|
SYAHDU dan mententeramkan. Dua perasaan itu pasti terbit daripada
lubuk jiwa sesiapa sahaja yang mendengar alunan bacaan ayat-ayat suci
al-Quran oleh seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun itu.
Raut wajahnya cukup tenang, tiada sekelumit resah timbul tatkala
melagukan ayat-ayat al-Quran yang dibacanya. Bagi mencapai tahap
tersebut, Nurussyahamah Taqiah Nurunnajmi perlu akur bahawa zaman
kanak-kanaknya tidak pernah serupa dengan sahabat-sahabatnya yang lain.
Sejak berumur empat tahun, dia yang selesa dipanggil Syahamah diasuh
mengenali huruf-huruf dalam kitab al-Quran. Pada usia enam tahun,
Syahamah berjaya khatam al-Quran secara bertajwid.
Menguasai teknik berlagu pada umur lapan tahun, Syahamah tidak pernah
rasa terpaksa sepanjang tempoh pembelajaran al-Quran yang kini telah
meletakkannya sebagai qariah muda kebanggaan negara.
"Saya mengaji hari-hari dan pada waktu cuti sekolah, saya akan
mengaji sebanyak dua atau tiga kali sehari. Bagi saya, mengaji al-Quran
tidak susah jika kita benar-benar menjiwainya,'' kata Syahamah ketika
ditemui baru-baru ini.
Syahamah juga tidak lokek berkongsi tip untuk menjadi qariah yang
baik. Seseorang itu katanya, perlu tahan dengan cabaran dan perlu
belajar bersungguh-sungguh. Pada peringkat awal belajar al-Quran, dia
juga pernah menangis sebab dimarahi bapanya kerana tidak dapat membaca
dengan betul. Bapanya merupakan seorang guru mengajinya.
Kebolehan Syahamah sebagai qariah terbit selepas dia berjaya menjadi
johan untuk pertandingan tilawah al-Quran peringkat negeri Terengganu
pada tahun 2007 dan 2008.
Detik itu menjadi permulaan buat anak kedua daripada empat beradik
itu untuk terus menempa nama sehingga berjaya mendapat gelaran naib
johan pada pertandingan tilawah al-Quran peringkat kebangsaan pada tahun
2010.
Kemuncak karisma Syahamah selaku qariah muda terlihat apabila beliau
menjadi wakil tunggal negara ke Pertandingan Akhir Tilawah Al-Quran
Kanak-Kanak Peringkat Antarabangsa di Doha, Qatar, pada Ogos tahun lalu.
Daripada 63 peserta di seluruh dunia, Syahamah terpilih dalam
kelompok tiga terbaik bagi bersaing pada peringkat akhir. Pertandingan
itu dianjurkan oleh Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Qatar dengan
kerjasama saluran kanak-kanak stesen televisyen, Al-Jazeera.
Walaupun memenangi tempat ketiga, Malaysia perlu berbangga kerana
Syahamah menjadi satu-satunya peserta perempuan pada peringkat akhir
tersebut.
Sebelum terbang ke Doha, Syahamah terlebih dahulu melancarkan bacaan
al-Qurannya dengan bergurukan johan Tilawah al-Quran Peringkat
Antarabangsa 1999, Che Yahya Che Daud di Kota Bharu, Kelantan.
Dalam kesibukan masyarakat bercerita kejayaan Syahamah, bekas pelajar
Sekolah Kebangsaan Lubuk Kawah, Jerteh, Terengganu itu bercita-cita
menjadi seorang doktor.
"Saya mahu membantu orang ramai sekiranya suatu hari nanti saya
berjaya bergelar seorang doktor," ujarnya yang kelihatan sedikit malu
saat ditemu ramah.
Walaupun Syahamah tidak seperti kanak-kanak lain yang memenuhi masa
lapang mereka untuk bermain, beliau mempunyai alternatif tersendiri bagi
menghiburkan dirinya.
"Membaca buku cerita dan berenang merupakan aktiviti kegemaran saya.
Selain itu, jika ada kelapangan, saya suka melayari internet dan
berhubung dengan rakan-rakan di laman sosial Facebook serta menonton
video-video menarik di YouTube," jelasnya yang juga merupakan salah
seorang peserta program Adik-Adikku yang akan disiarkan di TV1.
Tidak banyak kerenah dan mudah diuruskan, bapa Syahamah, Nurunnajmi
Yaacob, 40, memberitahu, anaknya itu sangat mendengar kata dan mempunyai
karakter yang sedikit berbeza berbanding anak-anaknya yang lain.
"Syahamah agak pendiam dan pemalu, tetapi dia bukan jenis pendiam
tidak bertempat. Sekiranya dia ada sebarang masalah, dia akan
berterus-terang cuma dia tidak petah bercakap.
"Biarpun pendiam, dia tidak segan mewakili sekolahnya dalam
pertandingan pidato dan apabila berada di atas pentas, dia seperti
menjadi orang lain," kata guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan
Seri Payung, Besut, Terengganu itu.
Dulu pendiam
Tambah Nurunnajmi, personaliti Syahamah yang dahulunya lebih suka
berdiam diri kini berubah sedikit demi sedikit selepas penglibatannya
dalam program Adik-Adikku anjuran RTM.
Dalam program tersebut, Syahamah banyak didedahkan dengan
teknik-teknik berkomunikasi dengan betul dan mendedahkan dirinya untuk
bergaul dengan orang ramai.
Ibu kepada Syahamah, Sauzan Ibrahim, 39, pula menyifatkan anaknya itu
seorang yang sangat bertanggungjawab dan berdisiplin dalam menguruskan
diri.
Menurut Sauzan, Syahamah tahu tugasnya sebagai pelajar. Walaupun
letih selepas memenuhi jemputan tilawah, dia pastikan melunaskan
kerja-kerja sekolahnya sebelum ke sekolah keesokan harinya.
Buktinya, jika Syahamah benar-benar letih dan tahu kerja sekolahnya
masih belum disiapkan, dia akan berpesan kepada ibu dan bapanya supaya
mengejutkannya pada pukul 3 atau 4 pagi untuk menyudahkan tugasannya.
"Begitu juga dengan kelas tambahan, kadang-kadang kami beri dia
kebenaran untuk dia tidak pergi ke kelas tersebut jika dia terlalu
letih, tapi dia tetap ingin pergi.
"Syahamah bijak mengimbangi hidupnya sebagai pelajar sekolah dan
memenuhi jemputan tilawah walaupun dia masih muda," ujar guru Matematik
di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Wataniah, Alor Keladi, Besut itu.
Bakat pidato Syahamah juga tidak menghampakan biarpun dia baru sahaja
berjinak-jinak dalam lapangan itu ketika berada di Tahun Enam.
"Pada masa itu, cikgu mencari sukarelawan yang mahu mewakili sekolah
dalam pertandingan pidato, saya dengan rela hati menawarkan diri,"
jelasnya yang memiliki kehendak kuat terhadap sesuatu yang digemarinya
dan akan bersungguh-sungguh melakukannya.
14/01/2012
No comments:
Post a Comment