|
UCAPAN yang berdurasi tidak sampai tiga minit oleh Menteri Kesihatan,
Datuk Seri Liow Tiong Lai, didengari dengan penuh tekun oleh Ban
Ki-moon. Apabila muncul poin-poin bernas, Setiausaha Agung Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu akan mengangguk-angguk kepalanya.
Terserlah wajah kekaguman apabila beliau memberi tepukan dan berdiri
selepas Tiong Lai mengakhiri ucapannya.
Tumpuan dan karakter yang ditonjolkan oleh Ki-moon ketika lawatannya
ke Institut Perubatan Respiratori (IPR), Jalan Pahang, Kuala Lumpur
sempena Hari Tibi Sedunia menyimpulkan betapa beliau menghargai setiap
pemimpin yang dikunjunginya.
Ki-moon yang berusia 68 tahun pada tahun ini tidak datang
berseorangan. Sebaliknya, beliau ditemani isterinya, Ban Soon-taek yang
tampil elegan dengan busana berwarna putih dan berskaf.
Ki-moon bersama delegasi PBB baru-baru ini mengadakan lawatan selama
dua hari ke Malaysia. Itu adalah kunjungan sulung diplomat Korea Selatan
itu ke Malaysia sejak menyandang jawatan dalam badan dunia itu pada 1
Januari 2007.
Gerak-geri dan personaliti Ki-moon yang merupakan rakyat Korea
Selatan pertama menawarkan diri sebagai Setiausaha Agung PBB memang
sesuatu yang menarik untuk diperhatikan.
Seperti komentar yang pernah diterbitkan oleh Korea Herald, Ki-moon
Setiausaha PBB kelapan menggantikan Kofi Annan disifatkan sebagai
seorang yang sopan, lemah-lembut dan menghormati tali persahabatan.
Dalam satu wawancara dengan media asing, Ki-moon pernah berkata:
“Kadang-kadang saya seperti seorang pemimpin yang lemah dan lembik. Anda
mungkin melihat saya seorang yang lemah-lembut, tetapi saya memiliki
kekuatan dalaman dan inilah selalunya orang Asia salah beri pandangan.”
Walaupun sebahagian daripada hidupnya ditumpahkan di negara asing,
sifat santun ketimurannya ketika berada di negara ini sangat terserlah.
Beliau seorang yang sederhana. Senyuman tidak pernah lekang daripada
bibirnya. Tidak diapit dengan secara keterlaluan oleh pengawal peribadi,
membolehkan Ki-moon bebas mendekati sesiapa mengikut kemahuannya.
Pemimpin yang berpegang kepada prinsip bahawa kerja melebihi
kepentingan peribadinya juga tidak terlalu rigid. Buktinya, semasa
melawat dua pesakit tibi di IPR, beliau memilih untuk tidak menggunakan
topeng udara.
Graduan Ijazah Pentadbiran Awam, Universiti Harvard itu juga mencuri
tumpuan hadirin apabila mengucapkan ‘Selamat Pagi’ dan ‘Terima Kasih’
dalam bahasa Melayu serta kerap memuji usaha institut perubatan
Malaysia.
“Saya puji kerajaan Malaysia kerana membantu pesakit tibi. Kerajaan
anda juga memberi perkhidmatan dan rawatan percuma kepada mereka dan ini
sesuatu yang luar biasa,” katanya ketika berdiri dengan postur yang
tegap semasa menyampaikan ucapan balas.
Karakter
Bagaimanapun, imej lemah-lembut Ki-moon itu dikatakan melambangkan
kegoyahan dirinya yang menjawat jawatan sebagai setiausaha agung dalam
pertubuhan yang paling elit dan berkuasa di dunia itu. Pembawaan
karakter itu juga disifatkan memudahkan beliau senang ‘dibuli’ oleh
Amerika Syarikat (AS).
Ada pendapat menyatakan, tingkah laku Ki-moon sama seperti mantan
setiausaha agung yang lain seperti Kofi Annan, Boutros Boutros Ghali
dan U Thant.
Selain memerlukan seseorang yang memiliki ciri-ciri sebegitu, Majlis
Keselamatan PBB yang berkuasa membuat pelantikan juga memerlukan
seseorang yang tidak begitu popular, tidak lantang bersuara, pasif atau
dalam erti kata lain, tidak radikal.
Bagaimanapun, peranan yang dimainkan oleh seorang setiausaha agung bukan calang-calang.
