Tuesday 8 November 2011

Enam sahabat terapung 30 jam akibat bot karam

SUNGAI PETANI: Enam sahabat kaki pancing berdepan detik cemas apabila terapung hampir 30 jam dalam laut dengan berpaut kepada tong minyak dan tong ikan yang diikat pada sebatang rotan panjang sebelum diselamatkan sepasang nelayan suami isteri kira-kira tiga kilometer dari pantai Kuala Kedah, malam kelmarin.

Kegembiraan enam sahabat itu keluar memancing dengan bot yang baru dibeli bertukar mimpi ngeri apabila bot berkenaan karam di perairan Yan berhampiran Pulau Songsong, pada jam 2.45 petang, Sabtu lalu.

Bukan itu saja, enam sahabat yang tinggal berjiran di Taman Semarak, di sini, juga terpaksa menyambut Aidiladha dalam keadaan yang tidak dijangka apabila terapung hampir sepanjang hari, kelmarin.
“Sayu kerana menyambut Aidiladha ketika terapung di tengah-tengah laut,” kata Sairi Ibrahim, 51, seorang daripada mangsa kejadian itu ketika ditemui di sini, semalam.

Selain Sairi, lima lagi rakannya ialah Fatah Yahya, 45, Shafie Saidin, 52, Salleh Hamid, 47, Abdullah Yusof, 56, dan Alang Kasturi, 56.

Menurut Sairi, mereka terapung tidak jauh dari kawasan pantai Yan dan dia dapat melihat rumah penduduk selain mendengar takbir raya dari surau kampung berkenaan.

“Malam itu ketika terapung di laut kami melihat lampu sepanjang pantai dan cuba berenang ke arah daratan, tetapi dihanyutkan semula ke tengah. Ketika itu kami dengar azan dan takbir, tapi lama-kelamaan ia hilang selepas kami dihanyutkan jauh ke tengah,” katanya. Sementara itu, rakannya Fatah, berkata apa yang terlintas dalam kepalanya hanya mati kerana tiada siapa yang dilihat boleh menyelamatkan mereka manakala hari semakin gelap.

“Kami memaut apa saja yang ada dan saya berpaut pada tong minyak,” katanya. Semua mangsa diselamatkan sepasang nelayan suami isteri berhampiran Tukun Kepala Batu Tokong, kira-kira tiga kilometer dari Kuala Kedah. Nelayan terbabit, Abdul Satar, berkata dia bersama isterinya turun ke laut untuk menangkap sotong sebelum terdengar orang menjerit.

“Sebaik terdengar jeritan itu, saya berpatah balik dan terjumpa mereka terapung keletihan. Saya ambil mereka dan beri mereka makan dan minum sebelum dibawa ke daratan ke Balai Polis Kuala Kedah,” katanya. Semua mangsa dibawa rakan mereka ke Hospital Sultan Abdul Halim, di sini, pada jam 1 pagi semalam dan dirawat sebagai pesakit luar.

Harian Metro 08/11/11

No comments:

Post a Comment