|
SAAT menerima berita kemangkatan ayahandanya, Elizabeth sedang
melawat sebuah kawasan terpencil di Kenya dan berumur 25 tahun. Tanpa
berlengah, beliau terbang ke London dan ketibaannya di lapangan terbang
disambut oleh Perdana Menteri Britain ketika itu, Winston Churchill.
Tarikh 6 Februari 1953 menjadi sejarah penting dalam hidup Elizabeth
apabila secara rasmi, beliau menjadi monarki utama Britain dengan
membawa gelaran Ratu Elizabeth II.
Permulaan pemerintahan wanita yang bernama Elizabeth Alexandra Mary
itu agak sukar kerana pada usia yang muda, beliau perlu menstabilkan
kembali keadaan negara itu yang terjejas akibat persengketaan yang
dicetuskan Nazi berlarutan selama enam tahun.
Sedikit demi sedikit, kelibat Ratu Elizabeth kian jelas dalam
masyarakat negara itu, bahkan beliau turut menjadi ikon dan simbol
seluruh penduduk dunia apabila melibatkan hal-hal diraja.
Hari ini, selepas enam dekad pemerintahan beliau, ratu yang berusia
85 tahun itu masih teguh berdiri di atas takhtanya. Tempoh itu juga
menandakan seluruh rakyat jelata United Kingdom dan 15 buah negara lain
menyambut ulang tahun Jubli Intan.
Kedua paling lama
"Saya berterima kasih kepada rakyat jelata di atas sokongan dan dorongan yang mengagumkan selama saya memerintah.
"Pada tahun yang istimewa ini, saya akan pastikan khidmat untuk semua
rakyat akan berterusan. Saya juga berharap, kita semua dapat mengenang
kembali kekuatan muafakat dan kepentingan menjaga hubungan baik sesama
keluarga, persahabatan serta jiran tetangga.
"Kesemua nilai-nilai murni ini banyak membentuk rakyat yang prihatin,
berkualiti dan saya bangga dengan anda semua," ujar Elizabeth menerusi
perutusan yang ditujukan kepada rakyat yang dikeluarkan oleh Istana
Buckingham baru-baru ini.
Ulang tahun itu secara automatik menjadikan Ratu Elizabeth sebagai
pemerintah kedua terlama menerajui sistem monarki Britain selepas Ratu
Victoria yang memerintah selama 63 tahun. Ratu Victoria merupakan moyang
kepada Ratu Elizabeth.
Secara kasarnya, Ratu Elizabeth yang merupakan ibu kepada empat orang
anak dan nenda kepada lapan orang cucu itu memerintah sambil
menyaksikan pertukaran presiden Amerika Syarikat (AS) sebanyak 11 kali.
Ratu Elizabeth dilahirkan pada pukul 2.40 pagi pada 21 April 1926 di
Bruton Street, Mayfair, London. Beliau merupakan anak pertama Duke dan
Duchess of York, yang kemudiannya bergelar Raja George VI dan Ratu
Elizabeth.
Beliau diberi nama Elizabeth Alexandra Mary sempena nama bondanya,
sementara kedua-dua nama tengahnya merupakan nama moyangnya, Ratu
Alexandra dan nenda sebelah bapanya, Ratu Mary.
Pada tahun 1930, beliau menerima kelahiran seorang adik perempuan
yang diberi nama Puteri Margaret Rose. Mengikut giliran pemerintahan,
Ratu Elizabeth berada pada kedudukan yang ketiga di belakang Putera
Edward dan ayahandanya.
Ketika Putera Edward menaiki takhta dengan gelaran Raja Edward VIII,
kehidupan Ratu Elizabeth sekeluarga masih berada dalam keadaan terkawal
dan sunyi tanpa tumpuan masyarakat.
Namun, selepas Raja Edward VIII membuat keputusan untuk turun takhta
dalam tempoh tidak mencecah angka setahun pemerintahan, ayahnya pula
menaiki takhta dengan membawa gelaran Raja George VI.
Sejak itu, hidup Elizabeth sering dipenuhi dengan majlis-majlis
diraja yang menuntut kehadiran ibu bapanya selaku monarki terpenting
Britain.
Elizabeth sebagai nenda
Jika golongan marhaen hanya mampu melihat ratu itu daripada jauh, dua
cucu lelakinya yang cukup popular dalam kalangan penduduk dunia, Putera
William, 27, dan Putera Harry, 29, pula bercerita tentang bagaimana
karakter sebenar Ratu Elizabeth.