Menggalas jawatan paling elit dalam badan dunia itu, setiap pemimpin
harus memikirkan bagaimana untuk menyelesaikan pertikaian antarabangsa,
mentadbir operasi keamanan dan mengatur persidangan antarabangsa.
Di sebalik kemegahan posisi elit itu, seorang Setiausaha Agung PBB
juga perlu bersiap siaga dengan ancaman keselamatan. Mereka juga tidak
lari daripada berterusan dikecam oleh ahli anggota yang lain.
“Tugas itu bukan mudah,” kata Ki-moon kepada AP.
Memang benar seperti yang diungkapkannya. Setahun selepas dilantik,
Ki-moon sudah tidak disenangi. Ketika mengambil bahagian dalam sidang
media di Baghdad pada 22 Mac 2007, satu serangan mortar mengenai tempat
yang berhampiran dengan kedudukan Ki-moon yang ketika itu sedang
berdiri.
Insiden itu sememangnya menakutkannya. Bagaimana pun, beliau tidak
serik apabila bersetuju untuk menjawat jawatan itu sekali lagi untuk
penggal kedua yang berakhir pada 2016.
Telunjuk AS
PBB yang merupakan entiti yang signifikan untuk mendamaikan dunia
dikatakan sudah tergelincir daripada landasannya. Dunia berpendapat, PBB
tidak dapat menjalankan tugas itu jika sesuatu isu yang timbul
melibatkan kepentingan AS dan sekutu kuatnya Israel.
Senario itu sangat bersangkut-paut dengan peranan seorang Setiausaha
Agung PBB yang juga bertindak sebagai Ketua Sekretariat dalam badan
eksekutif PBB.
Selaku orang tengah dalam menyelesaikan pertikaian diplomatik, mereka dianggap lemah dan acapkali mengikut telunjuk AS.
Hak veto yang dipunyai oleh AS dan sikap berdiam diri negara kuasa
veto yang lain menyebabkan segala resolusi yang diputuskan lebur begitu
sahaja. Hal itu sekali gus memperlihatkan badan dunia itu sudah tidak
berbisa lagi.
Pentadbiran Annan dan Ki-moon menyaksikan kedua-duanya berada dalam
dunia selepas era perang dingin yang sebelum ini dunia terbahagi antara
blok Barat dan komunis.
Bagaimanapun dengan keruntuhan Soviet Union, AS telah menjadi kuasa
tunggal yang kini masih berdiri dan mencorakkan globalisasi.
Biarpun PBB telah wujud sejak 1946, banyak masalah dan konflik lama
masih berterusan dan kini diwariskan kepada Setiausaha-Setiausaha Agung
itu.
Yang paling ketara pastinya masalah seperti kemiskinan di benua
Afrika, konflik di Palestin-Israel dan hubungan tegang antara India dan
Pakistan termasuk masalah demokrasi di Myanmar.
Terkini, cabaran Ki-moon lebih besar apabila berlaku gelombang revolusi negara-negara Asia Barat yang berterusan hingga kini.
Tidak kira sama ada Annan atau Ki-moon, kedua-duanya dikatakan begitu
lemah sekali membuat reaksi yang lebih tegas. Jadi, tidak hairanlah
mereka sentiasa diselar dan dilabelkan sebagai boneka AS.
Sebagai rakyat Asia yang kaya dengan adab dan ketimuran, pendirian
Ki-moon tentang golongan homeseksual baru-baru ini sangat mengecewakan
masyarakat antarabangsa terutama orang Asia.
Beliau antara lain mengeluarkan kenyataan supaya pemerintah di rantau Afrika menghormati hak golongan itu.
Ya, memang benar impian Ki-moon untuk bergelar seorang diplomat
selepas beliau berjumpa dengan mantan Presiden AS, John F. Kennedy di
Rumah Putih pada 40 tahun yang lalu sudah menjadi kenyataan. Namun,
beliau harus memikirkan semula formasi dirinya termasuk prinsipnya
sebagai pemimpin.
Janjinya untuk melaksanakan perubahan dan memperbaiki imej PBB bagaikan hangat-hangat tahi ayam.
Bagaimana Ki-moon mahu generasi muda membesar dengan imej PBB jika beliau sendiri tidak berubah?
Petikan : www.kosmo.com.my / rencana utama
No comments:
Post a Comment