Friday 13 July 2012

Persiapan rapi elak risiko



MELIHAT penampilan fizikal lelaki itu yang masih tegap dan sihat seolah-olah tidak sepadan dengan usianya. Pergerakannya, masih tangkas dan lincah. Kudratnya masih kuat dan bertenaga melakukan pelbagai aktiviti kecergasan di luar atau di dalam rumah.

Antara yang digemarinya ialah berenang, berkunjung ke gimnasium atau setidak-tidaknya berbasikal di sekitar kawasan rumahnya di Taman Tun Abdul Razak, Ampang Jaya, Selangor.

Pada usia 69 tahun, bekas Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Khalid Yunus tampak muda berbanding lelaki seusia beliau.

"Saya ini memang jenis tidak suka duduk diam. Sejak zaman muda, saya aktif dalam sukan olahraga termasuk pernah mewakili sekolah sehingga ke peringkat negeri.

"Sifat itu terus terbawa-bawa sehingga semasa saya menjadi wartawan dahulu sebelum menceburkan diri dalam bidang politik dan beberapa persatuan sukan ketika itu.

"Walaupun sibuk, saya akan pastikan masa untuk beriadah setiap hari," kata beliau yang sering mendaki Gunung Datuk setiap kali pulang ke negeri kelahirannya, Negeri Sembilan.

Menurut Khalid, dia mula mengenali aktiviti mendaki pada tahun 2002 ketika menyertai ekspedisi pendakian ke Gunung Tahan, Pahang.

Menjadi pendaki tertua pada usia 58 tahun, Khalid tetap teruja dan bersemangat menyudahkan ekspedisi menawan puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia itu yang memakan masa hampir seminggu.

"Sukar digambarkan perasaan saya ketika itu, seronok, puas, bangga dan sebagainya. 

"Sejak itu saya bertekad untuk menjadikan aktiviti mendaki gunung sebagai satu hobi di samping sebahagian daripada rutin kecergasan," ceritanya yang kini telah mendaki sebahagian besar gunung-gunung di Malaysia.

Setahun kemudian, beliau memberanikan diri untuk menyertai ekspedisi mendaki Gunung Kala Pattar di Nepal yang mempunyai ketinggian 5,643 meter bersama ahli-ahli Persatuan Rekreasi Angkasapuri.

Suhu ekstrem

Berdepan dengan suhu yang ekstrem mencecah 10 hingga 15 darjah Celcius di bawah paras beku nyata menguji mental dan fizikal Khalid.


BERDEPAN dengan cuaca ekstrem di bawah paras beku antara pengalaman yang pernah dilalui Khalid ketika misi menawan puncak Everest satu ketika dahulu.


"Semasa mendaki, beberapa rakan pendaki telah menunjukkan puncak Everest yang tampak begitu megah berdiri di hadapan kami.

"Sebaik sahaja melihatnya, saya jatuh cinta. Di dalam hati saya berkata, saya pasti akan kembali semula ke situ untuk menawan puncak setinggi 8,848 meter itu," katanya yang merupakan anak sulung daripada sembilan beradik.

Pada tahun 2004, Khalid yang dilantik sebagai Penasihat Kehormat Ekspedisi Demi Negara Ke Everest 2004 sekali lagi ke berpeluang meneroka banjaran Himalaya itu bagi memberi sokongan kepada dua orang pendaki negara, Muhammad Muqharabbin Mokhtaruddin dan Ahmad Reduan Rozali dalam misi mereka menakluk puncak Everest.

Bangga dengan kejayaan kedua-dua pelajar Universiti Teknologi Mara itu, beliau kemudiannya menubuhkan Persatuan Kembara Malaysia (PKN) dengan matlamat untuk melakukan misi yang sama pada tahun 2007. 

"Saya sendiri menawarkan diri untuk menyertai Merdeka de' Everest 2007. Sepanjang tiga tahun, saya mengorbankan masa untuk melakukan latihan intensif di Gunung Kilimanjaro di benua Afrika, Puncak Meera di Himalaya dan Gunung Cairngorms Aviemore, Scotland.

"Bagaimanapun, saya hanya mampu sampai di Kem 3 pada ketinggian kira-kira 7,000 meter dari aras laut akibat diserang simptom mabuk gunung (acute mount sickness - AMS). 

"Biarpun kecewa, saya berbangga enam pendaki kita berjaya sampai ke puncak termasuk pendaki Everest wanita pertama negara, Marina Ahmad," jelas beliau.

Pada tahun lalu, beliau sekali lagi mengetuai Misi Perdana De' Everest Tibet 2011 untuk menawan puncak Everest. Namun, percubaan pasukannya digagalkan akibat cuaca buruk. Beliau hanya sempat berada di Kem 3.

"Siapa yang tidak kecewa, apatah lagi selepas membuat pelbagai persiapan rapi sebelum itu. Namun, gagal sekali bukan bererti gagal selamanya, jika diizinkan Tuhan, saya akan cuba menakluk puncak itu pada masa hadapan.

"Lagipun, kejayaan pendaki wanita Everest tertua di dunia dari Jepun, Tamae Watanabe menjadi inspirasi untuk saya, mana tahu selepas ini giliran saya pula mengharumkan nama Malaysia," seloroh Khalid.

Rutin kecergasan

Sementara itu, status nenek kepada 10 orang cucu tidak menghalang Hasnah Abdullah, 60, untuk terus aktif dalam aktiviti mendaki gunung.

Seperti Khalid, Hasnah yang berasal dari Kluang, Johor juga mula mendaki pada usia emas iaitu ketika berumur 54 tahun.

