menerangkan semula kepadanya," ujar lelaki yang berusia 27 tahun itu. Dia menyifatkan rungutan pemilik kereta merupakan perkara biasa ketika itu.

Tatkala pelanggan meminta bantuan pengurus, perasaan yang dirasainya bercampur-baur. Ada sedikit malu dan kecewa kerana tidak berjaya memenuhi tuntutan tugasan dengan baik.

Banyak ragam yang perlu ditempuhi Ahmad Syahir sepanjang bekerja di situ. Namun, selepas mendapat nasihat daripada majikan dan mula memahami personaliti pelanggan, dia mula dapat membaiki kelemahannya.

Walaupun melayan pelanggan sebegitu boleh dianggap sesetengah orang amat leceh, dia tetap berasa seronok bekerja di Ultra-Tune kerana bidang pemotoran memang menjadi minatnya sejak dahulu.

Perkara tersebut turut diakui oleh pengurus bengkel, Howie Yam, 50, yang juga amat meminati kereta. Dahulu, dia adalah pengurus dalam bidang jualan tetapi berhenti dan bekerja di situ atas dasar minat.

Perbezaan paling ketara bekerja di Ultra-Tune adalah cara para pekerja di bengkel itu melayan pelanggan. Menurut Howie, mereka perlu mengenali pelanggan secara peribadi.

"Mereka terdiri daripada individu yang berpangkat Datuk dan Tan Sri. Kebanyakannya tidak akan mendedahkan status diri tetapi, daripada perwatakan, kita tahu mereka siapa," terang Howie.

Malah, Howie harus mengetahui jadual dan aktiviti pemilik kereta serta bilangan kereta yang dimiliki kerana itu akan menentukan tahap kepuasan pelanggan terhadap servis mereka.

Kadangkala, pemilik akan menghantar kereta untuk penyelenggaraan berkala kerana mahu menyertai konvoi. Sudah pasti, Howie perlu memastikan ia akan siap sebelum tarikh acara kerana konvoi kereta berkuasa tinggi sangat jarang diadakan dengan kekerapan sekitar dua kali setahun.

Di Ultra-Tune, mereka bekerja dengan dibahagikan kepada lima buah kumpulan yang terdiri daripada tiga orang mekanik dengan seorang ketua.

Setiap pagi, satu mesyuarat akan dijalankan untuk mengetahui perkembangan terbaharu sesebuah kereta yang berada di bawah tanggungjawab kumpulan sambil berkongsi idea.

"Dengan cara bekerja begini, kami dapat memantau perkembangan kerja, memantau kemajuan pekerja dan mengawal kualiti perkhidmatan," kata salah seorang ketua kumpulan, Ronnie Chin, 49.

Pemilihan pekerja dikawal dan teliti dengan setiap pekerja terpilih perlu mempunyai pengalaman membaiki kereta continental sekurang-kurang lima tahun.

MEKANIK supercar bukan sahaja perlu mahir membaiki jentera, bahkan bijak berurusan dengan pemilik kereta yang terdiri daripada kelompok kelas mewah.


Ultra-Tune dibuka dari Isnin hingga Jumaat pada pukul 9 pagi hingga 6 petang, manakala hari Sabtu pula operasi hanya sehingga pukul 3 petang.

Di Ultra-Tune, proses servis kereta sesebuah supercar mengambil masa sekitar empat jam dengan kos antara RM800 hingga RM1,200.

Bagaimana, tempoh masa untuk membaiki jentera yang rosak bergantung kepada komponen yang bermasalah.

Komponen supercar yang diimport dari Eropah biasanya berharga tiga hingga lima kali ganda berbanding komponen kereta biasa.

Bagaimanapun, dengan status jentera mewah ujar Ronnie, supercar jarang mengalami kerosakan major.

Petikan Rencana Utama : www.kosmo.com.my
                                        21/04/2012

No comments:

Post a Comment