|
WANITA ini pernah dipenjarakan pada tahun 1985 oleh diktator Afrika
paling kejam, Samuel Doe selama sedekad. Sengsara itu berterusan apabila
pengganti Samuel, Charles Taylor menuduhnya sebagai penderhaka dan
mengheretnya sekali lagi ke penjara.
Sesungguhnya, perjalanan karier Ellen Johnson Sirleaf, 74, sebelum
dilantik menjadi Presiden Liberia tidak mudah. Beliau meniti cabaran
yang bukan calang-calang.
Menjadi satu cabaran sangat hebat kepada wanita itu apabila beliau
bukan sahaja mentadbir sebuah negara yang berusia 166 tahun tetapi baru
sahaja bertemu keamanan setelah bergelut dengan perang saudara.
Perang itu, kata Sirleaf, telah merencatkan pembangunan ekonomi dan
kemajuan Liberia. Di saat negara lain meniti arus kemodenan, rakyat
Liberia masih menyalakan pelita minyak tanah dan mengangkut air dari
telaga.
Kemudahan lain seperti hospital, klinik dan sekolah usah ditanya.
Semuanya punah dilanda badai perang. Canda tawa keluarga dan kanak-kanak
sudah hampir tidak kedengaran. Memetik laporan AP, lebih 250,000 nyawa
terkorban impak daripada perang saudara negara itu.
BBC News pula melaporkan, kadar pengangguran di negara Afrika itu cukup tinggi iaitu mencecah 80 peratus.
Melangkau tahun 2005, ia menokok kepada 85 peratus dan prestasi itu dikatakan terburuk pernah dicatatkan dunia.
Pendapatan rakyat Liberia pula hanya berjumlah RM3.80 sehari.
Bayangkan bagaimana kesengsaraan penduduk negara di pesisir Barat Afrika
itu.
Senario itu sememangnya telah memberi tekanan hebat kepada seluruh
penduduk. Jadi tidak hairanlah orang muda di sana sering bergelumang
dengan dadah sehinggakan penjara di ibu negara Liberia, Monrovia, sesak
dengan banduan.
Dalam hal ini, kata Sirleaf, semasa baru memegang tampuk
pemerintahan: "Keutamaan saya adalah untuk mendidik orang muda dan
memberi mereka peluang untuk penyatuan."
Rasuah turut memeningkan kepala Sirleaf kerana ia telah menghancurkan sistem kehakiman dan perundangan Liberia.
Namun, yang paling menyulitkan pentadbiran Sirleaf ialah bagaimana
beliau harus menghentikan praktik amalan ritual Liberia iaitu
perbicaraan berasaskan keseksaan.
Ia merupakan hukuman yang dikenakan menggunakan sama ada minyak atau
logam panas dan air mendidih untuk menghukum tertuduh. Jika, individu
itu berjaya menyempurnakan seksaan tanpa sebarang kecederaan, individu
itu akan dianggap tidak bersalah.
Diceraikan
Sirleaf tidak hanya berdepan dengan masalah negaranya yang
kucar-kacir. Aturan kehidupan peribadinya juga tidak seindah seperti
pemimpin-pemimpin dunia lain.
Lelaki yang dikahwininya pada usia 17 tahun menceraikannya. Mengapa?
Itu semua kerana mantan suaminya, James Sirleaf dikatakan tidak dapat
menerima kelebihan isterinya yang dikatakan lebih bijak daripadanya.
Barangkali kenyataan itu ada kebenarannya. Berasal daripada suku kaum
Americo-Liberian di Monrovia, Sirleaf ialah graduan daripada Madison
Business College, Madison, Amerika Syarikat (AS) dalam bidang ekonomi
dan perakaunan.
Pencarian ilmunya tidak terhenti setakat di situ. Pada tahun 1971,
wanita itu memperoleh Ijazah Pentadbiran Awam daripada Universiti
Harvard dan kemudian dilantik sebagai Menteri Kewangan sewaktu era
pemerintahan William Tolbert.
Sepanjang hayatnya, Sirleaf telah menumpahkan jiwa dan raganya
berkhidmat dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Bank Dunia
termasuk dengan institusi kewangan persendirian Citibank di New York.
Profil kerjayanya semakin memuncak apabila memenangi kerusi Presiden
Liberia pada tahun 2006. Sirleaf mencatatkan sejarah tersendiri apabila
menjadi wanita pertama di benua Afrika menyandang jawatan Presiden.
