Tuesday 8 November 2011

Fauzi tebus maruah keluarga



INDAH...bersama anak dan isteri ketika kunjungan ke Perth, Australia.
INDAH...bersama anak dan isteri ketika kunjungan ke Perth, Australia.
KENANGAN...Fauzi bergambar kenangan bersama pelakon veteran, 

Datuk Sarimah Ahmad selepas program Al-Kuliyyah.
KENANGAN...Fauzi bergambar kenangan bersama pelakon veteran, Datuk Sarimah Ahmad selepas program Al-Kuliyyah. 
 
 
“TERPAKSA berjalan kaki ke sekolah sejauh tiga kilometer dengan seluar compang-camping antara pengalaman yang tidak saya lupakan. Seluar yang bertampal bertahun-tahun tidak berganti, lalu setiap kali berdepan rakan atau guru, saya menekap tangan untuk menutup tampalan kerana malu.

“Kehidupan daif zaman kanak-kanak tanpa kemudahan elektrik, hanya mengharapkan pelita minyak tanah serta menggunakan perigi sebagai sumber air membuatkan saya dan adik-beradik gigih belajar demi menebus maruah keluarga,” cerita perunding motivasi, Fauzi Mustaffa perihal zaman lampaunya.
Cabaran dirasai Fauzi ketika itu lebih mencabar berikutan saudara mara jarang berkunjung ke rumah kerana tahu kesusahan mereka sekeluarga.

Kalaupun tetangga datang, mereka enggan minum kerana khuatir air perigi yang tidak dimasak akan memudaratkan dan masakan emak menjijikkan.

“Kami sekeluarga tidak pernah sedih dengan ‘penghinaan’ sedemikian, sebaliknya menjadikan semua itu sebagai cermin diri untuk mengubah nasib keluarga satu hari nanti.

“Berkat kesungguhan emak dan ayah selalu menekankan pentingnya berpelajaran tinggi, kami adik-beradik selalu berlumba-lumba untuk mencapai keputusan cemerlang dalam pelajaran.

“Alhamdulillah, boleh dikatakan kami semua berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. Abang, kakak dan adik meraih pelbagai jawatan penting seperti jurutera, akauntan dan pakar ekonomi. Inilah pengorbanan ibu bapa yang membesarkan kami,” katanya.

Di sebaliknya, Fauzi tidak menafikan pengorbanan ibunya, Allahyarham Esah Abdullah yang hanya suri rumah tangga sepenuh masa tetapi berjaya membesarkan 15 anak mengetepikan segala kepayahan.

Manakala bapanya pula, Allahyarham Mustaffa Mahmood bergelar guru biasa di daerah Jerteh, Besut, Terengganu membuatkan dia bertekad merealisasi impian untuk berjaya dalam hidup.

“Kini, setelah orang tua kami menghadap Ilahi, saya dan adik-beradik tidak pernah lupa memanjatkan doa buat mereka,” katanya.

Fauzi yang mendapat pendidikan di Universiti Al-Azhar, Mesir mula dikenali menerusi program ‘Aspirasi’ yang disiarkan di TV1 (Radio Televisyen Malaysia) pada 1995.

Seiring minatnya yang mendalam di bidang keagamaan, sememangnya ia sesuai dengan keinginan masyarakat masa kini yang terarah kepada program bercorak keagamaan.

Setahun kemudian, dia mula mengacara program Forum Perdana Ehwal Islam (TV1) selama tiga tahun sebelum dilamar Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) pada 1999, seterusnya menjadi pengerusi bagi program Al-Kuliyyah oleh stesen itu
hingga kini.

Pembabitannya walaupun diikat secara kontrak, namun dia berusaha memantapkan diri menguasai bidang perunding dan motivasi yang mencakupi kekeluargaan, kerjaya dan kemasyarakatan.

Kini namanya mula dikaitkan dengan perubatan secara Islam dan sering dijemput ke Australia, Jordan, Bahrain, Brunei dan Singapura serta turut memberi ceramah agama sesuai pengalaman yang diraihnya lebih 15 tahun di bidang itu.

