Friday 24 February 2012

Sumbangan yang dilupakan



SEBAIK bersara sebagai jururawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada tahun 1993, hampir setiap hari Chan Yoon Mooi akan berulang-alik dari rumahnya yang terletak di Jalan Loke Yew ke Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur untuk meluangkan masa di premis Persatuan Keturunan Chan atau juga dikenali sebagai Chan She Shu Yuen Clan Association.

Di premis itu, dia akan bersosial dengan semua ahli keluarga Chan selain melakukan kerja-kerja kemasyarakatan seperti mengemas dan mencuci rumah tersebut.

Ujar warga emas yang berusia 74 tahun itu, walaupun dia seorang wanita, secara teknikalnya dia adalah sebahagian daripada ahli keluarga Chan.

Dalam amalan sosial masyarakat Cina, wanita yang telah berkahwin akan menjadi sebahagian daripada keluarga sebelah suaminya manakala Yoon Mooi pula masih bujang sehingga kini.

Cuma, wanita itu sudah jarang ke situ kerana mengalami sakit-sakit lutut selepas terlibat dalam kemalangan sedikit masa lalu.

Hubungan antara Yoon Mooi dengan bangunan yang mempunyai dekorasi tradisional Cina itu bukan sekadar terletak pada nama keluarga tetapi datuknya, Chan Sow Lin merupakan salah seorang pengasas bersama Chan She Shu Yuen Clan Association.

"Saya tidak pernah berjumpa dengannya, tetapi menurut ibu saya (Chung Yoke San), dia memiliki personaliti yang sangat baik," ujar anak kedua daripada lima adik-beradik itu.

Tambahnya, Sow Lin sangat gemar melakukan kerja-kerja kebajikan. Peribadinya pula sering mementingkan kejujuran dalam kerja dan kehidupan.

Sumbangan Sow Lin terhadap persatuan Chan sangat besar. Sampuk Tan Gee Boon, 63, sebagai pemimpin kaum Cina pada masa itu, Sow Lin telah menyumbang sebanyak tujuh buah lot kedai sebagai tapak bangunan.

"Waktu itu sebuah lot kedai berharga AS$500 dolar bersamaan dengan RM3 juta nilai duit sekarang," terang setiausaha persatuan Chan, Dr. BN Tan, 54.

Seperti juga Yoon Mooi, Gee Boon yang merupakan salah seorang ahli seumur hidup persatuan Chan sering bertandang ke Chan She Shu Yuen.

Generasi ketiga

Disebabkan sumbangannya itu, seluruh ahli keluarga Chan dapat disatukan di bawah satu bumbung sehingga kini. Cerita Yoon Mooi lagi, Chan Sow Lin memiliki empat orang anak lelaki dan tiga orang anak perempuan.

Bagaimanapun, kesemuanya telah meninggal dunia. Yoon Mooi pula anak kepada Chan Yew Cheong manakala tiga lagi anak Sow Lin bernama Yew Meng, Yew Hong dan Yew Kong.

Semua adik-beradik Yoon Mui telah meninggal dunia, cuma tinggal adik perempuannya sahaja yang sudah berkahwin.

Tambah Yoon Mooi, Sow Lin mempunyai sekitar 80 orang cucu. Rata-rata yang masih hidup adalah generasi ketiga sepertinya dan generasi selepasnya.

Dilahirkan pada tahun 1845, Sow Lin berhijrah dari Tanah Besar China pada usia 16 tahun dengan matlamat untuk terlibat dalam bidang perlombongan bijih timah di Pulau Pinang. Namun, ada pendapat mengatakan dia sebenarnya berasal dari Taiping, Perak.

Selepas bertahun-tahun membanting tulang empat kerat, dia berjaya mengumpulkan wang dan telah membuat keputusan berhijrah ke Kuala Lumpur bagi memulakan perniagaan perlombongan di situ.
Keputusannya sangat tepat apabila dia berjaya menjadi seorang ahli perniagaan yang kaya pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Selain dokumen-dokumen di Arkib Negara yang mencatat urus niaga yang dilakukan oleh Sow Lin, banyak juga kertas kerja yang merekodkan aktiviti amal beliau.

Sikap dermawan ahli perniagaan itu terserlah apabila menjadi salah seorang ahli lembaga pemegang amanah Sekolah Confucius Cina pada tahun 1910 yang ketika itu terletak di Kampung Attap. Seorang lagi dermawan Cina yang terlibat ialah Loke Chow Kit.


DUDUK, paling kanan: Chan Sow Lin, San Peng, Loke Yew dan Yap Kwan Seng bergambar pada tahun 1901 sempena kedatangan Raja George V di Singapura.


Bilangan pelajar di sekolah yang memberi peluang kepada kanak-kanak berketurunan Cina tempatan mendapat pendidikan bagi mengekalkan hubungan perdagangan dengan China itu meningkat saban tahun.
Premis yang sedia ada sudah tidak dapat menampung pelajar yang semakin ramai. Sow Lin dan Loke Chow Kit masing-masing menyumbang sebanyak RM62,170 dan RM31,230 untuk premis baharu di Jalan Pudu, Kuala Lumpur.