Ketika ditemu bual oleh British Broadcasting Corporation (BBC) pada
bulan Disember lalu, seluruh kerabat diraja Britain berada dalam keadaan
gusar kerana Putera Philip perlu menjalani pembedahan kecemasan akibat
arteri koronarinya tersumbat selepas mengadu sakit dada.
"Mungkin pada pandangan orang ramai, datuk saya hanya seorang individu berkecuali dan hanya mahu melakukan halnya sendiri.
"Tetapi sebenarnya, datuk merupakan insan penting di belakang
keutuhan nenda. Tanpa datuk, nenda tidak akan berada di mana dia berdiri
sekarang.
"Nenda mungkin nampak seperti wanita yang amat berdikari tetapi
secara jujurnya, dia amat bergantung kepada datuk dan perkara itu telah
terjadi lebih enam dekad," demikian pendedahan yang dibuat oleh Putera
Harry, yang risau kondisi datuknya ketika itu akan menjejaskan
kestabilan Ratu Elizabeth sebagai Ratu Britain.
Namun, itu tidak sewajarnya dijadikan tafsiran negatif kerana
sebenarnya, kedua-dua putera mendiang Puteri Diana itu amat menyayangi
dan menghormati Ratu Elizabeth sebagai nenda dan pemerintah negara.
Putera William yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan bersama
Kate Middleton pula memberitahu, beliau sering mendapatkan nasihat
daripada nendanya terutama tentang hal-hal peribadi.
Sebagai seorang putera raja, William sering menjadi sasaran media
antarabangsa yang sentiasa dahagakan cerita-cerita peribadi berkaitan
dirinya. Situasi itu menjadikan William tidak selesa dan beliau melihat
Ratu Elizabeth sebagai pembimbing terbaik bagi mengatasi masalah itu.
"Baginda (Elizabeth) tidak kisah tentang kehidupan popular kerana dia sangat mementingkan privasi.
"Ia amat sukar bagi meletakkan garisan di antara kehidupan peribadi
dan kehidupan sebagai figura awam. Tetapi dia berjaya melepasi fasa
sukar itu dan saya harapkan saya dapat menjadi sepertinya," ujar
William.
Ratu Britain itu tidak akan lengkap tanpa beg tangan klasik Launer
yang menjadi signaturnya sejak sekian lama. Disebabkan itu, timbul
persoalan apakah sebenarnya yang dibawa Ratu Elizabeth di dalam beg
tangan itu?
Rahsia beg tangan
Perkara itu menjadi teka-teki rakyat England dan telah dibukukan oleh
penulis Phil Dampier menerusi bukunya bertajuk, What's In The Queen's
Handbag And Other Royal Secrets.
Akhirnya rahsia kandungan beg tangan Ratu Elizabeth terbongkar
selepas didedahkan oleh seorang penulis biografi diraja. Beliau mendakwa
barangan di dalam beg tangan Ratu Elizabeth adalah sama seperti
kebanyakan wanita lain.
|
|
Penulis buku Elizabeth The Queen: The Woman Behind The Throne, Sally
Bedell Smith mendakwa antara barangan yang di dalam beg tangan Ratu
Elizabeth ialah cermin mata untuk membaca, lozeng pudina, pen dakwat,
cermin kecil dan lipstik.
Telegraph melaporkan, kenyataan yang ditulis Bedell Smith itu
diterima daripada seorang pembantu peribadi diraja dan mereka mendakwa
pernah mencuri-curi untuk melihat kandungan yang terdapat di dalam beg
tangan ratu itu.
Satu barangan tambahan yang mengejutkan berada dalam beg tangan Ratu
Elizabeth ialah cangkuk serbaguna (portable hook) yang didakwa dibawa ke
mana-mana bagi memudahkan beliau menggantungkan beg tangan beliau di
bawah meja ketika beliau duduk.
"Saya nampak dia membuka beg tangannya dan mengeluarkan sebuah bekas
seakan-akan cangkuk.
Dia kemudiannya meletakkan cangkuk itu di bawah
meja dan menyangkut beg tangannya di situ," jelas seorang tetamu yang
pernah berkunjung di kediaman sepupu Ratu Elizabeth, Jean Wills di
Berkshire.
Dikhabarkan, beliau juga jarang membawa wang tunai melainkan sekeping
duit bernilai lima atau 10 pound (RM24-RM48) yang dibawa pada setiap
hari Ahad untuk didermakan kepada gereja.
Petikan www.kosmo.com.my
11/01/2012
No comments:
Post a Comment