JUJUR saya katakan, saya tidak begitu teruja ketika menerima pelawaan
seorang teman untuk melawat Sepanyol pada penghujung tahun lalu. Pada mulanya, saya agak keberatan meneruskan percutian itu. Bagi
saya, negara itu seakan-akan tiada bezanya berbanding negara-negara
Eropah seperti Perancis, Scotland dan United Kingdom yang pernah
dilawati sebelum ini.
Atas dasar persahabatan, akhirnya saya bersetuju untuk mengikutinya
sambil berharap untuk menemui sesuatu yang boleh dijadikan kenangan
manis. Cuaca dingin menyambut kami sebaik menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Barajas-Madrid di Madrid.
Tempoh penerbangan panjang iaitu hampir 24 jam termasuk transit
selama beberapa jam di Doha, Qatar membuatkan kami lebih selesa berehat
sahaja di hotel.
Keesokannya, selepas tubuh kembali bertenaga, barulah kami berpeluang melihat sisi ibu negara Sepanyol itu dengan lebih dekat. Madrid yang dihuni lebih 3.3. juta penduduk tidaklah sepadat kota-kota lain di Eropah.
Di sana, kami sempat melawat ke beberapa lokasi pelancongan popular.
Antaranya ialah Plaza Mayor, Istana Madrid dan Temple of Debod, iaitu
kuil purba Mesir yang dibina semula selepas dipindahkan dari lokasi
asalnya di Mesir.
Kami juga sempat melihat persembahan tarian flamenco yang sangat terkenal di negara itu.
Persekitaran bersih
Satu yang saya harus puji mengenai Madrid, persekitarannya sangat
bersih dan tenang. Kehadiran bangunan-bangunan peninggalan zaman
Renaissance yang terus kekal terpelihara sehingga kini jelas
menyerlahkan pesona kota itu.
Seterusnya, kami meneruskan pengembaraan ke Toledo dengan menaiki
kereta api laju yang mengambil masa kira-kira 35 minit dari Madrid.
Sebuah bandar lama yang menyimpan pelbagai khazanah kegemilangan
kerajaan Sepanyol satu ketika dahulu, ia kini diiktiraf sebagai Tapak
Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 1986.
Kami kemudiannya meneruskan lawatan ke beberapa lokasi menarik di
situ. Antaranya, Polerta del Sol, sebuah kota lama yang terletak
bersebelahan Sungai Targus.
|
|
Peluang tersebut digunakan untuk melihat sisi kota lama yang dibina
pada zaman empayar Roman itu sepuas-puasnya. Malah, kami juga sempat
membeli cenderamata untuk dibawa pulang sebagai kenang-kenangan.
Kami tinggalkan Toledo menuju ke Madrid hanya setelah malam menjelma.
Keesokan harinya, kami meneruskan pengembaraan ke Granada dengan menaiki bas.
Seperti Toledo, Granada juga kaya dengan warisan sejarahnya dan merupakan antara tarikan utama pelancong ke Sepanyol.
Dikenali sebagai Andalusia, ia merupakan antara pusat pentadbiran
kerajaan Islam terawal di Eropah di bawah pemerintahan Moor Sepanyol.
Kegemilangan kerajaan Islam memuncak ketika di bawah pemerintahan
Dinasti Nasrid yang menguasai seluruh Semenanjung Iberia sehingga ke
Cordova.
Ketika itu, Andalusia menjadi pusat perdagangan dan penyebaran ilmu Islam terulung di Eropah.
Bagaimanapun, kota itu tumbang kepada kuasa monarki Katolik pimpinan
Ferdinand II dan Isabella I selepas Perang Granada pada tahun 1492.
Hari ini, pengaruh Islam dan Moor masih boleh kelihatan di segenap
sudut kota itu. Malah di situ juga terdapat sebuah perkampungan yang
dihuni oleh masyarakat Islam dikenali sebagai Al-Baicin.
Tidak jauh dari kota itu, terletaknya Alhambra, iaitu sebuah kompleks
istana yang dibina pada kurun ke-14. Kompleks itu juga kini diiktiraf
sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.
Pengembaraan kami di Grenada diteruskan ke kawasan pergunungan Sierra
Nevada, iaitu sebuah tempat luncur salji terkemuka di Sepanyol.
"Aku dah lama mengidam nak meluncur, selama ini asyik tengok dan main
salji saja bila mel
Biarpun kerap kali tersembam ke tanah, namun saya puas. Lagipun
bayaran untuk menyewa peralatan, pakaian dan kelas meluncur tidaklah
semahal yang disangkakan.
Selepas bermalam beberapa hari di Granada, kami meneruskan perjalanan
ke Barcelona dengan menaiki pesawat. Gara-gara mahu mendapatkan hotel
murah kami terpaksa bermalam di Sitges.
"Ini dah macam berulang-alik dari Seremban ke Kuala Lumpur," kata
teman saya, tatkala kami mendaftar masuk di hotel berkenaan yang memakan
masa hampir 50 minit dari Barcelona.
Disebabkan itu, aktiviti kami di bandar raya itu agak terhad. Peluang
yang ada digunakan untuk melawat beberapa tarikan pelancongan seperti
Park Guell, sebuah taman rekaan arkitek terkenal, Antonio Gaudi.
Keunikannya terdapat pada koridor-koridor yang dibina mirip pokok
palma dan binaan yang dihiasi jubin mozek berwarna-warni serta dihiasi
sebuah bangku panjang melingkar seperti ular di laman utama taman itu
yang menjadi tumpuan pengunjung beristirehat.
Kami juga sempat melawat Katedral Barcelona yang terkenal serta La
Rambla, iaitu kawasan pejalan kaki yang terkenal di tengah bandar
Barcelona.
Kawasan sepanjang 1.2 kilometer dibarisi oleh pokok-pokok yang
rendang itu menjadi tarikan pelancong dan juga rakyat tempatan kerana
dipenuhi dengan deretan restoran, kedai kopi dan gerai cenderamata.
Bandar diraja
Pada akhir pengembaraan, kami kembali semula ke Madrid. Kali ini bandar diraja Seville menjadi destinasi kunjungan.
Antara destinasi menarik yang harus dilawati di sini ialah Alcazar,
iaitu sebuah istana yang dibina oleh Al-Ramn III pada tahun 913 Masihi.
Istana itu terbahagi kepada beberapa bahagian utama iaitu The
Ambassadors Room, Horse Shoe, The Hunting Patio, The Plaster Patio,
Patio of the Maidens, Rooms of Charles V dan The Patio of the Dolls.
Keindahan Alcazar tidak sekadar terletak kepada pengaruh seni bina
Moor dan Eropah yang mendasari segenap sudut malah kewujudan taman-taman
dan pancuran air di sekelilingnya.
Beberapa bahagian istana itu juga dibuka kepada orang awam untuk
melihat pelbagai arca, potret dan peninggalan warisan keluarga diraja
Sepanyol dari dahulu sehingga kini.
Kami seolah-olah tidak menyedari tempoh kembara 10 hari kami di
seluruh pelosok Sepanyol berakhir jua. Ternyata, persepsi saya berubah
tatkala meninggalkan negara itu. Percutian kali ini tidak sia-sia kerana
ia memberikan pengalaman bermakna.
Petikan rencana dari Kosmo melalui : www. kosmo.com.my 07/01/2012
No comments:
Post a Comment