Friday 10 February 2012

Bukan sebarang Mata


Juan Mata
Juan Mata 
 
JUAN Mata mungkin menjadi pegawai pemasaran, biarpun ketika ini menguruskan kerjayanya menjadi impian setiap pegawai pemasaran.

Mata mempunyai minat mendalam dalam bidang pemasaran, dia mempunyai seorang bapa saudara dalam bidang berkenaan dan mengikuti pengajian dalam dua ijazah di sebuah universiti di Madrid selain menyarung jersi Chelsea.

Hakikatnya, dia bukan pemain bernilai  23.5 juta (RM112.4 juta) yang biasa anda lihat melakukan sepakan voli untuk membolosi gawang Manchester United, Ahad lalu.

Bagaimana anda melihat kecergasan fizikalnya, begitulah juga dengan kecerdasan mindanya. Dia membaca mengenai kehidupan pengasas Apple, Steve Jobs dan mengisi masa lapangnya dengan mengembara di kawasan perkampungan Sepanyol atau kepulauan Greece.


Dia mengambil masa kurang setahun untuk fasih dalam bahasa Inggeris sejak meninggalkan Valencia dan menjadikan kehidupannya di London satu kembara pembelajaran, menghantar gambar mercu tanda kegemarannya di London menerusi laman sosial miliknya yang disuntingnya sendiri.

“Bagi saya, perpindahan ini adalah perubahan penting dalam kehidupan saya sebagai seorang manusia juga sebagai pemain bola sepak,” kata Mata yang tinggal berhampiran Chelsea bersama rakan sepasukan, Oriol Romeu.

“Ia satu peluang untuk mengenali banda raya, budaya dan bahasa lain. Saya cuba mengenali setiap pelusuk London untuk memperbaiki bahasa Inggeris saya dan menikmati bola sepak. Pada hari cuti, saya pergi ke tempat berbeza di banda raya ini.

“Jika anda tidak mahu dikenali, anda boleh pergi ke Soho atau Camden, tiada masalah. Terdapat ramai orang Sepa-nyol di sana. Jika anda pergi ke Piccadilly atau Oxford Circus anda akan mendengar ramai orang berbahasa Sepanyol tetapi saya juga tidak dikenali di sana.

“Saya sukakan Hyde Park dan Regent’s Park di mana anda boleh mengambil gambar yang cantik serta menikmati makanan yang sedap di King’s Road.

Mata, 23, mengakui dia seorang yang berjiwa merdeka dan sukakan kebebasan.

“Ketika kecil, saya suka pergi ke perkampungan kecil di Burgos dan kami meraikan pesta Sepanyol pada musim panas.

“Ada kugiran dan warga tua menari sepanjang malam berpakaian seperti Red Indian dan sebagainya.

“Saya mengembara sepanjang tahun menerusi perlawanan bola sepak tetapi suasananya tidak sama. Saya bersama dua rakan ketika ini, kami mengembara bersama pada musim panas ke Sepanyol dan seluruh Eropah.

“Kami membawa beg galas dan pergi ke mana saja. Sebelum ini kami mengembara ke kepulauan Greece.

“Sewaktu remaja, saya dan beberapa rakan menang satu pertandingan radio untuk pergi ke Jerman, Switzerland, Austria dan Liechtenstein. Saya ingin pergi ke Asia, ke Thailand dan Jepun.

Saya sukakan pantai juga. Saya ingin habiskan masa seminggu di pantai pada musim panas.”

Mata bukan saja bijak, bersopan santun serta mempunyai semangat ingin belajar tetapi kini berusaha mendapatkan dua ijazah, satu dalam bidang pemasaran, satu lagi dalam sains sukan di Universidad Camilo Jose Cela, Madrid.

“Bukan sesuatu yang mudah melakukannya dari Valencia dan kini saya di London dan saya berhubung dengan tutor saya menerusi e-mel,” kata Mata.

“Saya mempunyai seorang bapa saudara yang berkerja sebagai pegawai pemasaran di bank dan saya mahu terbabit dalam bidang promosi dan pemasaran sukan,” katanya.

Petikan : www.hmetro.com.my 11/01/2012

No comments:

Post a Comment