|
BAGI yang sudah terbiasa dngan produk tempatan berasaskan bahan
semula jadi, tentu tidak asing apabila melihat jenama Bio-Asli. Cukup
gah dengan rangkaian produk berasaskan herba dan juga minyak kelapa
dara, keluaran milik syarikat Ishak Basiran, 42, itu banyak cerita dan
keistimewaannya.
Namun, di sebalik kejayaannya mencipta hingga 40 produk dan
dipasarkan dalam talian ke 231 buah negara, laluan buat Ishak sebenarnya
tidak bermula dengan mudah. Ia merupakan hasil kerja keras serta usaha
yang tidak pernah putus. Pada awal zaman persekolahan, Ishak kerap ponteng kelas dan hal itu
membuatkan hati ibunya sedikit tersinggung memikirkan masa depan
anaknya.
“Saya ambil upah kupas kelapa setiap kali saya ponteng sekolah. Bila
tiba masa kawan-kawan pulang dari sekolah, saya akan menyorok dalam lori
kelapa tersebut. “Memanglah ketika itu malas sangat hendak belajar, tapi selepas
ditegur oleh seorang lelaki yang juga mengambil upah kupas kelapa sama
seperti saya, ia membuatkan saya sedikit takut akan masa depan dan
bimbang menjadi seperti dia,” imbas Ishak yang berasal dari Sabak
Bernam, Selangor.
Bermula saat itu, Ishak tekad untuk menumpukan sepenuh perhatian
terhadap pelajaran. Setiap malam Ishak akan mengulangkaji pelajaran
bertemankan pelita tanah dan seperti biasa dia tetap akan mengambil upah
mengupas kelapa selepas habis kelas.
Walaupun persekolahan Ishak berjalan lancar selepas itu, tetapi dia
masih gagal mengatasi kelemahan Bahasa Inggeris dan ciri-ciri kepimpinan
dalam diri. Begitupun, berkat usaha yang tidak kenal putus asa,
akhirnya dia muncul sebagai pelajar terbaik Sijil Rendah Pelajaran (SRP)
di sekolahnya.
Sejurus menempatkan diri di Universiti Teknologi Mara (ketika itu
Institut Teknologi Mara), kecintaan Ishak terhadap dunia perniagaan
semakin ketara apabila dia terlibat dengan jualan dari rumah ke rumah
menjual barangan syarikat yang disertainya seperti berus gigi, buku dan
lain-lain.
|
|
“Di kolej pula, saya memang tidak boleh duduk diam, saya akan isi
masa saya menjual nasi lemak dari bilik ke bilik dan pendek kata selagi
saya boleh membuat duit saya akan cuba lakukan,” imbas Ishak. J urutera elektronik Sebagai lulusan Ijazah Sarjana Kepujian Kejuruteraan Jentera, Ishak
menimba pengalaman dahulu dalam bidang tersebut untuk beberapa tahun
sebelum membuka sebuah kilang elektronik di Sabak Bernam pada 1997.
Bermodalkan RM2,600 dan enam orang tenaga kerja, kilang tersebut
mendapat kepercayaan syarikat gergasi Jepun, Tamura Electronics (M) Sdn.
Bhd. untuk pemasangan komponen transformer. Pada awalnya, ia mampu mengaut keuntungan jutaan ringgit setiap bulan
dan secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak
desa Sabak Bernam.
“Kegawatan ekonomi ketika itu menjejaskan prestasi syarikat dan bagi
mengelakkan perniagaan saya terkubur, saya mengambil alternatif lain
dengan melakukan satu lagi perniagaan dengan jenama Desaku. “Desaku diwujudkan pada 2000 dengan produk utama kami merupakan
makanan dan minuman berasaskan bahan-bahan asli orang kampung seperti
buah-buahan tempatan,” katanya yang juga memiliki pengalaman menimba
ilmu sebagai jurutera di Amerika Syarikat (AS) dan Korea.
Masih belum berpuas hati dengan perkembangan perniagaan Desaku, Ishak
lantas cuba berfikir untuk mencipta produk baharu menggunakan herba
ataupun buah-buahan tempatan. Selepas menjalankan beberapa siri penyelidikan dan pembangunan
(R&D), pada tahun 2005 dengan rasminya tercipta minyak kelapa dara
sebagai produk sulung di bawah syarikat baharu Ishak, Bioasli Global
Business. Minyak kelapa dara . Pemilihan minyak kelapa dara dirasakan bertepatan dengan kehendak
perniagaan Ishak yang mahu membawa rangkaian produk tempatan ke
peringkat antarabangsa.
“Kelapa merupakan buah-buahan tempatan yang mengandungi banyak
khasiatnya. Paling menyedihkan, orang kita sendiri tidak tahu akan
keistimewaan buah kelapa tersebut.“Penciptaan minyak kelapa dara membuka mata ramai pihak bahawa isi
kelapa segar itu membantu merawat tubuh badan dan boleh diekstrak ke
dalam bentuk lain untuk tujuan kecantikan dan kesihatan.
“Lebih daripada itu, produk ini boleh digunakan oleh semua orang di
serata dunia. Menerusi aplikasi dalam talian, perniagaan saya lebih
mudah dan berkembang dengan pantas,” jelasnya yang cukup mengagumi
kehebatan herba-herba tempatan.
Kini selepas lima tahun bertapak, minyak kelapa dara keluaran
Bio-Asli terus bertahan dan mendapat permintaan menggalakkan orang ramai
berikutan kualiti serta perkhidmatan yang cemerlang. Selaku usahawan, Ishak tidak mahu Bio-Asli hanya bergantung harap
pada minyak kelapa dara. Oleh itu, dia akan memastikan satu produk
baharu dihasilkan setiap tiga bulan sekali.
Kesemua produk yang dihasilkan itu pula tidak tertumpu kepada
kesihatan sahaja malah ia turut merangkumi kecantikan lelaki dan wanita
seperti losyen, syampu, deodoran dan minyak wangi. Produk untuk keintiman suami isteri yang menggunakan herba
tradisional juga mendapat permintaan dalam kalangan pengguna produk
bioasli terutama produk Brutal yang menjadi pilihan utama kaum Adam.
Orang kampung. Percaya atau tidak, kejayaan yang diciptakan Ishak itu terjadi di
luar bandar dan ibu pejabat serta kilang pemprosesan perniagaannya juga
terletak di Sabak Bernam. Kemudahan perniagaan dalam talian memudahkan segala urusan Bio-Asli
berhubung ke serata negara tanpa perlu bersusah payah ke bandar atau ke
luar negara bagi menghantar produk yang dibeli pengguna.
“Untuk menjadi seorang usahawan, kita tidak perlu bersusah payah
bekerja di bandar kerana sebenarnya kawasan kampung paling banyak
membuka pintu rezeki buat masyarakat kita. “Jika kita lihat, banyak tumbuh-tumbuhan, buah-buahan dan herba-herba
tempatan boleh dikomersialkan menjadi produk bertaraf antarabangsa
namun, anak-anak muda kita lebih suka bekerja di bandar kerana
suasananya lebih mewah dan selesa,” luahnya.
Ishak juga berpendapat bahawa jika pakar-pakar penyelidik pulang ke
kampung halaman dan bersedia menjadi usahawan, sudah tentu Malaysia
sudah menjadi negara yang terkenal dengan pengekstrakan produk tempatan.
Oleh ALIF ABU BAKAR
alif.abubakar@kosmo.com.my
alif.abubakar@kosmo.com.my
Petikan : Kosmo 18/11/2011
No comments:
Post a Comment