|
RASA-RASANYA, tiada satu pun produk Proton Holdings Berhad (Proton)
yang tidak pernah mendapat perhatian meluas. Selaku pemegang status
pengeluar kereta nasional, Proton sentiasa mendapat penilaian kritikal
daripada pengguna Malaysia.
Pasti semua masih ingat ketika Proton mengeluarkan kenderaan serba
guna (MPV) pertamanya pada tahun 2009. Pada masa itu, ramai ‘pakar’
automotif yang tampil beri pandangan. Dalam blog, di kedai kopi, malah
di dalam bilik pameran Proton, macam-macam komen diberikan tentang MPV
tersebut.
Kutukan paling keras pastinya terhadap kemampuan enjin Campro CPS 1.6
liter itu. Tidak dapat dinafikan bahawa enjin itu memang kurang
berkuasa. Kalau hendak berlumba dengan kereta lain di lampu isyarat,
baik lupakan sahaja. Tetapi, kalau sudah meluncur di atas lebuh raya,
kuasanya boleh tahan juga sebenarnya.
Masalahnya, ada juga MPV lain yang kurang kuasa dan guna plastik
murah untuk bahagian dalamannya, tetapi tidak pula kita kecoh
lebih-lebih.
Pertengahan Disember lalu, Proton memperkenalkan dua varian terbaharu
Exora. Dikenali sebagai Exora Bold Premium dan Exora Prime, ada banyak
perkara yang membuatkan saya menyatakan inilah MPV terbaik untuk takat
harga di bawah RM100,000.
Kedua-dua Exora itu bukan sekadar varian tambahan saja-saja dengan
sedikit pembaharuan. Sebaliknya, ia menjadi model pertama Proton yang
menerima unit enjin Campro turbo atau CFE (Charge Fuel Efficiency).
Enjin turbo itu sememangnya sudah lama ditunggu-tunggu. Semua orang mahu
tahu sejauh mana berkuasanya enjin turbo buatan Proton.
Sebelum anda menjadi teruja tidak tentu pasal, harus saya ingatkan
bahawa Campro CFE ialah unit enjin dengan sistem soft turbo. Maksudnya,
turbo bertekanan rendah. Turbo sebegini biasanya menggunakan unit
pendesak turbo yang kecil. Kuasa kuda yang dihasilkannya juga rendah.
Namun, apa yang penting ialah teknologi itu digunakan untuk mendapatkan
tork lebih tinggi.
Harus tahu juga bahawa enjin CFE bukannya unit enjin CPS yang
ditambah dengan turbo. Sebaliknya, 70 peratus komponen yang membentuk
CFE adalah baharu. Hasilnya, enjin itu mampu menjana kuasa sehingga
138hp @ 5,000rpm dan tork puncak 205nm pada putaran enjin serendah
2,000rpm - 4,000rpm.
“Menerusi enjin 1.6 liter CFE yang lebih cekap, pelanggan akan rasa
lebih prestasi seperti enjin bersesaran 2.0 liter tetapi pengguhaan
bahan api menjimatkan.
“Varian ini juga menawarkan gayaan yang eksklusif dan elegan,
disertakan bersama kualiti pengendalian Lotus. Malah, ia dipakejkan pada
harga yang berpatutan jika dibandingkan dengan kenderaan sekelas
dengannya,” kata Pengarah Urusan Kumpulan Proton Holdings Berhad, Datuk
Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.
Selepas sesi uji pandu yang diadakan oleh pihak Proton ke Tanjung
Jara, Dungun di Terengganu baru-baru ini, boleh disimpulkan bahawa
matlamat itu dapat dijayakan dengan baik. Hantaran kuasa yang ditawarkan
oleh Campro CFE terasa lebih cepat dan tidak membuatkan enjin mengaum
secara berlebihan.
Kalau enjin Campro CPS boleh membuatkan sesetengah orang sakit jiwa
dengan low end torque yang dihasilkannya, Campro CFE seakan-akan sudah
menyelesaikan masalah itu dengan agak cemerlang.
Kotak gear CVT
Campro CFE digandingkan bersama kotak gear CVT. Transmisi CVT itu
bukannya yang sama dengan kotak gear CVT pada model Saga FLX. Tetapi ia
merupakan kotak gear CVT baru yang dikenali sebagai CVT3 yang dibina
khas buat model Exora Bold Premium dan Prime.
Jadi, seperti biasa ia menawarkan pertukaran gear yang lancar dan
tanpa senggukan. Tetapi kalau kelancaran itu tidak memuaskan hati anda,
jangan lupa tekan butang SAT (Stepped-Automatic Transmission) yang ada
pada perumah tuil gear. SAT berfungsi memberikan sedikit rasa gear
ditukar untuk pemanduan lebih sporty.
Kualiti kawalan Exora boleh dianggap bagus. Dengan tubuh yang besar,
tinggi dan tayar bersaiz 16 inci, ia masih berupaya tidak membuatkan
pemandu serta penumpang berasa kecut perut ketika mengambil selekoh
dengan laju.
Berada di tempat duduk pemandu, saya berpuas hati dengan rasa stereng
dan tombol gear yang dibalut kulit. Konsol tengah yang menempatkan unit
audio dan butang kawalan pendingin hawa itu juga tidak nampak murah.
Untuk kelihatan lebih mewah, panel sisi dan tempat duduknya juga dibalut
kulit.
|
|
Jika anda duduk di tempat duduk belakang, tidak perlu bimbang tentang
keselesaan. Selain boleh mengawal sendiri butang pendingin hawa,
penumpang juga tidak kebosanan dengan adanya skrin LCD dan pemain
multimedia yang boleh memainkan filem daripada kad SD, USB atau DVD.
Sebagai seorang yang kurang gemar memandu kenderaan besar seperti
MPV, saya sangat menghargai kewujudan kamera undur pada Exora.
Sebaik sahaja gear undur dimasukkan, paparan berwarna lengkap dengan
garisan sudut berwarna hijau dan oren akan terpapar pada cermin pandang
belakang. Garisan sudut itu sememangnya banyak membantu pemandu untuk
memarkir Exora dengan lebih mudah dan tepat.
Melihat dari luarannya, varian terbaharu Exora itu memang lebih
menarik. Di samping perumah lampu hadapan dan belakang yang digelapkan,
MPV itu turut menerima bampar hadapan dengan rekaan baharu. Di
sekeliling tubuhnya juga dipasang dengan skirting. Jadi, MPV itu
tidaklah nampak pakcik-pakcik sangat.
Kalau dahulu anda memberi alasan Exora CPS tidak laju, kurang kuasa,
tidak ada TV dan macam-macam lagi sehinggakan tidak jadi membelinya,
sekarang semua itu sudah ada. Jadi, mahu apa lagi?
Petikan www.kosmo.com.my 14/01/2012
No comments:
Post a Comment