Friday 10 February 2012

Didik anak-anak tidak berkemampuan

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
RUMAH Amal Bistari di Rawang dikendali dengan sumber kewangan Lauzaei dan Siti Aishah sendiri selain sumbangan beberapa individu.


ATAS dorongan kuat mahu membantu anak-anak kecil yang memerlukan perlindungan, Lauzaei Md. Akhir, 42, dan isterinya Siti Aishah Ghazali, 42, tekad menubuhkan sebuah rumah amal bagi memberi sinar harapan kepada penghuninya. 

Rumah amal itu mula beroperasi sejak Januari 2010 bertempat di Bandar Country Homes, Rawang, Selangor.

Lauzaei yang juga seorang ustaz menyewa sebuah rumah berkembar bagi dijadikan tempat berlindung untuk anak-anak tersebut di atas nama Rumah Amal Budi Bistari. 

Objektif utama penubuhan rumah amal itu bertujuan membantu golongan yang memerlukan bantuan. Ia juga dijadikan sebuah pusat pengajian fardu ain bagi anak-anak sekolah rendah, remaja dan masyarakat setempat.

Ia juga merupakan sebuah platform untuk menjalinkan hubungan antara golongan berkemampuan dan mereka yang kurang bernasib baik.

Rumah Amal Budi Bistari menempatkan seramai 40 orang anak-anak kecil yang berumur lingkungan lima hingga enam belas tahun. Selain menyediakan asrama, rumah amal itu juga bertanggungjawab memberi segala kelengkapan daripada keperluan asas sehinggalah ke aspek pembelajaran anak-anak tersebut. 

Dengan adanya sistem pembelajaran yang teratur, ia dapat membantu anak-anak tersebut mempersiapkan diri bagi menghadapi kehidupan yang penuh mencabar.

Menerapkan nilai-nilai Islam, Rumah Amal Budi Bistari mengasuh dan mendidik anak-anak tersebut agar mereka kenal, yakin dan menerima ketentuan Allah mengikut kehendak-Nya.

"Kami di Rumah Amal Budi Bistari menekankan asas-asas fardu ain sebagai pedoman hidup. Pendidikan insan dan rohaniah dijadikan sebagai pendidikan utama yang sangat ditekankan kepada anak-anak yang menghuni di sini," kata Lauzaei yang juga Pengerusi Rumah Amal Budi Bistari.


PENGHUNI Rumah Amal Budi Bistari dididik dengan ilmu duniawi dan agama sebagai bekalan pada masa depan.


Anak-anak rumah itu didisiplinkan dengan sembahyang berjemaah setiap waktu, mengaji al-Quran, bertahlil dan qiyamullail supaya timbul rasa cinta, sayang dan takut kepada Yang Maha Esa agar mereka memiliki jiwa besar untuk mengharungi masa depan.

"Mereka sentiasa mendapat bimbingan untuk memahami pelajaran yang dipelajari di sekolah. Mereka dibantu dalam menyelesaikan kerja-kerja sekolah oleh guru-guru sukarela yang berpengalaman terutama pada hujung minggu dan waktu cuti persekolahan," katanya.

Perlukan pengangkutan

Selain aktiviti pengajian dan pembelajaran, anak-anak di rumah amal itu juga didedahkan dengan pelbagai aktiviti dan kemahiran yang bersesuaian dengan peringkat umur mereka. Ia memboleh mereka tahu hidup berdikari setelah mereka keluar dari rumah amal tersebut kelak. 

Aktiviti-aktiviti dan pendedahan sebegini dapat menyuburkan minda dan fizikal anak-anak, ia sangat membantu dalam pembinaan jiwa dan sahsiah anak-anak. 

Buat masa sekarang, Rumah Amal Budi Bistari hanya mengharapkan sumbangan individu dan usaha pengasasnya sendiri untuk pelbagai kerja menampung kos daripada keperluan asas makanan, bayaran sewa rumah dan kemudahan-kemudahan lain.

Setiap hari, anak-anak di rumah amal itu berjalan kaki ke sekolah. Daripada 40 orang, hanya sebahagian sahaja dapat mengikuti Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di sekolah atas sebab masalah pengangkutan. 

Bagi anak-anak yang tidak dapat menghadiri kelas KAFA di sekolah, mereka akan diajar tentang asas fardu ain di rumah amal.

"Saya berharap, dapatlah kiranya pihak individu dan syarikat korporat sama-sama menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada anak-anak kecil ini di rumah amal ini terutama barang-barang keperluan asas seperti makanan dan pakaian.

"Bagi syarikat-syarikat korporat yang bermurah hati kami amat berharap dapat memberi sumbangan berupa pengangkutan untuk kemudahan anak-anak ke sekolah dan melakukan aktiviti-aktiviti luar," ujarnya.

Petikan www.kosmo.com.my.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0204&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm

No comments:

Post a Comment