Tuesday 10 July 2012

Inspirasi Federer

     
LONDON: Roger Federer percaya menjadi seorang bapa dan menyambut hari jadinya yang ke-30 memberi inspirasi buatnya untuk menyamai rekod tujuh kejuaraan Wimbledon.

Federer menyamai pencapaian Pete Sampras dengan tujuh kejuaraan di Kelab All England dan meraikan kejayaannya meraih kemenangan Grand Slam ke-17 menerusi kemenangan 4-6, 7-5, 6-3, 6-4 ke atas pemain Britain, Andy Murray dalam kemunculan kelapannya pada final di Wimbledon, kelmarin.

Kemenangan itu, yang diraih di bawah bumbung Gelanggang Tengah bernilai �80 juta (RM395 juta), turut melonjakkannya kembali sebagai pemain nombor satu dunia yang mana minggu ini dia akan berada di puncak selama 285 minggu, hanya satu minggu kurang daripada rekod Sampras.

Secara keseluruhannya, ia hari terbaik buat pemain yang tidak diberikan harapan dalam era keemasan Novak Djokovic dan Rafael Nadal, selain menamatkan kemarau kejuaraan Grand Slam sejak gelaran ke-16 pada Terbuka Australia 2010.

Namun Federer berkata dia didorong melakar kemenangan untuk membolehkan dua anak perempuan kembarnya, Myla Rose dan Charlene Riva, yang berusia tiga tahun bulan ini, menyaksikan bapa mereka beraksi dengan cemerlang.

“Orang terlupa kadang-kadang saya memiliki dua anak perempuan kembar. Ia satu impak besar dalam kehidupan saya. Ia banyak membantu permainan saya lebih daripada yang lain kerana saya fikir saya bermain antara yang terbaik dalam karier saya sekarang,” kata Federer.

“Kejayaan hari ini adalah mimpi jadi nyata buat saya dan keluarga. Ia memang mengagumkan.” Federer tua lebih lima tahun daripada Murray dan Djokovic, penyandang juara yang disingkirkan di Wimbledon oleh bintang Switzerland itu pada separuh akhir dan empat tahun lebih senior daripada Nadal, yang meraih rekod tujuh kejuaraan Terbuka Perancis bulan lalu.

Mengalahkan Djokovic dan Murray dalam perlawanan berturut-turut di Kelab All England memberikan Federer lebih keyakinan bahawa dia mampu meraih lebih banyak kegemilangan pada masa depan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/09

No comments:

Post a Comment