MUTAKHIR ini, kita berasa sedikit sangsi apakah yang menyebabkan
anak-anak gadis terpesona dan jatuh cinta dengan lelaki asing dari
Afrika? Lebih malang, mereka ini kemudian menjadi hamba seks atau keldai
dadah. Ada pula yang ditahan di negara asing dan meringkuk di dalam
penjara.
Sebelum kehadiran warga Afrika ini, kita disajikan dengan berita
anak-anak gadis yang terperangkap dengan cinta lelaki dari tanah
seberang sehingga sanggup meninggalkan keluarga sendiri.
Benarlah, cinta itu memerlukan pengorbanan. Sayangnya, ada antara
anak-anak gadis yang hidup melarat selepas melarikan diri ke negara asal
pemuda yang mereka cintai. Bahkan, ada yang terputus hubungan dengan
keluarga sendiri bertahun-tahun lamanya.
Mengapa hanya kerana cinta, segelintir anak gadis kita sanggup
berkorban seteruk itu? Kalau dikatakan cinta itu sesuatu yang indah,
mengapa perlu berakhir dengan derita?
Persoalan yang patut ditanya oleh anak-anak gadis kita apabila sudah
jatuh hati dengan seseorang ialah bertanya kepada diri sendiri sama ada
perasaan itu sekadar suka, minat atau ia sememangnya cinta.
Walaupun cinta telah didefinisikan dengan pelbagai cara oleh ahli
psikologi, secara umumnya, cinta didefinisikan sebagai an endurancing
sentiment toward a person producing a desire to be with that person and a
concern for the happiness and satisfactions of that person (The Penguin
Dictionary of Psychology).
Seseorang yang bercinta mempunyai perasaan
yang sangat kuat terhadap pasangannya dan ingin berkongsi segala-galanya
dengan orang tersebut. Bahkan, bercita-cita untuk sehidup semati dengan
orang yang dicintai.
Suka pula hanya sekadar perasaan senang dengan seseorang yang mungkin
menarik atau mempunyai personaliti yang kebiasaannya mempunyai banyak
persamaan dengan kita. Bagaimanapun, suka tidak membawa seseorang itu
sanggup berkorban apa sahaja dengan orang yang disukainya.
Kebanyakan mereka yang menjadi sahabat terdiri daripada orang yang
kita suka. Bagaimanapun, ini tidak bermakna mereka sanggup berkorban apa
sahaja demi sahabatnya. Ada juga hal-hal yang tidak dikongsi dengan
sahabat, misalnya hal yang dianggap terlalu peribadi.
Bukan idola
Bagaimana pula yang dikatakan minat? Walaupun minat agak mirip dengan
suka, tetapi ia sesuatu yang berbeza. Seseorang perlu menyukai sesuatu
dahulu, kemudian barulah minat itu timbul. Ada hal-hal yang hanya
sekadar disukai sahaja, tetapi tidak pula bermakna kita akan
meminatinya. Kita boleh suka kepada seseorang, tetapi mereka mungkin
bukan idola yang kita minati.
Idola sukan atau artis, misalnya, ialah mereka yang diminati walaupun
tidak semestinya kita perlu menyintai mereka. David Beckham atau
Michael Jackson, misalnya, diminati oleh peminat dari seluruh dunia.
Mereka juga mungkin hanya sekadar disukai, tetapi tidak diminati.
Bagaimanapun, orang yang membencinya tidak akan menyukainya, jauh lagi
untuk meminatinya. Apatah pula berangan-angan untuk sehidup semati
dengan idola kesayangan mereka itu.
Itulah yang membezakan antara cinta, suka dan minat. Dalam situasi
kini, segelintir anak gadis kita begitu sangat terpesona dengan pemuda
asing yang adakalanya tidak begitu diketahui asal usulnya, sama ada
mereka ini benar-benar benar-benar jatuh cinta atau sekadar suka.
Ia boleh jadi kerana perwatakan lelaki asing ini menarik atau mereka
dijanjikan dengan kemewahan yang tidak masuk akal. Ada pula yang mungkin
terperangkap dengan janji-janji manis yang dinukilkan menerusi pelbagai
medium laman sosial.
Sebab itulah, anak-anak gadis kita seharusnya lebih berhati-hati
apabila menjalinkan hubungan dengan warga asing yang tidak diketahui
latar belakangnya. Apatah lagi, apabila hubungan itu hanya terjalin
melalui komunikasi talian yang menyebabkan peluang untuk diperdayakan
adalah lebih tinggi. Walaupun bukan semua lelaki pendatang ini tidak
boleh dipercayai, namun beberapa kejadian pemerdagangan manusia sejak
akhir-akhir ini memaksa kita membuka mata.
Bertanyalah kepada diri sendiri, adakah kita sememangnya sedang
dilamun cinta atau hanya sekadar suka. Mereka ini juga mungkin hanya
sekadar seseorang yang diminati, tetapi tidak lebih lebih daripada itu.
Jangan kerana silap membuat perhitungan, akhirnya musibah buruk yang
menimpa diri.
Ada satu cerita benar yang patut diketahui oleh anak-anak gadis
betapa cinta itu hanyalah sekadar fatamorgana. Kalaupun ia dikatakan
indah, tetapi ia tidak selalunya betul. Bahkan, kisah ini juga boleh
dijadikan panduan untuk mereka yang berkahwin.
Korban
Tahun 1971. Seorang suami yang sangat menyintai isterinya telah
menuliskan sekeping nota cinta, lalu memasukkannya ke dalam botol. Ia
dicampakkan ke Lautan Pasifik. Sepuluh tahun kemudian botol itu ditemui
di pantai Guam. Terjemahan nota itu berbunyi begini.
Tatkala surat ini sampai kepadamu, aku mungkin sudah tua dan beruban.
Bagaimanapun, ketahuilah bahawa cintaku masih tetap segar seperti hari
ini. Ia mungkin mengambil masa seminggu atau beberapa tahun untuk surat
ini sampai kepadamu. Jika surat ini tidak pernah sampai kepadamu,
percayalah yang ia tetap tertulis di hatiku yang aku sangat menyintai
dirimu. Suamimu, Bob.
Wanita yang tercatat namanya dalam nota itu akhirnya berjaya
dihubungi oleh seseorang menerusi telefon.
Nota itu dibacakan kepadanya.
Apakah reaksi wanita tadi?
Dengan marah, wanita itu akhirnya berkata: "Kami sudah bercerai." Dia lalu menghempaskan telefonnya.
Begitulah tragisnya cerita sebuah hubungan. Tidak semua cinta berakhir dengan kebahagiaan.
Jadi mengapa harus ada antara kita yang menjadi korban?
petikan :
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0203&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_02.htm
No comments:
Post a Comment