|
SALURAN darah atau arteri pada zakar mempunyai kaitan rapat dengan
tahap ereksi. Perunding Urologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya,
Profesor Dr. Ong Teng Aik memberitahu, ereksi atau ketegangan pada
zakar berlaku jika darah memasuki ruang zakar dengan mencukupi.
“Darah akan memenuhi ruang zakar tanpa gangguan serta memberi
kekuatan ereksi andainya saluran darah tidak terganggu atau tersumbat,”
kata Teng Aik.
Zakar akan membesar dan menegang apabila sepasang tisu korpus kavernosum pada alat kelamin itu terisi dengan darah.
Jelas Teng Aik, pembentukan plak dan lemak akibat pertambahan kolesterol di dalam badan mampu menyekat saluran darah.
Oleh kerana saluran darah zakar lebih kecil berbanding pada bahagian
lain tubuh, tanda awal kepada masalah kesihatan kardiovaskular
ditunjukkan oleh tahap ereksi.
“Penyakit kardiovaskular menyebabkan sekatan kepada aliran darah ke bahagian zakar dan menyebabkan masalah mati pucuk.
Tahap
“Sebenarnya dalam tempoh tiga tahun selepas masalah mati pucuk
dikesan, pesakit berisiko mendapat penyakit kardiovaskular seperti
sakit jantung selain diabetes dan obesiti.
“Merokok dan amalan sedentari atau gaya hidup tidak aktif turut memberi kesan kepada kemerosotan kekuatan ereksi zakar.
“Apa yang ramai orang tidak sedar adalah kualiti ereksi rendah merupakan petanda awal kepada penyakit jantung,” kata Teng Aik.
Terdapat empat tahap ereksi iaitu mati pucuk teruk, mati pucuk sederhana, ereksi separa optima dan ereksi optima.
Bagaimanapun, tahap tiga dan empat iaitu ereksi separa optima dan
ereksi optima sahaja yang mampu untuk melakukan penetrasi dan menjayakan
hubungan seksual.
Menurut Teng Aik, biarpun kedua-dua tahap itu mampu menyumbang kepada
kejayaan aktiviti seksual, namun kesannya menunjukkan perbezaan yang
ketara.
“Jelas sekali bahawa ereksi separa optimum boleh membawa kekecewaan
dalam kepuasan seksual buat seorang lelaki. Zakar tidak menegang
sepenuhnya walaupun ia berkeupayaan untuk melakukan penetrasi.
“Risiko untuk mendapat penyakit jantung iskemik bagi mereka yang
menghadapi masalah ereksi tahap tiga adalah lebih tinggi berbanding
mereka di tahap empat kerana faktor ketidakpuasan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Pensyarah Psikologi, Fakulti Perubatan, Universiti
Malaya, Profesor Dr. Low Wah Yun berkata, tahap ereksi yang rendah mampu
menjejaskan emosi dan psikologi kedua-dua pasangan.
Seorang lelaki akan berasa lebih yakin kerana keperluan emosi dan psikologinya dicapai melalui hubungan seksual.
“Sekiranya memenuhi keperluan seksual, pasangan mereka akan rasa
lebih disayangi. Sebanyak 93 peratus lelaki dan 83 peratus wanita
memilih kekuatan dan ketegangan zakar sebagai faktor yang memberi
kepuasan seksual,” ujar Wah Yun.
Wah Yun menjelaskan, usia tidak mempunyai kaitan dengan tahap ereksi zakar.
Gangguan kepada keupayaan tersebut yang dialami oleh mereka yang
berusia emas adalah dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular yang
dihidapi.
“Tidak kisah tua atau muda, kesemua mereka masih boleh berereksi sekiranya tiada gangguan pada zakar,” kata Wah Yun.
Petikan Kosmo! Online - Kesihatan - www.kosmo.com.my 10/01/2012
No comments:
Post a Comment