Isteri kepada pesara guru, Abdul Kadir Abdullah, 72, itu berkata, sebelum itu dia telahpun mendaki Gunung Lambak yang terletak berdekatan dengan rumahnya di Kluang, Johor sebagai salah satu rutin kecergasan di samping mengisi masa yang terluang.

Ujar Hasnah, biarpun ia tidak begitu mencabar iaitu hanya memakan masa sekitar satu setengah jam, dia tetap berasa puas dan tenang sebaik tiba di puncak.

Menurut nenek yang kental semangat itu, dia tertarik untuk menyertai satu ekspedisi pendakian di Gunung Nuang, Selangor selepas melihatnya di dalam sebuah majalah pada tahun 2007. Ketika itu beliau berusia 54 tahun.

"Bayangkan saya sanggup naik bas dari Johor semata-mata tidak mahu terlepas menyertainya. Biarpun tidak mengenali sesiapa ketika itu dan tidak mempunyai kelengkapan mendaki yang lengkap, saya gagahkan diri untuk mencuba.


HASNAH berasa puas setiap kali tiba di puncak gunung kerana berpeluang melihat keindahan alam semula jadi.


"Kejayaan pertama itu membuatkan saya terus 'ghairah' mendaki sehingga ke hari ini. Dalam tempoh beberapa tahun sahaja, saya sudah mendaki sebahagian besar gunung-gunung di Semenanjung Malaysia melalui pelbagai ekspedisi yang diadakan oleh kelab-kelab rekreasi," katanya yang digelar Hasnah Gunung dalam kalangan rakan-rakan pendaki.

Hasnah memberitahu, keseronokan mendaki bukan setakat berjaya menawan puncak gunung, sebaliknya dapat berkenalan dengan ramai kenalan baharu di samping melihat panorama alam semula jadi.

Ujarnya, gunung yang berbeza pastinya mempunyai cabaran yang berbeza, bagaimanapun dia bersyukur kerana tidak pernah berhadapan dengan masalah atau kecederaan sejak aktif di dalam aktiviti itu.

"Ada juga rakan-rakan sebaya yang pelik dengan aktiviti saya ini, maklumlah sudah bercucu, tapi minat mengatasi segala-galanya.

"Saya bersyukur kerana dikurniakan suami dan anak-anak yang sentiasa memahami. Biarpun sibuk menyertai ekspedisi yang diadakan saban tahun, namun saya tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu. Keluarga tetap merupakan keutamaan," ujarnya.

Ditanya mengenai rahsianya kekal sihat dan cergas, Hasnah berkata, dia sering berjoging, mengamalkan minum susu setiap hari dan tidak mengambil minuman berais.

"Saya tidak pasti sampai bila akan terus mendaki, tetapi selagi dikurniakan kesihatan yang baik, saya tidak akan berhenti," ujarnya.

Kisah misteri

Sementara itu bagi Ghazali Safri, 51, atau lebih mesra dengan gelaran Pak Teh, mendaki gunung membolehkannya bersantai sambil melepaskan diri daripada hiruk-pikuk kehidupan kota.

Kakitangan pentadbiran di sebuah syarikat swasta itu berkata, membesar di kawasan kampung di Taiping, Perak, menyebabkan dia selesa berdamping dengan bunyi cengkerik dan unggas di rimba.

"Dahulu ketika masih muda, saya aktif mendaki beberapa bukit dan gunung di sekitar Taiping seperti Bukit Larut, Bukit Merah dan Gunung Semanggol bersama rakan-rakan.

"Bagaimanapun, selepas berhijrah di kota, bekerja dan berkahwin hasrat itu terpaksa dilupakan seketika," ujar bapa kepada tiga orang cahaya mata itu.

Pak Teh berkata, hanya pada tahun 2003, dia mula mengikuti pelbagai ekspedisi mendaki yang dianjurkan oleh kelab-kelab rekreasi. Antaranya ialah Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL).

Tambah Pak Teh, antara pengalaman pendakian yang tidak dapat dilupakan ialah ketika mendaki Gunung Tahan pada tahun 2007.

"Sepanjang ekspedisi itu saya memang tidak mempunyai masalah kecergasan, namun sebaik sebaik tiba di kawasan bernama Puncak Bonzai dari Bukit Botak, saya tiba-tiba lemah.

"Ketika dalam perjalanan turun di laluan yang sama, saya dan seorang pendaki mengambil keputusan untuk berehat seketika. 


BIARPUN bergelar nenek, Hasnah (belakang, tiga dari kiri) tidak kekok bercampur dengan pendaki-pendaki muda setiap kali menyertai aktiviti mendaki.


"Sebaik sahaja saya bangun, saya dapati pokok-pokok di sekeliling saya menyerupai bentuk wanita. Meremang bulu roma dibuatnya! 

"Namun, kita harus sedar bahawa di dalam hutan, bukan kita sahaja makhluk yang ada," ujarnya yang memberitahu Gunung Tahan sememangnya mencabar seperti juga namanya.

Katanya, biarpun telah berusia, beliau tidak kekok bergaul dalam kalangan pendaki yang rata-ratanya masih muda di samping berkongsi segala pengalaman dan tip pendakian.

"Ketika mendaki, teknik pernafasan kena betul, badan kena sedikit bengkok untuk mengimbangi beban yang dibawa, pada masa yang sama tingkah laku dan pertuturan juga harus dijaga.

"Bagaimanapun, kepuasan utamanya adalah setiap kali berjaya tiba di puncak, segala penat mengharungi perjalanan panjang, pasti hilang dalam sekelip mata," katanya

Petikan : www.kosmo.com.my/rencana utama

No comments:

Post a Comment