|
DR. NOORIZAH Mohd. Noor dan Dr. Rosniah Mustafa punya cara
tersendiri untuk memberi bimbingan kepada mereka yang ingin mempelajari
bahasa Inggeris.
Apakah pendekatan yang mereka lakukan? Barangkali ini yang pertama
kalinya diaplikasikan, kedua-dua pensyarah Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM) menghasilkan buku mempelajari bahasa Inggeris menggunakan
medium bahasa Melayu.
“Sebelum memutuskan membuat buku ini, saya ada membuat sedikit uji
kaji ketika mengajar. Pada awalnya, saya menggunakan bahasa Inggeris
dalam mengajar tatabahasa Inggeris tapi ada pelajar yang kurang faham.
“Tapi, apabila menggunakan bahasa Melayu untuk menerangkan sesuatu
perkara, ia berhasil maka, bertitik tolak daripada pengalaman itu, saya
dan Noorizah bergabung tenaga menulis buku yang bertajuk Tatabahasa
Inggeris,” kata Rosniah yang juga merangkap Ketua Program Bahasa
Inggeris, UKM ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Ternyata, daya usaha berbaloi dan mendapat sambutan hangat bukan
sahaja dalam kalangan pelajar tetapi, individu yang bersungguh-sungguh
untuk menguasai bahasa Inggeris.
Akui mereka, sejak mula diterbitkan pada tahun 1998, buku Tatabahasa
Inggeris sudah enam kali diulang cetak. Kali terakhir ialah pada tahun
2008.
Buku susulan
Melihat kepada perkembangan positif terhadap buku berkenaan, Noorizah dan Rosniah mendapat idea baharu.
Kali ini, mereka menghasilkan buku bertajuk Kesilapan Tatabahasa
Inggeris pula. Ia masih meneruskan konsep pengajian yang menerangkan
tentang tatabahasa Inggeris dengan bahasa Melayu.
Karya setebal 130 muka surat itu antara lain memberi panduan kepada
pembaca mengenai pelbagai jenis kesilapan yang sering dilakukan tanpa
disedari.
Antara kesilapan yang paling ketara yang dilihat oleh kedua
pensyarah itu ialah kesalahan penggunaan jenis perkataan, penggunaan
tenses (kata kerja menurut waktu), maksud dan ejaan, sentense connectors
(penyambung ayat) dan pemilihan perkataan.
Menariknya lagi, buku yang penuh manfaat itu turut menjelaskan
tentang perbezaan ejaan antara British English dan American English.
Contoh-contoh yang diberi juga dilengkapi dengan penerangan yang mudah difahami.
Mengulas lanjut mengenai kaedah unik yang digunakan, kedua-duanya
mengakui bahawa sebaik-baik pembelajaran bahasa adalah dengan
menggunakan bahasa itu sendiri.
“Bagaimanapun, bagi mereka yang mengalami kesukaran dengan cara
demikian, maka lebih mudah mempelajari bahasa menggunakan bahasa ibunda
atau bahasa lazim yang digunakan.
“Kaedah ini juga penting dalam membina keyakinan diri dan tentunya
lebih mudah memahami sesuatu pelajaran yang disampaikan dalam bahasa
yang biasa dituturkan,” kata mereka senada.
Justeru, kata Noorizah, kedua-dua buku yang dihasilkannya bukan
sahaja sesuai untuk pelajar sekolah menengah tetapi, untuk pelajar
institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk pembaca umum yang menghadapi
masalah dalam kaedah tradisional mempelajari bahasa Inggeris.
petikan : www.kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment