|
|
BRENTWOOD, Amerika Syarikat (AS) - Sikap tekun dan tidak berputus asa
dalam menimba ilmu akhirnya membuahkan hasil kepada seorang pelajar
perempuan tidak berumah, Samantha Garvey.
Baru-baru ini, Garvey, 17 dan keluarganya ditawarkan menduduki sebuah
kediaman tiga bilik oleh pentadbiran daerah ini, negeri New York pada
kadar sewa yang amat rendah.
Tawaran tersebut dibuat selepas dia berjaya mara ke peringkat separuh akhir pertandingan sains berprestij Intel di AS.
Sebelum ini, mereka tinggal di sebuah pusat perlindungan untuk
golongan tidak berumah di sini. Selain kediaman, pelbagai pihak turut
menghulurkan derma bagi meringankan beban keluarga miskin berkenaan.
"Ini adalah perkara paling hebat yang pernah berlaku kepada diri
saya," kata Garvey dalam satu sidang media bersama ibu bapa dan dua
adik- beradiknya serta beberapa ahli politik tempatan kelmarin.
"Inilah apa yang kami mahukan selama ini," tambahnya.
|
|
Dia adalah antara 300 remaja di seluruh AS yang berjaya mara ke
separuh akhir pertandingan sains berkenaan pada minggu ini. Finalis
pertandingan tersebut pula akan diumumkan pada akhir bulan ini.
Garvey yang merupakan pelajar senior Sekolah Tinggi Brentwood
bercita-cita untuk menjadi seorang ahli sains marin. Dia sudah memohon
untuk memasuki Universiti Yale dan Brown untuk meneruskan pelajaran ke
peringkat ijazah.
Gadis berkenaan diusir bersama keluarganya dari kediaman mereka
menjelang tahun baharu selepas bapanya tidak mampu membayar ansuran
bulanan rumah mereka.
Bapa Garvey, Leo bekerja sebagai pemandu teksi manakala ibunya, Olga
tidak dapat bekerja selepas terbabit dalam kemalangan kereta pada
Februari lalu.
Menurut broker hartanah tempatan, sebuah kediaman dengan tiga bilik
tidur di lokasi berkenaan berharga sekitar AS$291,000 (RM911,702)
manakala sewanya pula adalah sekitar AS$1,800 (RM5,639) sebulan. - AP
Petikan Kosmo! Online : www.kosmo.com.my 15/01/2012
No comments:
Post a Comment