|
TATKALA mata bertemu mata, hanya sekuntum senyuman menjadi penghubung
komunikasi pertama. Tetapi senyuman manis yang ditawarkan itu tidak
sempurna jika ia tidak datang bersama sepasang gigi yang cantik, bersih
dan putih.
Bukan untuk tujuan kosmetik semata-mata, kesihatan gigi sebenarnya
merupakan tunjang untuk kesihatan keseluruhan tubuh badan manusia.
Walaupun ia jarang diberi keutamaan terutama sekali di dunia yang
terlalu obses dengan kecantikan berasaskan kosmetik.
Bagi selebriti, penyanyi dan ahli perniagaan yang mula membina nama
melalui Akademi Fantasia 4, Farhan Azizan, 28, kebersihan dan kecantikan
gigi adalah penjagaan wajib bagi beliau. Bukan disebabkan dia merupakan
seorang selebriti tetapi, penekanan terhadap penjagaan gigi dan mulut
sudah pun mula diberi perhatian sejak kecil lagi.
Lepas makan terus gosok gigi
"Terima kasih kepada ibu yang banyak membimbing kami lima beradik.
Beliau sangat tegas dalam hal menjaga dan membersihkan mulut. Tiap kali
selepas makan, adalah menjadi amalan wajib untuk membersih mulut. Ibu
juga tidak menggalakkan kami makan coklat sejak kecil," ujar Farhan
tentang rejim penjagaan gigi dan mulutnya sejak kecil.
Sudah membiasakan diri menggosok gigi acap kali makan,
sekurang-kurangnya empat kali dalam sehari, rejim Farhan tidak terhenti
di situ sahaja.
Bahkan, obses beliau menjaga kesihatan gigi menyebabkan dia akan
berjumpa dengan doktor gigi setiap bulan untuk melakukan scaling. Untuk
sesi scaling setiap bulan itu dia memperuntukkan RM50.
"Saya tidak pernah ada apa-apa masalah gigi saya mahupun mulut. Jadi
saya tidak pernah berjumpa doktor untuk apa-apa masalah, cuma
mendapatkan nasihat semasa membuat scaling," katanya yang mengakui akan
membawa ubat gigi dan berus gigi bersama-sama setiap masa.
Dalam pada itu, Farhan juga peka terhadap ubat gigi yang digunakan.
Oleh itu, beliau menggunakan ubat gigi organik yang menggunakan
kandungan utama iaitu daun mambu.
"Saya tidak gunakan flos sebab takut ia memberi kesan kepada gusi dan
boleh merenggang gigi. Ia bukan tidak baik, tetapi mungkin saya tidak
mahir menggunakan flos," katanya lagi yang ditemui di pejabat Kosmo!
baru-baru ini.
Menariknya, disebabkan rejim gigi sihat yang diamalkan Farhan sehingga kini dia masih memiliki dua gigi susu.
Sementara itu menurut seorang doktor gigi, Dr. Mazleen Abdul Rahman
dari Klinik Pergigian Dr. Leen di Kajang, Selangor, selain memberus gigi
yang menjadi amalan wajib, flos gigi adalah satu lagi elemen paling
penting penjagaan gigi yang perlu dipratikkan.
"Walaupun kita berkumur atau memberus gigi selepas makan tetapi,
tahukan anda bahawa akan terdapat makanan tersekat di celah-celah gigi?"
tanya beliau.
Katanya, flos tidak perlu dilakukan kerap tetapi apabila perlu
sahaja. Namun, kerisauan ia akan menyebabkan gigi renggang atau gusi
berdarah tidak berasas sekiranya ia dilakukan secara betul.
"Flos dengan lembut dan jangan tekan dalam. Flos yang salah boleh
memudaratkan gusi. Saya biasanya akan meminta pesakit menunjukkan cara
mereka flos gigi supaya ia tidak dilakukan secara salah," katanya lagi
sambil memberitahu scaling secara kerap tidak memudaratkan gigi kerana
ia tidak membabitkan gigi sebaliknya hanya menggunakan getaran
ultrasonic untuk memecahkan karang gigi.
Namun, memberus gigi dipandang satu amalan wajib dan mesti dilakukan
beberapa kali sehari kerana ia berfungsi memecahkan sekumpulan bakteria
dan sisa makanan yang membentuk biofilm dan seterusnya akan membentuk
satu lapisan keras di sekitar permukaan gigi dan gusi kita.
Apabila memberus gigi, ia akan memecahkan biofilm sebelum ia mula
merebak. Plak dan karang gigi di permukaan gigi juga menjadi penyebab
utama mulut berbau.
Ia juga boleh terhasil apabila seseorang itu tidak membersihkan lidah
mereka. Bau mulut boleh diatasi dengan memastikan gigi dan lidah
diberus dengan betul dan penggunaan ubat kumur.
Antara sebab lain mulut berbau ialah kekurangan air liur berpunca daripada penyakit atau pemakanan ubat.
Bagi mereka yang mempunyai masalah itu, mengunyah gula-gula getah
atau menggunakan air liur gantian boleh menyelesaikan masalah itu.
Selain flos dan memberus mahupun berkumur Mazleen atau lebih mesra
dengan panggilan Leen juga menggesa, supaya pemeriksaan gigi tetap
dilakukan sekurang-kurangnya enam bulan sekali.
Ditanya mengenai kepercayaan gigi terlalu putih tidak berapa kuat, ujarnya tiada fahaman seperti itu.
Bagaimanapun, ada kepercayaan gigi kuning sedikit agak kuat kerana
mempunyai lapisan dalam yang tebal malah, sebenarnya gigi manusia
sedikit kekuningan.
Jelas beliau, berkumur mulut bukanlah wajib tetapi digalakkan sebagai
rejim tambahan.
Sebaiknya, pilihlah ubat kumur mulut bebas alkohol
kerana ia boleh mengeringkan mulut selain mempunyai florida, antiplak,
gliserin, garam dan bebas gula.
Jumpa doktor walau tidak sakit
Katanya, sikap berjumpa dengan doktor hanya apabila sakit menjadi
punca mengapa perjumpaan dengan doktor gigi seringkali dilabelkan
'menakutkan'.
Malah, satu tinjauan membuktikan 50 peratus rakyat Malaysia bertindak
mengunjungi doktor gigi hanya ketika mereka berdepan dengan masalah
gigi.
Pada kebanyakan masa, pesakit lebih rela makan ubat gigi atau tahan
sakit selama berbulan-bulan mahupun bertahun-tahun semata-mata kerana
enggan berjumpa doktor gigi.
Rakyat Malaysia sukar menyenaraikan pemeriksaan gigi sebagai satu
prosedur kesihatan yang wajib seperti mana pemeriksaan kesihatan lain.
Jangan takutkan anak
Lebih menyedihkan apabila, ada pula ibu bapa yang suka
menakut-nakutkan anak bahawa jika membuat nakal akan dibawa jumpa doktor
gigi untuk mencabut gigi.
Ugutan seperti itu sejak kecil menimbulkan sejenis ketakutan kepada
kanak-kanak sejak kecil apabila mendengar perkataan doktor gigi.
"Perkara seperti ini telah menjadikan seseorang itu tidak berani
berhadapan dengan doktor gigi. Ibu bapa perlu menghindari kenyataan
menakutkan berkenaan doktor gigi.
"Mereka perlu melatih dan menjadi contoh baik dari segi menjaga
kesihatan mulut, gigi mahupun membuat temujanji untuk pemeriksaan,"
demikian tambah Leen.
Apabila ditanya tentang kedatangan pesakit ke klinik beliau, beliau
mengakui 80 peratus pesakit datang selepas sakit dan lazimnya untuk
mencabut gigi, manakala 20 peratus lagi datang dengan kesedaran
melakukan pemeriksaan.
Bercakap lanjut mengenai kos dan caj rawatan, Leen memberitahu, rawatan gigi sememangnya mahal tetapi, masih terkawal.
Katanya rawatan gigi banyak menggunakan material mahal, perlu
dibersihkan berkali-kali atau bahan pakai buang. Semua itu bagi
memastikan keselamatan dan tiada infeksi kelak.
Petikan : www.kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment