|
MEMILIKI empat cahaya mata yang sudah dewasa, wang simpanan yang
mencukupi dan rumah sendiri, Lee Hua menyangka dia boleh menghabiskan
sisa-sisa hidupnya dalam suasana yang selesa.
Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Wanita berusia 77 tahun
itu kini terpaksa menyara hidup dengan mengutip barangan terbuang yang
boleh dikitar semula untuk dijual.
Dengan nada suara yang perlahan dan tidak bermaya, Hua menceritakan
bagaimana dia telah dipaksa keluar dari rumahnya dan kini tinggal di
sebuah rumah usang yang disewa di Jinshan di luar ibu kota Taiwan.
Malah, duit simpanan di dalam bank juga sudah tiada. Lebih memburukkan
keadaan, dia turut terputus hubungan dengan tiga anak perempuan dan
seorang anak lelakinya.
"Sudah terlalu banyak saya menangis sehingga penglihatan saya menjadi
kabur. Sekarang, saya cuba untuk tidak memikirkan apa yang telah
berlaku," katanya yang duduk di tengah-tengah timbunan kotak,
botol-botol plastik dan tin-tin minuman yang dikutip di jalanan.
Hua yang memperoleh pendapatan bulanan sebanyak Tw$500 (RM51.60)
hasil menjual sampah yang dikutip kepada perniagaan kitar semula,
mewakili kumpulan baharu warga tua di Taiwan yang dipinggirkan anak
sendiri lantaran generasi muda sudah hilang ketaatan kepada ibu bapa.
Hidup Hua mula tidak keruan selepas kematian suami sejak 13 tahun
lalu apabila anak perempuan sulung dan menantunya ingin meminjam wang
ketika itu untuk memulakan perniagaan mereka.
"Bagaimanapun, wang yang telah dipinjam itu langsung tidak
dikembalikan dan mereka juga terus menghilangkan diri," imbau Hua
tentang kisah silamnya sambil menahan air mata daripada gugur membasahi
pipinya.
"Saya tidak sangka anak dan menantu sanggup menipu ibu sendiri
sehingga semua wang yang saya miliki hilang begitu sahaja. Inilah takdir
saya."
Sementara itu, anak keduanya yang juga seorang perempuan turut
terputus hubungan dengan Hua apabila dimasukkan ke penjara selepas
terjebak dengan penyalahgunaan dadah.
Seorang lagi anak perempuan Hua masih berhubung dengannya, tetapi dia
tidak dapat membantu dalam aspek kewangan kerana pendapatan yang
diperoleh juga tidak mencukupi.
Nilai kekeluargaan berubah
Berdasarkan statistik, hampir 2,800 warga tua di Taiwan telah memohon
bantuan terhadap kes penderaan, diabaikan dan dibuang keluarga pada
tahun 2010. Menurut data terbaharu kerajaan, jumlah itu meningkat
berbanding hanya 2,100 pada tahun 2009.
"Bilangan sebenar mungkin lebih tinggi memandangkan ada juga warga
tua yang malu untuk mengakui bahawa mereka mempunyai anak-anak yang
tidak bertanggungjawab," jelas Ketua Yayasan Elders di Taiwan, Lee
Hsiung.
Terang Hsiung, pekerja sosial jauh daripada kes terpencil dan
perubahan nilai kekeluargaan menyebabkan kurangnya rasa tanggungjawab
golongan dewasa terhadap ibu bapa mereka yang sudah tua.
Budaya tradisional Cina amat mementingkan ketaatan kepada ibu bapa.
Malah, lelaki dewasa yang sudah berkahwin juga biasanya akan tinggal
serumah dengan ibu bapa mereka supaya kebajikan orang tua terjamin.
"Membesarkan anak-anak bermakna keselamatan pada usia tua," ujar
Hsiung memetik satu pepatah lama. Memiliki keluarga yang besar pula
adalah satu perkara normal.
Namun demikian, hari ini struktur keluarga telah berubah.
Pasangan yang berkahwin lebih suka memiliki sedikit anak dan ini
menyebabkan kadar kelahiran di Taiwan menjadi antara yang paling rendah
di dunia.
