Sunday 15 April 2012

Harta intelek Abd Latif

Oleh Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my
 
PELBAGAI...anugerah diterima FRIM.
PELBAGAI...anugerah diterima FRIM. 
 
APABILA bulan jatuh ke riba, pasti si penerima tidak akan sesekali menolak tuah yang datang namun berbeza bagi bekas graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Abd Latif Mohmod.
Kini menyandang tanggungjawab besar memartabatkan industri penyelidikan perhutanan sebagai Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), lelaki berusia 52 tahun ini pernah mengetepikan tawaran melanjutkan pelajaran dalam bidang pembedahan di Dublin, Ireland pada 1985 dengan tajaan sepenuhnya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
   
  • Foto ISTIMEWA...antara anugerah istimewa dan antarabangsa diterima Abd Latif.
  • Foto MESRA...tiada istilah birokrasi antara pekerja.
  • Foto IKTIRAF...antara pengiktirafan terbesar diterima Abd Latif.
  • Foto BAHAGIA...Abd Latif bersama keluarga meraikan perkahwinan anak sulungnya.
Sebaliknya, Abd Latif mengambil keputusan mengabdikan diri bersama FRIM sejak 1985 biarpun berbeza bidang yang diambil ketika di universiti.

Sebaik tamat pengajian dalam bidang mikrobiologi di UKM pada 1984, JPA memaklumkan bahawa beliau terpilih untuk melanjutkan pelajaran dan diberi tempoh masa setahun sebelum berangkat ke negara terbabit.


“Siapa yang tidak gembira apabila ditawarkan peluang sedemikian, namun tempoh setahun itu terlalu lama untuk dibazirkan.

“Saya dibesarkan arwah ibu, Satiah Abd Jalal selepas kematian bapa ketika berusia dua tahun. Jadi, sejak kecil saya dididik supaya sentiasa memanfaatkan masa.

“Percaya atau tidak, seawal usia enam tahun, saya mengambil upah membersihkan ladang dan estet serta mengutip getah sekerap. Ia dilakukan bukan atas desakan ibu, tetapi keinginan memiliki wang sendiri untuk membeli sesuatu yang dihajati.

“Lantas, saya meminta JPA memberi peluang pekerjaan terlebih dulu tiba masa keberangkatan ke Dublin. Kemudian, saya diminta menghadiri sesi temuduga bagi jawatan pegawai penyelidik di FRIM yang ketika itu dikenali sebagai Institut Penyelidikan Perhutanan (FRI) pada awal 1985.

“Berjaya dalam temuduga itu, saya dipanggil untuk berkhidmat secara kontrak dan saya akui seronok melakukan sesuatu yang baru.

“Sebulan bertugas di FRI, saya berkesempatan mengunjungi perpustakaan dan dikejutkan dengan penemuan yang menyatakan, seorang pegawai penyelidik harus menghasilkan sekurang-kurangnya dua kertas kerja setahun.

“Apabila saya membuat kajian dan pengiraan, menyedihkan apabila mengetahui kuota kertas kerja dihasilkan tidak sepadan dengan usia FRI.

“Lantas, saya yakin sesuatu harus dilakukan untuk memartabatkan institut penyelidikan ini,” katanya ketika berkongsi rahsia penolakan tawaran ke luar negara.

Menjadi satu-satunya penyelidik perhutanan yang menerima Anugerah Saintis Muda pada 1993, Abd Latif mengakui dia bermula dari bawah sebagai pegawai penyelidik sebelum dinaikkan pangkat menjadi Ketua Program Hasil Hutan Bukan Kayu FRIM mulai 1988 hingga Januari 1999.

Beliau kemudian dilantik sebagai Koordinator Kebangsaan Projek Perintis Buluh Negara pada 1998, inisiatif Jabatan Perdana Menteri.

Membanggakan apabila 50 ciptaan berkaitan pemprosesan rotan, buluh dan palma dikeluarkan serta didaftarkan selain 59 latihan industri dan kursus teknikal membabitkan 1,500 peserta.

Ketika menjalankan program terbabit, beliau banyak menghabiskan masa berkongsi ilmu dengan orang ramai mengenai teknik mengkomersialkan hasil hutan, terutama buluh dan rotan.

Malah, beliau pernah tinggal bersama penduduk di kawasan berbukit dan pergunungan di sekitar Pahang dan Perak semata-mata ingin mengajar mereka mengenai kraftangan yang diyakini dapat membantu golongan berkenaan menyara diri.

