PEMILIK sepasang mata biru dan rambut perang ini, Angela Collins, 36,
lahir dalam keluarga penuh kasih sayang dan berpegang kuat pada ajaran
Katolik yang diwarisi sejak turun-temurun.
Membesar di California, Amerika Syarikat, Angela hidup dalam budaya
Barat yang sebelum ini dianggap sebagai cara hidup yang ideal.
Bagaimanapun, tragedi serangan berani mati yang melakar sejarah hitam
pada 11 September 2001 di New York itu membuka mata wanita ini untuk
mendalami Islam.
“Walaupun ada ahli keluarga yang meninggal dunia dalam serangan itu, saya tetap bulatkan hati untuk memeluk Islam.
“Islam yang saya kaji adalah agama yang cukup indah, tidak seperti yang digambarkan Barat sebagai agama yang ekstrem.
“Saya juga percaya dengan kandungan al-Quran yang saya yakin
diturunkan oleh Allah S.W.T., bukannya karangan manusia. Selain itu,
hidup saya juga berpandukan sunah Rasulullah. Dua perkara ini sudah
cukup untuk menjadi sumber pegangan dan panduan hidup saya,” katanya.
Sebenarnya, ketika usianya 14 tahun lagi, Angela sudah mempersoalkan
konsep triniti dalam agamanya. Baginya ia suatu konsep kepercayaan yang
cukup sulit dan kompleks untuk difahami.
“Semakin lama saya cuba memahami konsep itu, semakin kabur penjelasan yang saya terima.
“Saya bingung, mengapa Tuhan wujud dalam bentuk manusia dan
membiarkan dirinya mati untuk menebus dosa dan membuktikan kebenaran
tentang penyalibannya?
“Saya pergi berjumpa dengan beberapa orang paderi dan bertanyakan hal
yang sama, tetapi saya tidak temui jawapan yang saya cari.
“Ketika itu, hati saya kuat mengatakan manusia perlu mempercayai
hanya satu Tuhan iaitu Tuhan yang menciptakan segala-galanya. Paling
penting, Tuhan bukan manusia. Ketika itu, tidak ada penjelasan lain yang
saya rasa lebih rasional,” tukasnya.
Keluarga
Lantas, selepas hatinya mantap dengan keyakinan bahawa Tuhan itu
satu, Angela mengucapkan kalimah syahadah seminggu selepas tragedi hitam
11 September.
Ketika itu, dunia sedang menyorot Islam sebagai agama terroris,
namun, wanita ini tetap teguh dengan keislaman yang menjadi pilihannya
malah pada detik bergelar sebagai seorang Muslim, Angela terus menutup
auratnya sehingga ke hari ini.
“Islam adalah agama yang datang untuk membetulkan kesalahan manusia
yang telah mengubah wahyu Tuhan kepada nabi-nabi terdahulu atas dasar
kepentingan mereka sendiri.
“Islam itu sederhana. Allah ialah Tuhan yang menciptakan manusia dan
kita menyembah-Nya. Allah mengutus para nabi seperti Nabi Musa, Nabi Isa
dan Nabi Muhammad untuk menyampaikan pesanan-Nya pada manusia,” jelas
Angela.
Menurutnya lagi, dalam Islam, Nabi Isa yang dipanggil Jesus cuma
seorang nabi dan dia akan datang kembali ke dunia sebelum Hari Kiamat.
Tambahnya, sebagai orang Islam, kita tahu bahawa apa pun yang
dilakukan perlu dimulakan dengan niat sebelum mentranformasikan niat
tersebut dengan ikhtiar untuk melaksanakan apa yang telah diperintahkan
oleh Islam.
Bersyukur kerana keluarganya menerima baik keputusannya memeluk
Islam, Angela bertambah yakin bahawa Islam bukanlah agama pengganas
seperti yang dilabel oleh sebahagian besar masyarakat Barat.
“Bapa saya, Dan Collins menghormati keputusan saya. Begitu juga
dengan ibu. Ketika baru-baru memeluk Islam, saya memberitahu mereka,
hubungan kekeluargaan tidak akan terputus hanya kerana saya sudah
memeluk Islam. Sebaliknya, saya meyakinkan mereka bahawa saya tetap
menyayangi mereka hingga ke akhir hayat.
“Alhamdulillah, ibu bapa sangat memahami kehendak saya. Pesan
mereka, jadilah Muslim yang baik, jangan tinggalkan mereka dan jangan
jadi pengganas,” kata Angela yang turut menolak keganasan lebih-lebih
lagi terhadap wanita dan kanak-kanak.
Dia yang kini menjadi guru agama kepada kanak-kanak di komuniti
Muslim di California menyifatkan, hidayah yang Allah berikan kepadanya
adalah perkara paling indah yang pernah dilalui sepanjang hidupnya.
“Allah telah membuka hati saya. Dia tiupkan iman dalam hati yang dahulu tercari-cari siapa Tuhan dan di mana Tuhan.
“Mempelajari Islam membuka mata saya kepada erti kehidupan yang
sebenar. Biarpun ada yang kata saya kolot, membalut tubuh dengan pakaian
labuh dan tudung kepala, namun, bagi saya itulah kemanisan Islam.
“Saya hanya melaksanakan tuntutan agama yang diperintahkan Allah
melalui kitab suci al-Quran. Apa yang saya harapkan, Allah akan terus
merahmati kehidupan saya di dunia dan akhirat,” katanya.
Ditanya mengapa dia masih mengekalkan namanya, sambil tersenyum, Angela ringkas menjawab:
“Saya bangga dengan nama yang ibu saya berikan. Saya Angela dan saya ialah seorang Muslim,” jawabnya.
No comments:
Post a Comment