Ahli sosiologi pula mengatakan golongan dewasa tidak kira lelaki atau
wanita sanggup memilih untuk hidup sendirian daripada berkahwin dan
memiliki keluarga sekali gus meningkatkan rasa individulisme.
Daripada 23 juta populasi penduduk Taiwan, sebanyak 10.7 peratus
mencecah usia 65 tahun ke atas, jauh melebihi paras tujuh peratus untuk
kebanyakan negara yang ditakrifkan sebagai penuaan oleh Pertubuhan
Kesihatan Sedunia (WHO).
Menurut Biro Penyelidikan Penduduk, Washington Amerika Syarikat (AS),
bilangan penduduk Taiwan yang berpopulasi 23 juta orang kini mengalami
kadar kelahiran paling rendah di dunia.
Taiwan melaporkan, hanya 1.05 bayi dilahirkan oleh setiap wanita di
Taiwan. Kadar itu berkurangan daripada 7.04 pada tahun 1951 dan 2.10
pada tahun 1984.
"Ia bukan hanya paras terendah pernah dicatatkan di Taiwan, tetapi
juga paras terendah dalam sejarah. Tiada negara yang pernah memiliki
paras serendah itu," kata Carl Haub, seorang ahli demografi daripada
biro tersebut.
Kakitangan di Yayasan Elders, Wu Chiang-sheng memberitahu, dia telah
mengendalikan banyak kes yang lebih serius berbanding apa yang dialami
Hua.
Antaranya kes seorang wanita berusia 90 tahun dengan tujuh orang anak
yang kesemuanya enggan menjaga ibu mereka kerana sibuk dengan tuntutan
kerja.
Undang-undang baharu
Lantaran itu, kerajaan sedang mempertimbangkan satu rang
undang-undang untuk memenjarakan anak-anak yang gagal menjaga ibu bapa
yang sudah tua. Keputusan itu juga dibuat berikutan kes membuang atau
meminggirkan ibu bapa semakin meningkat.
"Tidak ketinggalan, terdapat juga kes-kes melibatkan anak-anak yang
telah dewasa, tetapi tidak bekerja dan masih bergantung harap kepada
kedua-dua orang tua untuk menyara hidup mereka.
"Walaupun usia telah mencecah 30 hingga 40 tahun, mereka tetap
memilih untuk kekal menganggur dan tinggal bersama ibu bapa. Inilah yang
disebut sebagai bentuk penderaan ekonomi kepada golongan tua," terang
Chiang-sheng lebih lanjut.
Kadar pengangguran di Taiwan berada pada tahap 4.18 peratus pada Januari lalu.
Pertumbuhan ekonomi di pulau itu juga susut dengan ketara kepada 1.89
peratus pada suku keempat tahun 2011, kadar paling perlahan dalam
tempoh lebih dua tahun.
Sementara itu, Persekutuan Kebajikan Warga Tua Taiwan mula
mempromosikan konsep keselamatan ekonomi warga tua seperti menggalakkan
mereka menyimpan wang dalam unit amanah.
Presiden Taiwan, Ma Ying-jeou menganggap penjagaan warga tua
merupakan cabaran besar bagi kerajaan yang merancang untuk menggubal
undang-undang baharu penjagaan warga tua jangka panjang sekitar tahun
2017.
Tahun ini, kerajaan bersedia untuk memulakan percubaan sistem gadai
janji saraan hari tua untuk individu yang tidak mempunyai anak.
Melalui sistem ini, mereka boleh menggadai rumah atau hartanah yang
ada kepada pihak bank untuk mendapatkan elaun bulanan, tetapi pada masa
yang sama mereka masih menetap di rumah tersebut.
Pengumpul sampah warga emas, Hua bagaimanapun masih bersikap
skeptikal terhadap sejauh mana bantuan yang akan disalurkan kerajaan.
"Kerajaan tidak boleh melakukan banyak dalam hal ini terutamanya
sejak pertumbuhan ekonomi semakin teruk. Saya cuma berharap agar satu
hari nanti, anak lelaki saya akan mendapat pekerjaan yang baik supaya
dia boleh menjaga saya sehingga kematian menjemput," sayu suara Hua
melahirkan harapan yang pada hakikatnya belum pasti sama ada tertunai
atau tidak.
Petikan : rencana utama
www.kosmo.com.my
16/03/2012
No comments:
Post a Comment