Saturday 21 July 2012

Julia sudah puas hidup mewah

Petikan www.kosmo.com.my/rencana utama


IBU tunggal ini agak rapat dengan anak-anak yatim Rumah Aman, Shah Alam, Selangor.


WANITA ini selesa mengenakan baju kurung berwarna ungu. Penampilannya terserlah apabila dipadankan dengan selendang hitam walaupun dia berketurunan Cina.

Ketua Pegawai Eksekutif The Truly Loving Company Sdn. Bhd. (TLC), Julia Chong ini juga seorang yang suka mengamalkan sikap berjimat cermat semasa ditemui di Bukit Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Lampu pejabatnya akan dipadamkan apabila tidak digunakan termasuk peralatan elektrik lain bagi menjimatkan perbelanjaan bil utiliti.

“Saya telah puas menikmati kemewahan dunia dan tiba masanya menghabiskan sisa kehidupan dengan berbakti kepada orang lain tanpa mengira kaum dan agama,” cerita wanita berumur 60 tahun ini sebagai pembuka bicara.

Julia, anak ketujuh daripada sembilan orang adik-beradik berasal dari Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Dia merupakan salah seorang pengasas TLC, sebuah syarikat yang menjual rangkaian produk penjagaan diri dan rumah seperti sabun mandi, pencuci mangkuk tandas, cecair mencuci lantai dan cecair pencuci tangan.
Kesemua barangan itu boleh didapati pada kadar harga yang berpatutan di pasar raya utama di seluruh negara seperti Giant, Tesco dan Cold Storage.

Konsep perniagaannya tidak banyak berbeza cuma kesemua hasil jualan itu akan disalurkan kepada lima badan kebajikan iaitu Persatuan Angin Ahmar Kebangsaan (Nasam), Shelter: Home For Children, Rumah Aman, Hospis Malaysia dan Persatuan Penjagaan Kanak-Kanak Terencat Akal Johor Bahru.

Bagaimana wanita yang berstatus ibu tunggal ini terjun ke dalam bidang kebajikan?

Julia yang agak tersentak dengan pertanyaan yang dilontarkan penulis dengan nada teruja menceritakan, mendiang suaminya menjadi pendorong utamanya.

“Suami saya seorang ahli perniagaan tetapi dia mempunyai satu hobi iaitu suka menghabiskan masa setiap hujung minggu melawat sebuah rumah kebajikan kanak-kanak. 

“Saya tidak berkesempatan untuk mengikutinya setiap minggu kerana sibuk dengan urusan kerja sebagai seorang pengarah urusan sebuah syarikat terkemuka,” cerita Julia.

Nasihat suami

Kehidupan Julia sebelum ini cukup mewah. Dia sering keluar negara kerana mengawasi perjalanan syarikat bekas majikannya di Malaysia, Singapura, Thailand, Kemboja, Laos dan Vietnam.

Bicara apa sahaja soal kemewahan semuanya disediakan kepadanya dahulu iaitu mempunyai kereta mewah serta disediakan seorang pemandu, empat orang pembantu peribadi selain gajinya yang mencecah lima angka.

Namun, titik tolak perubahannya bermula apabila suaminya meninggal dunia kerana serangan jantung pada tahun 1999.

Peristiwa itu menyebabkan wanita ini mengambil alih tanggungjawab seorang bapa membesarkan dua orang anaknya.

“Tetapi selepas tujuh tahun, mereka membesar dan berjaya dalam hidup dengan mempunyai pekerjaan profesional. Umur saya pula semakin lanjut, jadi saya bertanya pada diri sendiri, sampai bila saya mahu hidup dengan mengejar harta benda semata-mata. 

“Saya sudah puas dengan kemewahan dunia dan tiba masanya saya berbakti kepada masyarakat,” tegasnya.
Akhirnya pada penghujung 2007, Julia mengambil keputusan berhenti kerja walaupun ramai rakannya mengatakan tindakannya itu gila dan tidak masuk akal.

Lantas, dia bersama seorang rakannya, Khaw Chay Tee menubuhkan TLC dengan modal permulaan melebihi RM1 juta menggunakan wang simpanan mereka sendiri. 

“Tidak mengapa kerana membantu ribuan individu untuk menjalani hidup lebih baik lebih penting, bukan? Saya juga seorang ibu dan peranannya bukan sekadar untuk anak-anak sendiri,” katanya.

Berbicara mengenai produk keluaran syarikatnya, Julia gembira kerana ia semakin mendapat sambutan daripada pembeli.

“Konsepnya mudah iaitu pembeli boleh mendapat barangan yang diperlukan selain menyumbang kepada orang lain.

“Rakyat negara ini sebenarnya pemurah dan tidak mementingkan wang ringgit. Mereka dengan rela hati membantu orang lain yang tidak bernasib baik,” katanya.

Julia juga tampil dengan kempen terbaharu sejak tiga tahun lalu iaitu TLC Promise Me yang menggalakkan remaja untuk berbakti kepada badan-badan kebajikan.

“Sambutan yang diterima cukup baik kerana banyak universiti, kolej, syarikat dan badan korporat yang membantu menghulurkan dana.

“Bukan sekadar wang tetapi peralatan serta kemudahan untuk rumah kebajikan. Bukan konsep menyerahkan cek semata-mata tetapi membangunkan fasiliti rumah terbabit,” ujarnya.

Tutur Julia, untuk kempen tahun ini dia dan 12 orang kakitangannya menyasarkan membantu 12 rumah kebajikan dengan peralatan elektrik yang menjimatkan tenaga serta tidak mencemarkan alam sekitar.

“Ini dapat membantu mengurangkan perbelanjaan utiliti semasa selain wang lebihan itu dapat digunakan untuk urusan lain,” beritahu Julia.

No comments:

Post a Comment