Pada pilihan raya Presiden pusingan kedua tahun lalu, wanita itu
dengan mudah menewaskan bekas pemain bola sepak kelab terkenal Itali,
George Weah.
Atas kredibiliti Sirleaf, tidak hairanlah apabila beliau diceraikan
oleh suaminya. Kini, beliau yang bergelar janda melayari bahtera
kehidupannya di samping empat anak dan enam cucunya.
Kejayaan
Meskipun bergelar janda, rakyat Liberia tetap yakin dengan keupayaan
Sirleaf. Mereka juga percaya bahawa Liberia tidak akan jatuh ke dalam
satu lagi krisis yang akan mengancam penduduk pada masa akan datang.
Ya, sememangnya Sirleaf bukan sebarangan wanita. Latar belakangnya dikatakan banyak membantunya memacu ekonomi negaranya.
Pada awal pemerintahannya, Global Post melaporkan, Sirleaf berjaya
mengurangkan kadar hutang kebangsaan yang dianggarkan bernilai RM15
bilion.
Liberia juga berjaya mempengaruhi AS untuk mendapatkan hutang
geran bernilai hampir RM1 bilion.
"Orang luar pasti tidak menjangkakan perubahan Liberia kerana kami
miskin. Negara perang seperti kami biasanya memerlukan lelaki yang gagah
untuk mentadbir tapi wanita telah menunjukkan sisi lain dan perlu saya
katakan bahawa saya telah membuktikan pandangan orang luar itu sama
sekali salah," tegasnya.
Bagaimanapun, ujar Presiden ke-24 Liberia itu, kancah politik yang dinaunginya mendedahkan dirinya dengan banyak musuh.
Sirleaf sememangnya telah dikecam hebat oleh kepimpinan lalu apabila
beliau dikatakan gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai Presiden
pada penggal pertama lalu.
"Sirleaf menunjukkan prestasi mengecewakan, dia gagal membendung
gejala rasuah dan mendamaikan negara," selar bekas Presiden paling lama
memerintah Liberia, Winston A. Tubman.
Kata-kata Tubman itu sedikit pun tidak mengurangkan sokongan ke atas
Sirleaf. Sebaliknya, para penyokongnya berpendapat, wanita besi mereka
telah melakukan revolusi paling hebat.
Antara anjakan paradigma awal anak kelahiran Monrovia itu ialah
menjalin hubungan diplomatik dengan beberapa negara kuasa besar dunia
seperti Republik China selain AS.
Dua tahun lalu, Sirleaf telah bertemu dengan Barack Obama di White House dalam usahanya meraih sokongan negara Uncle Sam itu.
Kerajaan Liberia juga menjalin kerjasama dengan Malaysia apabila Sime
Darby Bhd. dilaporkan telah melabur dalam projek perladangan di sana.
Paling menggembirakan Liberia semasa era pemerintahan Sirleaf adalah
peningkatan pendapatan rakyat Liberia daripada RM114 ke RM243 sebulan.
Namun, semasa wawancara eksklusif bersama New York Times, beliau
melontarkan kebimbangan terhadap ancaman rogol dalam kalangan wanita.
Jenayah rogol, katanya, merupakan endemik yang masih berleluasa dan
menakutkan.
"Ia masih menjadi masalah besar bagi Liberia dan berlarutan kerana masing-masing mendiamkan diri kerana rasa malu," katanya.
Beliau juga sedang berusaha meningkatkan kadar literasi rakyatnya yang tidak sampai 30 peratus itu.
Kepada mereka yang tidak yakin dengan kebolehan Sirleaf dulu, barangkali perlu membuang persepsi itu jauh-jauh.
Obama pada Mei 2010 memuji pentadbiran wanita itu dengan berkata:
"Liberia kini bebas daripada kemelut yang berpanjangan. AS sangat
berbangga dengan usaha luar biasa beliau."
Dalam perutusan tahun baru lalu, Sirleaf yang hanya digaji sebanyak
RM22,800 sebulan dengan wajah kelegaan berkata: "Selepas enam tahun,
kita bangga melihat kemajuan negara kita, kita berjaya membangunkan
ekonomi, prasarana, keselamatan, undang-undang dan keamanan. Liberia di
bawah pentadbiran saya diharapkan akan terus aman dan makmur."
Petikan www.kosmo.com.my o03/02/2012
No comments:
Post a Comment