|
KAMI tergamam. Lereng-lereng Gunung Merapi yang menjadi kebanggaan
warga Yogyakarta, Indonesia diselaputi debu. Wajah wilayah itu sudah
menjadi seperti sebuah lautan abu.
Tiada apa yang ada di bahu kiri dan kanan jalan kecuali batuan besar
berwarna hitam kelabu. Ibarat kata rakan penulis, batuan yang berselerak
di segenap sudut jalan seolah-olah menggambarkan ia seperti 'dicampak'
dari langit.
Ya, penulis merasakan seperti 'terperangkap' dalam dunia hitam putih
biarpun hampir sudah setahun ia berlalu. Sesungguhnya, muntahan isi
perut dan semburan awan panas Merapi telah mengubah atmosfera wilayah
itu menjadi tandus dan kering.
"Dulu, sepanjang jalan di sini terdapat banyak rumah namun, selepas
Merapi meletus, tiada apa-apa yang tinggal kecuali rangka rumah dan
beberapa batang pokok," kata pemandu pelancong kami, Ardi, 40-an, yang
tiba-tiba menyergah lamunan kami yang sedang larut memerhati keadaan
sekeliling dari dalam van dipandunya.
Seawal perjalanan, anak jati Yogyakarta yang bersusuk sederhana itu
berat untuk berkata-kata. Apabila dia bersuara, penulis percaya dari
lubuk hatinya yang terdalam, dia menyimpan satu kisah duka tentang
Gunung Merapi.
Penulis lantas bertanya tetapi, Ardi sedikit pun tidak bertindak
balas. Penulis kemudian menoleh ke arahnya. Ternyata, ada raut kepiluan
di wajah Ardi. Melihat keadaan itu, niat tadi terus dilupakan.
Seketika kemudian, dengan nada serak-serak basah Ardi berkata: "Maaf,
sehingga kini saya tak tahu di manakah saudara-mara saya, adakah mereka
sudah hidup atau mati? Nafas saya hampir terhenti ketika itu. Tragedi
itu bukan momokan. Ia seolah-olah sedang membunuh jiwa saya secara
perlahan-lahan."
Ardi terus merintih. Hatinya bagaikan sedang menjerit. Kami
memberinya ruang waktu untuk meluahkan rasa yang terpendam. Pada
perenggan terakhir, dia menitiskan air mata. Kami yang terbuai dengan
cerita sedihnya, kaku seketika.
Ya, bukan sahaja Ardi tetapi, perasaan lelaki itu turut dikongsi
dengan ribuan penduduk yang tinggal berdekatan dengan gunung yang
berketinggian 2,968 meter (m) itu.
Letusan Gunung Merapi yang menghamburkan debu dan awan panas pada 26
Oktober 2010 sememangnya telah mengejutkan seluruh alam semesta.
Penangan gunung yang telah meletus sebanyak 69 kali semenjak tahun
1548 bukan calang-calang. Kalau tidak, masakan ia mendapat jolokan
sebagai 'gunung berapi dekad ini'.
Akibat amukan gunung berapi aktif di Indonesia itu, 353 mangsa
menemui ajal termasuk menghentikan denyut nadi seorang wartawan,
Yuniawan Wajyu Nughroho yang berkhidmat di Vivanews.com.
Bagaimanapun, yang paling menggamit perhatian umum ialah cara
jurukunci Gunung Merapi, Mbah Maridjan menghembuskan nafasnya. Kematian
'perwira' yang dipuja di Jawa Tengah itu mencetuskan kegemparan apabila
jenazahnya dijumpai dalam keadaan bersujud.
Jual VCD
Sudah hampir setahun lebih peristiwa ngeri itu berlalu. Sebenarnya,
mengikut perancangan asal, penulis bersama rakan-rakan lain ke kota
pelancongan, Yogyakarta semata-mata untuk bertemu setelah sekian lama
tidak bersua.
Bagaimanapun, penceritaan salah seorang pekerja hotel di sana tentang
keadaan terkini gunung itu telah menyalakan ghairah kami untuk ke sana.
Jarak dari bandar Yogyakarta ke kawasan Gunung Merapi kira-kira 40
kilometer (km). Justeru, kami memutuskan untuk mendapatkan khidmat
pemandu pelancong, Ardi.
