MINYAK urut jenama Afiat telah lama diketahui berkesan untuk
mengatasi masalah terseliuh, kebas atau membetulkan perjalanan darah. Ia
juga popular dalam mengembalikan kesihatan wanita lepas bersalin.
Terletak di Batu 30, Jalan Ipoh, Kuala Kangsar, Perak, syarikat
Minyak Afiat Sdn. Bhd. telah beroperasi selama lebih 80 tahun. Ia
diasaskan oleh Panjang Kamaruddin di Tambun.
“Nama ‘afiat’ itu diambil daripada ungkapan sihat walafiat. Imej
lelaki memakai songkok pada produk Afiat pula merupakan gambar Haji
Panjang Kamaruddin yang sengaja dipaparkan secara animasi,” kata
Pengarah Urusan Minyak Afiat, Ahmad Zakaria Khalid.
Zakaria berkata, asal-usul perniagaan itu memiliki sisi eksentrik.
Cerita beliau, Panjang yang merupakan ketua sebuah kampung di Tambun
tiba-tiba lumpuh kedua-dua belah kaki tanpa diketahui sebabnya.
Walaupun, pelbagai usaha dilakukan untuk memulihkan penyakitnya ia
masih gagal. Hendak dijadikan cerita, pada suatu hari semasa Panjang
sedang tidur, beliau bermimpi didatangi seorang tua berserban dan
berjubah putih.
Mimpi
Orang tua itu menyuruh Panjang mengambil satu bungkusan putih yang di dalamnya mengandungi beberapa jenis herba.
Panjang diberitahu bahawa bungkusan putih itu tertanam di dalam tanah
di hujung kampung dan perlu dicampurkan dengan minyak kelapa hijau
sebelum disapu di tempat yang sakit.
Selepas itu, Panjang meminta anak saudaranya bernama Khalid Uda
Ismail yang merupakan bapa Zakaria, mengambil bungkusan itu keesokan
harinya.
“Bungkusan berkenaan mengandungi 40 jenis herba antaranya daun pucuk jambu, rambutan, pegaga dan pandan.
“Setelah ayah saya membawanya pulang, herba berkenaan dicampur
dengan minyak kelapa hijau. Apa yang menghairankan, Panjang pulih
daripada penyakit lumpuh tidak lama selepas diurut dengan minyak herba
itu,” cerita Zakaria.
Khalid mengkomersialkan minyak tersebut pada tahun 1924.
“Bagaimanapun, ayah saya seorang yang pendiam menyebabkan beliau sukar untuk menjual minyak itu,” kata Zakaria.
Namun, satu kejadian pada penghujung tahun itu membuatkan Khalid bertukar peramah.
Menurut Zakaria, bapanya telah menjual sebotol minyak Afiat kepada
seorang tukang rumah yang dikenali sebagai Haji Seman di Parit Buntar.
Semasa ingin memaku bumbung rumah, Haji Seman terketuk jari telunjuk tangan kanannya menyebabkan ia berdarah.
“Kerana terlalu sakit, beliau menjerit hingga ramai penduduk pekan
Parit Buntar mendengar suaranya. Ayat yang beliau gunakan ialah ‘mana
minyak Afiat, jari aku berdarah’,” ujar Zakaria.
Haji Seman mengayuh laju basikalnya untuk pulang ke rumah dan
menyapu luka jarinya dengan minyak Afiat. Tangannya berhenti berdarah
dan pulih beberapa hari kemudian.
Selepas itu, Haji Seman menjadi ejen tidak rasmi mempromosikan
minyak Afiat. Khalid juga dapat belajar daripada Haji Seman yang peramah
cara-cara menjual minyak itu.
Ayam sabung
Sejak itu, cara pemasaran minyak Afiat mula berubah dengan Khalid menjualnya di pasar malam dan sekitar kampung di Perak.
Sama seperti babak menjual ubat di pasar sambil menyanyi dalam filem
Do Re Mi arahan Tan Sri P. Ramlee, medium yang sama digunakan oleh
Khalid. Beliau bermain gambus.
“Malangnya ramai orang kampung kurang yakin dengan khasiat minyak
itu, lalu mereka mencabar ayah supaya memulihkan kaki ayam sabung yang
patah.
“Ayah saya menyapu minyak Afiat pada kaki ayam itu dan mengurungnya
di dalam reban. Beberapa hari selepas itu kaki ayam itu pulih,” cerita
Zakaria lagi.
Setelah hampir 87 tahun beroperasi, syarikat Minyak Afiat kini
mempunyai lebih 30 pekerja. Ia turut memperoleh persijilan ISO 9001:2000
daripada SIRIM QAS International pada April 2003.
Apa yang menarik, pelanggan mereka juga terdiri daripada kerabat diraja, bekas perdana menteri dan juga menteri besar.
“Ada kerabat diraja di sebuah negeri yang membeli secara berterusan
dengan kami tetapi siapakah dia, adalah menjadi rahsia kami. Ada bekas
perdana menteri dan menteri besar yang menggunakan produk kami hingga
sekarang.
“Malah, bekas pegawai British ada yang membawa pulang minyak itu ke
negara mereka apabila tidak lagi bertugas di Tanah Melayu,” ujarnya.
Petikan Kosmo! Online
www.kosmo.com.my
24/02/2012
No comments:
Post a Comment