|
“SAYA akan mengingati Frazier dengan penuh rasa hormat dan mengagumi
kehebatannya sepanjang hayat.’’ Demikian kenyataan pendek musuh
peninju dunia, Joe Frazier, 67, Muhammad Ali berhubung kematian legenda
itu baru-baru ini.
Kematian Joe disebabkan kanser hati itu diumumkan keluarganya sendiri
selepas legenda itu disahkan menghidapi penyakit itu September lalu dan
diletakkan di bawah seliaan hospital beberapa hari sebelum tarikh
kematiannya.
Tiga pertemuan dalam gelanggang tinju tumpuan ramai itu cukup
menjadikan Frazier dan Ali sebagai ikon tinju dunia yang tiada tolok
bandingnya. Trilogi pertembungan dua gergasi sukan yang menjadi fenomena suatu
ketika dulu bermula pada tahun 1971 di arena tersohor, Madison Square
Garden. Bahkan, ia dilabel sebagai Perlawanan Abad Ini.
Menerusi aksi sulung mereka itu, Ali, ditumbangkan oleh Frazier
selepas mengharungi 15 pusingan getir dan seterusnya menjadikan Frazier
sebagai peninju pertama menewaskan Ali.Memori 40 tahun dulu itu sentiasa segar dalam ingatan ketika
hayatnya. Ia disuarakan Frazier sendiri beberapa bulan sebelum
kematiannya apabila beliau berbicara tentang kehidupan, karier dan
hubungannya dengan Ali.
“Ke mana sahaja saya pergi, saya tidak boleh untuk tidak bercakap
soal kemenangan itu, ia merupakan perkara terbaik pernah terjadi dalam
hidup saya,” kongsi Frazier jujur kepada pemberita The Associated Press
(AP).
Dengan jolokan Smokin’ Joe, kemenangan epik itu membuatkan nama
Frazier disebut-sebut sebagai seteru utama Ali, malah sehingga akhir
hayat Frazier pun, beliau masih tidak boleh lari daripada bayangan
Ali.
Dengan berat hanya 93 kilogram, Frazier membuktikan bahawa saiz bukan
ukuran untuk menumbangkan lawannya. Beliau membuktikan kejayaan itu
pada tahun 1970 tatkala menewaskan Jimmy Ellis di Madison Square
Garden.
|
|
“Beliau mempunyai fizikal yang agak kecil untuk kategori heavyweight
tetapi Frazier cukup terkenal sebagai peninju yang ganas dan mahir
melemahkan lawannya menerusi siri tumbukan pantas termasuklah tumbukan
sauk kanan yang menumbangkan Ali ketika perlawanan pertama mereka,”
dedah penganjur tinju, Don King.
Kembali bersemuka dengan Ali untuk kali kedua di gelanggang yang sama
pada tahun 1974, Frazier gagal mengekalkan penguasaannya ke atas Ali
apabila tewas selepas bergelut dalam 12 pusingan.
Melengkapkan trilogi Ali-Frazier selaku musuh tradisi ialah pada
1975 dalam perlawanan hebat digelar Thrilla in Manila yang berlangsung
di Filipina. Ia menyaksikan kegagalan Joe mengulangi kejayaan
pertamanya apabila tewas selepas mengharungi 14 pusingan.
Enggan mengaku kalah, Frazier berdegil mahu menghabiskan pusingan
terakhir walaupun pandangan matanya telah kabur ketika itu hinggakan
jurulatihnya, Eddie Futch terpaksa menariknya ke penjuru gelanggang.Walaupun tewas, Frazier tidak memberi laluan mudah buat Ali dan ia
diakui oleh Ali sendiri yang menyatakan bahawa momen perlawanan itu
merupakan gambaran paling dekat terhadap kematian.
“Saya ingin memberitahu dunia bahawa Frazier memaksa saya bekerja
keras dan merupakan peninju yang bertanggungjawab menjadikan saya
sebagai yang terbaik.“Dia merupakan peninju terhebat sepanjang zaman di samping saya,”
jelas Ali pada satu sesi temu ramah usai perlawanan tersebut,” bukti
Frazier antara pengaruh tinju ternama dunia menerusi kenyataan yang
dikeluarkan bekas penulis sukan tinju AP, Ed Schuyler Jr.
Biarpun dimamah usia, Frazier tidak memilih untuk lenyap terus
daripada dunia tinju, dia tetap menghadirkan diri di beberapa
pertandingan tinju bagi menunjukkan sokongan dan memenuhi undangan.Pada bulan September lalu, Joe dilihat dalam keadaan sihat dan
gembira menandatangani autograf buat orang ramai yang hadir bagi
menyaksikan perlawanan antara Floyd Mayweather Jr. dan Victor Ortiz di
Hotel MGM Grand, Las Vegas.
