|
|
FALSAFAH reka bentuk rumah tradisi Melayu Melaka sememangnya sangat
unik. Ia adalah garapan apresiasi pemiliknya terhadap budaya
Melayu, keindahan alam dan kehidupan bermasyarakat yang diterjemahkan
melalui ilham seni bina.
Justeru, identiti rumah Melayu Melaka begitu mudah dikenali.
Bumbungnya panjang memayungi bahagian serambi rumah dan binaan tangga
batunya pula seakan-akan wajib diberi kemasan jubin bermotif flora.
Bagi Yaakob Buang, 54, jendela yang dipasang rendah dan ukiran kayu turut dijadikan tanda pengenalan.
Lebih dikenali sebagai Busu Dolah, penjawat awam ini merupakan
pemilik satu-satunya rumah tradisional Melayu Melaka yang ada di negara
ini.
Kukuh
Kemewahan rumah yang diwarisi daripada datuknya, Hitam Buntal ini
bukan dilihat pada perabot atau hiasan dalaman sebaliknya dinilai
berdasarkan kehalusan ukiran dan seni binanya.
Tersergam indah di Jalan Bukit Godek, Kampung Semabok Dalam, Melaka, rumah warisan tersebut sudah berusia 103 tahun.
“Menurut arwah bapa, rumah ini mula dibina pada tahun 1909 oleh tukang rumah tempatan.
“Pembinaannya tidak menggunakan paku sebaliknya memakai pasak dan tanggam sahaja,” kata Busu Dolah.
Mewah dengan ukiran kerawang jenis tebuk tembus dan tebuk timbul di
keseluruhan serambi dan rumah ibu, ternyata ia melahirkan rasa kagum
yang bukan sedikit.
Biarpun sudah didiami selama empat generasi, keunggulan seni binanya
yang masih kukuh sekali gus membuktikan seni bina budaya Melayu suatu
masa dahulu benar-benar berkualiti.
Menurut Busu Dolah, rumahnya itu sering menjadi tumpuan pelancong, arkitek, jurutera dan penuntut universiti tempatan.
Malah, ia juga menjadi pilihan pelbagai syarikat produksi serta
stesen penyiaran dari dalam mahupun luar negara untuk dijadikan lokasi
penggambaran.
“Selain seni bina rumah, ukiran kerawang turut menggamit pengunjung bertandang ke mari.
“Daripada kajian yang dijalankan, semuanya berpendapat ukiran yang ada di rumah ini tiada penduanya di tempat lain.
“Rumah ini juga dianggap sebagai satu-satunya rumah warisan Melayu Melaka yang masih ada,” katanya.
Upah 10 sen sehari
Bercerita lanjut tentang ukiran yang menjadi penyeri kediamannya,
Busu Dolah memberitahu, sekeping ukiran kayu mengambil masa selama tiga
hari untuk disiapkan.
“Arwah datuk mengupah orang kampung untuk mengukir kerawang dengan motif flora dan geometri dengan upah 10 sen sehari.
“Diukir menggunakan pahat dan penukul, hasil kerja tangan ini memang halus buatannya,” ujarnya.
|
|
Selain untuk tujuan hiasan, kepelbagaian ukiran berlubang di atas
jendela, muka pintu dan dinding turut menggalakkan kemaskan udara dan
cahaya ke dalam rumah.
Memetik kata-kata Penolong Pengurus Projek, Badan Warisan Malaysia,
Intan Syaheeda Abu Bakar, ukiran penuh kerawang bukan sahaja dipandang
sebagai aksesori tetapi turut menunjukkan status pemilik rumah.
“Boleh jadi juga,” pintas Busu Dolah. Suatu masa dahulu, arwah datuknya merupakan peniaga yang cukup disegani.
“Selain mempunyai tanah bendang yang luas, beliau turut dikenali sebagai pengeksport telur ikan terubuk Melaka ke Thailand.
“Beliau juga menghasilkan baja sawah daripada tulang lembu yang
dibakar dan ditumbuk sebelum dijual kepada penduduk kampung,” ujar Busu
Dolah lagi.
Meneliti reka bentuk rumah yang berusia lebih seabad ini, identiti
rustik, canggih dan bistari yang diserap melalui teknik pembinaannya
nyata masih relevan untuk dipraktikkan dalam seni bina masa kini.
Selain berfungsi sebagai tempat berlindung, binaannya tidak lari
daripada perincian khusus bagi memastikan keselesaan penghuni tanpa
melupakan pengaruh adat dan alam.
“Serambi adalah bahagian hadapan rumah di mana tuan rumah menyambut kedatangan tetamu.
“Jika ada yang bermalam di sini, kaum lelaki akan tidur
beramai-ramai di serambi sementara anak dara akan berehat dan tidur di
loteng atas rumah,” ujar isteri Busu Dolah, Zainab Mat Yasin, 51.
Rumah ini pada asalnya memanjang ke belakang dan tidak mempunyai rumah bawah.
Namun, selepas lebih 70 tahun digunakan, bahagian dapurnya dibuka dan diganti dengan rumah bawah yang dibina menggunakan batu.
“Kos untuk membaiki rumah kayu sangat tinggi, lagipun rumah asal mempunyai sebuah bilik sahaja,” tambah Busu Dolah.
Petikan : www.kosmo.com.my/rencana utama
No comments:
Post a Comment