CAMBRIDGE, England - Ahli fizik tersohor, Stephen Hawking jatuh sakit
dan terlalu lemah untuk menghadiri persidangan bagi meraikan hari ulang
tahun kelahirannya yang ke-70 kelmarin tetapi dalam satu rakaman mesej,
beliau mengulangi gesaan agar manusia menjelajah dan menakluki planet
lain.
Naib Canselor Universiti Cambridge, Leszek Borysiewicz memberitahu
hadirin bahawa Hawking yang hampir lumpuh sepenuhnya kerana menghidap
penyakit saraf Lou Gehrig, telah dibenarkan keluar dari sebuah hospital
kerana menghidap penyakit yang tidak didedahkan.
Namun, dalam ucapan beliau yang dirakam, Hawking merayu agar manusia
menjelajah planet lain kerana percaya mereka berdepan masa depan yang
suram di Bumi.
"Saya tidak fikir kita (manusia sejagat) akan dapat terus hidup untuk
1,000 tahun akan datang tanpa menjelajah keluar dari planet Bumi yang
rapuh ini," katanya.
Ucapan beliau mempesonakan para pelajar dan saintis yang berhimpun di Dewan Lady Mitchell, Universiti Cambridge di sini.
Rakan-rakan saintis yang berada di dewan berkenaan termasuk pemenang
Hadiah Nobel, Saul Perlmutter dan ahli astronomi terkenal Martin Rees
menyifatkan Hawking sebagai antara ahli fizik paling utama selepas
mendiang Albert Einstein.
"Hawking mengubah pemahaman kita tentang ruang dana masa, lubang hitam dan asal-usul cakerawala," kata Borysiewicz.
Buku A Brief History of Time tentang teori astrofizik yang ditulis
oleh Hawking dan diterbitkan pada 1988 telah dijual berjuta-juta naskhah
setakat ini. - Agensi
Petikan Kosmo! Online - Dunia
www.kosmo.com.my
10/01/2012
No comments:
Post a Comment