Fauzi juga terbabit sebagai duta produk makanan dan minuman kesihatan iaitu Jus Tok Guru menerusi syarikat Safran Integrated Marketing dan berbangga kerana mampu melonjakkan perniagaan diasaskan golongan Bumiputera.

Anak kelima daripada keluarga besar itu turut mengakui, antara kenangan terindah yang tidak mungkin dilupakannya adalah berpeluang menemani arwah ibunya mengerjakan umrah di Makkah pada Ramadan 2004 setelah lapan tahun bapanya meninggal dunia.

Saat indah itu dikongsi bersama arwah ibunya yang ketika itu baru sembuh daripada sakit batu karang dan dia bernazar jika pulih daripada kesakitan, mereka berhasrat menunaikan umrah.

“Arwah emak bernazar jika penyakitnya sembuh, dia ingin mengerjakan umrah di samping mengorbankan dua ekor kambing sebagai pernyataan syukur kepada Allah SWT.

“Sepanjang di Makkah, hubungan dengan arwah emak sangat rapat memandangkan saya menguasai bahasa Arab dan hukum-hakamnya, jadi emak menjadikan saya sebagai rujukan.

“Arwah emak pula mengalami lumpuh sebahagian badan dan fizikalnya lebih besar daripada saya, tetapi dengan kuasa Allah apabila arwah emak paut leher saya, terasa begitu ringan badannya.

“Sepanjang umrah itu juga, saya rasa bahagia dan lapang kerana dapat melakukan yang terbaik buat arwah emak,” katanya.

Fauzi turut mengakui, pengalaman ‘direhatkan’ oleh sebuah stesen televisyen akibat salah faham tidak mampu dilupakan. Namun dia menerima dugaan itu dengan penuh sabar serta meminta ibunya melakukan solat supaya dia lebih tenang.

“Arwah emak banyak berdoa untuk kesejahteraan hidup saya. Sepanjang tempoh berehat itu walaupun tidak bekerja, saya menjadi tenang kerana perhatian, kasih sayang, kehebatan doa seorang emak yang sangat mustajab apabila kontrak saya dapat disambung semula di stesen itu.

“Bahkan, rezeki semakin bertambah selepas itu dan tidak tahu bagaimana hendak menggambarkannya melalui kata-kata.

“Sebelum emak meninggal dunia pada 2005, saya rasa tenang biarpun pengorbanan tidak sebesar mana buat orang tua, namun sesuatu yang saya pelajari daripada ‘kehebatan’ seorang ibu yang pernah mengandungkan kita... kasih sayangnya tiada tara. Oleh itu, jagalah hati ibu bapa ketika mereka masih hidup.

“Walau sesibuk mana diri kita, pulanglah menjengah mereka. Apabila mereka sudah tiada, banyakkan bersedekah dan melakukan amal ibadat supaya roh mereka ditempatkan di kalangan insan bertakwa,” katanya.

Dia mengakui, hubungan sesama adik-beradik semakin akrab dan setiap kali Aidilfitri mahupun Aidiladha, walaupun masing-masing berumah tangga, mereka berkumpul di rumah peninggalan arwah ibu bapa setiap kali menjengah kampung halaman.tercinta.



PROFIL:

NAMA: Fauzi Mustaffa
LAHIR: 15 Oktober 1969
ASAL: Besut, Terengganu

JAWATAN: Perunding motivasi (kekeluargaan, kerjaya, kemasyarakatan dan perubatan Islam)

AKADEMIK: Ijazah Sarjana Muda, Universiti Al-Azhar, Mesir
STATUS: Kahwin
ISTERI: Haszlinna Hasnan

ANAK: Luqman Al-Hakim (13), Lutfie Al-Husni (12), Aisyah Al-Humaira (10), Rabiah Al-Adawiah (8) dan Uwais Al-Qarni (dua minggu)

Oleh NORIAH IDRIS
nori@hmetro.com.my
Petikan : Metro Ahad 08/11/11


No comments:

Post a Comment