Saturday 7 April 2012

Misi kuasai industri automotif dunia



JENAMA Volkswagen (VW) kini melanda pasaran automotif di seluruh dunia bagaikan wabak yang amat sukar diubati. Di mana sahaja pasaran yang dimasukinya, kenderaan jenama tersebut diterima baik. Ini sekali gus membuatkan pesaing lain terpaksa memikirkan strategi terbaik untuk mengekang penguasaannya. 

Penerimaan positif terhadap kereta VW didokong oleh beberapa faktor. Paling utama pastinya teknologi enjin dan transmisi di samping model-model malar segar keluarannya seperti Beetle dan Golf, varian yang memenuhi kehendak pelanggan serta rekabentuk futuristik jentera terkininya. 

Selepas sukses di Eropah, VW kini menumpukan perhatiannya ke pasaran Asia yang pesat membangun. China dan India menjadi lokasi seterusnya buat VW mengembangkan pengaruhnya. 

Malaysia nampaknya tidak terkecuali menerima tempias. Bukan sahaja jumlah kenderaan VW kian bertambah di atas jalan raya, malah program pemasangan tempatan (CKD) VW bersama pihak DRB-Hicom membuktikan VW tidak mahu sekadar menjadi jenama Eropah sampingan di pasaran tempatan. 

Sepuluh jentera 

Misi untuk menjadi peneraju industri automotif dunia adalah berpaksikan kepada Strategi 2018 yang disusun oleh VW. Dalam strategi yang diilhamkan pada tahun 2008 itu, VW dengan jelas menyatakan bahawa ia akan melabur sebanyak AS$82 bilion (RM250 bilion) untuk kilang-kilang pemasangannya, peralatan dan hartanah untuk tempoh lima tahun akan datang. 


FIRMA rekabentuk Italdesign Giugiaro mempamerkan kemahiran mereka menerusi model Brivido Concept.


Sekali dengar, matlamat itu seolah-olah tidak jauh berbeza dengan syarikat automotif gergasi yang lain misalnya Toyota atau GM. Namun, VW menegaskan bahawa misi tersebut mahu dicapai menerusi pengenalan model-model baharu, di samping terus membangunkan jentera hibrid dan elektrik. 

“Volkswagen AG akan menjadi pengeluar nombor satu melalui pengenalan model-model baharu, menarik dan berkualiti tinggi,” kata Pengerusi Majlis Kerja Kumpulan Volkswagen, Bernd Osterloh. 

Itu bukan cakap-cakap kosong. Buktinya, baru-baru ini VW memperkenalkan sepuluh jentera kepada dunia. Sepuluh jentera yang dimaksudkan ialah Audi A3, roadster paling laju di dunia, Bugatti Veyron 16.4 Grand Sport Vitesse, trak pikap Amarok Canyon, Porsche Boxster serba baharu, Skoda Citigo versi lima pintu, SUV Cross CoupĂ© dengan sistem TDI plug-in Hybrid, Lamborghini Aventador Jota, SEAT Toledo Concept, SUV mewah penuh kuasa Bentley EXP9 dan kereta sport empat pintu Brivido Concept yang dihasilkan oleh pihak Italdesign Giugiaro. 

Pengerusi Lembaga Pengurusan Volkswagen AG, Profesor Dr. Martin Winterkorn memberitahu, Geneva 2012 menandakan bermulanya penstrukturan semula asas ekologikal syarikat tersebut.

“Kami bermatlamat menjadikan Volkswagen sebagai peneraju dalam aspek ekologikal. Justeru, kami akan mengurangkan kadar pengeluaran emisi kenderaan sebanyak 30 peratus dalam tempoh 2006 hingga 2015. 

“Hasilnya, emisi kenderaan keluaran Volkswagen pada tahun 2015 akan mencapai tahap di bawah 120gram CO2 bagi setiap kilometer buat pertama kalinya. Malah, setiap generasi baharu kenderaan secara puratanya adalah sepuluh hingga 15 peratus lebih cekap berbanding model sebelumnya,” kata Winterkorn. 


JENTERA sport Lamborghini Aventador Jota yang sememangnya memukau sesiapa sahaja.


Platform MQB 

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengurusan Volkswagen AG, Ulrich Hackenberg menerangkan bagaimana platform Modular Transverse Toolkit (MQB) binaan VW akan mampu merevolusikan industri automotif dunia. 

Secara ringkasnya, MQB ialah kit pemasangan atau platform yang sangat fleksibel. Komponen matriks itu dicipta bagi membolehkan VW mereka bentuk model-model berpacuan roda, enjin dan gandar hadapan dengan menggunakan set komponen yang sama. 

Biarpun begitu, platform itu cukup fleksibel sehingga membolehkan model-model tertentu memiliki tapak roda, trek dan dimensi luaran yang berbeza. 

Maka, kenderaan dapat dihasilkan dengan lebih efisien dan kos efektif. Kenderaan yang dijangka dibina di atas MQB terdiri daripada model-model mini dan kereta keluarga yang besar, sekali gus menggantikan generasi model sedia ada. 

“Berdasarkan kepada MQB, teknologi bercekapan tinggi Volkswagen boleh dijadikan sebagai ciri standard pada semua model-model baharu pada masa akan datang. Pencapaian penting pada tahun ini ialah pengenalan model Audi A3 dan Golf Mark VII baharu,” jelas Hackenberg. 

Hackenberg juga mengumumkan bahawa 2013 adalah tahun ‘e-mobility’ buat VW. Inisiatif itu dimulakan dengan model e-up! sebelum diikuti oleh jentera elektrik sepenuhnya atau hibrid daripada jenama-jenama di bawah VW. 


SUV konsep Cross Coupe ini menggunakan sistem TDI plug-in hybrid.


Andai dikira, VW hanya mempunyai kurang enam tahun untuk merealisasikan segala perancangannya itu. Namun, jika dilihat kepada kemampuan kewangan, kepakaran, teknologi dan sumber manusia, tidak ada apa yang mustahil untuk dicapainya.

No comments:

Post a Comment