Saturday 21 July 2012

Suri hati Mohamed Morsi

RENCANA UTAMA


Petikan dari www.kosmo.com.my/rencana utama


NAGLAA tidak keberatan digelar 'pelayan rakyat'.


TANGGAL 30 Jun lalu rakyat Mesir secara rasmi menerima kepimpinan baharu apabila suruhanjaya pilihan raya negara itu mengumumkan Mohamed Morsi memenangi kerusi Presiden selepas menewaskan Ahmed Shafiq, perdana menteri terakhir di bawah pemimpin Mesir yang disingkirkan, Hosni Mubarak.

Situasi itu juga bererti rakyat Mesir akan menerima wanita pertama yang baharu.

Seperti suaminya, Naglaa Ali Mahmood, 50, merupakan seorang wanita yang sederhana. Beliau tidak pernah berpenampilan mewah bahkan wajahnya juga tidak pernah dihias dengan solekan.

Apa yang menjadi pro dan kontra adalah gaya berbusananya. Busana sehariannya adalah abaya atau jubah berwarna gelap dilengkapi dengan jilbab panjang yang merupakan gaya khas kaum wanita pengikut Ikhwanul Muslimin.

Bagi mereka yang tidak menyukainya, gaya busana Naglaa dilihat melambangkan arah tuju Mesir pada masa hadapan iaitu sebuah negara Islam konservatif. Berbeza pula bagi para penyokongnya, sikap dan penampilan Naglaa mencerminkan semangat demokrasi revolusi.

Media Mesir melaporkan, Naglaa lebih suka jika tidak tinggal di Istana Presiden.

"Saya hanya ingin digelar sebagai isteri presiden," katanya kepada Associated Press.

Naglaa sesungguhnya hanya ingin digelar 'Ummi Ahmed' atau Ibu Ahmed.

"Saya tidak suka gelaran wanita pertama. Jika gelaran menjadi keutamaan, saya tidak keberatan digelar 'pelayan rakyat'," katanya.

Rakyat Mesir hanya menunggu adakah Ummi Ahmed mahu bertemu tetamu negara, menghadiri konferensi atau acara penting lain dengan atau tanpa suaminya, atau mengubah penampilan untuk acara rasmi.

Peramah

Setakat ini, Naglaa tidak bersembunyi daripada tatapan umum dan beliau bersedia melayan sebarang permintaan wawancara daripada pelbagai media selain mendampingi suaminya semasa kempen pilihan raya lalu.

Seorang aktivis Ikhwanul Muslimin, Fatema Abouzeid, mengaku pernah bertemu secara langsung dengan Naglaa dan beliau menggambarkan Naglaa seorang yang sederhana dan peramah.

"Dia tidak sombong dan kalau ada orang yang memuji suaminya, dia hanya menjawab Alhamdulillah," kata Fatema.

"Saya tidak mahu membandingkannya dengan Suzanne (isteri kepada Hosni Mubarak), tapi perbezaan utamanya adalah cara dia melayani masyarakat. Dia bergaul dengan sesiapa sahaja dan berbual secara biasa," ujarnya.

Pendapat senada turut dilontarkan bekas anggota parlimen dari Ikhwanul Muslimin, Azza al-Gharf, yang telah mengenal Ummi Ahmed selama lima tahun.

Kata al-Gharf, apabila Naglaa mengikuti suaminya berkempen, beliau akan berdiri bersama khalayak, tidak menonjolkan diri dan menolak untuk duduk di tempat yang dikhaskan.

Al-Gharf menganggap Naglaa sebahagian daripada mereka yang turut mempunyai masalah seperti kebanyakan rakyat Mesir dan itulah yang membezakan antara Naglaa dan Suzanne. 

Keluarga biasa

Naglaa berkahwin dengan Morsi pada tahun 1978 ketika usianya 17 tahun.

Dalam wawancara dengan majalah wanita Nos al-Donia, Naglaa mengakui cincin kahwin dan maharnya bernilai sederhana sahaja.

"Kedudukan kewangan bukan menjadi perhatian saya. Apa yang membuatkan saya tertarik dengan suami saya adalah perasaan bahawa dia seorang yang bertanggungjawab dan mampu melindungi saya. 

"Apa yang penting, dia disukai orang tua saya sebelum mereka meninggal dunia," katanya tentang sang suami.

Kurang dari dua tahun selepas perkahwinan mereka, Naglaa mengikuti suaminya ke Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) yang melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran di Universiti California Selatan.

Dua daripada lima anak mereka, empat orang lelaki dan seorang perempuan lahir di AS.

Ketika menetap di California, Naglaa bekerja sebagai penterjemah daripada bahasa Arab ke bahasa Inggeris untuk warga Muslim Amerika.

Pasangan muda itu kemudian terlibat dalam pelbagai projek amal dan pada ketika itulah mereka menyertai gerakan Ikhwanul Muslimin.

Bertahun-tahun kemudian di Mesir, ketika Morsi ditahan selama lapan bulan pada tahun 2008 disebabkan aktivitinya bersama Ikhwanul Muslimin, yang pada waktu itu diharamkan pemerintah, Naglaa tetap merasakan damai di jiwa walaupun terpaksa berpisah dengan suaminya.

Dalam wawancara yang sama, Naglaa menggambarkan keluarganya seperti keluarga biasa yang meluangkan masa bersama menonton filem di rumah atau bersantai di pantai-pantai sekitar Mesir. - Agensi

No comments:

Post a Comment