Diiktiraf sebagai European Manager of The Year Award (Science) oleh The Socrates International Committee, European Business Assembly, Oxford, teknologi ciptaan Abd Latif turut dipatenkan sebagai harta intelek, sekali gus menjadi rujukan agensi penyelidikan tempatan mahupun antarabangsa.

Antaranya adalah mesin rotan piuhan, mesin penggulungan rotan, mesin pembalut rotan, mesin ukiran buluh dan rotan serta pelbagai lagi.

Menariknya, ketika memegang jawatan penting dalam institut penyelidikan terbabit, bapa kepada dua cahaya mata ini tidak melepaskan peluang menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi secara sambilan hingga bergelar doktor falsafah di Universiti Putra Malaysia pada 1995.

Berkongsi rahsia kejayaan, Abd Latif berkata, sejak zaman persekolahan dan universiti, dia mengamalkan sistem ulangkaji pelajaran sekurang-kurangnya dua minggu sebelum memasuki kelas.

Sistem dirangka memudahkan beliau memahami dengan cepat ilmu disampaikan guru mahupun pensyarah. Sebagai persediaan menghadapi peperiksaan, Abd Latif mengulangkaji dan menghafal semua subjek sebanyak 25 kali.

“Pemergian ibu tersayang yang menjadi inspirasi perjalanan ilmu saya ketika tahun pertama di UKM sesungguhnya memberi kesan sangat hebat terhadap saya.

“Saya pernah tidak makan dua minggu akibat terlalu tertekan, malah pelajaran turut diabaikan. Syukur, Allah Maha Besar, Dia berikan saya kesedaran lantas kesungguhan untuk menuntut ilmu kembali,” katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh perkhidmatan bersama FRIM, lebih 300 jurnal ihasilkan dan setiap kajian dilaksanakan memberi manfaat kepada industri perhutanan negara mahupun luar.

Terbaru, 4 April lalu, FRIM menerima Anugerah Sains dan Teknologi Bank Pembangunan Islam (IDB) 2012 di Khartoum, Sudan, yang disampaikan presiden republik berkenaan, Omar Hassan Ahmed al-Bashir.

Enggan menyifatkan satu-satu anugerah sebagai istimewa, Abd Latif menganggap setiap pengiktirafan diterima, sama ada tempatan mahupun antarabangsa, memiliki erti besar dan tersendiri.

“Saya memasang angan-angan supaya FRIM akan menerima anugerah bertaraf Noble dengan kepelbagaian pengiktirafan yang diperoleh. Dengan itu, pada masa depan, kita boleh berbangga bahawa sistem perhutanan yang kita miliki gagal dicabar negara lain,” katanya mengakhiri perbualan.


FRIM ibarat rumah kedua

Siapa anda?

Saya cuma manusia biasa kepunyaan Allah SWT. Bagi saya, pangkat bukan ukuran kehidupan. Saya boleh dikatakan peramah dan mesra, terutama antara kakitangan, hubungan tidak dihadkan dengan istilah birokrasi mahupun protokol. Di situ juga, saya memperoleh idea baru dan bagus daripada segenap lapisan.


Pendorong anda?

Semestinya arwah ibu selain adik-beradik saya. Tujuan saya belajar sebelum ini pun kerana ingin melihat kebahagiaan ibu, tapi menyedihkan dia tidak berpeluang menyaksikan siapa saya hari ini.


Tokoh dikagumi?

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.


Hobi waktu lapang?

Mengaji dan menghafal al-Quran. Setiap hari, saya akan pastikan saya menghafal satu surah walaupun sibuk, sama ada di rumah, pejabat mahupun dalam kereta.


Waktu untuk keluarga?

Saya akan meluangkan masa bersama keluarga sejurus berakhir waktu bekerja dan tentunya pada hujung minggu.


FRIM untuk anda?

FRIM adalah rumah kedua saya dan setiap hari saya menghabiskan masa menghayati keindahan hutan. Justeru, saya berharap setiap pengunjung dapat menghormati alam sekitar kerana hutan adalah khazanah warisan negara.


Prinsip anda?

Kita boleh berhenti berharap kepada orang lain, tetapi jangan sesekali berhenti berharap kepada Allah SWT.



PROFIL

NAMA: Datuk Dr Abd Latif Mohmod
JAWATAN: Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia
LAHIR: 29 Ogos 1960
ASAL: Simpang Renggam, Johor
ISTERI: Halidah Kasmin
ANAK: Mohd Danial (26) dan Muhammad Ismail (8)
PENDIDIKAN: Ijazah Doktor Falsafah, Hasil Hutan Bukan Kayu, Universiti Putra Malaysia

petikan dari : www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment