Friday 30 March 2012

Ayen pernah panjat tingkap bas mini




MENYANDANG jawatan sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana), Datuk Shahril Mokhtar pernah diiktiraf sebagai salah seorang daripada 10 individu paling berpengaruh di Malaysia.

Pengiktirafan itu dibuat oleh laman web www.top10malaysia.com - sebuah laman web pertama seumpamanya yang memaparkan tentang kisah kejayaan dan pencapaian individu terhebat di Malaysia.
Menerusi artikel yang disiarkan pada bulan Februari tahu lalu itu, kehebatan beliau dapat dilihat apabila dipilih menerajui syarikat yang bertanggungjawab untuk memacu transformasi dalam perkhidmatan pengangkutan awam ke arah yang lebih cemerlang.

Seperti yang diketahui umum, Prasarana telah diberi sepenuh kepercayaan oleh pihak kerajaan untuk menjayakan projek My Rapid Transit (MRT) yang bernilai RM50 bilion sekali gus merupakan projek pengangkutan dan pembinaan terbesar dalam sejarah negara.

Menerajui syarikat penyedia perkhidmatan pengangkutan awam terbesar di Malaysia, tanggungjawab yang tergalas di bahu beliau ternyata bukan kecil. Namun, dengan iltizam dan tekad yang membara, Shahril optimis melaksanakan amanah yang diberikan.

“Ini merupakan satu tanggungjawab yang amat berat. Apatah lagi dalam industri ini, untuk memuaskan hati semua orang, ia boleh dianggap sesuatu yang amat mustahil. Tetapi, untuk mencari kesilapan kita, ia memang mudah. 

“Bagaimanapun, sebagai peneraju dalam syarikat ini, saya akan berusaha sehabis daya untuk memastikan perkhidmatan pengangkutan awam yang dikendalikan Prasarana mencapai standard yang boleh dibanggakan terutama buat seluruh penggunanya yang kini mencecah 715,000 orang setiap hari,” ujar Shahril dalam satu temu bual eksklusif bersama Kosmo! di pejabatnya yang terletak di tingkat 22, Menara UOA Bangsar, Kuala Lumpur Isnin lalu.

Memori bas mini


SHAHRIL optimis mahu mengangkat perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia berkelas dunia.


Apabila berbicara tentang kemudahan sistem pengangkutan awam, Shahril mengakui amat faham tentang ketidakselesaan yang perlu ditanggung oleh para pengguna seperti bas yang penuh sesak, berleluasa dengan kes penyeluk saku dan sikap biadab penumpang lelaki yang sering mengambil kesempatan ke atas penumpang wanita.

Ini kerana, anak kelahiran Petaling Jaya yang membesar di Lembah Klang itu juga pernah melalui pengalaman serupa sewaktu kecil hingga meningkat remaja apabila perlu menggunakan pengangkutan bas awam untuk ke sekolah.

Menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah St. John, Bukit Nanas, Shahril masih ingat kenderaan bas Sri Jaya yang menjadi pilihannya untuk ke sekolah. Walaupun sesak dengan penumpang hingga menjulur ke luar pintu, namun beliau tetap tegar menghadapi situasi tersebut saban hari.

“Bayangkan saya pernah menaiki bas dengan memanjat tingkap belakang memandangkan terlalu ramai penumpang berebut untuk naik dari pintu hadapan.

“Tabiat itu lazimnya dilakukan oleh penumpang lelaki yang masih muda. Justeru, apabila seorang sudah buat, mulalah jadi ikutan pada yang lain,” imbau Shahril yang secara peribadi mengagumi keberanian dan kecekapan pemandu bas terutama bas mini yang popular sekitar tahun 1980-an dalam meredah kesibukan jalan raya.

Tambahnya lagi, seluruh warga kota cukup faham dengan keadaan tidak selesa ketika itu.




“Namun, bas yang sesak dan tidak selesa atau pemandu berlumba di jalan raya adalah kisah zaman dahulu. Hakikatnya, hari ini kita sudah maju berpuluh kali ganda. Tetapi, jika anda tanya saya, masih terlalu banyak ruang yang boleh dibaiki.

“Apa yang pasti, sasaran saya adalah untuk menjadikan sistem pengangkutan awam negara ini berkelas dunia. Itulah juga yang menjadi matlamat operasi Prasarana sekarang,” kongsinya.

Budak lasak

Menyingkap zaman kanak-kanak yang dilalui, bapa kepada empat cahaya mata itu mengakui beliau seorang yang sangat aktif dan tidak boleh duduk diam. Setiap hari pasti ada sahaja aktiviti yang akan dilakukan sama ada secara bersendirian atau berkumpulan.

Memanjat pokok, menangkap ikan di lombong, bermain batu seremban dan teng teng, itu antara rutin harian yang dilalui beliau. Malah, Shahril pernah mengalami kecederaan patah tangan sebanyak dua kali akibat terjatuh ketika memanjat pokok kedondong dan sewaktu berlari.

“Jika diingat semula, memang kelakar apabila saya terjatuh ketika memanjat pokok kedondong. Maklumlah pokok itu bukanlah tinggi sangat pun. Cuma, untuk kanak-kanak berusia lapan tahun yang terlalu lasak, itulah ‘hadiahnya’,” tutur Shahril sambil ketawa.

Selepas menduduki Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada tahun 1987, Shahril mendapat tawaran meneruskan pembelajaran tingkatan empat dalam jurusan sains tulen di Sekolah Menengah Taman Keramat.

Pada mulanya Shahril menerima tawaran tersebut tetapi selepas hanya sehari masuk ke sekolah itu, hatinya meronta-ronta untuk kembali ke sekolah lama.

SUMBANGAN Shahril dalam bidang pengangkutan awam negara turut diiktiraf oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.


“Dek mengikut kata hati, keesokan harinya saya pergi ke sekolah lama seperti biasa dan masuk ke kelas sastera. Reaksi gembira yang ditunjukkan rakan-rakan dengan kepulangan saya membuatkan saya enggan menoleh ke belakang lagi.

“Sebaliknya cikgu-cikgu pula yang bimbang kerana apa yang saya lakukan adalah salah kerana tidak mengikut prosedur perpindahan sekolah seperti yang telah ditetapkan. Tetapi nasib saya baik kerana pengetua telah mengambil tindakan segera dengan menguruskan perpindahan saya ke sekolah lama,” kata Shahril yang berpendirian bahawa belajar tetap sama walaupun di mana-mana sekolah, cuma yang penting keazaman untuk berjaya.

Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan keputusan cemerlang, Shahril mendapat tawaran daripada Jabatan Pelajaran Awam (JPA) untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Politik di Universiti Missouri, St. Louis, Amerika Syarikat (AS).

Tawaran tersebut diterima, namun Shahril membuat keputusan menukar major daripada Sains Politik kepada Psikologi Industri dan Organisasi sewaktu semester kedua kerana minatnya cenderung dalam jurusan itu.

petikan : www.kosmo.com.my/ rencana utama
tarikh   :  31/03/2012

No comments:

Post a Comment