Kami dibawa melewati kesan Merapi di kaki gunung terlebih dulu. Sulit untuk penulis menggambarkan bagaimana wilayah itu.
Namun, cuaca yang mencecah hampir 38 darjah Celsius ketika itu
mendorong penulis berfikir bahawa Yogyakarta umpama baru dilanda perang
yang dahsyat.
Kediaman hampir lenyap, yang bertahan cuma beberapa pokok kelapa yang
boleh dihitung dengan jari. Terdapat dusun buah-buahan di zon itu
sebelum ini. Namun kata Ardi, ia telah menjadi rata dek lahar, lumpur
dan batu-batu yang dimuntahkan oleh Merapi.
Ribuan manusia yang sebelum ini melayari hidup dengan penuh
kegirangan di kampung-kampung di kaki gunung sudah lari entah ke mana.
Wilayah itu begitu sugul.
Kami mengecilkan langkah. Ardi pula mengasingkan diri. Dia dilihat seperti sedang bertafakur. Nampaknya, musibah yang berlaku telah membangkitkan keberangan
penghuni di sana. Ia dapat digambarkan dengan luahan perkataan 'korupsi
pembawa bencana' yang terpampang di dinding tinggalan runtuhan bangunan.
"Ibu, belilah VCD (cakera padat video) Mbah Maridjan ini, dia sudah
meninggal tapi kenangan Mbah ada dalam VCD ini," kata seorang wanita
yang tiba-tiba muncul di hadapan kami seraya memegang VCD bertajuk
Dahsyatnya Erupsi Merapi Lahar Dingin 2010-2011.
Kata rakan penulis, Inggried Dwi Wedhaswary, kebanyakan penghuni yang
tinggal sehelai sepinggang terpaksa menggunakan pendekatan seperti itu
demi kelangsungan hidup.
Bangkit
|
|
Jejak kami diteruskan ke puncak Gunung Merapi. Angin langsung tidak
menyapa. Itu semua kerana tumbuhan hijau yang tumbuh melata dan hidup
subur sebelum ini sudah hilang dari pandangan.
Kesungguhan penghuni kaki gunung itu menyebabkan penulis mengakui mereka menemui semangat baharu untuk meneruskan hidup.
Mereka tidak terus-menerus meratapi kesedihan. Setiap penghuni mempunyai iltizam yang sungguh luar biasa.
"Mengapa tidak kami bangunkan kawasan ini, sebelum ini gunung ini
sudah terkenal dalam kalangan pendaki dan selepas ia meletup, ia makin
popular dan kami boleh mencari rezeki dengan itu.
"Kami berbangga untuk menonjolkan kepada dunia bahawa kami adalah
penghuni gunung berapi teraktif di dunia yang berusia lebih 400,000
tahun," kata seorang penduduk yang terselamat, Aden, 31.
Kami diminta membayar yuran RM1 oleh penduduk yang dilantik sebelum
menuju ke puncak. Kutipan tiket kata Aden, adalah untuk memenuhkan dana
Jasa Pengelolaan Wisata Alam Erupsi Merapi 2010.
Jika berhasrat untuk melihat lebih dekat puncak dan tapak bekas rumah
Mbah Maridjan pula, pengunjung perlu membayar RM7 untuk mendapatkan
perkhidmatan motosikal.
Ada yang lebih menarik perhatian di sana. Penduduk dilihat bertungkus
lumus menyiapkan sebuah masjid bagi menggantikan Masjid Al Amien yang
musnah akibat letusan.
Untuk mengenang mangsa korban pula, penduduk membangunkan sebuah
galeri menempatkan gambar-gambar mangsa yang terkorban. Ya, ada wajah
kegembiraan dalam kalangan penjaja apabila mereka dikerumuni dengan
ramai pelancong.
"Kisah sedih ini tidak akan hilang begitu saja. Kami yang masih
menetap di lereng gunung ini bukan bererti menyerah diri untuk mati.
Kita bertekad untuk mendengar kata pemerintah sekiranya ditakdirkan
berlaku sekali lagi bencana," kata Aden yang memboncengkan penulis ke
rumah Mbah Maridjan.
Petikan Rencana Utama Kosmo : www.kosmo.com.my 10/01/2012
No comments:
Post a Comment