Pemergian Joe mengundang kedukaan kepada beberapa atlet-atlet muda
hari ini antaranya termasuklah peninju Floyd. Flyod, menerusi laman
sosial Twitter menyatakan bahawa sukan tinju telah kehilangan seseorang
yang hebat.
Sukan Olimpik
Dilahirkan di Beaufort, South Carolina, Amerika Syarikat (AS) pada
tahun 1944, anak bongsu daripada 12 beradik itu mula meminati sukan
tinju selepas menonton satu perlawanan tinju di televisyen.Anak kepada pasangan Rubin dan Dolly itu membesar di ladang tembikai
dan kapas milik ibu bapanya. Awal tahun 50-an, Frazier sudah mula
mengenali dunia tinju menerusi kaca televisyen hitam putih di rumahnya.
|
|
Perlawanan antara Sugar Ray Robinson dan Rocky Marciano menjadi
pencetus rasa cinta Joe terhadap sukan tinju. Kesungguhan itu
disaksikan sendiri oleh bapa saudara Frazier, Israel yang menyatakan
bahawa Joe bakal menjadi pengganti Joe Louis.
Bagi memulakan ‘latihan’ sendiri, Joe membuat sendiri beg tumbuk menggunakan guni yang diperbuat dari gentian gumpalan kapas.
Dengan beg tumbuk ciptaannya itulah Frazier melatih dirinya saban
hari menjadi peninju sehinggalah dia mengalami kemalangan yang
mengakibatkan kecederaan pada tangan kirinya.
Kemalangan yang mewujudkan tumbukan padu sauk kiri yang sinonim
dengan Frazier itu berlaku gara-gara hobinya yang suka mengganggu
seekor khinzir seberat 136kg belaan keluarganya. Suatu hari khinzir itu
mengamuk dan mengejar Frazier sehingga dia terjatuh.
Pada usia 15 tahun, Frazier bercanggah pendapat dengan seorang
pemilik ladang kulit putih tempat dia bekerja dan beliau kemudian
berpindah ke New York bersama abangnya, Tommy.
Memulakan perjalanan sebagai peninju, Joe mengekalkan gelaran Middle
Atlantic Golden Gloves heavyweight untuk tiga tahun berturut-turut
bermula dari tahun 1962 hingga 1964 dan rekod kekalahannya hanya kepada
seorang peninju, Buster Mathis Sr.
Walaupun tewas kepada Mathis untuk pusingan kelayakan ke Olimpik,
kecederaan tangan yang dialami Mathis ketika membuat tumbukan di kepala
Joe mengubah takdir Frazier apabila dia diangkat sebagai pengganti
Mathis mewakili negaranya ke Sukan Olimpik pada 1964.Bermula sebagai peninju amatur terkenal di awal pembabitannya,
kecintaan Joe dalam dunia tinju semakin menyinar setelah dia menjadi
satu-satunya rakyat AS yang berjaya memenangi pingat emas di temasya
sukan Olimpik di Tokyo, Jepun pada tahun 1964.
“Dia peninju yang berdiri untuk diri sendiri dan tidak memberi belas
kasihan ketika beraksi, Frazier akan memberi keupayaannya 100 peratus
di gelanggang dan dia tidak pernah patah semangat,” kata promoter tinju,
Bob Arum mengenang kembali kemenangan Joe pada Sukan Olimpik dahulu
walaupun mengalami kecederaan pada ibu jari tangan kiri pada pusingan
akhir.
Mula digelar peninju profesional pada tahun 1965, nama Frazier
semakin harum dalam sukan tinju dan digeruni peninju-peninju lain
disebabkan kehebatan tumbukannya.Selepas bersara daripada dunia tinju, Frazier mengalami masalah
kewangan dan membuka sebuah gim di Philadelphia yang kemudiannya ditutup
tidak berapa lama selepas itu.
Anak perempuan Joe, Jacqui Frazier-Lyde membuat keputusan untuk
mengikut jejak langkah ayahnya pada usia 38 tahun untuk beraksi di
gelanggang tinju.Tahun 2001 menyaksikan pertembungan anak perempuan kedua-dua musuh
tersebut, Jacqui menentang anak perempuan Ali, Laila Ali dan gagal
mencipta sejarah seperti ayahnya, Jacqui tewas di tangan Laila pada
pusingan kelapan.
Petikan : Kosmo
12/11/11
No comments:
Post a Comment