|
KOTA Damsyik di Syria sudah berusia lebih 11,000 tahun, angka yang
membolehkannya bergelar sebagai bandar paling tua di dunia. Damsyik
merupakan bandar terbaharu di Asia Barat yang menyaksikan kebangkitan
rakyat menentang status quo pemerintah.
Sebelum ini, gelombang rakyat telah berjaya menjatuhkan kepimpinan
Presiden Zin Al-Abidin di Tunisia, Presiden Hosni Mubarak di Mesir dan
Muammar Gaddafi di Libya.
Kini giliran Presiden Bashar Al-Assad merenung nasibnya sebagai pemerintah negara bersejarah itu.
Di Malaysia, umat Islam negara ini mengenali Damsyik sebagai pusat
perdagangan yang telah membawa Nabi Muhammad SAW berkelana ke sana pada
usia 12 tahun lagi.
Pada masa itu, Syria dikenali sebagai negeri Syams dalam kalangan
orang Arab. Jarak antara tempat tinggal Rasulullah di Mekah dan Damsyik
adalah kira-kira 2,500 kilometer.
Pakar sejarah, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam, berkata Syria yang
mempunyai penduduk seramai 20 juta orang sinonim dengan perkembangan
agama Islam.
"Basra, sebuah pekan lama di selatan Damsyik merupakan lokasi Rasulullah berdagang bersama bapa saudara baginda, Abu Talib.
"Pada waktu itu, baginda masih kecil iaitu hanya berusia 12 tahun,"
cerita Ramlah. Semasa di Basra seorang ahli kitab bernama Buhaira telah
mengenal pasti tanda kenabian Rasulullah seperti yang terdapat pada
tubuh baginda.
Empat mimbar
Berbicara mengenai Damsyik, Ramlah memberitahu, bandar itu
menempatkan makam keluarga dan sahabat Nabi Muhammad. Ia juga menjadi
lokasi tumpuan era Perang Salib di samping tempat kemunculan pemimpin
Islam yang terkenal.
"Makam pahlawan Islam, Salahuddin Al-Ayubi yang membebaskan
Baitulmuqaddis semasa Perang Salib terletak di Damsyik," katanya sambil
menambah, sejarah Nabi Yahya dan Nabi Sulaiman berlaku di Syria.
"Pasar tertutup sepanjang 400 meter itu merupakan pasar terbesar di
Syria. Barangan yang dijual sangat murah, daripada barangan cenderahati,
pakaian, barangan dapur hinggalah makanan. Ramai juga yang datang ke
Pasar Hamidiyya untuk mencuci mata," kata Daud sambil ketawa.
Terletak bersebelahan pasar tersebut ialah Masjid Umayyah iaitu masjid tertua dan terbesar di kota Damsyik.
"Masjid ini mempunyai kronologi sejarah yang panjang. Pada awal
dibina, ia merupakan sebuah kuil tetapi dijadikan gereja sewaktu
pemerintahan Empayar Rom. Sewaktu kerajaan Uthmaniah berkuasa, gereja
itu diubahsuai menjadi masjid.
"Apa yang uniknya, di dalam masjid itu terdapat empat mimbar yang
menggambarkan empat mazhab yang diamalkan di Damsyik iaitu Syafie,
Hambali, Maliki dan Hanafi," katanya.
Di tengah-tengah dewan masjid itu terdapat makam Nabi Yahya, manakala
di luar masjid berhampiran dataran ditempatkan makam Husin Bin Ali,
cucu kesayangan Nabi Muhammad. Husin adalah anak hasil perkongsian hidup
antara Ali dan Fatimah, anak perempuan Rasulullah.
Gua
Terletak bersebelahan dengan masjid itu pula ialah makam seorang
panglima tentera Islam yang tersohor pada era Perang Salib, Salahuddin
Al-Ayubi.
Salahuddin telah membebaskan Baitulmuqaddis dan Masjid Al-Aqsa daripada genggaman tentera Salib pada tahun 1187.
Tentera Islam kemudian membersihkan masjid yang telah ditukarkan
kepada kandang kuda oleh tentera Salib dan mengembalikan maruah agama
suci itu. Pada tarikh itu jugalah laungan azan kembali berkumandang dari
menara Masjid Al-Aqsa.
Berdekatan Masjid Umayyah tadi terdapat sebuah tapak perkuburan, Bab
As Saghir. Di situ bersemadinya beberapa insan yang rapat dengan
Rasulullah termasuk isteri baginda, Ummu Habibah dan Ummu Salamah selain
sahabat baginda, Bilal Bin Rabah.
Di situ juga terdapat makam Muawiyyah Abu Sufian, Ibnu Makhtum, Abu
Darda dan cucu Ali Abi Talib, iaitu Zainab dan Rugaiyah yang sering
menjadi tumpuan kaum Syiah. Tokoh terkenal lain ialah Khalifah Umayyah,
Abdul Malik Marwan dan anak beliau, Walid Abdul Malik.
Daud menambah, kisah Ashabul Kahfi seperti yang diceritakan dalam
surah al-Kahfi didakwa berlaku di sebuah gua di Damsyik. Ia mengisahkan
beberapa orang pemuda yang tertidur di dalam sebuah gua dan cuma bangun
309 tahun kemudian.
"Makam Habil iaitu anak Nabi Adam AS yang dibunuh oleh saudaranya
Qabil yang merupakan peristiwa pembunuhan pertama di dunia juga
dikatakan terletak di pergunungan Qalamun yang terletak 45 kilometer
dari Utara Kota Damsyik ," ujarnya.
Daud yang pernah melawat Syria pada tahun 2007 dan 2009 berkata,
beliau tidak dapat melupakan pengalaman melihat banyak kereta nasional
negara, Proton Iswara bergerak di jalan raya di Damsyik.
"Mereka mengatakan kereta buatan Malaysia tahan lama dan berkuasa tinggi," katanya.
Ceritanya lagi, ladang zaitun yang luas merupakan pemandangan biasa di Damsyik.
"Cuma yang peliknya, walaupun negara ini dikelilingi oleh laut,
penduduknya jarang makan ikan. Mereka lebih suka makanan berasaskan
ayam, kambing dan lembu," ujarnya.
Petikan dari rencana utama : www.kosmo.com.my/rencama utama 16/04/2012
No comments:
Post a Comment