|
TANGANNYA jarang sekali kelihatan bersih kerana sering diselaputi
tanah liat. Memilih kerjaya yang kedengaran kurang glamor, perasaan
bangga tidak pernah surut dalam diri V. N. Ramadas Vengadasalam, 63,
yang mengabdikan lebih 40 tahun hidupnya dalam bidang pembuatan
tembikar.
Pemilik V. N. Ramadas Trading itu tidak pernah menyesali pilihannya
mewarisi perniagaan tinggalan bapa, biar pun pada mulanya mempunyai
impian untuk menjawat jawatan yang lebih hebat di mata masyarakat.
"Selepas tamat sekolah pada tahun 1965, saya tidak mendapat
pekerjaan. Justeru, saya menolong bapa membuat tembikar untuk menambah
pendapatan keluarga dan mempunyai wang saku sendiri.
"Akhirnya, saya berasa seronok dan serasi bekerja di sini lebih-lebih
lagi apabila mula mahir dan dapat menghasilkan pelbagai produk tembikar
baharu," katanya yang memiliki dua orang anak perempuan dan seorang
anak lelaki.
Ramadas memberitahu, dia mengambil alih perusahaan itu daripada
bapanya sejak kira-kira 20 tahun lalu bagi meneruskan usaha bapanya yang
amat meminati seni pembuatan tembikar.
"Kini, saya dibantu adik perempuan, adik ipar dan anak lelaki tunggal
untuk meneruskan perniagaan ini tanpa melibatkan tenaga kerja luar,"
katanya.
Menyorot pembabitannya dalam bidang tersebut, Ramadas memberitahu,
dia didedahkan dengan kaedah membuat tembikar sejak berusia 12 tahun
daripada bapanya yang bermigrasi dari India.
"Bapa saya, Vengadasalam datang ke negara ini pada tahun 1946 selepas
Perang Dunia Kedua dan mengusahakan bengkel tembikar kecil di Batu 2,
Kuala Selangor, Selangor untuk jualan dari rumah ke rumah.
|
|
"Dahulu, produk tembikar yang dihasilkan hanyalah periuk tanah, bekas
simpanan air, bekas makanan dan beberapa produk berbentuk keagamaan
seperti pelita tanah yang dipanggil man vilakku dalam bahasa Tamil,"
katanya.
Ramadas memberitahu, dahulu roda gasing digunakan untuk membentuk
tembikar yang akan diputarkan menggunakan sebatang kayu berulang kali
sehingga produk yang dihasilkan siap.
"Roda gasing itu digunakan sehingga akhir tahun 90-an apabila mesin penguli khas mula digunakan sejak tahun 2000.
"Roda itu tidak dibuang sebaliknya digunakan bagi tujuan pendidikan
kepada pelawat yang datang ke sini untuk mempelajari sejarah dan teknik
pembuatan tembikar terutamanya dalam kalangan pelajar," katanya.
Menurut Ramadas, seni pembuatan tembikar telah berkembang seiring
zaman dengan terhasilnya pelbagai produk porselin, hiasan rumah dan arca
yang dapat menembusi pasaran lebih luas.
"Bahan utama bagi menghasilkan produk tembikar adalah tanah liat dan
pasir yang diadun sebelum dibentuk dan dikeringkan. Ia kemudiannya
dibakar di dalam oven khas selama beberapa jam.
"Melalui proses yang serupa, pelbagai produk baharu yang lebih
komersial juga dapat dihasilkan dan dipasarkan. Malah, ia turut mendapat
perhatian ramai pelancong luar terutama dari Paris yang suka membeli
produk tembikar sebagai cenderamata dan perhiasan rumah," katanya.
Ramadas memberitahu, dia sudah menjelajah banyak negara bagi
mempelajari seni pembuatan tembikar seperti pembuatan pasu bunga, periuk
tanah, periuk sup dan pelita tanah.
"Masih ramai pengguna lebih suka menggunakan periuk tanah untuk
memasak kari, kurma dan rendang kerana periuk ini kelihatan lebih cantik
dan tahan lama," katanya sambil memberitahu, penggunaan periuk tanah
untuk memasak sesuai menggunakan kaedah kayu arang atau kayu api.
|
|
Katanya, pelita tanah pula amat popular dalam kalangan kaum India
kerana ia adalah sebahagian budaya dan agama yang diamalkan sejak zaman
nenek moyang lagi.
"Ramai keluarga India akan datang ke bengkel ini sebelum perayaan
Deepavali untuk membeli pelita tanah yang akan diletakkan di atas altar
dan di rumah.
Ada juga yang menggunakan pelita tanah sebagai tapak
lilin," katanya.
Sementara itu, adik perempuan Ramadas, Salamah Vengadasalam, 48,
memberitahu, dia mengambil masa sebulan mempelajari teknik pembuatan
tembikar dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mahir bagi meneruskan
perniagaan keluarganya itu.
"Produk yang saya selalu hasilkan adalah pasu, tabung, bekas
kemenyan, periuk tanah, patung sembahyang dan barangan perhiasan rumah,"
katanya.
Tambahnya, produk yang paling mudah dihasilkan ialah pelita tanah
yang mengambil masa hanya beberapa saat sahaja untuk dihasilkan bagi
mereka yang mahir.
"Di bengkel ini, pengguna boleh membeli pelita tanah pada harga 10
sen sahaja bagi setiap satu," katanya sambil memberitahu harga produk
bergantung kepada saiz, jenis dan kesukaran pembuatannya.
Suaminya yang turut bekerja di situ, Raguchate Rengasamy, 56, pula
memberitahu, pada mulanya dia hanya tertarik untuk membantu isteri
sebelum terus terjun ke bidang pembuatan tembikar secara serius.
"Dahulu bengkel ini ada mengambil pekerja luar, tetapi mereka tidak
bertahan lama mungkin kerana tidak mempunyai minat yang mendalam.
"Saya juga bermula daripada kosong dan kini mampu membuat pelbagai
produk tembikar yang sukar," katanya sambil tangannya tidak berhenti
membuat pelita tanah yang disusun di atas sekeping kayu.
Tambahnya, kini dia mampu menghasilkan sebanyak 2,500 pelita tanah
sehari kerana ia mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan
pelanggan terutama berketurunan India.
Anak tunggal Ramadas, Velavar Ramadas, 34, pula memberitahu, pertama
kali dia cuba menghasilkan sebuah pasu kecil adalah ketika berumur 10
tahun.
"Saya bekerja secara sepenuh masa di sini sejak berusia 18 tahun dan
cuba menghasilkan pelbagai produk baharu untuk mengembangkan lagi
perniagaan ini dan memasarkan produk secara lebih meluas.
"Saya menyukai semua proses pembuatan tembikar bermula daripada
mengacau tanah, membuat produk, membakar dan mengecatnya. Sebab itulah
saya kekal di sini," katanya.
Tambahnya, mereka masih menggunakan kaedah membakar secara
tradisional walaupun kerajaan telah memberikan mereka sebuah oven khas
untuk membakar hasil tembikar-tembikar berkenaan.
"Tempat pembakaran lama lebih luas berbanding oven. Justeru lebih
banyak tembikar dapat dibakar dan mempercepatkan proses menyiapkan
produk dan tempahan," katanya.
Petikan : www.kosmo.com.my/rencana utama
No comments:
Post a Comment