Industri perlombongan 

Dia juga tidak lokek dalam bidang perubatan apabila turut menyumbang kepada Hospital Tung Shin yang terletak di Jalan Pudu sekarang.

Kapitan Cina Kuala Lumpur terakhir, Yap Kwan Seng meninggal dunia pada tahun 1902 dan serta-merta jawatan tersebut dimansuhkan.

Berikutan peristiwa itu, Residen Selangor, Sir Frank Swettenham telah melantik Sow Lin sebagai wakil masyarakat Cina dalam Majlis Negeri Selangor. Kuala Lumpur pada masa itu merupakan sebahagian daripada negeri Selangor.

"Dia juga mendirikan pejabat pos untuk kegunaan orang ramai. Ketika itu tidak ada e-mel seperti sekarang," terang Dr. Tan mengenai kepentingan Sow Lin membawa sistem perhubungan kepada masyarakat.
Dalam bidang perindustrian pula, tokoh itu mendapat gelaran bapa besi di Tanah Melayu kerana sumbangannya dalam memajukan industri perlombongan.

Sebagai seorang yang berpengalaman dan terlibat secara langsung dalam industri tersebut, dia merupakan individu pertama yang membawa teknologi kapal korek dari Eropah ke Selangor.

Sebelum itu, aktiviti perlombongan menggunakan kaedah tradisional seperti mendulang dan pam kerikil.
Kemudian, melalui syarikatnya, Chan Sow Lin & Co. Ltd., dia memulakan perniagaan dalam industri besi tuang pada tahun 1913.

"Dia membawa kemajuan dalam industri berat di Selangor. Ia disifatkan seperti membawa kemajuan ke Malaya pada waktu itu," ujar Dr. Tan lagi.

Tambah Dr. Tan, atas usaha dan sumbangan pada pembangunan Selangor, nama Chan Sow Lin diabadikan di sebuah kawasan industri di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Jalan Chan Sow Lin masih lagi wujud sehingga sekarang dan di persekitaran jalan itu banyak menempatkan premis kilang industri berat.

"Tetapi, syarikat Chan Sow Lin tidak pernah ada di situ," katanya kepada Kosmo!. Kata Dr. Tan, atas sumbangan Sow Lin kepada komuniti Cina dan negara amnya, beliau telah dianugerahkan pingat Jaksa Pendamai daripada pejabat Residen Selangor pada tahun 1918.

Sow Lin meninggal dunia pada umur 82 tahun dan memorialnya berada di tanah perkuburan Kwang Tong yang terletak di Jalan Kerayong, Kuala Lumpur.

Peminat sejarah komuniti Cina Malaysia, C.F Lim, 37, berkata, dengan melihat saiz kuburnya sahaja sudah boleh diramal bahawa tokoh masyarakat Cina itu sangat kaya pada waktu kematiannya.

Berbanding saiz kubur lama di sekelilingnya, kubur Sow Lin sangat besar dengan lokasinya terletak di lereng tanah berbukit dan menghadap sebatang anak sungai.

Kedudukannya agak tersorok dan dikelilingi pokok-pokok yang tinggi.


DARI kiri: Geek Boon, Yoon Mooi dan Dr. Tan berbual mengenai sumbangan Sow Lin terhadap penubuhan bangunan Persatuan Keluarga Chan di Kuala Lumpur.


Pada batu nisannya terpampang imej Sow Lin yang berpakaian kostum tradisional pegawai istana Maharaja China.

Imej tradisi Cina

"Pakaian tersebut hanya boleh dianugerahkan oleh Maharaja China. Setiap corak dan rekaan pada baju tersebut melambangkan pangkat serta status pemiliknya," kata C.F Lim yang ditemani isterinya, Apple Chan, 36.

Amat sukar untuk menentukan pangkat Sow Lin kerana gambar yang terdapat pada batu nisan itu tidak jelas dan berwarna hitam putih.

Bagaimanapun, tokoh sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim pula berpendapat, imej itu hanya menggambarkan dia seorang yang memegang kuat tradisi Cina.

Malah, ujar Dr. Khoo, Sow Lin pernah mempunyai tocang mengikut gaya masyarakat Cina di Tanah Besar sehinggalah Maharaja Qing menukar gaya rambut, orang Cina di Tanah Melayu turut memotong tocang mereka.

Itu adalah perkara biasa pada waktu itu apabila gaya hidup penduduk China diikuti oleh komuniti Cina di Malaya.

Reka bentuk batu nisan Sow Lin agak ringkas dan menjadi tradisi orang Cina, pada batu nisan ditulis sejarah ringkas sepanjang hayat si mati.

Dengan bantuan Apple menterjemah karakter Cina pada permukaan batu nisan tersebut tertera tempat asal, bilangan anak lelaki dan tahun kematian Sow Lin.

Dr. Tan dan Yoon Mui mengakui bahawa amat sukar untuk menggambarkan tahap kekayaan yang dimiliki oleh Sow Lin kerana mendiang meninggal dunia berpuluh tahun lalu. Tambah Yoon Mui, generasinya yang masih ada tidak pernah bertemu dengan tokoh yang banyak menabur bakti itu.

Petikan : www.kosmo.com.my
 

No comments:

Post a Comment