|
MANUSKRIP-MANUSKRIP purba 'dilayan' umpama menjaga pesakit-pesakit di
hospital lima bintang di Institut Buku Patologi yang terletak di Itali.
Institut itu merupakan lokasi paling tersohor dalam menyimpan dan
mengumpul khazanah dan tinggalan manuskrip yang kadangkala tidak dapat
dibeli dengan wang.
Katakan apa sahaja, daripada segulung skrol yang dinamakan Dead Sea
Scrolls hinggalah senaskhah al-Quran yang dikatakan tertua di dunia
tersimpan rapi di institut itu.
"Lihat betapa lelaki miskin ini merana," kata Ketua Jabatan Kimia,
institut itu, Marina Bicchierie ketika dia sedang asyik menguji tahap
pengoksidaan sebuah projek terbaharunya.
Pada masa yang sama, Bicchierie juga khusyuk meneliti carta analisis
saintifik sepucuk surat terakhir hasil tulisan Aldo Moro. Moro ialah
bekas Perdana Menteri Itali yang diculik dan dibunuh oleh parti sayap
kiri dan juga militan di Itali, Red Brigades pada tahun 1978.
Sebenarnya, Institut Buku Patalogi yang didirikan di tengah-tengah
pusat bandar Rom itu telah ditubuhkan sejak tahun 1938 lagi.
Penubuhannya bermatlamatkan untuk memelihara dan mengekalkan bahan-bahan
arkib di seluruh pelosok dunia. Makmal pusat itu terletak di sebuah
lokasi strategik iaitu di sebalik sebuah taman yang berdinding.
"Institusi ini merupakan sebuah pusat yang paling berdisiplin di dunia," kata Bicchierie.
Sebagai pusat penyimpanan material-material purba, ruangnya dipenuhi dengan buku-buku yang 'dicemari' dengan pelbagai penyakit.
Khazanah bernilai
Salah satu daripada simpanan yang begitu bernilai ialah sebuah buku
berlubang yang saiznya sebesar penumbuk. Buku itu beritahu Bicchierie,
telah dimakan oleh anai-anai.
Namun, terdapat andaian dan teka-teki lain di sebalik 'paras rupa'
buku itu. Antara pendapat yang dikemukakan oleh sesetengah pihak ialah
lubang itu terjadi disebabkan oleh tembakan peluru yang disasarkan pada
Zaman Pertempuran Monte Carlo yang meletus ketika kehangatan Perang
Dunia kedua.
Mengulas lanjut mengenai Institut Buku Patologi yang menjadi
kebanggaan Rome itu kata Bicchierie, ia telah menjadi pusat sehenti
paling utama dalam mendapatkan rujukan buku dan bahan arkib yang
dikembali dan dipulihkan semula di Itali.
Kakitangan institut itu sentiasa sibuk dan tidak menang tangan.
Terkini, mereka sedang menjalankan kaji selidik dan pemulihan terhadap
manuskrip al-Quran yang dijumpai di Sanaa, Yemen.
Serpihan-serpihan naskhah suci itu harus disatukan secara
berhati-hati. Hasil kajian awal mendapati, al-Quran itu adalah tinggalan
manusia sekitar abad kelapan lalu.
Daripada banyak penyelidikan yang dilakukan oleh pakar-pakar institusi itu, mereka menemui satu penemuan yang pelik.
Cerita Ketua Jabatan Biologi institut itu, Flavia Pinzari,
pakar-pakar di sana dikatakan berminat untuk mendermakan darah mereka
setelah hasil eksperimen mereka mendapati sebotol dakwat dengan darah
manusia telah digunakan ke atas skrol yang dikenali sebagai Dead Sea
Scrolls.
Kaedah itu disifatkan sebagai satu idea yang bernas lagi berkesan
kerana ia berjaya membantu menstabilkan warna ke atas skrol berkenaan.
"Namun, masalah utama yang saya dapati ialah apabila material itu terdedah dengan air, haba, debu dan serangga," kata Pinzari.
Projek itu dikatakan memakan masa yang agak lama untuk diselesaikan.
Ia akan menjadi lebih teruk jika terdapat campur tangan daripada pihak
tertentu.
Kumpulan pakar
"Susulan kejadian banjir di Tuscany baru-baru ini, institusi kami
telah dipanggil oleh pihak berkuasa tempatan untuk membantu mereka
menyelamatkan bahan-bahan arkib yang telah rosak akibat banjir.
"Kita telah mohon kepada mereka membekukan setiap material supaya ia
dapat mengelak dakwat daripada terus cair dan mengelak pembiakan
mikroorganisma. Dengan cara itu, kita akan mengewap buku-buku daripada
terus musnah akibat air," jelas Pinzari.
Sesungguhnya, Institut Buku Patologi itu sangat berwibawa. Mereka
yang berkhidmat di sini bukan orang sebarangan. Sebaliknya, menyatukan
ramai saintis, pakar-pakar kesusasteraan serta pekerja-pekerja mahir
yang mempunyai kemahiran unggul dalam mengendalikan buku-buku
tradisional atau lama.
Buku-buku jenis itu bukan mudah untuk dipulihkan. Setiap daripada
pakar mempunyai kepakaran mengikat buku daripada terus dimamah usia.
Kumpulan pakar itu juga menggunakan mikroskop x-ray dalam setiap
kerja-kerja mereka. Namun, pada masa yang sama mereka masih konvensional
apabila masih mengguna pakai peralatan seperti penyepit, mesin
pencetakan lama dan jentera khas yang dapat mengesan kertas atau
manuskrip palsu. - AFP
Petikan Rencana Utama Harian Kosmo : www.kosmo.com.my 10/01/2012
No comments:
Post a Comment