Friday 6 January 2012

Raikkonen selar kritikan


RAIKKONEN kembali memandu jentera F1 bersama pasukan Lotus musim ini.


PARIS - Kimi Raikkonen menyelar kritikan yang mendakwa dia bergelut untuk mengulangi kegemilangan selaku juara dunia pada perlumbaan Formula Satu (F1).

Pemandu Finland itu akan kembali memandu jentera F1 bersama pasukan Lotus musim ini.

Raikkonen memenangi gelaran juara dunia pada tahun 2007 sebelum menyertai Kejohanan Rali Dunia yang mana dia menghabiskan masa selama dua tahun dalam perlumbaan itu.

"Terdapat banyak kritikan yang disiarkan media mengenai penampilan semula saya dalam F1 dan ada banyak khabar angin," kata Raikkonen dalam laman web rasmi pasukan itu semalam.

"Ia tidak memberi kesan kepada saya. Kadangkala kamu mendengar sesuatu yang tidak bernilai dan kadangkala kamu mendengar perkara yang baik.

"Perkara utama adalah kembali seperti mana yang saya inginkan dan saya mendapat peluang terbaik bersama pasukan.

"Jadi, saya berasa sangat gembira. Saya tidak pernah terasa dengan apa yang orang lain cakap atau fikir.
"Saya melakukan apa yang terbaik buat diri sendiri dan saya gembira dengan situasi itu. Itu adalah perkara yang lebih penting buat saya."

Dalam pada itu, Raikkonen mula menyesuaikan dirinya dengan jentera F1 di kilang pasukan itu di Enstone kelmarin.

Raikkonen turut berharap mampu mempertingkatkan lagi tahap prestasinya bersama Lotus pada musim ini. Raikkonen berkata, ini adalah kali pertama dia mencuba jentera F1 selepas 'menggantung' topi keledar sebaik perlumbaan terakhir pada tahun 2009. 

"Pada mulanya, saya berasa agak ganjil kerana kokpit agak kecil meskipun sebenarnya ruang itu adalah normal. Ia sama seperti dahulu apabila saya melakukan pemasangan tempat duduk jentera. 

"Saya rasa sedikit kelainan ketika melangkah masuk ke dalam jentera tetapi saya cepat meyesuaikan diri.
"Saya juga merasa gembira kerana dapat kembali dalam perlumbaan ini," kata Raikkonen. - Reuters

Petikan dari kosmo melalui www.kosmo.com.my 07/01/2012

No comments:

Post a Comment