Friday 3 February 2012

Nafas baru Kazakhstan





TIDAK ramai mengetahui negara yang baru merdeka dua dekad lalu telah mencapai status sebagai antara negara yang termaju di dunia hari ini. 

Republik Kazakhstan kini adalah antara kuasa ekonomi dunia selain pengeluar sumber tenaga utama yang mempunyai sumber asli seperti minyak, gas dan uranium. 

Kazakhstan terletak di Asia Tengah. Ia jauh terperosok ke dalam benua Eurasia dengan jumlah penduduk seramai 16.6 juta. Ibu negaranya sebelum ini ialah Almaty, sebelum berpindah ke Astana pada tahun 1998.
Ia adalah sebuah negara daratan. Kazakhstan tidak mempunyai pesisiran pantai laut yang terbesar di dunia dengan keluasan lebih 2.7 juta kilometer persegi. 

Hampir 44 peratus daripada muka bumi Kazakhstan adalah padang pasir manakala selebihnya padang rumput sebanyak 26 peratus, kawasan kontang separa padang pasir (14 peratus) dan hutan (5.5 peratus). 

"Terdapat 8,500 sungai besar di Kazakhstan. Sungai yang terpanjang ialah Ural dan Emba yang mengalir masuk ke Laut Caspian dan Syr Darya yang memasuki Laut Aral. Laut-laut ini sebenarnya adalah tasik kerana ia dikelilingi daratan. Terdapat 48,000 tasik di Kazakhstan. Antara yang terbesar ialah Aral, Balkash, Zaizan, Alakol dan Tengkiz. Kawasan terbesar utara dan bahagian tengah pesisiran Laut Caspian (tasik terbesar di dunia) adalah kepunyaan Kazakhstan," kata Duta Kazakhstan ke Malaysia, Beibut B. Atamkulov ketika ditemui di Kedutaan Kazakhstan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kazakhstan mempunyai simpanan sumber asli yang besar termasuk minyak, gas dan uranium yang menjadi bahan asas untuk tenaga nuklear. 

"Kami mempunyai banyak simpanan minyak dan gas di bahagian barat dan republik ini adalah antara pengeluar minyak terbesar dunia," kata Atamkulov.

Simpanan minyak 

Negara itu mempunyai simpanan minyak kesembilan terbesar di dunia dan yang ke-19 dari segi pengeluaran. Begitu juga dengan kromium. 

"Kami juga mempunyai simpanan uranium terbesar di dunia selain adalah ketiga terbesar dari segi pengeluarannya. Kami juga antara 10 negara utama dalam simpanan zink, plumbum, perak, besi dan emas. 

"Sumber-sumber asli ini membantu negara kami secara ekonomi seperti dalam perlombongan dan perusahaan keluli, juga dalam industri kimia, petrokimia, jentera, pembinaan dan farmaseutikal," jelas beliau. 

Selain simpanan mineral, Kazakhstan juga mempunyai industri ternakan berikutan padang ragut yang luas.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kazakhstan adalah AS$146.5 bilion (RM445 bilion) pada tahun 2010 dan KDNK per kapitanya sebanyak AS$9,009 (RM27,387) pada tahun yang sama. 

Kazakhstan juga menerima AS$18 bilion (RM60 bilion) dalam Pelaburan Terus Asing (FDI) pada tahun 2010 dan AS$9.9 bilion (RM30 bilion) sehingga suku kedua tahun lepas. 

Menurut Atamkulov, dari tahun 1993 hingga 2010, Belanda adalah negara yang mempunyai FDI terbanyak di Kazakhstan dengan jumlah 23 peratus diikuti Amerika Syarikat (16 peratus) United Kingdom (lapan peratus) Perancis (enam peratus), Itali (empat peratus) dan Austria (dua peratus). 

Rusia adalah rakan niaga Kazakhstan terbesar dengan 18 peratus diikuti China (16 peratus), Itali (12 peratus), Perancis (6 peratus), Belanda (5 peratus), Jerman (4 peratus) dan Austria (3 peratus). 

Menyentuh mengenai perniagaan dengan Malaysia, Atamkulov berkata, Kazakhstan mempunyai objektif untuk menggandakannya kepada RM500 bilion daripada RM300 bilion pada tahun lalu.

"Getah, perabot, makanan laut dan produk tropika adalah antara barangan yang memberangsangkan. Kami optimis dengan perhubungan perniagaan yang akan wujud dengan beberapa syarikat Malaysia. 

"Kini, terdapat 60 syarikat Malaysia beroperasi di Kazakhstan," terang beliau. 

Difahamkan, syarikat dari Malaysia melibatkan diri dalam beberapa bidang di Kazakhstan. Antaranya operasi Petronas dalam industri minyak dan gas, penglibatan Genting Group dalam pembinaan loji tenaga dan penubuhan bank Islam oleh institusi perbankan Malaysia. 

Tahun lalu, syarikat Malaysia, Melewar Integrated Engineering Sdn. Bhd. telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Kazmy Steel Company bagi membina kilang keluli di Almaty. 

Atamkulov berkata, Kazakhstan bersedia bekerjasama dalam usaha membina loji nuklear bagi membekalkan tenaga elektrik. "Malaysia seperti Kazakhstan mempunyai simpanan minyak dan gas tetapi pada masa hadapan, simpanan ini akan berkurangan. Kita terpaksa mencari alternatif lain bagi sumber penjanaan tenaga. Tenaga nuklear adalah satu daripada alternatif ini," terang beliau. 

Dua hala 

Pada 10 Oktober 2007, angkasawan Malaysia, Dr. Sheikh Muzaphar Shukor ke angkasa lepas menuju Stesen Angkasa Antarabangsa dari Pusat Angkasalepas Baikanor di Kazakhstan.

"Pelancaran ini menjadi satu titik tolak signifikan dalam industri angkasa Malaysia. Kami mahu bekerjasama dengan Malaysia agar ia dapat mengorak langkah selanjutnya dalam industri angkasa lepas," kata beliau. 

Menurut Atamkulov, ia penting bagi mengukuhkan kerjasama dua hala antara Kazakhstan dan Malaysia untuk kebaikan bersama kedua-dua negara. "Penduduk dua negara ini mempunyai banyak persamaan, jadi kita perlu gunakan landasan bersama yang ada bagi menggembeling tenaga untuk memajukan kedua-dua buah negara," katanya. - Bernama

Petikan www.kosmo.com.my 03/02/2012

No comments:

Post a Comment