MENGIKUT laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat
pada pertengahan tahun ini, Malaysia bakal menjadi negara yang mempunyai
lebihan warga tua iaitu generasi berusia 60 tahun dan ke atas.Statistik pada tahun 2000 menunjukkan warga tua di Malaysia berjumlah
1.45 juta atau 6.2 peratus. Pada tahun 2009 pula berjumlah 2.03 juta
iaitu 7.1 peratus dan jumlah ini dijangka meningkat pada tahun 2035
dengan menguasai 15 peratus daripada populasi penduduk Malaysia.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sesebuah negara
dengan statistik menunjukkan warga tuanya melebihi 10 peratus adalah
termasuk dalam kategori Ageing Nation.Mengikut kajian, antara punca berlakunya masalah ini ialah makin
berkurangnya perkahwinan. Berdasarkan maklum balas dalam sesi ceramah
saya, rata-rata orang muda hari ini khususnya wanita, takut untuk
berkahwin dan yang lelakinya pula, ada keinginan tetapi mempunyai
masalah kewangan. Lantas, apabila soalan ditanyakan, jawapan yang
diberikan ialah 'takdir belum tentukan!'.
Hakikatnya, jodoh bukan semata-mata ketentuan takdir. Ia memerlukan
usaha dan ikhtiar kita juga. Menepati maksud firman Allah SWT dalam ayat
11 surah ar-Ra'du: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan
sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri."
Ayat itu jelas membuktikan bahawa jodoh atau ketentuan untuk
mempunyai pasangan hidup bukan semata-mata kehendak Ilahi. Ia sebenarnya
mempunyai kaitan dengan usaha dan ikhtiar kita sendiri juga.
Mr./Mrs. Right bukan dipilih
Ramai yang berusaha untuk mencari individu terbaik bagi memenuhi cita rasa dan keinginannya untuk dijadikan sebagai teman hidup.Mereka ini lupa, pilihan akan sentiasa tersedia di depan mata.
Kita memang berhak memilih tetapi terlalu memilih adalah satu
penyakit. Tidak perlu mencari pasangan yang sama sikap dan minat.
Berbeza sikap dan minat juga bukan halangan hidup bahagia bersama.
Perlu difahami, pasangan ertinya saling menyempurnakan. Setiap
individu diberikan kelebihan malah juga kekurangan. Lantas, melalui
konsep saling memberi dan menerima serta ikhlas, akan berhasillah Mr.
atau Mrs. Right pilihan anda.
Panduan mencari pasangan
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Seorang wanita itu dinikahi
boleh kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana
kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengutamakan
yang beragama, nescaya kamu berbahagia." - Hadis riwayat Bukhari dan
Muslim.
Biarpun hadis ini menyebut tentang kriteria memilih calon isteri
namun ia juga relevan dan berkait rapat dengan kriteria calon suami.
Perlu difahami maksud 'kerana agamanya'. Ia bukan bermaksud calon itu
perlu mempunyai kelayakan atau sijil pendidikan tinggi dalam bidang
agama tetapi bermaksud lelaki atau perempuan yang melaksanakan tuntutan
agama Islam.
Malah menurut para fuqaha', asas ketetapan kufu' atau sekufu menurut
syarak ialah sama taraf dalam ilmu dan amalan agama, bukan sama taraf
dalam paras rupa, kekayaan atau pangkat. Dalam usaha mendapatkan calon pilihan, setiap individu perlu perbetulkan diri, apakah anda betul-betul layak untuk berkahwin?
Jangan terkejut, bukan saja poligami, malah monogami pun ada syarat
kelayakannya. Jika anda gagal penuhi kelayakan, hukum asal berkahwin
yang harus boleh menjadi makruh atau haram.
Kemampuan
Seseorang lelaki dikategorikan sebagai wajib berkahwin apabila mereka
mampu dari segi fizikal dan kewangan malah dibimbangi sekiranya tidak
berkahwin, takut terjerumus kepada maksiat zina. Lelaki yang sunat berkahwin ialah mereka yang mampu dari segi fizikal
dan kewangan serta mempunyai keinginan untuk berkahwin. Bezanya mereka
tidak bimbang akan terlibat dengan zina sekiranya tidak berkahwin.
Lelaki yang haram berkahwin pula ialah mereka yang tidak mampu dari
segi nafkah zahir dan batin. Haram juga bagi lelaki yang berkahwin
dengan tujuan untuk memudaratkan isterinya.Lelaki yang tergolong dalam senarai makruh berkahwin ialah mereka
yang tidak mampu memberi nafkah kepada isterinya tetapi berkeinginan
untuk berkahwin.
Lelaki yang harus berkahwin pula ialah mereka yang tidak mempunyai
sebab yang mendesak untuknya berkahwin dan tidak pula mengharamkan dia
berkahwin.
Hikmah jodoh lambat
Jika anda termasuk dalam kategori yang lambat berkahwin, jangan susah
hati dan jangan bersedih. Ya! Saya akui, sukar untuk meneruskan hidup
apabila berdepan dengan pelbagai soalan berkaitan perkahwinan.
Saya sendiri mengalaminya lantaran hanya berjaya menamatkan zaman
bujang ketika usia 28 tahun. Ketika itu, saya hanya membiarkan segala
soalan tersebut berlalu kerana saya yakin, biarpun jodoh termasuk
ikhtiar kita di samping takdir-Nya, keputusan dan perancangan-Nya
sentiasa yang terbaik.
Setiap ketentuan dan kehendak Allah itu ada sebab dan hikmahnya. Ada
orang yang bertemu jodoh pada usia muda, ada yang bertemu jodoh agak
lewat usia dan ada juga yang ditakdirkan hanya bertemu jodoh di akhirat
kelak.
Sebab dan kenapa? Hanya Dia yang mengetahui segalanya. Ada kes
perkahwinan pada usia muda yang berakhir dengan perceraian hanya selepas
dua atau tiga tahun perkahwinan. Lebih menyedihkan, ada perkahwinan
yang hanya bertahan selama sebulan.
Ada kes perkahwinan lewat usia tetapi kekal bahagia hingga akhir
hayat. Bukan bermaksud kahwin muda tidak bagus, bukan juga bererti
kahwin lewat itu yang terbaik. Lantaran tidak semua kes kahwin muda
bermasalah dan bukan semua kes kahwin lewat itu bahagia.
Perkara utama ialah setiap ketentuan Allah itu mempunyai alasan yang
tersendiri yang hanya akan anda ketahui apabila tiba masanya nanti. Yang
penting, jangan putus asa, jangan putus doa, Dia akan berikan anda
pasangan apabila itu adalah yang terbaik untuk anda.
Hanya apabila bersedia
Perkahwinan bukan mainan, bukan juga makmal kajian sebaliknya
perkahwinan adalah permulaan medan perjuangan untuk melaksanakan segala
amanah dan tanggungjawab anda sebagai suami dan juga isteri.
Lantas, berkahwinlah apabila anda dan si dia sudah betul-betul
bersedia, bukan sebab dipaksa orang tua atau hendak mengelak maksiat dan
fitnah semata-mata. Maksiat tidak perlu dielak jika anda tidak
dekatinya.
Buat para gadis, pastikan bakal suami benar-benar layak. Jangan mudah
bertoleransi dari awal, natijah besar menanti anda di belakang hari.
Paling penting, dalam ada juga keadaan sentiasa benar-benar serahkan
setiap keputusan kepada-Nya. Dia akan membantu, insya-Allah!
Petikan : Kosmo 18/11/2011
No comments:
Post a Comment