|
MEMBESAR dalam kehidupan yang serba kekurangan bersama 11
adik-beradik membuatkan Alice Yong, 61, menanam tekad untuk berubah. Dia
mula berniaga secara kecil-kecilan sebagai usaha utama untuk membawa
perubahan dalam kehidupan.
Menceritakan semula hidup keluarganya, anak kelahiran Sungai Siput,
Perak itu memberitahu, kedua-dua ibu bapanya hanya bekerja menanam
sayur di kawasan perumahan mereka.
Kehidupan keluarga mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang
makan petang kerana mereka bergantung kepada upah jualan tanaman
sahaja.
Hasil yang tidak seberapa tersebut akan digunakan untuk menampung
keperluan seharian anak-beranak itu. Hakikatnya, pendapatan itu nyata
tidak mencukupi untuk menyara keluarga sebesar itu.
Nekad mahu mengubah nasib keluarganya, pada tahun 1967 Alice telah
berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bekerja di sebuah kilang. Sehinggalah
pada suatu hari, Alice membuat keputusan berani untuk memulakan
perniagaan sendiri.
Sekitar tahun 1976, Alice membuat pinjaman bank untuk memulakan
bisnes beg tangan dan kasut di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala
Lumpur.
Dia memberitahu, pada mulanya bisnes itu beroperasi di kaki lima
sahaja memandangkan dia tidak mempunyai modal besar untuk mendapatkan
sebuah premis niaga.
Begitupun, dengan bersusah payah menjalankan perniagaan harian seawal
pukul 10 pagi hingga 7 malam kecuali pada hari Ahad, Alice tidak
pernah berputus asa menanti kedatangan para pelanggannya.
Wanita yang tidak lekang dengan senyuman itu mengakui dia meletakkan
sasaran untuk menjual sekurang-kurangnya tiga beg tangan pada setiap
hari. Ketika itu, harga barangan yang dijualnya adalah bermula dari RM5
hingga RM60. Pada masa yang sama, Alice turut menjual kasut wanita.
|
|
Dengan harga berpatutan, perniagaan Alice semakin mendapat tempat dalam kalangan pelanggan yang bekerja di kawasan itu.
“Dalam sehari, saya boleh memperoleh RM300 sehingga RM500. Syukur
dengan pulangan itu kerana modal tersebut dilaburkan semula untuk
membesarkan perniagaan,” ujarnya.
Buka butik
Selepas mengumpulkan pulangan yang diperoleh selepas lima tahun,
sekitar tahun 1981 Alice berjaya membuka sebuah butik kasut yang
dinamakan Princess di Jalan TAR.
Nama Princess dipilih kerana Alice mahu pelanggan wanitanya
meletakkan diri mereka sebagai puteri yang anggun apabila menyarungkan
jenama kasut tersebut.
Namun, Alice tidak mahu tertumpu kepada satu produk sahaja. Ibu
kepada tiga orang anak lelaki itu memberitahu, dia mengambil inisiatif
untuk mempelbagaikan produk dengan menjual kasut, cermin mata dan
aksesori lain.
Atas kegigihannya menempuh cabaran berniaga selama ini, Alice hari
ini mampu tersenyum dengan hasil usahanya. Butik Princess sudah
beroperasi di sembilan buah cawangan di sekitar Lembah Klang termasuk
Shah Alam.
Begitupun, seiring dengan peningkatan usianya, Alice kini menyerahkan
empayar bisnesnya itu kepada anak bongsunya, Alan Lok Yet Luan, 24.
Alice percaya, biarpun Alan masih muda, anaknya itu mampu menerajui perniagaan itu dengan baik.
Ambil alih
Sebaik menamatkan pengajian di Universiti Canterbury Christchurch,
Kent, England, dalam jurusan Pemasaran dan Pengurusan Jualan Runcit pada
tahun 2009, Alan pulang ke tanah air.
|
|
Pada tahun yang sama, Alan terus membantu ibunya memandangkan beliau
banyak menimba pengalaman di luar negara mengenai rekaan fesyen kasut
yang terkini.
Tambahan pula, Alan tidak kekok membantu ibunya berniaga memandangkan
ketika berumur lima tahun lagi dia sudah mula mempelajari selok-belok
kerja di butik ibunya.
Biarpun ketika itu tugasnya hanya membungkus
kasut dan beg tangan yang dibeli pelanggan, banyak ilmu pengurusan yang
diserap secara tidak langsung.
Alan yang memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Princess
Shoe & Handbag Centre Sdn. Bhd. berazam mahu mengubah pandangan
pelanggan yang berpendapat jenama tersebut hanya sesuai untuk wanita
berusia.
Sambil menafikannya, Alan menegaskan bahawa seleksi kasut di Princess
amat sesuai untuk wanita yang berumur antara 20 hingga 40 tahun ke
atas.
“Kami menampilkan koleksi terbaharu seperti kasut tumit tinggi, kasut
ballet rata dan sandal bergaya. Kami juga menawarkan rekaan yang lebih
berani seperti kasut bertali dengan rona metalik dan but bertumit
setinggi lima inci.
“Selain itu, Princess masih mengekalkan signatur yang sama iaitu
menjual kasut wanita yang bersaiz antara sembilan hingga 13. Rata-rata
produk kami sesuai untuk digayakan ke pejabat, majlis formal dan
bersantai,” ujarnya ketika ditemui di butik Princess di kompleks
beli-belah Ampang Park.
Dalam pada itu, tambah beliau, harga kasut yang dijual adalah dari
serendah RM49.99 sehingga RM259.99, manakala harga beg dan aksesori
seperti cermin mata pula dijual pada RM29.99 hingga RM300.
Alan mengakui, untuk menarik perhatian golongan wanita muda, dia
sanggup meluangkan masa bersama rakan-rakan wanita ketika mereka
membeli-belah kasut dan beg.
Melalui cara itu, dia dapat mengetahui cita rasa wanita dalam soal pemilihan kasut dan beg.
Bahkan, beliau juga mengikuti peredaran fesyen kasut menerusi
laman-laman web dan majalah wanita. Maklumat yang diperoleh melalui
sumber-sumber tersebut banyak membantu beliau untuk mempelbagaikan lagi
produk Princess.
Demi memajukan lagi perniagaan ibunya itu, Alan sanggup turun padang menemui pelanggan-pelanggannya.
Setiap kali mengadakan promosi, dia sendiri akan bersemuka dengan pelanggan seolah-olah menjadi pekerja di kedai itu.
“Sekurang-kurangnya dengan langkah itu, saya dapat mengetahui
pendapat-pendapat pelanggan dengan jelas. Segala kritikan dan pujian
akan dijadikan panduan untuk meningkatkan lagi mutu perniagaan,”
ujarnya.
Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi talian 03-7785
4185 atau layari laman web www. princess .com.my, akaun Facebook di
www.facebook.com/PrincessShoes atau blog www.
princess-shoes.blogspot.com.
Petikan : www.kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment