Wednesday 23 November 2011

Abang sumber inspirasi

KETIKA Paige Mackenzie perlukan seseorang untuk mendengar luahannya, nasihat atau mungkin satu galakan, dia hanya menemui seseorang yang istimewa, iaitu abangnya Brock. Pemain yang beraksi dalam Jelajah LPGA buat tahun kelima itu banyak bergantung kepada abangnya untuk menasihatinya, menegurnya atau mungkin menenangkannya ketika mengharungi liku pertandingan sepanjang minggu.

Brock tahu apa yang dilalui Paige memandangkan dia pernah melalui perkara yang sama dalam Jelajah Nationwide. Paige yang mula bermain golf sejak berusia tiga tahun, mengakui hubungan rapatnya dengan abangnya satu daripada rahsia kejayaannya.

Kami tinggal dan berlatih bersama selepas akhir musim sejak menjadi pemain profesional,” kata Paige mengenai abangnya. “Seronok apabila mempunyai seseorang yang bukan saja boleh berlatih bersama tetapi sentiasa berada di sisi anda dan mahu anda menjadi lebih baik.

“Dia akan berkata sesuatu yang mungkin tidak diperkatakan jurulatih kerana dia abang saya dan dia tidak takut untuk melukakan hati saya tetapi kadang kala itulah yang menjadikan saya lebih baik. “Saya didesak, diejek dan dikalahkan dan dia menjadikan saya seperti sekarang, bukan saja lasak tetapi kompetitif sebagai atlet. Dia adalah faktor utama mengapa saya berada di sini.”

Paige dan Brock menyertai aktiviti sukan ketika kecil, masing-masing bermain bola sepak dan bola keranjang di sekolah tinggi. Kedua beradik itu melanjutkan pelajaran ke Universiti Washington bersama-sama, apabila kedua-dua menjadi pemain terbaik dalam skuad masing-masing.

Paige bergelut dalam tempoh beberapa tahun sejak menyertai Jelajah pada 2007 tetapi mengumpul AS$100,000 (RM315,800) pada 2009 dan juga pada tahun ini. Dia mengubah corak hayunan dan abangnya sentiasa bersamanya baik ketika susah dan senang.

“Kami mempunyai hubungan yang unik kerana kami lebih memahami cara hidup masing-masing,” katanya.

“Kami boleh bercakap mengenai segala-galanya secara terbuka. Anda tidak boleh menceritakan segala-galanya kepada rakan pemain, jadi seronok dapat berbincang mengenainya dengan abang sendiri. “Saya fikir ia sesuatu yang istimewa kerana mempunyai hubungan seperti itu.

Saya tidak perlu menjelaskan mengenai diri saya kepadanya kerana dia memahaminya dan tahu apa yang saya lalui dan itulah sebaliknya.”

Petikan : Harian Metro 23/11/2011

No comments:

Post a Comment