RADIO Malaysia Kelantan FM mula beroperasi pada 16 November 1963, dan
sejak itu tidak lagi menoleh ke belakang. Walaupun terpaksa bersaing
dengan kemunculan stesen-stesen radio popular swasta, ternyata ia tidak
menenggelamkan Kelantan FM.
Stesen itu kini mempunyai pendengar seramai 663,000 orang, menurut
kajian terbaru AC Nielsen pada 2011. Hari ini, sejak lima tahun
berturut-turut Kelantan FM merupakan stesen radio Malaysia atau radio
kerajaan yang mempunyai jumlah pendengar radio yang tertinggi.
Radio itu bersiaran di frekuensi 102.9Mhz bagi pemancarnya di
Telipot, 97.3Mhz (Bukit Bakar, Machang), 90.00Mhz (Jeli), 88.1Mhz
(Paloh, Gua Musang), 92.0Mhz (Bukit Chupot, Gua Musang dan 107.1Mhz
(Bukit Bintang, Besut, Terengganu).
Pendengarnya merupakan hampir separuh penduduk Kelantan iaitu yang mempunyai populasi seramai 1.4 juta orang.
Stesen radio itu juga berjaya meraih pendapatan melalui iklan
sebanyak RM2.1 juta pada 2011. Ia merupakan pendapatan tertinggi antara
stesen radio Malaysia.
Semasa melancarkan program baharu Kelantan FM baru-baru ini, Timbalan
Pengarah Bahagian Urusan Rancangan Jabatan Penyiaran, Siti Mohani Saad
menyifatkan kejayaan stesen radio itu adalah sesuatu yang sangat
membanggakan jabatan.
Pada 2008, hasil pendapatannya sebanyak RM1 juta. Ia meningkat kepada
RM1.8 juta pada tahun berikutnya dan terus meningkat kepada RM1.9 juta
pada 2010.
"Jabatan ini sangat berbangga dengan peningkatan hasil pendapatan
iklan Kelantan FM. Ia membolehkan kami mencapai KPI (petunjuk prestasi
utama) iaitu pendapatan sebanyak RM21 juta di seluruh negara pada 2011,"
katanya.
Siti Mohani berkata, langkah Kelantan FM itu wajar dicontohi 33 stesen radio Malaysia yang lain.
"Stesen radio Malaysia yang lain perlu mencari kelainan dan kreatif
untuk mencapai jumlah pendengar yang tinggi dan pendapatan lebih baik,"
kata Siti Mohani.
Pengarah Penyiaran Kelantan, Zainab Yusof berkata, antara resipi
kejayaan Kelantan FM ialah siarannya yang menepati selera pendengar
rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang.
Akok paling popular
Katanya antara program yang popular ialah Apa Khabar Orang Kelantan
(Akok) segmen yang berjaya menambat hati pendengar sejak 10 tahun lalu.
Program itu bersiaran pada pukul 2 petang hingga 6 petang setiap
hari. Akok merupakan aset Kelantan FM yang paling berharga sehingga
mampu menambat lebih 600,000 pendengar ketika ini.
"Akok lebih banyak menggunakan dialek Kelantan, menyebabkan stesen
ini lebih dekat di hati pendengar Kelantan. Segmen ini mampu meraih
pendapatan yang tinggi setiap tahun," katanya.
Beliau berkata, penyampai dengan panggilan Kak Ngah, Kak Wan, Abe Him, Kak Chik dan Kak Nik sangat dekat dengan hati pendengar.
Selain berinteraksi secara terus dengan pendengar, rahsia stesen itu
menambat hati pendengar ialah lagu-lagunya yang ke udara, mampu
menghibur pendengar semua peringkat.
"Penyampai ini kebanyakannya akan bercakap dialek Kelantan dan
diisikan dengan lagu yang pelbagai seperti lagu-lagu berentak retro,
Bollywood, dikir barat dan lagu-lagu terkini.," katanya.
Meremajakan KelantanFM
Mempunyai seramai 69 petugas termasuk 22 penyampai, Kelantan FM kini
mengorak langkah untuk meremajakan semula siaran radio berkenaan.
"Kami merasakan sudah sampai masanya kami memperkenal satu rancangan
baharu khusus untuk golongan muda kerana jika tidak, sudah tentu kami
akan gagal untuk bersaing dengan siaran radio swasta yang lain,"
katanya.
Selaras dengan itu, baru-baru ini Kelantan FM memperkenal rancangan
Cerita Kita Orang Kelantan atau singkatnya Cekok. Mempunyai empat
penyampai muda dan dibantu beberapa penyampai rancangan Akok, Cekok kini
mula berusaha menambat pendengar muda.
Zainab berkata, Cekok sebenarnya lebih menfokus kepada pelajar
institusi pengajian tinggi, para belia yang mendengar radio pada waktu
malam serta mereka yang bertugas pada sebelah malam.
Segmen Cekok itu terbahagi kepada tiga iaitu Gege Gegok (9 malam
hingga 10 malam), Bbaghi (10 malam hingga 11 malam) dan segmen Ngulek
(11 malam hingga 12 tengah malam).
Lagu-lagu dikir barat moden, lagu daerah, lagu pop masa kini yang
sesuai dengan jiwa golongan muda dipertaruhkan kepada golongan sasaran
itu.
"Penggunaan dialek Kelantan dalam rancangan Cekok itu mencetuskan
rasa kemesraan dalam kalangan pendengar, menimbulkan semangat kekitaan
di samping mampu menjadi bahan menyatu padukan antara pendengar tanpa
mengira kaum di negeri ini," kata Zainab penuh harapan.
Zainab yakin program Cekok itu akan mampu mendapat tempat dalam
kalangan pendengar sekali gus mencapai sasaran Kelantan FM untuk meraih
kira-kira seramai 1 juta pendengar tahun depan.
Menyentuh saingan dengan radio swasta lain, Zainab yakin Kelantan FM
sama sekali tidak akan kalah dengan radio swasta. Kelantan FM ada
pendengar setianya.
Siaran Kelantan FM menjangkaui sejauh Merapoh di Pahang, Setiu di
Terengganu, dan selatan Thailand. Siarannya juga boleh didengar melalui
laman web www.kelantanfm.gov.my atau boleh berinteraksi melalui www.facebook.com/kelantanFM. - Bernama
No comments:
Post a Comment